Baru-baru ini berlaku penyebaran cerita di beberapa blog dan menerusi emel yang mendakwa UMNO telah menggunakan masjid untuk tujuan politik melalui penyediaan teks khutbah Jumaat untuk dibacakan di masjid-masjid dalam Parlimen Bukit Gantang. Penulis difahamkan teks yang didakwa kononnya dikarang oleh Biro Agama UMNO Bahagian Bukit Gantang itu sebenarnya adalah suatu bentuk fitnah yang direka-reka oleh pihak pembangkang. Penulis sendiri telah membuat penyelidikan dan penelitian terhadap sumber sebenar serta kandungan teks khutbah Jumaat tersebut.
Tidak dipastikan secara tepat, sama ada teks khutbah tersebut ada dibaca oleh mana-mana khatib khutbah Jumaat dalam Parlimen Bukit Gantang. Tetapi, yang dapat dipastikan tidak ada satu pun laporan dalam mana-mana media rasmi pihak pembangkang atau blog pro-pembangkang yang menyebut ia berlaku.
Menerusi dapatan (findings) yang penulis perolehi dari sumber dalaman (UMNO) dan luaran (rakan-rakan blogger), penyebaran teks khutbah tersebut adalah suatu taktik dan perang saraf pihak pembangkang dalam mempengaruhi para pengundi di Parlimen Bukit Gantang dalam usaha mencalar imej UMNO. Dengan cara tersebut, mereka berharap masyarakat akan melihat pemimpin UMNO terutama Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai seorang yang hipokrit atau cakap tak serupa bikin. Apa tidaknya, sebelum ini pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat pusat dan negeri selalu mempertikaikan tindakan pihak pembangkang terutama Pas menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik mereka, tetapi sebaliknya hari ini mereka sendiri pula secara terang-terangan bertindak sedemikian.
Jika benarlah ia adalah perbuatan Biro Agama UMNO Bahagian Bukit Gantang, jelas sekali ia merupakan tindakan mengeksploitasi khutbah Jumaat sebagai medium propaganda dan kempen parti itu. Pasti ia merupakan suatu bentuk penyalahgunaan masjid dan bertentangan dengan pendirian parti itu sebelum ini.
Penulis cuba meneliti kandungan teks khutbah Jumaat yang kononnya ditulis oleh Biro Agama UMNO itu, dan secara jujur penulis dapati intipati dan rangkap-rangkap ayatnya jelas meragukan dan tidak mencerminkan pemahaman, pemikiran dan aspirasi sebenar pejuang UMNO.
Teks khutbah tersebut langsung tidak menyelitkan ungkapan-ungkapan yang menjadi asas dan tujuan penubuhan UMNO iaitu memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Konotasi ungkapan agama, bangsa dan negara adalah menjadi suatu kemestian dalam setiap teks ucapan rasmi UMNO terutama melibatkan biro penting seperti Biro Agama UMNO.
Pembukaan isi kandungan khutbah tersebut dimulakan dengan dengan petikan ayat 59, Surah an Nisa’:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) Rasulullah. Jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya.”
Pengarang teks khutbah itu kemudiannya menghuraikan ayat itu seperti berikut:
“Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa umat islam wajib mentaati Allah, juga mentaati Rasulullah dan pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Dalam konteks negeri Perak iaitu negeri kita ini, maka ulil amri yang dimaksudkan ialah Sultan. Ini adalah kerana Sultanlah yang menjaga urusan agama, Sultanlah yang menentukan tarikh puasa dan hari raya, Sultanlah yang meluluskan enakmen pentadbiran agama dan Sultanlah yang melantik mufti, para imam dan memberi tauliah mengajar. Oleh itu, kita tidak boleh menderhakai Sultan dan pemimpin-pemimpin negara terutama pemimpim-pemimpin UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara. Sesiapa yang menderhakai Sultan dan pemimpin negara, maka dia telah melanggar dan menyalahi rukun negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara. Penderhaka atau bughah menurut hukum hudud Islam halal darah mereka untuk diperangi.”
Ternyata pengarang tersebut tidak mendasari pemahaman sebenar UMNO dalam hal ketaatan kepada pemerintah. UMNO yang berpegang kepada agama Islam yang menjadi pengikat kepada perjuangan kebangsaan Melayunya sesekali tidak meninggalkan pedoman syariat yang berlandaskan kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ketaatan kepada selain dari Allah dan Rasul-Nya bukanlah sesuatu yang mutlak. Memang kita diwajibkan taat kepada pemerintah atau ulil amr dalam perkara yang kita suka atau benci, sebaliknya kita ditegah dari mentaati mereka dalam perkara maksiat atau dosa. Inilah prinsip dan aturan yang dipegang oleh pejuang-pejuang UMNO yang tulen selama ini. Ia dibuktikan melalui sejarah, di mana pejuang-pejuang awal yang menubuhkan UMNOlah yang bangkit menentang tindakan sultan-sultan dan raja Melayu yang didesak oleh British supaya menandatangani Teriti Malayan Union. Jika mereka ini hanya taat membuta tuli kepada pemerintah yakni sultan, sudah tentu mereka tidak berani bertindak sedemikian, dengan itu tidak akan lahirlah negara Malaysia seperti hari ini.
Di antara kandungan lain teks khutbah ialah:
“Sidang Jumaat sekelian, Merujuk kepada ucapan Perdana Menteri kita baru-baru ini, janganlah kita menjadi ekstremis agama dan kaum. Ekstremis agama bererti memperalatkan agama untuk kepentingan diri sendiri. Sikap ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi Pak Turut kepada nafsu dan sanggup mengada-adakan ajaran yang bukan dari ajaran Islam. Contohilah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang telah memperkenalkan Islam Hadhari sebagai satu ajaran yang sangat menepati ajaran Islam sebenarnya.”
Pembaca yang biasa membaca blog politik atau mendengar ceramah pembangkang tentunya boleh menilai secara adil perenggan teks khutbah ini sama ada ia betul-betul dikarang oleh Biro Agama UMNO atau tidak. Ini adalah disebabkan ayat-ayat tersebut seolah-olah menyindir mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang selalu ditohmah oleh Pas mengada-adakan ajaran baru atau bid’ah dalam agama melalui pengenalan Islam Hadhari. Inilah lenggok bahasa pemimpin dan penyokong Pas dalam ceramah dan penulisan mereka, dan ia bukan gaya olahan lidah rasmi UMNO dalam menghuraikan konsep dan pendekatan Islam Hadhari.
Pada halaman terakhir teks khutbah tersebut:
“Hadith ini mengajar tentang erti keimanan. Iman bukan hanya sembahyang dan puasa tetapi sifat patriotik terhadap negara juga adalah juga sebahagian dari iman. Negara kita pernah dijajah sejak tahun 1511 lagi. Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, semuanya telah dihalau dari bumi tanah air kita melalui semangat patriotik dan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpin Melayu kita. Itulah jasa besar mereka, itulah jihad mereka. Perkara ini telah dipertegaskan oleh Menteri Pelajaran Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn, baru-baru ini bahawa sejarah telah menyaksikan hanya pemimpin-pemimpin UMNOlah sahaja yang bertungkus lumus memerdekakan tanah air kita. Oleh itu, marilah kita terus memperteguhkan perjuangan Melayu dengan menyokong dan mengundi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya yang sedang berlangsung ini.”
Kata-kata "حب الوطن من الايمان" yang bermaksud “Cintakan tanahair adalah sebahagian dari iman,” seperti yang dipetik dalam teks khutbah tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang shahih untuk disabitkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ungkapan tersebut adalah kata-kata alim ulama yang sering disalahfahami kononnya ia bersumber daripada sabda Rasulullah s.a.w. Namun, bukanlah maksud penulis untuk menafikan keabsahan pengertian ungkapan tersebut.
Memang benar, semangat kecintaan kepada tanahair dalam bentuk patriotisme dan nasionalisme yang disempadani syariat Islam, merupakan sebahagian dari ajaran Islam. Sirah Nabi sendiri menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w. sangat dekat jiwanya dengan tanah tumpahnya iaitu Makkah semasa baginda berada di Madinah, sehingga menitis air matanya mengenangkan tanah suci itu.
Seterusnya, kandungan teks tersebut mengetengahkan kenyataan kononnya dari Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menyebut bahawa sejarah telah membuktikan bahawa hanya pemimpin-pemimpin UMNO sahajalah yang bertungkus-lumus memerdekakan negara. Pernyataan ini jelas sekali menggambarkan bahawa pengarang teks khutbah tersebut tidak langsung menghayati semangat perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional yang didukungi oleh UMNO. Umum mengetahui bahawa pendirian rasmi UMNO ialah parti itu tidak pernah sesekali menafikan sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan lain dari parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC, malah perjuangan mereka diiktiraf dan dihargai.
Dari mana pula sumber yang menyatakan bahawa Hishamuddin pernah memberi kenyataan yang begitu angkuh dan sombong itu. Jika ada, pasti ia telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang atau dipertikaikan oleh parti komponen lain terutama MCA yang dilihat sedikit lantang waktu ini. Jika Hishamuddin menghunus keris semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO pun diherdik dan dipertikaikan oleh mereka, inikan pula membuat kenyataan sebegitu keras dan tidak berlapik.
Ayat terakhir dalam perenggan teks khutbah itu menunjukkan ia dikarang secara cacar-merba kerana janggal sekali penulis mendengar orang mengajak mengundi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya yang sedang berlangsung, kerana lafaz yang sebenar ialah pilihanraya yang akan berlangsung. Adalah sesuatu yang jelas keterlaluan mimbar Jumaat digunakan secara terang-terangan sekiranya khatib sanggup untuk mengajak para jemaah mengundi Barisan Nasional.
Penulis ingin membukakan minda semua, apa untungnya UMNO menyediakan teks khutbah berunsur politik kepartian itu sedangkan ia jelas akan mewujudkan tanggapan buruk terhadap pendirian parti itu dalam isu membabitkan penyalahgunaan masjid yang selama ini sangat ditentang oleh mereka. Tambahan pula dari sudut pentadbiran agama Islam negeri, teks khutbah Jumaat bagi masjid-masjid seluruh negeri Perak disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Adalah menjadi sesuatu yang tidak wajar, sekiranya khatib-khatib menerima arahan atau pekeliling selain dari JAIPk untuk membaca teks khutbah lain seperti mana kandungan yang kononnya disediakan oleh Biro Agama UMNO Bahagian Bukit Gantang.
Sebagai kesimpulannya, penulis ingin menasihatkan para pembaca semua supaya tidak mudah terpengaruh dengan tindakan dan taktik pihak tertentu terutama pembangkang yang mereka-reka sesuatu cerita dengan tujuan memburuk-burukkan orang lain. Mereka ini walaupun mempunyai pengetahuan agama tetapi telah menyalahgunakan kepandaian yang ada untuk tujuan fitnah dan mengadu-domba masyarakat. Pegangilah firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan teliti (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [Surah al Hujuraat: 6]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan