Jumaat, 24 April 2009

Lihat apa yang dikata, bukan siapa yang berkata

Seorang sahabat mengeluh kepada saya, “Bila kita ajak mereka kepada kebaikan dengan perbincangan, nasihat dan teguran berbentuk agama, ramai yang persoalkan siapa kamu, lulusan agama ke, pernah sekolah agama atau arab ke? Kalau tak ada, tak payah sibuk-sibuk cakap pasal agama, mengalahkan ustaz dan ulama!”


Saya sendiri sudah acapkali mengalami situasi ini, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang hanya kuat semangat agamanya tetapi jahil dan jumud pemikirannya. Termasuk yang jahil dan jumud ini ialah sebahagian golongan yang berlatarbelakangkan pengajian Islam sendiri!


Saya katakan mereka ini jahil dan jumud kerana mereka tidak memahami ajaran Islam sebenar yang bersumberkan al Quran dan hadis-hadis shahih serta contoh dari salafussoleh. Mereka ini lebih banyak taqlid membuta tuli kepada ustaz, tok guru dan ulama mereka sahaja. Apa yang berbeza dengan kotak pemikiran yang diajar oleh kelompok ikutan mereka itu ditolak sekalipun ia adalah suatu kebenaran yang nyata.


Saya ingat lagi semasa berlaku kegawatan politik berikutan pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr. Mahathir pada tahun 1998, saya ada mempersoalkan kepada abang saya tentang kredibiliti Umi Hafilda Ali yang membawa cerita salah laku seksual Anwar sehingga menjadi punca krisis itu. Waktu itu saya masih muda remaja, barangkali masih kurang pemahaman agama yang memungkinkan saya agak terpengaruh dengan kata-kata lebai-lebai politik yang menyerang peribadi pembawa cerita yang didakwa seorang yang fasik kerana tidak menutup aurat. Abang saya lantas berhujah dengan kata-kata Saidina Ali r.a. yang berbunyi:

لا تنظروا إلى من قال انظروا إلى ما قال

Bermaksud: “Janganlah kamu melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan." [Al-‘Ajluni al-Jarrahi al-Dimasqy, Isma'il bin Muhammad. 1351H/1931. Kasyfu al-Khafa' wa Muzil al-Ilbas 'Amma Isytahara min al-Ahadits 'ala al-Sinah al-Naas. Jil.2, hlm. 363. Kaherah: Al-Maktabah al-Quds]


Itulah kata-kata yang masih saya ingat walaupun sudah 10 tahun berlalu. Kini saya bukan seperti dulu, saya sudah kenal kebenarannya dan saya juga sudah faham kata-kata itu. Apatah lagi, dalam perjalanan hidup sehari-harian, sepanjang usaha murni menyampaikan dakwah dan perjuangan menegakkan agama Allah, saya turut menghadapi cemuhan dan sindiran yang mempersoalkan kredibiliti saya dalam membicarakan isu agama dan politik. Ia lebih kurang apa yang berlaku terhadap sahabat saya tadi.

Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al Maidah: 8]

Menegakkan keadilan di sini termasuklah mengatakan sesuatu kebenaran sebagai kebenaran dan sanggup menerimanya sekalipun ia dari musuh atau orang yang dibenci. Begitu juga dalam menyatakan sesuatu kebathilan sebagai kebathilan dan menolaknya, sekalipun ia dari sahabat atau orang yang dicintai. 

Di sana terdapat suatu kisah yang masyhur dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari bahawa sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. telah diajarkan oleh syaitan untuk membaca ayat Kursi sebelum tidur supaya mendapat penjagaan dari Allah sehingga ke pagi hari. Setelah beliau menyampaikan hal tersebut kepada Nabi, baginda s.a.w. bersabda, “Dia jujur mengkhabarkan kebenaran kepadamu, padahal dia (syaitan itu) adalah pendusta.”

Rasulullah s.a.w. yang merupakan insan yang kamil, contoh terbaik umat manusia sendiri boleh menerima kebenaran dari sejahat-jahat makhluk yakni syaitan, mengapa pula ada kalangan masyarakat kita yang bukan pun sesempurna Nabi s.a.w. terlalu mudah menolak kebenaran dari saudara seagama hanya kerana beralasan saudaranya bukan berlatar belakangkan pengajian agama, ustaz atau ulama, dan tidak layak menasihat, menegur atau berbicara isu agama. 

Ingatlah Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata:

لا تعرف الحق بالرجال بل اعرف الحق تعرف أهله
Bermaksud: “Janganlah mengenal kebenaran itu berdasarkan individu-individu tertentu, tetapi kenalilah kebenaran itu, (nescaya) engkau akan mengenal pemiliknya." [Al-Ghazzālī, Abu Hāmed Muhammad ibn Muhammad. 1967. Al-Munqidh min al-Dalāl wa-al-Mawṣil ilá dhī al-ʻIzzah wa-al-Jalāl. Edisi ke-7, hlm. 87. Beirut: Dar al-Andalus lil-Tiba'ah wa-'l-Nashr]

Seorang lagi sahabat Nabi bernama Ibn Mas’ud r.a. ada berkata:

من جاءك بالحق فاقبل منه، وإن كان بعيداً بغيضاً، ومن جاءك بالباطل فاردّد عليه، وإن كان حبيباً قريباً
Bermaksud: “Barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu darinya, meskipun ia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebathilan maka tolaklah, meskipun ia adalah orang yang dicintai dan dekat.” [Abū Nuʻaym al-Iṣbahānī, Aḥmad ibn ʻAbd Allāh. 1416H/1996. Hilyat al-Awliyāʼ wa-Tabaqāt al-Asfiyāʼ. Jil.1, hlm. 134. Beirut: Dar al-Fikr]

Kepada sahabat saya, janganlah bersedih dengan gelagat mereka yang jahil dan jumud, yang mempertikaikan kredibiliti kita dalam menyeru kepada agama Allah. Ketahuilah banyak dalil-dalil dari al Quran, hadis dan kata-kata sahabat Nabi yang boleh membuka mata hati mereka seperti yang saya petik tadi. Bacakan dan terangkanlah kepada mereka, teruslah menyeru mereka dengan penuh hikmah, nasihat yang baik dan sedia berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik. Mudah-mudahan diberikan hidayah oleh Allah kepada mereka. InsyaAllah.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum Warahmatullah

    Setuju dengan kamu. Tetapi tradisi di dalam Sunnah tentang periwayatan Hadis lebih menekankan kepada sanadnya. Maka tidak hairanlah jika ianya datang dari mahzab Syiah maka ia akan dilemparkan ketepi.

    BalasPadam