Rabu, 6 Februari 2013

Bersyukur Kepada Allah, Berterima Kasih Kepada Manusia Dari Ajaran Islam

Kita telah sedia maklum bahawa adalah menjadi tanggungjawab manusia apabila diberikan sebarang nikmat oleh Allah Taala maka hendaklah dia bersyukur kepada-Nya. Al-Quran dan hadith sahih banyak membicarakan tentang suruhan bersyukur dan tegahan mengkufuri nikmat kepada manusia.

Allah Taala berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." [Surah al-Baqarah: 172]

Sesungguhnya nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita adalah terlampau banyak jika hendak dihitung. Nikmat kesihatan, nikmat iman, nikmat keselesaan, kemakmuran dan kemajuan dalam hidup bermasyarakat adalah hanya beberapa contoh nikmat yang dapat dilihat dari pelbagai jenis nikmat lain yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada kita semua.

Namun kebanyakan manusia alpa dan lupa dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan mereka. Mereka mengingkari perintah Allah Taala dengan mengkufuri nikmat-Nya. Mereka menyangka segala nikmat yang dikecapi oleh mereka adalah hanya daripada titik peluh dan usaha mereka semata-mata. Maka timbullah perasaan bongkak, ego, takabur dan sum'ah. Mereka menunjukkan kelebihan mereka, memperalat dan memperendahkan martabat orang lain, menindas yang lemah dan melakukan pelbagai bentuk pembaziran dan kezaliman. Nikmat yang dikurniakan hanya digunakan untuk hawa nafsu sahaja tanpa memperdulikan dasar iman dan takwa.

Kebelakangan ini ada pula kelompok ulama tertentu yang mendakwa kita hanya perlu bersyukur kepada Allah Taala sahaja sebaliknya tidak perlu berterima kasih kepada manusia. Dakwaan mereka ini tidak lebih daripada dakyah berunsur politik yang cuba menguntungkan masa depan kelompok mereka dan menafikan hak-hak orang lain.

Golongan ini memberikan hujjah bahawa nikmat kemakmuran dan kemajuan negara hari ini datangnya dari Allah Taala, manakala kerajaan hanya menyampaikan sahaja. Jadi tidak perlulah kita berterima kasih kepada mereka, hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Allah Taala.

Mereka juga berhujjah bahawa kerajaan yang tertegak hari ini hakikatnya diwujudkan untuk melaksanakan segala bentuk pembangunan dan memelihara kemakmuran negara dan perkara-perkara itu sudah menjadi tanggungjawab sesuatu kerajaan yang dipilih. Jika orang lain yang menjadi kerajaan pun mereka akan membuat perkara yang sama. Maka, apa perlunya kita berterima kasih kepada kerajaan? Lagipun tidak ada suruhan supaya berterima kasih kepada pemerintah di dalam al-Quran dan hadith.

Kepada mereka ini bukalah minda dan ikutilah hujjah-hujjah yang insya Allah akan menjawab dan menangkis hujjah-hujjah mereka. Saya sendiri mengakui pernah berbahas tentang isu ini dengan beberapa mahasiswa yang sehaluan dengan golongan ulama terbabit dan mereka menggunakan hujjah yang sama semasa berhadapan dengan saya.

Jika mereka mendakwa kemajuan dan kemakmuran hari ini akan tetap dilaksanakan oleh mana-mana orang yang dipilih menjadi kerajaan, maka mereka silap kerana kita lihat banyak negara di dunia yang mempunyai kerajaan sebaliknya mereka gagal melaksanakan pembangunan dan mewujudkan kemakmuran seperti yang ada di Malaysia hari ini. Jika orang lain yang menjadi kerajaan mungkin mereka tidak sampai ke tahap yang diperolehi hari ini.

Keduanya, jika mereka terus mengatakan bahawa mana-mana individu yang diberikan tanggungjawab oleh kita dan sekalipun dia berjaya memenuhi tanggungjawab tersebut, tidak perlu juga berterima kasih kepadanya. Diumpamakan seorang posmen yang menyampaikan surat kepada kita, tidak perlu kita berterima kasih kepada mereka kerana sudah menjadi tugasnya menyampaikan surat tersebut. Maka kita menjawab melalui dalil al-Quran, di mana Allah Taala berfirman:
"Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada-Ku tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman: 14]

Bukankah sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa memelihara, mengasuh dan mendidik anak-anak? Tetapi Allah tetap menyuruh kita berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita malah diwajibkan pula berbuat baik kepada mereka. Bukanlah dimaksudkan berterima kasih di sini dengan cara melafazkan ungkapan terima kasih semata-mata tetapi maksud berterima kasih itu sebenarnya dapat diterjemahkan melalui sangkaan, tuturkata dan perilaku yang baik terhadap mereka berdua. Sama juga dengan bersyukur, kita tidak dinamakan bersyukur kepada Allah Taala jika hanya menyebutnya di bibir sahaja tetapi hati dan kelakuan kita tetap mengingkari nikmat-Nya.

Memang benar kita tidak perlu melafazkan perkataan terima kasih kepada posmen, tetapi rasa berterima kasih itu perlu diterjemahkan melalui perilaku dan tuturkata kita terhadap mereka. Jika kita mendapatkan surat tersebut daripada posmen dengan cara yang baik itu sudah disifatkan sebagai berterima kasih kepadanya. Sebaliknya jika kita memaki hamun, menyumpah, menghinanya walaupun dia menjalankan tugasnya dengan baik maka ini tidak dinamakan berterima kasih. 

Rasulullah SAW ada bersabda dalam sebuah hadith sahih yang berbunyi:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ : جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا , فَقَدْ أبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
Barangsiapa yang dibuatkan (diberikan) kepadanya kebaikan, maka katakan kepada orang yang berbuat baik itu “Jazakallahu khaira” semoga Allah membalas kepadamu dengan kebaikan. Sesungguhnya hal tersebut telah bersungguh-sungguh dalam berterima kasih.” [HR at-Tirmizi, dishahihkan oleh al-Albaani]

Jelas daripada hadith Rasulullah ini menunjukkan bahawa baginda sendiri mengajar kita supaya berterima kasih kepada manusia termasuk dengan cara mendoakan supaya dibalas kebaikan kepada sesiapa yang berbuat baik kepada kita.

Dalam hal ini, Allah Taala telah berfirman:
"Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." [Surah Ibrahim: 7]

Dan jika kalian tetap dengan pendirian bahawa tidak perlu berterima kasih kepada seseorang yang menjalankan tanggungjawab kepada kita, maka ditunjukkan hujjah yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang suatu masa dulu diputar belitkan pihak tertentu dengan tuduhan beliau menghina Nabi Muhammad SAW.

"Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar (sepenuhnya) sahajalah. Dengan itu berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukkan mereka tidak salah.

"Hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah SWT sahaja."
[Petikan Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 11 Mei 2000]

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyampaikan risalah kepada seluruh manusia. Maka adakah kita tidak perlu berterima kasih kepada baginda hanya jika tanggungjawabnya menyampaikan dakwah Islam kepada kita umat manusia? Fikir dan renungkanlah baik-baik, jangan menerima kata-kata mana-mana ulama secara taqlid buta tanpa mengetahui hakikat kebenarannya.

Kesimpulannya, sebagai seorang manusia yang beriman kepada ajaran Islam, maka sepatutnya kita mempunyai ciri-ciri insan yang soleh dan sifat-sifat mahmudah dalam menelusuri zaman yang serba mencabar kini. Bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah memang menjadi tanggungjawab kita dan perlu juga kita berterima kasih kepada manusia yang membantu kita sekalipun bantuan itu sudah menjadi tanggungjawab mereka. Sebagai peringatan, selamilah pengertian hadith ini:

 لا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لا يَشْكُرُ النَّاسَ
“Tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur (berterima kasih) kepada manusia.” [HR at-Tirmidzi, sanad hasan shahih]


*Artikel ini telah ditulis pada 2002 ketika penulis masih menuntut di universiti dan telah disiarkan dalam laman web Laman Minda At Tajdid dan beberapa portal politik. 

Isnin, 7 Januari 2013

Bidasan Ringkas Dua Hujjah Sokong Bukan Islam Guna Kalimah 'Allah'



HUJJAH PERTAMA - Polemik mengenai kalimah ‘Allah’ ini hanya momokan dan merupakan agenda UMNO untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

JAWAPAN:
Sebenarnya yang menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang Kristian ini bukan sahaja dari kalangan orang UMNO tetapi mereka terdiri daripada pelbagai pihak termasuk individu-individu non-partisan, NGO Islam dan orang Islam dalam pakatan pembangkang seperti ulama Pas sendiri. Pemimpin dan ahli agama dalam PKR diketahui sangat menyokong penuh penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh).

Memang tidak dinafikan wujud sebahagian orang Pas terutama beberapa pemimpin Pas yang bukan dari kalangan ulama dan dilihat sangat pro-Anwar Ibrahim (kelompok 'Anwarinas') dan anti-kerajaan perpaduan seperti Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan dua AJK Pas Pusat iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) dan Ir. Khalid Abdul Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) juga sangat lantang menyokong malah mempertahankan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam.



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan dan ADUN Pulau Melaka) dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya berhubung polemik kalimah ‘Allah’ ini, beliau pada awalnya menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam tetapi kemudiannya dilihat menyokong pula penggunaannya. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) dan AJK Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) pula antara dua pemimpin Pas berlatar belakang agama yang kini mempertahankan tindakan bukan Islam untuk menggunakan kalimah 'Allah' terutama selepas perbincangan dengan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR.

Keratan Suara Keadilan Bilangan 214 (5 – 12 Januari 2010) yang melaporkan sokongan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam daripada para pemimpin PKR terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga ahli agama paling kanan dalam PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty yang merupakan Pengerusi Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA) parti tersebut.

Sementara itu Datuk  Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas), Datuk Harun Taib (Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan ADUN Manir), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Ahli Parlimen Bachok), Datuk Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling), Ustaz Nasrudin Hassan Thantawi (Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas Pusat) adalah antara para pemimpin Pas yang ke hadapan membantah penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam di negara ini.



HUJJAH KEDUA - Al-Quran dan al-Hadis tidak pernah mengharamkan penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan orang bukan Islam. Sebarang usaha atau peraturan untuk menyekat orang bukan Islam dari memakai kalimah 'Allah' adalah ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah.

JAWAPAN:
Memang larangan ini tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun demikian, sebarang tindakan menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam itu sebenarnya menepati kehendak 'Siasah Syar’iyyah' (السياسة الشرعية).

Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fiqh terdahulu, pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar ‘Masolih Mursalah’ (المصالح المرسلة) iaitu kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya, dan ia menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid asy-Syariahمقاصد الشريعة) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Dinحفظ الدين).

Perbuatan mengatakan sebarang enakmen atau undang-undang yang menghalang penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam sebagai ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah adalah keterlaluan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

Kenyataan itu yang bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah itu juga boleh dianggap menghina institusi fatwa dan para mufti.



FATWA RASMI JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN TERHADAP PENGGUNAAN KALIMAH ‘ALLAH’

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keterangan/Hujah:

1.     Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

2.     Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

3.     Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

4.     Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

5.     Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

6.     Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

7.     Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.

8.     Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.

9.     Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.

10.  Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.

11.  Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

Sabtu, 29 Disember 2012

Rahsia Kenapa Kristian Mahu Guna Kalimah 'Allah'


Di Malaysia ketika ini masih terdapat kelompok umat Islam memandang remeh isu desakan orang bukan Islam untuk dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan ajaran agama mereka. Malah kelompok ‘liberalist’ dan ‘pluralist’ Islam ini menggesa pula umat Islam supaya tidak perlu khuatir jika bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah tersebut atas alasan kononnya gambaran ancaman kegelinciran akidah umat Islam adalah sebenarnya hanya datang dari orang Islam yang lemah iman semata-mata.

Sebenarnya kekhuatiran dan kewaspadaan itu sangat berasas serta munasabah. Penentangan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam ini bukan datang dari mereka yang lemah iman tetapi hadir dari mereka yang sangat arif tentang agama, dakwah dan permasalahan umat Islam termasuk dari kalangan para mufti dan ulama pelbagai parti politik.

Majlis-majlis agama Islam negeri sendiri juga telah bertindak memohon kebenaran untuk mencelah dalam semakan kehakiman terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Hakim Puan Lau Bee Lan pada 5 Mei 2009 yang telah memberikan kebenaran kepada Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam untuk memohon bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan “Herald - Catholic Weekly.

Pada 21 April 2008, Pakiam telah memohon semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The Catholic Weekly.

Beliau kemudiannya mengemukakan semula permohonan baru pada 16 Februari 2009 selepas permohonan serupa sebelum itu telah dianggap bersifat akademik berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.1

Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memohon semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald - The Catholic Weekly.

Langkah pihak berkuasa melalui majlis-majlis agama Islam negeri ini sebenarnya adalah bertujuan mengelakkan sebarang kekeliruan di dalam beragama sebagai akibat daripada penggunaan kalimah ‘Allah’, yang boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat awam serta boleh menimbulkan sensitiviti agama.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.2

Memang kita mengetahui bahawa kalimah ‘Allah’ ini turut digunakan oleh bukan Islam di negara-negara Arab dan negara jiran kita, Indonesia untuk merujuk kepada Tuhan mereka, bahkan sebelum kehadiran risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. lagi.

Walaupun larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam ini tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadis, serta mana-mana kitab fiqh muktabar namun tindakan menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam di negara ini sebenarnya menepati kehendak 'Siyasah Asy-Syar’iyyah'3.

Pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar ‘Masolih Mursalah4 iaitu kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya, dan ia menepati tuntutan ‘Maqasid Syariah’5 (tujuan syarak) iaitu ‘Hifzu ad-Din’ (memelihara agama).

Kita juga amat menyedari bahawa di sana terdapat alasan yang amat munasabah dan kukuh untuk mewujudkan kewaspadaan dalam isu ini kerana dapat difahami penggunaan kalimah ‘Allah’ merupakan salah satu strategi terancang oleh pihak gereja untuk menyebar luaskan agama Kristian di Malaysia, dan di negara-negara bukan penutur jati Bahasa Arab dan memurtadkan umat Islam terutama bagi mereka yang masih lemah akidah dan pengamalan agama.

Ia dapat dibuktikan menerusi pendirian sebuah organisasi pendakyah Kristian, The People of the Book6 yang termuat dalam risalah strategi mereka. Walaupun mereka sendiri mengakui bahawa kalimah ‘Allah’ di dalam al-Quran tidak memiliki maksud yang sama dengan ‘God’ di dalam Bible, namun organisasi ini berpendapat penggunaannya amat berkesan untuk memurtadkan umat Islam sebagaimana telah dijelaskan oleh mereka seperti berikut:
“We believe that it can be very effective to use the Quran as a tool to share concepts that are familiar and acceptable to Muslims, and that support Biblical principles. There are many concepts that are very compatible with the Bible and there are other Quranic teachings that may actually be misunderstood by Christians and Muslims. Of course, the Holy Bible is the only and complete authority for everything pertaining to doctrine and lifestyle. We believe that it is perfectly acceptable to use the name Allah, both in the Bible that we use to minister to Muslims, as well as materials that we distribute. It is the translation of the word “God” in Arabic. Joshua Massey has written an excellent summary about this topic. This does not mean that Allah in the Qur’an is exactly the same as the God of the Bible.” 7
John Hultvall, seorang mubaligh Mission Covenant Church of Sweden yang terlibat dalam misi pengembangan agama Kristian di Turkestan timur (kini wilayah Xinjiang, China), sebuah kawasan berpenduduk majoriti Islam, juga berpendapat bahawa walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ dipersoalkan dalam kalangan penganut-penganut Kristian sendiri, mubaligh-mubaligh Kristian sentiasa menggunakannya dalam usaha mereka memurtadkan umat Islam.

Hultvall, dalam kata pengantar bukunya, Mission and Revolution in Central Asia menulis:
“It is questionable whether a description of mission work among Muslims should use the name of “Allah” and not “God”. Some Muslims mean that “Allah” should be translated by “God” in western languages. The missionaries always use the word “Allah” and this usage has been observed here too.” 8

Selain itu, Kevin Greeson, yang juga seorang mubaligh Kristian juga telah menulis sebuah buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ!. Buku ini telah dijadikan panduan oleh mubaligh-mubaligh International Mission Board (IMB) khusus untuk memurtadkan umat Islam.

Buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! karya mubaligh Kristian, Kevin Greeson yang menjadi panduan kaedah bagi memurtadkan umat Islam termasuk melalui penggunaan kalimah ‘Allah’.

Kaedah ‘The Camel’ dalam penyebaran agama Kristian kepada orang Islam, antaranya ialah penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ ini dikritik dan kurang disenangi oleh kalangan pemimpin dan penganut agama tersebut sendiri namun disebabkan oleh muslihat terselindung yang mampu memberi manfaat kepada dakyah mereka, maka ia tidak dianggap sebagai sesuatu isu besar. Mereka menjadikan penggunaan kalimah ‘Allah’ ini sebagai suatu ‘jambatan’ untuk mendekati serta memurtadkan umat Islam di seluruh dunia.

Pengarah Misi untuk The Corpus Christi Baptist Association di Texas, Edd Jump mengakui keberkesanan kaedah ‘The Camel’ ini sekalipun dia secara peribadi tidak selesa dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan.

Seorang baptis Georgia seperti dilaporkan oleh portal The Christian Index, mendakwa kaedah ‘The Camel’ telah menjadi pendekatan yang sangat berkesan sepertimana dapat disaksikan terhadap umat Islam di Amerika Syarikat. Baptis itu berkata: “Sebahagian orang menggunakan pendekatan ini dalam komuniti kita dalam perkara asas harian dan mereka melihat tindak balas yang hebat.”

Sementara itu, Presiden The Christian Index IMB, Jerry Rankin dipetik sebagai berkata:
“What our missionaries are doing with ‘The Camel’ is much like what Paul did when he went to Athens. He saw an altar ‘To The Unknown God’ and stated, ‘him declare I unto you.’ In seeking to reach the Muslims, you start with where they are and with their worldview and bring them to the bridge, to the passage in the Qur’an that speaks of Isa (Jesus) and then take them to the gospels. Of course, the Bible is the inspired Word of God and you pray and trust the Holy Spirit to reveal the truth about Christ to them.” 9
Kita juga didedahkan dengan laporan cover story majalah Christianity Today dalam keluaran Februari 2011 yang bertajuk Muslims and the “Son of God”.10 Di mana laporan ini secara tidak langsung telah membongkar rahsia sebenar niat jahat pihak Kristian untuk “use religious vocabulary familiar to Muslims” (mengguna istilah-istilah agama yang biasa untuk umat Islam) supaya memudahkan kerja-kerja dakyah mereka.

Majalah berkala Kristian Evangelika, Christianity Today keluaran Februari 2011 telah memuatkan laporan cover story bertajuk Muslims and the “Son of God” turut menyentuh strategi penggunaan kalimah 'Allah' dalam penyebaran agama Kristian di kalangan umat Islam. 

Walaupun sebahagian besar dari pihak paderi sendiri menentang usaha untuk mengguna istilah-istilah yang “familiar to Muslims”, dan mereka ini “…charge their colleagues with compromise that undermines belief in Jesus Christ”, namun kerana niat jahat mereka untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam, maka penggunaan istilah itu tetap diteruskan.

Dalam perbincangan di kalangan mereka yang melakukan kerja-kerja dakyah Kristian di negara-negara majoriti umat Islam tahun sebelumnya, telah diperakui bahawa usaha mengelirukan umat Islam dengan istilah-istilah ini telah berjaya dengan “many thousands of Muslims in this nation alone, then, had found faith in Jesus” (ribuan telah berjaya dimurtadkan).

“This nation” ini merujuk kepada sebuah negara Islam yang dirahsiakan namanya dari disiarkan dalam majalah tersebut. Mungkinkah negara tersebut ialah Malaysia?

Artikel tersebut juga memetik seorang missiologist (pakar dakyah mereka yang telah melakukan kerja-kerja ini di Asia dan Afrika sejak 1977 lagi) yang berkata “Missionaries can live in a Muslim culture for decades, blaming Muslims for being “resistant” to the gospel, when the problem actually lies with linguistic and cultural stumbling blocks”. Maka secara tidak langsungnya, kini mereka percaya bahawa mereka telah dapat melepasi satu “halangan” linguistik untuk kerja dakyah kepada umat Islam (di Malaysia).

Dan dia merumuskan “Once these are removed, many Muslims are quite open and interested in knowing more about Jesus”.

Kisah penggunaan istilah Allah juga disabitkan sebagai suatu kejayaan mereka untuk membuka minda umat Islam untuk menerima dan membaca Bible – “Muslims reading Scripture for the first time won’t immediately reject the Bible as foreign to their culture”.

Dengan itu, apa yang kita lihat berlaku di negara kita dengan usaha mereka mengguna istilah-istilah seperti kiblat, Kaabah, solat, dan beberapa lagi adalah di antara usaha mereka untuk “strategically changed particularly challenging phrases”.

Menurut tulisan itu lagi, mereka juga ada missionari khas untuk “discipling Muslims” dengan program latihan “teaches missionaries what Muslims believe so they can minister to them effectively”.

Oleh kerana itu, sedarlah mereka yang “memperjuangkan” kebebasan untuk mengguna istilah-istilah yang lazimnya digunakan oleh umat Islam di negara ini, bahawa bukannya kebebasan yang mereka cari tetapi usaha untuk memurtadkan umat Islam yang menjadi matlamat mereka.11

Mengapakah pihak Gereja Katolik tidak mahu menggunakan istilah Tuhan, ‘God’ atau ‘Lord’ dalam penerbitan mereka, sebaliknya mahu bertegas menggunakan kalimah Allah. Puak-puak ini sanggup untuk turun naik mahkamah hanya sekadar inginkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.12 

Semoga dengan pendedahan ini dapat sedikit sebanyak menyedarkan umat Islam terutama kepada mereka yang masih keliru dengan agenda tersembunyi musuh Islam dalam penggunaan kalimah ‘Allah’ ini.

Ambillah peringatan Allah Taala dalam al-Quran seperti berikut:


“Orang Yahudi dan Kristian tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau". [Surah al-Baqarah: 120]



[1] Akhbar Herald - The Catholic Weekly, pada tahun 2009 berdepan masalah berikutan larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penerbitan edisi Bahasa Malaysianya yang menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian.

Pada 16 Februari 2009, Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagai penerbit akhbar berkenaan telah mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan semakan semula penghakiman selepas permohonan serupa pada 21 April 2008 dianggap bersifat akademik berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) telah memohon sebagai pencelah dalam semakan kehakiman tersebut.

Bagaimanapun, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 telah memutuskan bahawa larangan menyeluruh KDN berhubung penggunaan kalimah 'Allah' adalah salah di sisi undang-undang.

Penghakiman tersebut mencetuskan siri serangan membakar beberapa gereja di seluruh negara pada bulan berikutnya, kemudian digantung sementara menunggu rayuan kerajaan yang berhujah bahawa kalimah 'Allah' adalah eksklusif kepada umat Islam.

[2] Fatwa rasmi oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ ini boleh dibaca di http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-allah

[3] Perkataan ‘siyasah’ (سياسة) dari sudut bahasa bermaksud “mentadbir sesuatu perkara dengan baik” atau “pemerintah mentadbir urusan rakyat”. Perkataan ‘syar‘iyyah’ (شرعية) pula berasal dari perkataan ‘syari`at’ (شريعة) dalam Bahasa Arab, yang dalam penggunaan biasanya diertikan sebagai “sumber air minum atau pembawaan yang jelas”.

Menurut sudut istilah, para fuqaha’ (ahli-ahli fiqh) pula mentakrifkan ‘Siyasah Asy-Syar‘iyyah’ (السياسة الشرعية) sebagai “tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzu’nya.” Dalam penakrifan lain mereka berkata “menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut  ketentuan syarak.”

Siyasah Asy-Syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang  berasaskan kepada asas-asas Islam atau mentadbir urusan umum negara Islam dengan cara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin. [Abdul Wahab Khallaf: Siyasah Syar`iyyah Aw Nizam al-Daulah Islamiyah Fu Syu Un al-Dusturiyah wa al-Kharijiyah wa al-Maliyah; Kaherah, Dar al-Ansar. hlm.18]

[4] ‘Masolih Mursalah’ (المصالح المرسلة) dari segi bahasa bermaksud “suatu keadaan yang sesuai untuk diadakan hukum syarak kerana boleh mendatangkan kebaikan atau menjauhkan daripada keburukan.” Menurut istilah, ia bermaksud “membuat sesuatu hukum dan undang-undang yang baik dan berfaedah untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak ada sebarang nas untuk dijadikan bukti dan dasar sama ada ia boleh dilaksanakan, harus atau tidak boleh dilaksanakan.” [Abdul Karim Zaidan. 1994. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. Beirut: Muassasah al-Risalah. Cet 4. hlm. 237]

[5]Maqasid’ merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melaksanakan sesuatu. Maqasid asy-Syariah’ (مقاصد الشريعة) merupakan matlamat atau objektif utama yang diletakkan dalam mensyariatkan hukum. Terdapat 5 perkara asas dalam ‘Maqasid Asy-Syariah’ dalam konteks perjuangan menegakkan agama hari ini iaitu:

(1) Memelihara agama, Hifzu ad-Din (حفظ الدين), (2) Memelihara nyawa, Hifzu an-Nafs (حفظ النفس), (3) Memelihara akal, Hifzu al-Aqli (حفظ العقل), (4) Memelihara keturunan, Hifzu an-Nasl (حفظ النسل), dan (5) Memelihara harta, Hifzu al-Maal (حفظ المال).

[6] The People of the Book ialah sebuah organisasi yang giat menjalankan pengembangan kepercayaan agama Kristian kepada umat Islam yang boleh bertutur dalam Bahasa Sepanyol. Sila rujuk  http://www.thepeopleofthebook.org/about.html

[7] The People Of The Book - Following Isa along the straight path, Strategy Brochure. Risalah dakyah Kristian ini boleh dimuat turun di http://www.thepeopleofthebook.org/PofB-PDF/PofBbrStrat.pdf

[8] John Hultvall, Mission and Revolution in Central Asia, Preface by the Author 1981, hlm. 7. Tulisan ini boleh dimuat turun di http://www.missionskyrkan.se/Svenska-Missionskyrkan/Aktuellt/Material/Mission-and-Revolution-in-Central-Asia-by-John-Hultvall/

[9] Untuk pengetahuan lebih lanjut mengenai perkara ini, sila baca di http://www.christianindex.org/3313.article.print

[10] Untuk membaca keseluruhan artikel tersebut, sila akses kepada edisi online di http://www.christianitytoday.com/ct/2011/february/soncrescent.html

[11] Untuk kupasan asal artikel majalah Christianity Today, Februari 2011 bertajuk Muslims and the “Son of God”, sila baca di http://membelaislam.wordpress.com/2011/04/21/kenapa-tidak-boleh-dibenarkan-pihak-gereja-mengguna-istilah-"allah"-untuk-tuhan-jesus-mereka/