Sabtu, 24 Mei 2014

Takrif Melayu, Sejarah dan Identiti Bangsa

Masih ramai orang Melayu sendiri tidak mengetahui tentang asal usul dan takrif Melayu. Beberapa kali juga segelintir kenalan saya kelahiran Pantai Barat yang kurang celik sejarah dan terpengaruh dengan dakyah DAP mendakwa orang Melayu juga adalah pendatang dari Indonesia. Kononnya Melayu bukanlah penduduk asal di negara ini. Lalu dicontohkan diri mereka yang berketurunan Jawa, di mana nenek moyang mereka merupakan etnik Jawa yang berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia.

Saya ingin menegaskan bahawa penakrifan orang Melayu itu adalah sesuatu yang luas dan dinamik. Di Malaysia, orang Melayu itu lebih merujuk kepada bangsa berbanding keturunan atau kaum semata-mata. Menurut Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 160, dinyatakan bahawa:
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan — 
(a)  yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau 
(b)  ialah zuriat seseorang yang sedemikian;
Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dan wujudnya Perlembagaan Persekutuan, definisi orang Melayu sebenarnya telah diikat dengan agama Islam, kebiasaannya berbahasa dan mengamalkan adat budaya Melayu. Ketika itu orang Melayu dikenali terbahagi kepada beberapa kelompok iaitu Melayu Anak Jati (seperti Melayu Kelantan, Melayu Kedah, Melayu Terengganu, Melayu Perak dan sebagainya), Melayu Anak Dagang (seperti mereka dari rumpun Melayu dari etnik berketurunan Jawa, Bugis, Banjar, Acheh, Sunda, Rawa, dan sebagainya) dan Melayu Peranakan (seperti Melayu lahir hasil perkahwinan campur dengan bangsa selain rumpun Melayu iaitu Turki, Arab, India, Cina dan sebagainya).
"Pengertian Melayu dalam maksud satu kelompok bangsa yang besar atau "ras" (race) atau "rumpun bangsa" (a racial stock)   Ia adalah istilah yang diguna pakai oleh penyelidik dalam bidang antropologi dan sosio-linguistik; juga digunakan oleh UNESCO merujuk kepada penduduk asal di Semenanjung dan Gugusan Kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Alam Melayu atau the Malay World. Ia adalah konsepsi budaya yang tidak menjadikan agama Islam sebagai salah satu takrifan Melayu seperti orang Filipina, etnik Batak atau Bali dan penduduk asal di Pulau Taiwan dikategorikan sebagai "rumpun Melayu". Salah satu unsur persamaan mereka ialah bertutur dalam bahasa dari cabang atau rumpun bahasa induk Austronesia atau Melayu-Polinesia.
"Kumpulan-kumpulan yang tergolong dalam ras atau rumpun Melayu itu termasuklah penduduk pribumi Pulau Taiwan yang bukan dari bangsa Han (China), etnik Cham dan beberapa suku bangsa asal-pribumi di Semenanjung Indo-China (Vietnam dan Kemboja), etnik keturunan Melayu Patani di Thailand, seluruh penduduk asal di Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei serta suku bangsa Merina di Pulau Malagasi (Madagascar). Saudara terdekat kepada rumpun atau ras Melayu itu ialah bangsa Polinesia yang tersebar secara meluas di Kepulauan Pasifik sehingga ke Pulau Hawaii, New Zealand, dan lain-lain lagi, dipercayai berasal dari Alam Melayu dan mempunyai akar bahasa yang sama, iaitu Austronesia." [Petikan dari Prof Dato Dr Wan Hashim Wan Teh, Rumpun Melayu: Teori Migrasi Dan Diaspora, hlm 18, Penerbit USIM, 2012]
Sebahagian kelompok yang bukan dari rumpun Melayu yang telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu turut diterima sebagai sebahagian daripada mereka. Kelompok ini telah sebati dengan orang Melayu melalui kesamaan pegangan agama Islam, dan kebiasaan mereka menggunakan Bahasa Melayu dan mengamalkan sebahagian adat budaya Melayu. Sebagai contoh kelompok pendakwah dan pedagang dari Hadraumaut (Yemen), Peshawar (India, sekarang Pakistan), Kerala (India), Istanbul (Turki) dan lain-lain. Mereka ini walaupun bukan dari rumpun Melayu tetapi tetap diterima sebagai orang Melayu kerana mereka merupakan penganut agama Islam yang sanggup mengenepikan sebahagian identiti tanah asal mereka untuk berasimilasi dengan penduduk Melayu setempat. 

Kesediaan kelompok minoriti Islam ini untuk 'menjunjung agama, bahasa dan budaya setempat' inilah yang membezakan mereka dengan kaum pendatang lain seperti Cina dan India yang bukan beragama Islam. Sebaliknya kaum pendatang dari Tanah Besar Cina dan India tetap mahu mengekalkan identiti tanah asal mereka. Kiblat politik dan bahasa mereka ketika itu masih merujuk kepada tanah asal mereka. Keengganan mereka berasimilasi dengan penduduk Melayu (majoriti dan penduduk asal Tanah Melayu) menjadikan mereka tetap dikira sebagai bangsa pendatang ketika itu, walaupun telah bermastautin berpuluh-puluh tahun di Tanah Melayu. 

Sebaik sahaja Tanah Melayu merdeka, tiada lagi istilah Melayu Anak Jati, Melayu Anak Dagang atau Melayu Peranakan. Semua mereka telah diterima sebagai orang Melayu tanpa mengira apa jua asal usul dan keturunan mereka. Mereka menikmati hak istimewa orang Melayu sepertimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (hari ini Malaysia, sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu). Sementara kaum pendatang bukan Islam dari kaum Cina dan India pula telah menikmati taraf kewarganegaraan melalui prinsip 'Jus Soli' dalam Perkara 170 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (peruntukan sementara ini telah dimansuhkan) dan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dalam Perkara 3(1) dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Keistimewaan atau 'give and take' ini merupakan sebahagian daripada kontrak sosial dalam Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia).

Bagi sebahagian kaum Cina dan India yang beragama Islam di Tanah Melayu sebelum merdeka yang masih mahu mengekalkan identiti tanah asal (bahasa dan budaya) nenek moyang, mereka tidak dipaksa untuk menisbahkan diri mereka sebagai orang Melayu. Selepas merdeka, mereka boleh terus dikenali sebagai kaum Cina Muslim atau India Muslim yang memegang status bukan Melayu dan Bumiputera.

Selepas merdeka juga, kaum Cina dan India telah diberikan kebebasan untuk mengadakan sekolah vernakular berasaskan kaum mereka seperti SRJK Cina dan Tamil. Tidak ada sebuah pun negara di dunia seperti Malaysia di mana kerajaan memberikan bantuan kewangan yang banyak setiap tahun kepada sekolah vernakular sebegini.
Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu Melayu silam yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Pattani (sekarang di bawah Thailand).  - Gambar hiasan dari filem Langkasuka

Berbalik kepada polemik isu identiti orang Melayu, anggapan sesetengah pihak bahawa Melayu juga merupakan golongan pendatang adalah tidak benar jika mereka mengkaji dan memahami sejarah peradaban, antropologi, adat budaya serta kajian saintifik (arkeologi dan genetik) Melayu. Manusia dari rumpun Melayu sudah mendiami benua Sunda sejak 60 ribu hingga 70 ribu tahun yang lalu. Rumpun inilah yang membentuk identiti dominan bangsa Melayu di Malaysia hari ini. Kajian mtDNA oleh pakar genetik Universiti Oxford, Dr Stephen Oppenheimer dan beberapa penyelidik lain telah mengesahkan bahawa nenek moyang orang Melayu ialah penduduk asal negara ini (Tanah Melayu/Malaysia) dan telah mendiaminya sejak lebih 25 ribu tahun yang lalu. 

Pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati bahawa masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang mendiami Benua Sunda adalah merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum (rumpun) Melayu hari ini.


Fakta sejarah moden juga membuktikan bahawa wilayah atau Tanah Melayu sebelum berlakunya penjajahan adalah merangkumi Semenanjung Tanah Melayu (dari Segenting Krai di Selatan Thai hinggalah ke Singapura), Kepulauan Lingga-Riau, Pantai Timur Sumatera, sebahagian Jawa Barat dan sebahagian kepulauan Borneo/Brunei.

 
Keratan laporan akhbar Berita Harian bertarikh 4 Ogos 2011 bertajuk "Melayu Kelantan 60,000 tahun: Kajian USM dapati sub-etnik penduduk paling asal di Semenanjung". 

Lebih lama dari itu ialah fakta sejarah terkenal mengenai Srivijaya, sebuah empayar maritim etnik Melayu purba yang agung berpusat di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-7 hingga ke-14. Bahkan sebelumnya, beberapa kerajaan Melayu awal sudah bertapak di Tanah Melayu seperti Gangga Negara di Perak (kurun ke-2 hingga kurun ke-11), Langkasuka di Pattani (kurun ke-2 hingga kurun ke-14), Pan Pan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu (kurun ke-3 hingga kurun ke-5) dan Kedah Tua (kurun ke-5 hingga kurun ke-14). 

Sebahagian pengkaji sejarah percaya bahawa kerajan terawal etnik Melayu sebenarnya ialah Kerajaan Melayu Funan. Kerajaan ini telah muncul sejak awal kurun pertama yang berpusat di hilir Sungai Mekong. Pemerintahan Kerajaan Melayu Funan meliputi selatan Vietnam, Lembah Tengah Mekong, Lembah Chao Phraya dan Semenanjung Tanah Melayu. Para pengkaji ini mempunyai bukti dari segi manuskrip dan arkeologi, bahawa kerajaan tersebut bukan sahaja didirikan oleh etnik Melayu malah golongan elit Funan merupakan pengasas kepada kerajaan-kerajaan Melayu purba lain seperti Pan Pan dan Srivijaya.

Peta Kerajaan Melayu Srivijaya yang kini sebahagian menjadi wilayah Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Selepas kejatuhan Srivijaya, muncul Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada awal kurun ke-15. Parameswara merupakan keturunan pemerintah Kerajaan Melayu Srivijaya yang berasal dari Palembang, Sumatera. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa Palembang ialah wilayah etnik Melayu sama seperti Semenanjung Tanah Melayu dan wilayah-wilayah etnik Melayu lain. Tidak timbul dakwaan kononnya orang Melayu ini pendatang dari Sumatera kerana sebelum adanya persempadanan negara bangsa seperti hari ini, kawasan itu juga merupakan wilayah orang (etnik) Melayu. Orang Melayu (genetik etnik Melayu) bukan saja wujud di Sumatera, tetapi mereka juga sudah lama mendiami kawasan-kawasan di Semenanjung Tanah Melayu seperti Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu sejak puluhan ribu tahun dahulu lagi. 

Orang Melayu sifatnya suka berhijrah, bermigrasi, merantau dari satu tempat ke satu tempat yang lain terutama dalam wilayah mereka seperti orang Melayu di seberang Sumatera, Jawa Barat berlayar merentasi ke negeri-negeri Pantai Barat di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga pergerakan antara orang Melayu di Kelantan ke wilayah Melayu di Pattani atau sebaliknya. Wilayah-wilayah asal Melayu itu hanya dipisahkan akibat daripada penjajahan dan perjanjian-perjanjian pihak penjajah seperti Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Perpecahan sempadan wilayah Melayu inilah menyebabkan ramai mereka yang tidak celik sejarah ini menyangka Melayu itu pendatang dari Sumatera (kerana Parameswara dari Palembang) dan majoriti orang Pattani itu bukan orang Melayu.

Dakwaan bahawa Melayu adalah golongan pendatang sama seperti kaum Cina dan India tidak benar kerana wilayah etnik keturunan atau kaum Melayu itu sendiri sangat luas. Ia merangkumi bukan sahaja Malaysia bahkan sebahagian wilayah Thailand dan Indonesia hari ini. Malah, hakikatnya ia lebih luas lagi jika merujuk kepada rumpun Melayu iaitu yang terdapat seluruh Pentas Sunda dan wilayah-wilayah sekitarnya termasuk di Filipina, negara-negara Indo-China dan Taiwan.

Janganlah mempersoalkan nilai kemelayuan seseorang biarpun nenek moyang mereka berasal dari Pulau Jawa, Sulawesi, Kerala, Nanning, Hadramaut, Peshawar atau Istanbul! Nilai kemelayuan mereka telah diiktiraf dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan penerimaan oleh masyarakat Melayu setempat sejak sebelum kita merdeka lagi. Halnya kerana kesanggupan dan kesediaan mereka berasimilasi dengan menjunjung agama, bahasa dan budaya Melayu! Namun jangan pula menafikan bahawa kaum atau keturunan Melayu yang jati itu tidak wujud! Keturunan atau genetik tulen Melayu yang bukan hasil daripada asimilasi atau pengiktirafan Perlembagaan telah lama wujud di negara ini sejak puluhan ribu lamanya dan telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Sebenarnya konsep bangsa Melayu di Malaysia lebih merujuk kepada identiti budaya anak watan atau tanahair (penduduk asal) serta ikatannya kepada agama Islam. Konsep ini tidak sama seperti konsep perkauman sempit yang hanya bersifat keturunan, ras dan etnik semata-mata. Konsep bangsa Melayu yang dinamik sebeginilah bertepatan dengan konsep 'asobiyyah' (dengan maksud yang baik dan asas pembinaan tamadun) yang dinyatakan oleh sarjana Islam agung, Ibnu Khaldun RH dalam kitabnya, Al Muqaddimah. Uniknya di Malaysia, keturunan Jawa, Sunda, Bugis, Melanau, Kadazan-Dusun, Bajau, Arab, India-Muslim dan pelbagai lagi suku kaum akan dikenali sebagai orang Melayu sekiranya mereka beragama Islam dan sanggup berasmilasi dengan bahasa dan budaya etnik Melayu. Berbeza pula di Indonesia, orang Melayu merupakan suku kaum yang berbeza dari suku-suku kaum tersebut. Suku Melayu ialah suku bangsa Indonesia yang keempat terbesar selepas Jawa, Sunda dan Tionghua.

Apapun hakikatnya semua suku bangsa dan etnik pribumi sebahagian besar rantau Asia Tenggara seperti Kepulauan Melayu atau "Malay Archipelago" (seluruh Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, Singapura dan Filipina) dan sebahagian kawasan di Indo-China (Vietnam dan Kemboja) merupakan rumpun atau ras Melayu. Begitu juga penduduk pribumi di Pulau Taiwan dan Pulau Malagasi (Madagascar), mereka juga merupakan rumpun dan ras Melayu.