Sabtu, 18 April 2009

Dr. Mahathir dan Teguran Ulama

Beberapa hari lepas, beberapa sahabat saya telah menghentam saya kerana mempertahankan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa mereka tidak memberikan ruang untuk kritikan dan teguran kepada pentadbiran beliau. Kononnya di zaman pentadbiran Pak Lah dahulu jauh lebih terbuka berbanding era Dr. Mahathir. Di antara mereka ada yang sangat agresif menyerang Dr. Mahathir sehingga sanggup mengada-adakan cerita dan memfitnah negarawan itu.

Sebagai salah seorang yang sangat dekat dengan pemikiran dan aspirasi Dr. Mahathir, saya tidak teragak-agak membela tokoh yang sangat berjasa kepada agama, bangsa dan negara itu. Saya juga tidak sesekali akan membenarkan perbuatan terkutuk oleh mereka yang ‘jahil’ itu terus berlaku, kerana adalah menjadi suatu dosa besar bagi saya menghaqkan yang bathil dan membathilkan yang haq. Pun begitu bukanlah maksud saya mendewa-dewakan mantan Perdana Menteri Malaysia keempat itu ke tahap maksum atau tidak pernah melakukan kesalahan. Waiyyazubillah.

Benarkah Tun Dr. Mahathir sangat tertutup kepada kritikan dan teguran, bersifat diktator dan langsung tidak mahu mendengar pandangan orang lain terutama alim ulama?

Kali ini saya tidak mahu menulis panjang, untuk menjawab persoalan itu cukup saja dengan memetik sebahagian daripada wawancara bersama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22 Februari 2009:
WARTAWAN MM: Sepanjang 24 tahun menjadi Mufti, adakah cacian dan kejian kali ini paling teruk ke atas Datuk?

HARUSSANI: Ini adalah antara yang paling teruk. Sebelum ini ada beberapa isu antaranya apabila saya mengharamkan acara Sure Heboh, mengharamkan sambutan kongsi raya dan juga isu murtad. Ketika itu, saya dikecam hebat termasuk oleh golongan atasan dalam kerajaan.

Saya anggap apa yang terjadi itu sebagai takdir. Apa yang saya buat adalah semata-mata untuk tegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Adalah tugas saya sampaikan yang hak walaupun ia pahit. Saya lakukan semua itu bukan untuk kepentingan diri. Dalam kebanyakan kes, saya hanya berseorangan. Tidak ada pun ulama lain bangkit menyokong saya. Adalah sesekali saya dipuji kerana kenyataan atau tindakan saya. Itu sahaja. Tetapi bukan itu yang saya minta.

Sebagai Mufti, adalah tugas dan kewajipan saya menyampaikan. Soal terima atau tidak itu hal lain.

Sepanjang berkhidmat, saya cuma tidak pernah berjumpa dua Perdana Menteri (PM) iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman al-Hajj dan Allahyarham Tun Hussein Onn. Yang lainnya, saya ada berjumpa dan memberi nasihat mengikut apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-sunnah.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya, banyak yang saya tegur beliau ikut. Apabila beliau meletak jawatan sebagai PM, beliau menghantar surat ucapan terima kasih kerana banyak membantu sepanjang perkhidmatan sebagai PM.

Ada juga yang dakwa saya mencari publisiti. Saya nak maklumkan sejak tahun 1967 iaitu semasa saya bertugas sebagai Kadi Besar di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, suara saya sudah kedengaran melalui media. Begitu juga dalam Forum Perdana Ehwal Islam, saya antara ahli panel yang awal menyertainya pada tahun 1970-an.


1 ulasan:

  1. salam.
    hari ini saya betul2 marah kerana ada blog yang sangat kurang ajar dengan menghina Tun Dr Mahathir.
    Saya ingin memohon penulis blog ini membantu saya menjelaskan kepada blog terbabit perihal sebenar tun dr mahathir.
    saya tidak sanggup melihat komen2 yg diberikan dalam web itu.
    ini ialah link ke web tersebut.
    http://kerajaanrakyat.com/?p=6590

    BalasPadam