Seorang sahabat mengeluh kepada saya,
“Bila kita ajak mereka kepada kebaikan dengan perbincangan, nasihat dan teguran
berbentuk agama, ramai yang persoalkan siapa kamu, lulusan agama ke, pernah
sekolah agama atau arab ke? Kalau tak ada, tak payah sibuk-sibuk cakap pasal
agama, mengalahkan ustaz dan ulama!”
Saya sendiri sudah acapkali mengalami
situasi ini, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang hanya kuat semangat
agamanya tetapi jahil dan jumud pemikirannya. Termasuk yang jahil dan jumud ini
ialah sebahagian golongan yang berlatarbelakangkan pengajian Islam sendiri!
Saya katakan mereka ini jahil dan jumud
kerana mereka tidak memahami ajaran Islam sebenar yang bersumberkan al Quran
dan hadis-hadis shahih serta contoh dari salafussoleh. Mereka ini lebih banyak
taqlid membuta tuli kepada ustaz, tok guru dan ulama mereka sahaja. Apa
yang berbeza dengan kotak pemikiran yang diajar oleh kelompok ikutan mereka itu
ditolak sekalipun ia adalah suatu kebenaran yang nyata.
Saya ingat lagi semasa berlaku kegawatan
politik berikutan pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr. Mahathir pada tahun 1998,
saya ada mempersoalkan kepada abang saya tentang kredibiliti Umi Hafilda Ali
yang membawa cerita salah laku seksual Anwar sehingga menjadi punca krisis itu.
Waktu itu saya masih muda remaja, barangkali masih kurang pemahaman agama yang
memungkinkan saya agak terpengaruh dengan kata-kata lebai-lebai politik yang
menyerang peribadi pembawa cerita yang didakwa seorang yang fasik kerana tidak
menutup aurat. Abang saya lantas berhujah dengan kata-kata Saidina Ali r.a.
yang berbunyi:
لا تنظروا إلى من قال انظروا إلى ما قال
Bermaksud: “Janganlah kamu melihat
kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan." [Al-‘Ajluni al-Jarrahi
al-Dimasqy, Isma'il bin Muhammad. 1351H/1931. Kasyfu al-Khafa' wa Muzil
al-Ilbas 'Amma Isytahara min al-Ahadits 'ala al-Sinah al-Naas. Jil.2, hlm. 363. Kaherah: Al-Maktabah al-Quds]
Itulah kata-kata yang masih saya ingat
walaupun sudah 10 tahun berlalu. Kini saya bukan seperti dulu, saya sudah kenal
kebenarannya dan saya juga sudah faham kata-kata itu. Apatah lagi, dalam
perjalanan hidup sehari-harian, sepanjang usaha murni menyampaikan dakwah dan
perjuangan menegakkan agama Allah, saya turut menghadapi cemuhan dan sindiran
yang mempersoalkan kredibiliti saya dalam membicarakan isu agama dan politik.
Ia lebih kurang apa yang berlaku terhadap sahabat saya tadi.
Allah Taala berfirman:
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu
menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah
sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku
tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah
al Maidah: 8]
Menegakkan
keadilan di sini termasuklah mengatakan sesuatu kebenaran sebagai kebenaran dan
sanggup menerimanya sekalipun ia dari musuh atau orang yang dibenci. Begitu
juga dalam menyatakan sesuatu kebathilan sebagai kebathilan dan menolaknya,
sekalipun ia dari sahabat atau orang yang dicintai.
Di
sana terdapat suatu kisah yang masyhur dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Imam al Bukhari bahawa sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. telah diajarkan oleh
syaitan untuk membaca ayat Kursi sebelum tidur supaya mendapat penjagaan dari
Allah sehingga ke pagi hari. Setelah beliau menyampaikan hal tersebut kepada
Nabi, baginda s.a.w. bersabda, “Dia jujur mengkhabarkan kebenaran kepadamu,
padahal dia (syaitan itu) adalah pendusta.”
Rasulullah
s.a.w. yang merupakan insan yang kamil, contoh terbaik umat manusia sendiri
boleh menerima kebenaran dari sejahat-jahat makhluk yakni syaitan, mengapa pula
ada kalangan masyarakat kita yang bukan pun sesempurna Nabi s.a.w. terlalu
mudah menolak kebenaran dari saudara seagama hanya kerana beralasan saudaranya
bukan berlatar belakangkan pengajian agama, ustaz atau ulama, dan tidak layak
menasihat, menegur atau berbicara isu agama.
Ingatlah
Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata:
لا تعرف الحق بالرجال
بل اعرف الحق تعرف أهله
Bermaksud: “Janganlah
mengenal kebenaran itu berdasarkan individu-individu tertentu, tetapi kenalilah kebenaran itu,
(nescaya) engkau akan mengenal pemiliknya." [Al-Ghazzālī, Abu
Hāmed Muhammad ibn Muhammad. 1967. Al-Munqidh min
al-Dalāl wa-al-Mawṣil ilá dhī al-ʻIzzah wa-al-Jalāl. Edisi
ke-7, hlm. 87.Beirut: Dar
al-Andalus lil-Tiba'ah wa-'l-Nashr]
Seorang
lagi sahabat Nabi bernama Ibn Mas’ud r.a. ada berkata:
من جاءك بالحق فاقبل
منه، وإن كان بعيداً بغيضاً، ومن جاءك بالباطل فاردّد عليه، وإن كان حبيباً قريباً
Bermaksud: “Barangsiapa
yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu darinya,
meskipun ia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang
kepadamu dengan kebathilan maka tolaklah, meskipun ia adalah orang yang
dicintai dan dekat.” [Abū Nuʻaym
al-Iṣbahānī, Aḥmad ibn ʻAbd Allāh. 1416H/1996. Hilyat al-Awliyāʼ
wa-Tabaqāt al-Asfiyāʼ. Jil.1, hlm. 134. Beirut: Dar al-Fikr]
Kepada
sahabat saya, janganlah bersedih dengan gelagat mereka yang jahil dan jumud,
yang mempertikaikan kredibiliti kita dalam menyeru kepada agama Allah.
Ketahuilah banyak dalil-dalil dari al Quran, hadis dan kata-kata sahabat Nabi
yang boleh membuka mata hati mereka seperti yang saya petik tadi. Bacakan dan
terangkanlah kepada mereka, teruslah menyeru mereka dengan penuh hikmah,
nasihat yang baik dan sedia berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling
baik. Mudah-mudahan diberikan hidayah oleh Allah kepada mereka. InsyaAllah.
Beberapa hari lepas, beberapa sahabat saya telah menghentam saya kerana mempertahankan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa mereka tidak memberikan ruang untuk kritikan dan teguran kepada pentadbiran beliau. Kononnya di zaman pentadbiran Pak Lah dahulu jauh lebih terbuka berbanding era Dr. Mahathir. Di antara mereka ada yang sangat agresif menyerang Dr. Mahathir sehingga sanggup mengada-adakan cerita dan memfitnah negarawan itu.
Sebagai salah seorang yang sangat dekat dengan pemikiran dan aspirasi Dr. Mahathir, saya tidak teragak-agak membela tokoh yang sangat berjasa kepada agama, bangsa dan negara itu. Saya juga tidak sesekali akan membenarkan perbuatan terkutuk oleh mereka yang ‘jahil’ itu terus berlaku, kerana adalah menjadi suatu dosa besar bagi saya menghaqkan yang bathil dan membathilkan yang haq. Pun begitu bukanlah maksud saya mendewa-dewakan mantan Perdana Menteri Malaysia keempat itu ke tahap maksum atau tidak pernah melakukan kesalahan. Waiyyazubillah.
Benarkah Tun Dr. Mahathir sangat tertutup kepada kritikan dan teguran, bersifat diktator dan langsung tidak mahu mendengar pandangan orang lain terutama alim ulama?
Kali ini saya tidak mahu menulis panjang, untuk menjawab persoalan itu cukup saja dengan memetik sebahagian daripada wawancara bersama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22 Februari 2009: WARTAWAN MM: Sepanjang 24 tahun menjadi Mufti, adakah cacian dan kejian kali ini paling teruk ke atas Datuk?
HARUSSANI: Ini adalah antara yang paling teruk. Sebelum ini ada beberapa isu antaranya apabila saya mengharamkan acara Sure Heboh, mengharamkan sambutan kongsi raya dan juga isu murtad. Ketika itu, saya dikecam hebat termasuk oleh golongan atasan dalam kerajaan.
Saya anggap apa yang terjadi itu sebagai takdir. Apa yang saya buat adalah semata-mata untuk tegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Adalah tugas saya sampaikan yang hak walaupun ia pahit. Saya lakukan semua itu bukan untuk kepentingan diri. Dalam kebanyakan kes, saya hanya berseorangan. Tidak ada pun ulama lain bangkit menyokong saya. Adalah sesekali saya dipuji kerana kenyataan atau tindakan saya. Itu sahaja. Tetapi bukan itu yang saya minta.
Sebagai Mufti, adalah tugas dan kewajipan saya menyampaikan. Soal terima atau tidak itu hal lain.
Sepanjang berkhidmat, saya cuma tidak pernah berjumpa dua Perdana Menteri (PM) iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman al-Hajj dan Allahyarham Tun Hussein Onn. Yang lainnya, saya ada berjumpa dan memberi nasihat mengikut apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-sunnah.
Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya, banyak yang saya tegur beliau ikut. Apabila beliau meletak jawatan sebagai PM, beliau menghantar surat ucapan terima kasih kerana banyak membantu sepanjang perkhidmatan sebagai PM.
Ada juga yang dakwa saya mencari publisiti. Saya nak maklumkan sejak tahun 1967 iaitu semasa saya bertugas sebagai Kadi Besar di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, suara saya sudah kedengaran melalui media. Begitu juga dalam Forum Perdana Ehwal Islam, saya antara ahli panel yang awal menyertainya pada tahun 1970-an.
Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan,
Pejabat Menteri Besar Kelantan,
Tingkat 1, Blok 1,
Kota Darulnaim,
15502 Kota Bharu,
Kelantan Darul Naim.
Menemui Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Menteri Besar
Assalamualaikum WR WB.
Yang Amat Berhormat,
Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah membaca dan meneliti surat terbuka YAB Tuan Guru kepada YB Nga Kor Ming, ADUN Pantai Remis, Perak seperti yang telah disiarkan dalam blog rasmi YAB Tuan Guru (www.blogtokguru.com). Saya juga dengan rasa rendah diri terpanggil untuk mengulas beberapa perkara yang dinyatakan oleh YAB Tuan Guru dalam surat tersebut.
Pertamanya, saya ingin menyatakan bahawa saya berkongsi impian bersama YAB Tuan Guru berkenaan harapan agar lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, Iban dan Kadazan tampil menjadi qari, ustaz, khatib dan imam di seluruh negara.
Saya juga menyokong saranan YAB Tuan Guru supaya langkah-langkah permulaan ke arah mengembalikan kegemilangan Islam di zaman lampau melalui penganjuran seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana yang melibatkan pelbagai pihak dan di pelbagai tempat.
Saya ingin mengulas sedikit kepada kenyataan YAB Tuan Guru yang terharu dengan keluhan YB Nga Kor Ming yang kesal kerana dia mendakwa kononnya dihalang untuk mengenali Islam dan al Quran melalui kitab tersebut. Walaupun saya menghormati reaksi YAB Tuan Guru terhadap isu ini, saya memilih untuk tidak bersetuju dan menyanggah beberapa pendirian YAB Tuan Guru dengan penuh beradab. Berikut adalah pandangan saya:
1. YB Nga tidak sepatutnya kesal atau kecewa apabila dia dikecam kerana mempergunakan ayat suci al Quran dalam ceramah politik kerana dia sendiri telah memilih untuk melakukan tindakan yang boleh mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.
2. Untuk pengetahuan, YB Nga telah beberapa kali menyalah petik nama surah dan bacaan ayat al Quran dibuat secara caca merba. Dia tidak akan dikecam sekiranya lebih berhati-hati dan cermat dalam memetik ayat suci al Quran, sebaliknya dia langsung tidak pernah memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya itu.
3. YB Nga mendabik dada mendakwa dia faham dan hafal ayat suci yang dibacanya padahal sebutan nama surah dan bacaan pun jelas sekali tidak betul.
4. Mengenali Islam dan al Quran bukanlah dengan cara memetik ayat al Quran secara caca merba dalam ceramah politik. Jika demikianlah cara bukan Islam mengenali Islam, maka ruang harus dibuka seluas-luasnya supaya mana-mana individu yang berminat memeluk Islam dibenarkan memetik atau melafazkan apa saja ayat secara tunggang langgang, mereka-reka nama surah dan membuat apa saja yang mereka mahu dari ayat suci al Quran.
5. Wujud kesangsian terhadap niat sebenar YB Nga dalam mempergunakan ayat al Quran kerana jika betul dia ikhlas mengkaji al Quran dan Islam, dia tidak akan sewenang-wenangnya melafazkan ayat al Quran tanpa diselidiki ketepatannya. YB Nga bukan melakukannya sekali, tapi beberapa kali dalam ceramahnya yang mana didapati semuanya tidak betul.
6. YB Nga seorang Kristian yang mengaku memahami dan menghafal ayat 90 Surah an Nahl tetapi berlawanan dengan realiti sebenar kerana pada hakikatnya dia tidak faham dan hafal ayat Allah tersebut, jauh sekali dari beriman dengannya. Apakah dia ikhlas untuk mengkaji al Quran dan Islam jika demikian atau dia sekadar memperalat ayat suci untuk menarik sokongan orang ramai terhadapnya?
7. Kesangsian terhadap tindak-tanduk YB Nga itu berasas kerana wujud kontradiksi kata-kata YB Nga dengan realiti sebenar seperti tersebut di atas, apatahlagi Allah Taala ada berfirman:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. Orang-orang yang telah kami beri Al-kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” [Surah al Baqarah: 120-121]
Di sini juga, saya ingin memperbetulkan kesilapan fakta sejarah Islam oleh YAB Tuan Guru dalam surat kepada YB Nga tersebut. Sebenarnya bukanlah Jenghiz Khan yang berperanan mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi cucunya Hulagu Khan.
Akhir kalam saya ingin memohon maaf sekiranya surat terbuka saya ini menyinggung perasaan YAB Tuan Guru. Apapun saya percaya atas prinsip keterbukaaan dalam kepimpinan, YAB Tuan Guru sedia menerima perbezaan pendapat dari orang kebanyakan asalkan ia masih dalam batasan syarak. Ibnu Mas’ud r.a. pernah berkata:
Maksudnya: “Barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu darinya, meskipun ia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebatilan maka tolaklah, meskipun ia adalah orang yang dicintai dan dekat.”
Sekian, terima kasih.
*SAMPAIKANLAH DARI NABI WALAUPUN SATU AYAT *
(IBNU HUSSIN AL KELANTANI)
Orang biasa merangkap penulis blog
http://www.mfundamentalist.blogspot.com
“Mereka sudah hilang sesat ajaran. Saya walaupun seorang Kristian tapi saya faham, hafal juga Surah Audah ayat ke-90… inna a’lah ya’muru bi adli wa ihsan… maksudnya Allah menyuruh kita berlaku dengan adil dan penuh belas kasihan.”*
Itulah antara ucapan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu ceramah Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini.
FAKTA…
1. Tidak ada satu surah pun bernama Surah Audah.
2. Lafaz dan intonasi ayat al Quran itu jelas tidak betul dan menyeleweng. Ayat sebenar adalah Surah an Nahl, ayat 90:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan ihsan (berbuat kebajikan), memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”
3. Seorang pemimpin besar DAP Perak yang tidak beriman dengan ayat Allah tetapi mengaku faham dan hafal ayat al Quran padahal langsung tidak betul nama surah dan bacaannya.
CERITANYA…
Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang menggesa supaya isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan. “Apa yang berlaku ialah intonasi dia dan cara sebutan tersalah. Itu bukannya isu besar...kalau salah betulkanlah. Kalau salah baca dan terus suruh hentikan, bila seseorang itu nak fasih dan nak jadi pandai?," katanya.
FAKTA…
1. Dalam satu rakaman video ceramah di Bukit Gantang (http://www.youtube.com/watch?v=GsBzrYfPf3U), Kor Ming telah memetik ayat al Quran secara caca-merba dan tersalah menyebut nama surah. Walaupun begitu, ucapan Kor Ming telah disambut dengan laungan takbir oleh penyokong-penyokong Pas, malah kedengaran suara seorang penyokong berloghat Kelantan menjerit “UMNO tok leh baco! (pemimpin UMNO tak boleh baca)”. *Transkrip ucapannya seperti di atas.
2. Sementara dalam ceramah lain di Bukit Gantang juga seperti disiarkan rakamannya oleh Buletin Utama (http://www.youtube.com/watch?v=fD4iZpZb9-Q), sekali lagi pemimpin DAP itu menggunakan ayat al Quran yang sama untuk menarik perhatian pendengarnya. Berikut adalah transkripnya:
“Mengikut surah audah ayat ke-90, innama a’lah ya’muru bi adli wa ihsan... Betul tak? Sesungguhnya Allah menyuruh kita berlaku dengan adil dan penuh belas kasihan...”
Ucapan itu telah disambut dengan tepukan gemuruh oleh para penyokongnya termasuk yang beragama ama Islam. Kedengaran juga suara-suara yang mengiyakan bacaan dan terjemahan yang dibuat oleh Nga Kor Ming.
3. Tidak ada pemimpin atau penyokong Pas dan PKR yang beragama Islam menegur bekas exco Perak itu dalam kedua-dua ceramah. Kenapa? Jika ada yang menegur, kenapa pula Kor Ming terus menerus mengulangi kesilapannya? Para penyokong pembangkang termasuk Pas juga menunjukkan reaksi teruja dan kagum dengan Nga Kor Ming walaupun salah petik ayat al Quran!
RENUNGILAH…
1. Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia baru-baru ini telah memutuskan tindakan orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi tujuan kempen politik merupakan cubaan mempersenda kesucian dan keagungan kitab suci itu. Pada masa yang sama, semua umat Islam terutama ahli-ahli politik juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan kitab suci al-Quran semata-mata untuk kepentingan politik.
2. Mufti Perak, Perlis dan Selangor antara yang lantang mempertikaikan tindakan pemimpin bukan Islam menggunakan ayat al Quran secara tidak betul dalam kempen politik mereka.
3. Allah Taala berfirman:
“Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam. [Surah an Nisaa’: 140]
“Apa salahnya pemimpin DAP petik ayat al Quran dalam ceramah mereka? Bukankah itu tandanya mereka semakin dekat dengan agama Islam. Kita patut lihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif. Inilah kejayaan Pas dalam berdakwah sesama rakan Pakatan Rakyat,” demikian antara respon penyokong Pas apabila mengulas laporan Buletin Utama berkenaan tindakan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming menggunakan ayat al Quran dalam beberapa sesi ceramah politiknya.
“Mereka sudah hilang sesat ajaran. Saya walaupun seorang Kristian tapi saya faham, hafal juga Surah Audah ayat ke-90… inna a’lah ya’muru bi adli wa ihsan… maksudnya Allah menyuruh kita berlaku dengan adil dan penuh belas kasihan.” Itulah antara transkrip ucapan Nga Kor Ming dalam satu ceramah Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini.
Penulis telah membuat semakan dalam beberapa rujukan termasuk al Quran dan terjemahannya samada versi Bahasa Melayu dan Inggeris, versi cetakan dan perisian, berhubung petikan ayat yang dimaksudkan oleh pemimpin DAP itu. Tidak pula dijumpai sebarang surah bernama ‘audah’ dalam kitab suci al Quran, atau mungkinkah surah itu hanya wujud dalam terjemahan al Quran yang dimiliki oleh Nga Kor Ming?
Pertama kali penulis menonton rakaman ceramah Kor Ming di Youtube, penulis mengagak dia cuba memetik ayat 90 dari Surah An Nahl yang berbunyi:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan ihsan (berbuat kebajikan), memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”
Barangkali disebabkan kekekokan lidahnya yang tidak pernah mempelajari bacaan al Quran itu menyebabkan sebutan ayatnya menjadi tunggang-langgang. Bagi mereka yang beragama Islam, adalah sesuatu yang haram membaca ayat al Quran bilamana salah tajwid dan tersasar maksud asalnya. Membaca kalamullah pula bukanlah boleh dilakukan sewenang-wenangnya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dari hadas besar, dan tidak dibuat ketika berada di dalam tandas.
Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang ketika mengulas tindakan Nga Kor Ming itu telah menggesa supaya isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan.
"Apa yang berlaku ialah intonasi dia dan cara sebutan tersalah. Itu bukannya isu besar...kalau salah betulkanlah. Kalau salah baca dan terus suruh hentikan, bila seseorang itu nak fasih dan nak jadi pandai?," katanya sambil mempertahankan pemimpin DAP itu.
Memang tidak dinafikan kebenaran kata-kata pemimpin Pas itu, yang salah perlu diperbetulkan. Namun, hakikatnya kesalahan bacaan ayat al Quran oleh Kor Ming seolah-olah tidak pernah ditegur oleh orang yang berada dekat dengannya. Ini dapat dibuktikan melalui beberapa rakaman ceramahnya yang dimuatnaik di Youtube. Dalam satu rakaman tidak bertarikh (http://www.youtube.com/watch?v=GsBzrYfPf3U), Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis itu ketika berceramah di Bukit Gantang telah memetik ayat al Quran secara caca-merba dan tersalah menyebut nama surah. Walaupun begitu, ucapan Kor Ming telah disambut dengan laungan takbir oleh penyokong-penyokong Pas, malah kedengaran suara seorang penyokong mereka dengan loghat Kelantan menjerit “UMNO tok leh baco! (pemimpin UMNO tak boleh baca)”.
Sementara dalam ceramah lain di Bukit Gantang juga seperti disiarkan rakamannya oleh Buletin Utama (http://www.youtube.com/watch?v=fD4iZpZb9-Q), sekali lagi pemimpin DAP itu menggunakan ayat al Quran yang sama untuk menarik perhatian pendengarnya. Namun kali ini, petikan ayat yang dibuat lebih tunggang terbalik. Berikut adalah transkripnya:
“Mengikut surah audah ayat ke-90, innama a’lah ya’muru bi adli wa ihsan... Betul tak? Sesungguhnya Allah menyuruh kita berlaku dengan adil dan penuh belas kasihan...”
Ucapan pemimpin DAP Perak itu telah disambut dengan tepukan gemuruh oleh para penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai penganut agama termasuklah beragama Islam. Kedengaran juga suara-suara yang mengiyakan bacaan dan terjemahan yang dibuat oleh Nga Kor Ming itu.
Penulis percaya Nga Kor Ming mungkin sudah acapkali memetik ayat al Quran dan terjemahan yang sama dalam sesi ceramahnya di hadapan penyokong pembangkang yang beragama Islam. Dengan demikian, mengapakah tidak ada pemimpin atau penyokong Pas dan PKR yang beragama Islam menegur bekas exco Perak itu? Jika ada yang menegur, kenapa pula Kor Ming terus menerus mengulangi kesilapannya? Penulis agak kurang yakin ada kalangan rakan-rakan pembangkangnya berani memperbetulkan kesilapan itu. Ini adalah kerana melalui dua rakaman video sebelum ini menunjukkan reaksi teruja dan kekaguman para penyokong Pas apabila pemimpin DAP itu memetik ayat al Quran sekalipun dengan kesilapan yang ketara.
Dengan demikian, dapatlah dibuktikan bahawa kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak menasihati semua pihak supaya memperbetulkan kesalahan yang dibuat oleh mana-mana individu bukan Islam ketika membacakan ayat al Quran tidak dipraktikkan oleh pemimpin dan penyokong Pas sendiri. Cakap tak serupa bikin! Lebih teruk lagi, ada kalangan pemimpin besar Pas mempertahankan tindakan Nga Kor Ming memetik ayat al Quran secara caca-merba untuk tujuan kempen politik.
Untuk pengetahuan pembaca sekalian, Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia baru-baru ini telah memutuskan tindakan orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi tujuan kempen politik merupakan cubaan mempersenda kesucian dan keagungan kitab suci itu.
Pada masa yang sama, semua umat Islam terutama ahli-ahli politik juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan kitab suci al-Quran semata-mata untuk kepentingan politik.
KUALA LUMPUR: Mufti, pakar perundangan dan pertubuhan Islam menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, yang membaca ayat suci al-Quran dalam siri ceramahnya semata-mata untuk memancing undi pada pilihan raya kecil sebagai usaha menghina agama dan umat Islam.
Bukanlah maksud penulis untuk menghalang mana-mana individu bukan Islam memetik ayat al Quran untuk tujuan baik, tetapi apa yang penulis ingin bangkitkan di sini ialah tindakan pemimpin bukan Islam seperti Nga Kor Ming yang memperalat ayat al Quran dengan membacanya secara caca-merba perlulah ditentang kerana ia adalah suatu tindakan mempersendakan kitab suci umat Islam.
Janganlah menyangka ayat al Quran itu boleh dipetik dan dibaca sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira ketepatan sebutan dan maksudnya, hanya kerana untuk menarik perhatian orang ramai menyokong partinya. Al Quran merupakan mukjizat terbesar diturunkan oleh Allah sebagai wahyu kepada seluruh umat manusia. Melalui al Quran manusia perlu mengambil manfaat dan hidayah daripadanya. Oleh itu sejajar dengan keunggulannya, ia mestilah dibaca secara tepat dengan tujuan dan niat yang betul. Di dalam Islam setiap bacaannya merupakan satu ibadah, bukan perkara sebarangan. Renungilah firman Allah ini:
Maksudnya:“Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam. [Surah an Nisaa’: 140]
Baru-baru ini berlaku penyebaran cerita di beberapa blog dan menerusi emel yang mendakwa UMNO telah menggunakan masjid untuk tujuan politik melalui penyediaan teks khutbah Jumaat untuk dibacakan di masjid-masjid dalam Parlimen Bukit Gantang.Penulis difahamkan teks yang didakwa kononnya dikarang oleh Biro Agama UMNO Bahagian Bukit Gantang itusebenarnya adalah suatu bentuk fitnah yang direka-reka oleh pihak pembangkang. Penulis sendiri telah membuat penyelidikan dan penelitian terhadap sumber sebenar serta kandungan teks khutbah Jumaat tersebut.
Tidak dipastikan secara tepat, sama ada teks khutbah tersebut ada dibaca oleh mana-mana khatib khutbah Jumaat dalam Parlimen Bukit Gantang. Tetapi, yang dapat dipastikan tidak ada satu pun laporan dalam mana-mana media rasmi pihak pembangkang atau blog pro-pembangkang yang menyebut ia berlaku.
Menerusi dapatan (findings) yang penulis perolehi dari sumber dalaman (UMNO) dan luaran (rakan-rakan blogger), penyebaran teks khutbah tersebut adalah suatu taktik dan perang saraf pihak pembangkang dalam mempengaruhi para pengundi di Parlimen Bukit Gantang dalam usaha mencalar imej UMNO. Dengan cara tersebut, mereka berharap masyarakat akan melihat pemimpin UMNO terutama Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai seorang yang hipokrit atau cakap tak serupa bikin. Apa tidaknya, sebelum ini pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat pusat dan negeri selalu mempertikaikan tindakan pihak pembangkang terutama Pas menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik mereka, tetapi sebaliknya hari ini mereka sendiri pula secara terang-terangan bertindak sedemikian.
Jika benarlah ia adalah perbuatan Biro Agama UMNO Bahagian Bukit Gantang, jelas sekali ia merupakan tindakan mengeksploitasi khutbah Jumaat sebagai medium propaganda dan kempen parti itu. Pasti ia merupakan suatu bentuk penyalahgunaan masjid dan bertentangan dengan pendirian parti itu sebelum ini.
Penulis cuba meneliti kandungan teks khutbah Jumaat yang kononnya ditulis oleh Biro Agama UMNO itu, dan secara jujur penulis dapati intipati dan rangkap-rangkap ayatnya jelas meragukan dan tidak mencerminkan pemahaman, pemikiran dan aspirasi sebenar pejuang UMNO.
Teks khutbah tersebut langsung tidak menyelitkan ungkapan-ungkapan yang menjadi asas dan tujuan penubuhan UMNO iaitu memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Konotasi ungkapan agama, bangsa dan negara adalah menjadi suatu kemestian dalam setiap teks ucapan rasmi UMNO terutama melibatkan biro penting seperti Biro Agama UMNO.
Pembukaan isi kandungan khutbah tersebut dimulakan dengan dengan petikan ayat 59, Surah an Nisa’:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) Rasulullah. Jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya.”
Pengarang teks khutbah itu kemudiannya menghuraikan ayat itu seperti berikut:
“Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa umat islam wajib mentaati Allah, juga mentaati Rasulullah dan pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Dalam konteks negeri Perak iaitu negeri kita ini, maka ulil amri yang dimaksudkan ialah Sultan. Ini adalah kerana Sultanlah yang menjaga urusan agama, Sultanlah yang menentukan tarikh puasa dan hari raya, Sultanlah yang meluluskan enakmen pentadbiran agama dan Sultanlah yang melantik mufti, para imam dan memberi tauliah mengajar. Oleh itu, kita tidak boleh menderhakai Sultan dan pemimpin-pemimpin negara terutama pemimpim-pemimpin UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara. Sesiapa yang menderhakai Sultan dan pemimpin negara, maka dia telah melanggar dan menyalahi rukun negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara. Penderhaka atau bughah menurut hukum hudud Islam halal darah mereka untuk diperangi.”
Ternyata pengarang tersebut tidak mendasari pemahaman sebenar UMNO dalam hal ketaatan kepada pemerintah. UMNO yang berpegang kepada agama Islam yang menjadi pengikat kepada perjuangan kebangsaan Melayunya sesekali tidak meninggalkan pedoman syariat yang berlandaskan kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ketaatan kepada selain dari Allah dan Rasul-Nya bukanlah sesuatu yang mutlak. Memang kita diwajibkan taat kepada pemerintah atau ulil amr dalam perkara yang kita suka atau benci, sebaliknya kita ditegah dari mentaati mereka dalam perkara maksiat atau dosa. Inilah prinsip dan aturan yang dipegang oleh pejuang-pejuang UMNO yang tulen selama ini. Ia dibuktikan melalui sejarah, di mana pejuang-pejuang awal yang menubuhkan UMNOlah yang bangkit menentang tindakan sultan-sultan dan raja Melayu yang didesak oleh British supaya menandatangani Teriti Malayan Union. Jika mereka ini hanya taat membuta tuli kepada pemerintah yakni sultan, sudah tentu mereka tidak berani bertindak sedemikian, dengan itu tidak akan lahirlah negara Malaysia seperti hari ini.
Di antara kandungan lain teks khutbah ialah:
“Sidang Jumaat sekelian, Merujuk kepada ucapan Perdana Menteri kita baru-baru ini, janganlah kita menjadi ekstremis agama dan kaum. Ekstremis agama bererti memperalatkan agama untuk kepentingan diri sendiri. Sikap ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi Pak Turut kepada nafsu dan sanggup mengada-adakan ajaran yang bukan dari ajaran Islam. Contohilah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang telah memperkenalkan Islam Hadhari sebagai satu ajaran yang sangat menepati ajaran Islam sebenarnya.”
Pembaca yang biasa membaca blog politik atau mendengar ceramah pembangkang tentunya boleh menilai secara adil perenggan teks khutbah ini sama ada ia betul-betul dikarang oleh Biro Agama UMNO atau tidak. Ini adalah disebabkan ayat-ayat tersebut seolah-olah menyindir mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang selalu ditohmah oleh Pas mengada-adakan ajaran baru atau bid’ah dalam agama melalui pengenalan Islam Hadhari. Inilah lenggok bahasa pemimpin dan penyokong Pas dalam ceramah dan penulisan mereka, dan ia bukan gaya olahan lidah rasmi UMNO dalam menghuraikan konsep dan pendekatan Islam Hadhari.
Pada halaman terakhir teks khutbah tersebut:
“Hadith ini mengajar tentang erti keimanan. Iman bukan hanya sembahyang dan puasa tetapi sifat patriotik terhadap negara juga adalah juga sebahagian dari iman. Negara kita pernah dijajah sejak tahun 1511 lagi. Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, semuanya telah dihalau dari bumi tanah air kita melalui semangat patriotik dan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpin Melayu kita. Itulah jasa besar mereka, itulah jihad mereka. Perkara ini telah dipertegaskan oleh Menteri Pelajaran Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn, baru-baru ini bahawa sejarah telah menyaksikan hanya pemimpin-pemimpin UMNOlah sahaja yang bertungkus lumus memerdekakan tanah air kita. Oleh itu, marilah kita terus memperteguhkan perjuangan Melayu dengan menyokong dan mengundi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya yang sedang berlangsung ini.”
Kata-kata "حب الوطن من الايمان" yang bermaksud “Cintakan tanahair adalah sebahagian dari iman,”seperti yang dipetik dalam teks khutbah tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang shahih untuk disabitkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ungkapan tersebut adalah kata-kata alim ulama yang sering disalahfahami kononnya ia bersumber daripada sabda Rasulullah s.a.w. Namun, bukanlah maksud penulis untuk menafikan keabsahan pengertian ungkapan tersebut.
Memang benar, semangat kecintaan kepada tanahair dalam bentuk patriotisme dan nasionalisme yang disempadani syariat Islam, merupakan sebahagian dari ajaran Islam. Sirah Nabi sendiri menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w. sangat dekat jiwanya dengan tanah tumpahnya iaitu Makkah semasa baginda berada di Madinah, sehingga menitis air matanya mengenangkan tanah suci itu.
Seterusnya, kandungan teks tersebut mengetengahkan kenyataan kononnya dari Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menyebut bahawa sejarah telah membuktikan bahawa hanya pemimpin-pemimpin UMNO sahajalah yang bertungkus-lumus memerdekakan negara. Pernyataan ini jelas sekali menggambarkan bahawa pengarang teks khutbah tersebut tidak langsung menghayati semangat perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional yang didukungi oleh UMNO. Umum mengetahui bahawa pendirian rasmi UMNO ialah parti itu tidak pernah sesekali menafikan sumbangan pejuang-pejuang kemerdekaan lain dari parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC, malah perjuangan mereka diiktiraf dan dihargai.
Dari mana pula sumber yang menyatakan bahawa Hishamuddin pernah memberi kenyataan yang begitu angkuh dan sombong itu. Jika ada, pasti ia telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang atau dipertikaikan oleh parti komponen lain terutama MCA yang dilihat sedikit lantang waktu ini. Jika Hishamuddin menghunus keris semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO pun diherdik dan dipertikaikan oleh mereka, inikan pula membuat kenyataan sebegitu keras dan tidak berlapik.
Ayat terakhir dalam perenggan teks khutbah itu menunjukkan ia dikarang secara cacar-merba kerana janggal sekali penulis mendengar orang mengajak mengundi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya yang sedang berlangsung, kerana lafaz yang sebenar ialah pilihanraya yang akan berlangsung. Adalah sesuatu yang jelas keterlaluan mimbar Jumaat digunakan secara terang-terangan sekiranya khatib sanggup untuk mengajak para jemaah mengundi Barisan Nasional.
Penulis ingin membukakan minda semua, apa untungnya UMNO menyediakan teks khutbah berunsur politik kepartian itu sedangkan ia jelas akan mewujudkan tanggapan buruk terhadap pendirian parti itu dalam isu membabitkan penyalahgunaan masjid yang selama ini sangat ditentang oleh mereka. Tambahan pula dari sudut pentadbiran agama Islam negeri, teks khutbah Jumaat bagi masjid-masjid seluruh negeri Perak disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Adalah menjadi sesuatu yang tidak wajar, sekiranya khatib-khatib menerima arahan atau pekeliling selain dari JAIPk untuk membaca teks khutbah lain seperti mana kandungan yang kononnya disediakan oleh Biro Agama UMNO Bahagian Bukit Gantang.
Sebagai kesimpulannya, penulis ingin menasihatkan para pembaca semua supaya tidak mudah terpengaruh dengan tindakan dan taktik pihak tertentu terutama pembangkang yang mereka-reka sesuatu cerita dengan tujuan memburuk-burukkan orang lain. Mereka ini walaupun mempunyai pengetahuan agama tetapi telah menyalahgunakan kepandaian yang ada untuk tujuan fitnah dan mengadu-domba masyarakat. Pegangilah firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan teliti (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [Surah al Hujuraat: 6]