Rabu, 25 Januari 2012

Pecat Hasan Ali - Anwarinas dan DAP Tundukkan PAS



Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali bukan nama kecil dalam dunia politik tanahair terutama dalam organisasi parti Pas, sebelum beliau dipecat dari parti tersebut pada 8 Januari lalu. Dr. Hasan pernah menjadi Naib Presiden Pas dan Pesuruhjaya Pas Selangor.

Kelantangan beliau dalam memperjuangkan isu-isu membabitkan kepentingan umat Islam tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terutama DAP.

Dr. Hasan juga memang tidak disukai oleh golongan anti-perpaduan (kerjasama UMNO-Pas) dalam Pas terutama kelompok Anwarinas atau Erdogan (label pemimpin Pas yang pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim). Nama-nama seperti Khalid Samad, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Saari Sungib, adalah di antara sebahagian pemimpin kelompok ini di Selangor.

Dr. Hasan pernah dikaitkan dengan pertemuan sulit dengan pemimpin UMNO untuk mengadakan perbincangan mengenai cadangan mewujudkan kerajaan campuran UMNO-Pas selepas Pilihanraya Umum ke-12 lalu.

Idea Kerajaan Perpaduan UMNO-Pas

Beliau juga turut didakwa pernah mengadakan perbincangan dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai kerajaan perpaduan UMNO-Pas. Tindak-tanduk Dr. Hasan ini telah menimbulkan kecurigaan di kalangan para pemimpin pembangkang terutama dari DAP dan PKR. Malah, ia turut meresahkan sebahagian pemimpin Pas yang anti kepada kerajaan perpaduan. Pemimpin-pemimpin Pas yang anti kerajaan perpaduan sebenarnya terdiri dari kelompok Anwarinas yang berselindung di sebalik bayang-bayang Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka licik dalam mengatur strategi untuk meminggirkan mana-mana pemimpin yang dilihat tidak seagenda dengan mereka. Taktik mereka ialah mempengaruhi Nik Aziz dan mempergunakan pengaruh besar Menteri Besar Kelantan itu untuk menentu hala tuju parti Pas.
Nik Aziz bersama Anwar Ibrahim. Di belakang mereka ialah dua tokoh utama Anwarinas dalam Pas iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad dan Datuk Kamaruddin Jaafar.

Umum mengetahui bahawa idea kerajaan perpaduan telah dicanangkan secara terbuka oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika perasmian Muktamar Pas ke-55 pada tahun 2009 dahulu. Akibatnya Hadi dikecam hebat oleh kelompok Anwarinas, PKR dan DAP. Malah Nik Aziz turut bersuara dengan tegas membantah idea perpaduan tersebut. Dengan pengaruh Nik Aziz, idea kerajaan perpaduan itu cuba dikambus dan pengikut Pas yang taksub dengan Nik Aziz turut menentang secara mutlak apa-apa cadangan ke arah perpaduan UMNO-Pas. Maka, tidak hairanlah ketika itu kita boleh mendengar ramai pengikut fanatik Pas berani memaki dan menghentam Presiden dan Timbalan Presiden (yang turut dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan) mereka sendiri kerana menimbulkan idea kerajaan perpaduan tersebut.

Usaha kelompok Anwarinas sebenarnya tidak berakhir di situ, individu-individu yang dilihat cenderung kepada perpaduan UMNO-Pas terus cuba dihapus atau disenyapkan. Serangan terhadap Hadi berlaku secara halus dalam parti tersebut walaupun mereka tidak berani secara terbuka untuk menyingkirkan Hadi sebagai Presiden Pas. Agenda memburuk-burukkan Hadi giat dilakukan oleh blogger-blogger Pas yang anti kerajaan perpaduan. Ahli akademik yang pro-pembangkang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sebelum pemilihan Pas tahun lalu turut menjadi suara kelompok ini dengan membuat gesaan supaya Hadi diganti oleh individu lain yang didakwa lebih layak sebagai Presiden Pas. Bagaimanapun ianya tidak berhasil, Hadi sehingga kini masih kekal sebagai Presiden Pas tanpa dicabar.
Gandingan Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa ketika Muktamar Pas Ke-57

Nasib berbeza menimpa Nasharudin Mat Isa yang gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Pas, begitu juga dengan Dr. Hasan Ali yang digugurkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor sebaik sahaja kelompok Anwarinas berjaya menguasai pemilihan parti dalam Muktamar Pas ke-57 tahun lalu. Tempat beliau telah digantikan oleh Dr. Abdul Rani Osman, seorang yang dilihat cenderung kepada kelompok Anwarinas.

Sebenarnya, Dr. Hasan tidak ditolak secara total oleh ahli-ahli Pas kerana dalam pemilihan Pas tahun lalu beliau masih mampu memenangi jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas.

Bukan lagi rahsia bahwa usaha untuk menjatuhkan Dr. Hasan bukan hanya dilakukan oleh kelompok Anwarinas dalam Pas tetapi turut didukungi oleh pemimpin-pemimpin PR dalam DAP dan PKR yang tidak menyenangi kelantangan beliau selama ini.

Kita pasti tidak melupakan beberapa peristiwa penting yang melibatkan pergeseran antara Dr. Hasan dan beberapa pemimpin PR di Selangor ketika beliau menjalankan tugas sebagai exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Rampasan Arak di Shah Alam

Peristiwa pertama melibatkan isu campurtangan yang didakwa dilakukan oleh exco kanan Kerajaan Negeri Selangor dari DAP, Ronnie Liu (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan) dalam rampasan arak yang dijual secara terbuka di Kedai 7-11 di Seksyen 8, Shah Alam pada Julai 2009. Liu dilaporkan telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas atas alasan ia berlaku disebabkan salah faham.

Untuk rekod, rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan sebelumnya yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Isu tersebut telah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu penghinaan besar terhadap umat Islam, sehingga Dr. Hasan yang ketika itu merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor mendesak supaya Liu digugurkan daripada menjadi exco kerajaan negeri atau ditukar portfolionya kerana didakwa mengganggu bidang kuasa MBSA untuk mengawal pengurusan penjualan dan aktiviti minum arak di kalangan masyarakat Islam di Shah Alam.

Ketegasan Pas Selangor di bawah Dr. Hasan dalam isu ini sekali lagi telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan para pemimpin PR termasuk kelompok Anwarinas yang khuatir ia boleh menjejaskan kestabilan kerajaan PR di Selangor dan menjejaskan sokongan bukan Islam kepada mereka.

Larangan Orang Islam Bekerja di Premis Jual Arak

Peristiwa kedua ialah keputusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mahu menguatkuasakan larangan terhadap orang Islam dari bekerja di pusat hiburan yang menghidangkan arak pada Januari 2011. Bagaimanapun exco kanan dari DAP yang merupakan pengerusi portfolio Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu kemudiannya mengarahkan MPSJ menarik balik larangan tersebut.

Sebelum itu, MPSJ memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan premis yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang melarang umat Islam bekerja dipremis-premis yang menjual alkohol. Liu berkata kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan MPSJ itu dan menghantar mesej tegas bahawa PBT terbabit “perlu berfikir sebelum bertindak.”

Berbeza dengan exco dari DAP itu, Dr. Hasan yang juga merupakan exco kanan dalam pentadbiran negeri Selangor, secara tegas dan terbuka menyokong langkah MPSJ tersebut walaupun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan campurtangan Liu.

Dalam pada ketegasannya dalam isu MPSJ ketika itu mendapat pujian dari Dewan Pemuda Pas, sekali lagi tindakan Dr. Hasan tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin utama PR di Selangor. Malah kelompok Anwarinas dalam Pas seperti Khalid Samad mempertikaikan pelaksanaan larangan tersebut dan menempelak pihak yang cuba menjuarai isu itu.

Pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama

Peristiwa ketiga ialah pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos 2011. Operasi JAIS tersebut telah mendapat kecaman dan bantahan dari bukan Islam. Bagaimanapun Dr. Hasan selaku exco yang bertanggungjawab terhadap JAIS mempertahankan tindakan yang diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS dan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Mereka bertindak berdasarkan maklumat bahawa terdapatnya kehadiran orang Islam di dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di gereja tersebut. Hasil pemeriksaan tersebut didapati terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat. Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan. Mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut. Selain daripada itu terdapat bukti-bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam terbabit.

Sekali lagi tindakan Dr. Hasan tidak disenangi oleh pemimpin utama PR Selangor. Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor yang baru, Khalid Samad yang terkenal sebagai tokoh utama Anwarinas tidak melepaskan peluang untuk menempelak pandangan Dr. Hasan dalam isu pemeriksaan JAIS ke atas GMDU itu. Khalid menegaskan bahawa pendirian Dr. Hasan tersebut bukanlah pendirian Pas Selangor.

Pergeseran di kalangan para pemimpin PR Selangor berhubung isu ini berterusan sehingga memaksa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan semua exco tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Khalid Ibrahim diperhatikan oleh Ronnie Liu

Rentetan dari ketiga-tiga peristiwa penting tersebut yang pada akhirnya secara tersurat dan tersirat menunjukkan bahawa suara untuk membela kesucian serta usaha amar makruf nahi mungkar terpaksa tunduk kepada penguasaan golongan bukan Islam dan orang Islam yang berfahaman liberal dalam Kerajaan PR Selangor.

Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah

Isu penganjuran Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 yang lalu turut memperlihatkan sejauh mana sikap kepimpinan baru Pas Selangor di bawah Dr. Abdul Rani Osman yang didominasi oleh kelompok Anwarinas. Pas Selangor telah mengeluarkan arahan melarang mana-mana ahlinya turun ke perhimpunan terbabit atas nama Pas.

Sementara itu, Khalid Samad pula mempertikaikan usaha murni HIMPUN dengan mengaitkannya dengan agenda UMNO untuk memecah-belahkan rakyat. Hakikatnya, HIMPUN tidak ada pertalian dengan UMNO dan ia digerakkan oleh NGO-NGO Islam yang sebahagian pemuka HIMPUN ini adalah pendukung kuat Pas sendiri termasuk Dr. Hasan Ali.

Dalam pada langkah Pas terutama Pas Selangor menjauhi HIMPUN, Dr. Hasan secara berani dan vokal menyeru seluruh umat Islam terutama di Selangor hadir ke perhimpunan di Stadium Shah Alam tersebut. Tindakan beliau sekali lagi tidak disenangi oleh kepimpinan PR terutama kelompok Anwarinas yang terlalu khuatir ia akan menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap Pas lantaran terlalu kemaruknya mereka terhadap kuasa politik keduniaan!

Natijahnya, Dr. Hasan tidak lagi mampu menyembunyikan kekecewaan dan kekhuatiran beliau terhadap perkembangan politik ini yang sangat berbahaya kepada umat Islam apatah lagi ia turut membabitkan persoalan akidah.

Keadaan menjadi lebih ‘panas’ apabila Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib mengumumkan bahawa Dr. Hasan berkemungkinan tidak akan menjadi calon Pas di DUN Gombak Setia pada pilihan raya umum akan datang berikutan beliau tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dari cawangan-cawangan.

Kalangan pemimpin Pas termasuk Dr. Hasan yang memahami proses pemilihan calon untuk pilihanraya sedar bahawa apa yang diungkapkan oleh Saari itu sebenarnya mendahului pucuk pimpinan Pas Pusat dan ia lebih bermotif untuk menjatuhkan kredibiliti Dr. Hasan oleh ‘parasit-parasit’ dan kelompok Anwarinas dalam Pas (termasuklah Saari Sungib).

Akhirnya Dr. Hasan meluahkan secara terbuka kekecewaan beliau terhadap Pas setelah parti itu kini diresapi anasir-anasir ‘parasit’ yang kemaruk kuasa menawan Putrajaya sehingga para pemimpinnya mengenepikan prinsip-prinsip asal perjuangan Pas.

Tidak mengejutkan apabila beliau secara berani mempertikaikan konsep 'Negara Berkebajikan' yang dilaungkan oleh Pas ketika ini sebagai ganti kepada konsep 'Negara Islam' yang ditentang kuat oleh DAP sebelum ini. Dr. Hasan secara tegas mempertahankan prinsip asal Pas untuk terus memperjuangkan konsep Negara Islam di Malaysia.

Tindakan berani Dr. Hasan telah ‘menggoncangkan’ imej Pas dan menyerlahkan kebenaran bahawa selama ini Pas terlalu banyak tunduk kepada DAP dan bukan Islam dalam perjuangan politik mereka bersama PR.

Perjanjian Hudaibiyah Bukan Kerjasama Politik

Hujah sesetengah pihak yang menyamakan sikap beralah Pas ini dengan tindakan Nabi Muhammad s.a.w. dalam Perjanjian Hudaibiyyah adalah suatu bentuk kedangkalan. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. tidak pernah bekerjasama dengan kaum musyrikin Quraisy sebaliknya hanya mengikat kata sepakat melalui perjanjian damai tersebut.

Perjanjian Hudaibiyah dilihat berat sebelah dan tidak berpihak kepada Islam mulanya oleh para sahabat r.a. bukanlah suatu bentuk kerjasama politik sepertimana Pas-DAP. Ia adalah perjanjian damai antara kaum Muslimin dengan musuhnya iaitu kaum Musyrikin Makkah. Sepanjang perjanjian itu berjalan, tiada persekutuan dibuat antara kaum Muslimin di Madinah dan kaum Musyrikin Quraisy di Makkah, sebaliknya syarat perjanjian tersebut ialah kedua-dua pihak boleh bersekutu dengan mana-mana suku.

Sejarah mencatatkan bahawa kaum muslimin telah bersekutu dengan Bani Khuzaah sementara kaum Quraisy pula bersekutu dengan Bani Bakar. Kaum Musyrikin Makkah telah mencabuli perjanjian Hudaibiyah selepas dua tahun perjanjian dimeterai, apabila mereka telah memberi bantuan senjata dan ketenteraan kepada Bani Bakar yang berperang dengan Bani Khuzaah (yang telah mengikat janji setia dengan kaum muslimin).

Jika dikaji Perjanjian Hudaibiyah ini, maka di manakah titik persamaannya antara kerjasama Pas-DAP? Barangkali lebih logik sedikit untuk mengaitkan Perjanjian Hudaibiyah itu dengan UMNO-Pas (sekiranya mereka berpendirian bahawa UMNO itu musuh Islam!)? Ironinya, tidakkah mereka boleh membuat perjanjian damai ala-Perjanjian Hudaibiyah dengan UMNO dan bersekutu pula dengan DAP?

Sebenarnya sikap mengalah Pas terhadap DAP langsung tidak boleh dijustifikasikan dengan Sunnah Nabi s.a.w. melalui Perjanjian Hudaibiyah. Mengalahnya Pas kepada DAP ialah kerana mereka bukannya dominan dalam pakatan pembangkang. Tunduknya Pas kepada DAP ialah kerana mereka bimbang sokongan bukan Islam yang kini lebih kuat kepada pembangkang akan terjejas sekiranya mereka tidak sehaluan dengan aspirasi DAP. Semua ini adalah disebabkan oleh kerakusan mereka untuk mengejar kuasa pemerintahan menakluk Putrajaya dengan apa cara sekalipun!


Titah Sultan Muhammad Ke-V yang memberikan peringatan kepada orang Melayu ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu di PWTC beberapa tahun lalu. Allahu akbar!

Pendekatan Politik PR Bahayakan Ummah

Pendekatan politik seperti ini sangat berbahaya kepada umat Islam di Malaysia. Kerana kemaruk kuasa, mereka sanggup membujur lalu, melintang patah. Akhirnya kita bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran. Hasrat mahu menegakkan hukum-hukum Allah sepenuhnya di negara ini bukan saja gagal, malah kedudukan Islam dan hak-hak istimewa orang Islam (Melayu) tergadai angkara gilakan kuasa pemerintahan!


Ingatan inilah juga disuarakan oleh Dr. Hasan Ali mengenai kekhuatiran sekiranya pembangkang seperti ini menguasai Putrajaya yang boleh menggugat kedudukan Melayu, Islam dan institusi Raja di Malaysia.

Kelantangan Dr. Hasan yang disifatkan ‘tidak senonoh’ oleh Nik Aziz akhirnya menyebabkan beliau dipecat oleh Pas beberapa hari selepas beliau menolak perhimpunan “Bebaskan Anwar 901” dan mempertikaikan kredibiliti Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Dr. Hasan juga mempertikaikan tindakan Pas Selangor yang bersungguh-sungguh mengerahkan ahlinya supaya menyertai perhimpinun “Bebaskan Anwar 901" sebaliknya pernah melarang ahlinya daripada menyertai HIMPUN pada tahun lalu. Walhal, perhimpunan yang disokong oleh Pas Selangor itu adalah lebih bersifat memperjuangkan individu berbanding HIMPUN yang bermotif untuk memberikan kesedaran ancaman akidah di kalangan umat Islam.

Selepas dipecat dari Pas, Dr. Hasan digugurkan dari jawatan exco yang disandang oleh beliau iaitu Pengerusi Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor. Portfolio hal ehwal agama ini kemudiannya telah diambil alih dari Pas oleh Menteri Besar Selangor. Sekarang Dr. Hasan masih merupakan ADUN Bebas Gombak Setia dan merancang untuk menggerakkan ‘third force’ bagi mengimbangi budaya politik yang tidak sihat ketika ini, di samping sebagai kuasa pendesak baru yang lebih berkredibiliti dan bebas.

Apa yang berlaku kepada Dr. Hasan hari ini bukan senario baru dalam politik, ia telah berlaku dalam parti-parti lain di negara ini. Di sana terdapat individu-individu lain yang mempunyai prinsip perjuangan yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran turut dipecat seperti Datuk Ibrahim Ali (UMNO) dan Datuk Zulkifli Nordin (PKR). Semuanya mempunyai hikmah yang ditentukan oleh Allah Taala supaya kita dapat berfikir dan bermuhasabah mengenai mana yang haq dan bathil. Allahu Akbar!

1 ulasan:

  1. Tangan yang tidak bernama telah memadam istilah seperti hudud, qisas, negara islam, murtad dan banyak lagi dari kamus pas.
    Tiada lagi istilah seperti itu terbit dalam ceramah2 pas sekarang.

    BalasPadam