Ahad, 13 November 2011

Seksualiti Merdeka, Ambiga dan Agenda New World Order di Malaysia

Landskap politik dan sosial negara telah banyak berubah selepas Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu. Antara perubahan yang ketara diperlihatkan kepada kita ialah keberanian kelompok minoriti menyuarakan apa yang didakwa sebagai hak asasi dan keadilan sosial bagi mereka.

Kaum minoriti kini secara berani dan terbuka mempersoalkan dasar-dasar afirmatif bumiputera, sistem kuota, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, kedaulatan Raja-raja Melayu dan penguasaan bumiputera dalam sektor perkhidmatan awam serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Keadaan ini berlaku disebabkan kedudukan kuasa politik kumpulan majoriti iaitu Melayu-Islam kelihatan lemah sehinggakan kumpulan minoriti tersebut mengambil peluang untuk membuat tuntutan-tuntutan yang sebahagiannya melampau demi kepentingan kelompok mereka.

Demikian juga dengan kelompok minoriti lain yang berasaskan kepada orientasi seksual luar tabii iaitu kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Benar, kumpulan ini sudah wujud di Malaysia sebelum 2008 lagi, namun keghairahan dan keterujaan mereka untuk mempromosikan budaya hidup songsang ini tidaklah sampai ke tahap penganjuran festival terbuka kumpulan tersebut.

Selama ini aktiviti-aktiviti kumpulan LGBT ini hanya bergerak secara sulit sehinggalah selepas PRU12 yang lalu iaitu pada Ogos 2008, kumpulan ini mula berani bergerak secara terbuka melalui penganjuran Seksualiti Merdeka.

Seksualiti Merdeka merupakan festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina. Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar pertubuhan bukan kerajaan, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Difahamkan bahawa matlamat festival ini ialah untuk memperakui hak-hak seksualiti sebagai hak asasi manusia, untuk memperkasa individu-individu dan komuniti untuk semua seksualiti, dan untuk mewujudkan platform bagi menyokong hak-hak seksualiti mereka.

Perlu diketahui bahawa Seksualiti Merdeka ini telah diasaskan oleh seorang penggiat seni, Pang Khee Teik dan seorang penyanyi yang juga penulis lagu, Jerome Kugan pada 2008. Kedua-dua individu terbabit telah membuat pengakuan terbuka mengenai orientasi homoseksual mereka.

Program festival ini merangkumi forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Kali kedua ia berlangsung pada bulan Ogos 2009 yang dirasmikan oleh Datin Paduka Marina Mahathir. Pada tahun 2011, festival kontroversi ini dijadualkan berlangsung mulai 1 hingga 13 November di The Annexe Gallery, Kuala Lumpur. Ia sepatutnya akan dirasmikan oleh bekas Presiden Majlis Peguam dan Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan pada 9 November lalu.

Bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak bijak dengan mengumumkan pengharaman semua acara yang dianjurkan sempena Seksualiti Merdeka tersebut. PDRM juga memberi amaran untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A Akta Polis.

Apakah peranan Ambiga dalam festival Seksualiti Merdeka ini? Dia bukanlah ketua, pengasas mahupun penganjur festival yang bertentangan dengan nilai-nilai masyarat Malaysia itu. Sebaliknya Ambiga merupakan orang yang diberi penghormatan tertinggi oleh golongan LGBT negara ini untuk merasmikan Seksualiti Merdeka 2011.

Signifikan dari penghormatan untuknya merasmikan festival tersebut mengesahkan betapa kuat dukungan Ambiga terhadap gerakan-gerakan yang cuba meruntuhkan sistem sosio-budaya, undang-undang dan politik negara yang didominasi oleh agama Islam dan adat resam Melayu.

Dari kiri: Ambiga Sreenevasan, Irene Fernandez, Pang Khee Teik dan Marina Mahathir. Mungkin mereka antara penggerak utama agenda New World Order di kalangan NGO Malaysia.

Sebelum ini, Ambiga sangat terkenal sebagai orang yang paling kehadapan dan lantang dalam membela golongan murtad serta mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan. Ini dapat dibuktikan melalui beberapa kes mahkamah seperti Lina Joy dan penganjuran Forum Memeluk Islam ketika dia mengepalai Majlis Peguam.

BERSIH 2.0 yang diketuai Ambiga pula dilihat sebagai platform bersifat politik yang bertujuan mewujudkan suasana tegang dalam masyarakat melalui penganjuran perhimpunan haram. Budaya demonstrasi jalanan ala-Barat dipromosikan kononnya atas dasar kebebasan bersuara dan hak berhimpun bagi rakyat.

Walaupun sesetengah pihak melihat sebahagian dari tuntutan-tuntutan BERSIH 2.0 ada rasional dan kebaikannya, namun medium dan jalan yang diambil oleh kelompok Ambiga tersebut sebenarnya mempunyai agenda tersirat yang sangat berbahaya kepada agama, bangsa dan negara kita.

Sedarlah bahawa pihak yang opportunis termasuk golongan anti-Islam, Islam Liberal, Syiah, sosialis, cauvinis, LGBT dan beberapa kumpulan minoriti songsang sedang berusaha mengukuh dan mengembangkan pengaruh mereka dalam masyarakat. Mereka melihat kekuatan Islam dan Melayu itu semakin rapuh akibat perpecahan politik yang semakin ketara antara orang Melayu-Islam di negara ini.

Di sana ada kebenarannya pandangan seorang sarjana Islam, Prof. Madya Dr. Sulaiman Nordin yang mengaitkan Seksualiti Merdeka dengan New World Order. Rakaman video kuliah bertajuk “Seksualiti Merdeka 2011 – Membongkar Di Sebalik Agenda Ambiga” yang disampaikan oleh beliau boleh ditonton di laman Youtube pada pautan http://www.youtube.com/watch?v=fJo3jG7Swpw.



Istilah New World Order (NWO) telah digunakan oleh banyak ahli politik sepanjang zaman, dan merupakan istilah generik yang digunakan untuk mengacu pada konspirasi global yang dilakukan oleh sebuah pertubuhan yang sangat kuat dan berpengaruh di mana di dalamnya termasuk orang-orang kaya dunia, pemimpin politik, perusahaan elit, serta anggota daripada kelompok bernama Black Nobility of Europe yang bertujuan untuk membuat dunia dengan satu pemerintahan (fasis) yang bebas daripada adanya kebangsaan dan daerah perbatasan.

Dr. Sulaiman, bekas Pengarah Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata strategi mengunakan senjata liberty (kebebasan), equality (persamaan) dan fraternity (persaudaraan) pernah digunakan pada tahun 1789, semasa Revolusi Perancis untuk membentuk sebuah Negara Liberal pertama di dunia.

Ketika itu beberapa slogan lain turut digunakan oleh kumpulan Freemasonry antaranya “Strength (kekuatan), Equality (persamaan), Justice (Keadilan), namun slogan “Liberty, equality, fraternity” paling berkesan.

Menurut Dr. Sulaiman slogan kebebasan dan hak asasi itu digunakan untuk mencapai cita-cita revolusi yang sebenarnya di bawah telunjuk kuasa asing untuk menjayakan agenda New World Order (NWO) atau Order Baru Dunia.

“Ia adalah slogan untuk mencetuskan revolusi rakyat menentang pengusaha (pemerintah) untuk mewujudkan, menyusun semula Order Baru Dunia.

“Order Baru Dunia ini ditaja oleh 7 hingga 10 keluarga pemilik bank antarabangsa yang terkaya di dunia.

“Mereka ingin menguasai dunia yang disebut sebagai ‘global village’, di mana kuasa pemerintahan berpusat kepadanya dengan mewujudkan tiga kelas rakyat iaitu pemerintah, tentera dan pekerja”, katanya.

Menurutnya slogan ini adalah slogan sains sosialis untuk menyusun semula masyarakat yang bebas daripada nilai-nilai agama dan budaya kaum dan membentuk satu sistem sosialis komunis bentuk baru.

“Hak asasi manusia adalah slogan sosialis yang bersumberkan kitab Talmud (kitab agama Yahudi terpenting).

“Di belakang slogan ini adalah kuasa-kuasa ghaib yang berselindung di belakang pemilik-pemilik bank dunia”, katanya

Dalam buku The Hidden History of Money & Feudal Order Usury Secrets, karya Alexander James, mendedahkan, untuk mencapai cita-cita tersebut, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh para pendokongnya dengan memporak-perandakan ‘nilai-nilai agama’.

Hal ini terbukti, apabila, Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Lucy Mc Fadden, tokoh yang terlibat secara langsung mengkaji perkaitan bank dengan kuasa mengesahkan bahawa pemilik-pemilik bank antarabangsa telah bekerja untuk mewujudkan suatu keadaan huru-hara dan kemiskinan supaya mereka (pemilik bank) boleh terus menjadi pemerintah (sebenar).

Selepas Peristiwa 9/11, empat negara Islam, Iraq, Afghanistan, Mesir dan Libya menjadi sasaran melalui slogan tersebut.

Menurut Dr. Sulaiman, kebanyakan pengkaji Barat mencurigai modus operandi berlakunya Peristiwa 9/11 dan kemungkinan besar tragedi itu sengaja direka untuk mempercepatkan kejayaan agenda NWO.

Selepas Peristiwa 9/11, negara-negara Islam menjadi sasaran, termasuk di Malaysia yang dilakukan oleh Ambiga Sreenevasan dalam perhimpunan haram BERSIH 2.0, 9 Julai lalu.

“Ambiga melalui BERSIH mendapat bantuan daripada NED (National Endowment for Democracy), pertubuhan topeng CIA, targetnya untuk melakukan huru-hara.

“Supaya mereka (Barat) boleh mengambil kesempatan seperti di Mesir dan Libya”, katanya.

Pada Julai lalu, sebelum menjelangnya perhimpunan haram BERSIH 2.0, Dr Sulaiman mendedahkan perhimpunan itu adalah sebahagian daripada agenda kuasa asing yang bertopeng ‘people power’ (Kuasa Rakyat).

Katanya, perkara ini semakin jelas, apabila Ambiga sendiri dijemput untuk merasmikan acara tahunan Seksualiti Merdeka 2011 yang bertujuan mahu mengiktiraf kumpulan seks bebas, LGBT.

Katanya, program Seksualiti Merdeka 2011 adalah kesinambungan BERSIH 2.0 iaitu melakukan provokasi nilai-nilai ekstrim kepada masyarakat.

“Dalam demokrasi di Malaysia, mereka cuba merintis nilai-nilai ekstrim, seksual bebas, homoseksual, lesbian melalui NGO (hak asasi manusia).

“Kumpulan NGO ini berusaha mengancam nilai-nilai murni kumpulan rakyat yang majoriti yang (sudah pasti) tidak (akan) terima nilai-nilai seperti ini.

“Mereka menerima nilai kebebasan, persamaan dan persaudaraan sebagai perisai kerana di belakangnya adalah Soros, Cohen dan Madeline Albright.

“Mereka cuba membuat New World Order, di mana mereka (akhirnya menjadi) firaun terbesar”, katanya.

Menurutnya, kumpulan tersebut bersembunyi di sebalik istilah-istilah yang baik untuk menyembunyikan keganasan yang bakal mereka lakukan.

Dalam buku terbarunya bertajuk “Sejarah Pemikiran I – Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi dan Order Baru Dunia” menyimpulkan bahawa matlamat akhir kumpulan kebebasan dan hak asasi manusia itu adalah untuk menukar takrif nilai-nilai agama dan budaya tempatan.

Mereka mahu takrif nilai-nilai agama dan budaya tempatan yang baru yang kononnya bersesuaian dengan peredaran zaman.

“Tuntutan hak asasi ini yang sebenarnya ditaja oleh The Fabian Society di London, New York, yang berasaskan pemikiran sosialis Marxisme yang di belakangnya dibiayai oleh pemilik bank antarabangsa.

“Mereka ingin menukar nilai masyarakat melalui kata ramai, kata majoriti (dunia), nilai masyarakat moden menggunakan slogan nilai perlu ikut zaman.

“(Nilai baru itu) mestilah lepas daripada kongkongan agama, agama itu katanya kuno, racun, membantutkan kemajuan dan sebagainya” katanya.

Namun begitu, mengikut kajian Victor E. Marsden dalam bukunya, ‘The Protocols of the Elders of Zion’, merosakkan nilai institusi keluarga dan pembelajarannya adalah termasuk dalam salah satu protokol Zionis tersebut.

Catatan pandangan Prof. Madya Dr. Sulaiman Nordin ini boleh diikuti di laman AIDC pada pautan http://www.anwaraidc.com/?p=18619.

Tidak boleh disangkal lagi bahawa gerakan-gerakan untuk meruntuhkan sistem sosio-budaya, politik dan kedudukan agama Islam semakin tertonjol di negara kita dan didukung oleh ‘dajjal’ dan konco-konconya.

Kita mesti berwaspada dengan tindak-tanduk golongan ini termasuklah agenda Ambiga dalam mendukung hak asasi dan kebebasan tanpa batasan dalam negara ini. Hak asasi untuk orang yang memeluk Islam untuk murtad (Forum Memeluk Islam), hak seksualiti golongan LGBT (Seksualiti Merdeka 2011) untuk diiktiraf oleh masyarakat, hak melakukan demonstrasi jalanan walaupun tiada permit (BERSIH 2.0) dan banyak lagi slogan atas nama hak asasi manusia lain adalah agenda songsang Ambiga dan kelompoknya yang bertujuan untuk ‘menjayakan’ rancangan New World Order atau penjajahan bentuk baru oleh Barat dan musuh ke atas dunia Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan