Fenomena ‘ustaz mee segera’ pernah hangat dibincangkan di kalangan golongan lepasan agama dalam blog-blog, facebook dan forum agama di internet tidak lama dulu. Ironinya kebanyakannya lepasan agama yang rancak mengulas isu ini adalah mereka yang sangat condong kepada parti pembangkang. Mereka tidak selesa dengan kehadiran ramai ‘ustaz mee segera’ yang didakwa gemar berkarya, menganalisa bidang-bidang yang mereka cukup jahil, tanpa mempunyai ilmu alat yang kukuh terutama dalam bidang ilmu hadis, tafsir dan sebagainya. Selain itu, kelompok ‘ustaz mee segera’ ini didakwa gemar berfatwa dan gemar menjawab persoalan feqh setiap kali ditanya oleh orang lain.
Sama ada pandangan-pandangan golongan anti-‘ustaz mee segera ini’ benar atau tidak, hakikatnya mereka perlu sedar bahawa fenomena ‘ustaz mee segera’ yang dimomokkan itu telah lama berlaku dalam dunia politik tanahair terutama dalam salah sebuah parti politik yang menggunakan nama Islam iaitu Pas. Malah, kebelakangan ini ia kian ‘dimeriahkan’ dengan kehadiran beberapa ‘ustaz’ yang baru ‘dinobatkan’ gelaran tersebut sebaik sahaja menyertai Pas dan berceramah di atas platform parti tersebut.
Salah seorang daripadanya ialah Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman. Bob Lokman merupakan seorang artis yang pernah terkenal sebagai penulis lirik lagu Isabella nyanyian kumpulan Search di samping menjadi pengacara, pelawak dan pelakon.
Menurut Bob Lokman, penyertaannya ke dalam Pas kerana dia mempunyai masalah dengan kehidupan keluarganya terutama dalam mendidik anak. Baginya, Pas boleh membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapinya itu. Imej dan penampilannya kini jauh berubah dari seorang artis hiburan kepada seorang lebai kampung.
Sejak pengumuman dia menyertai Pas awal tahun ini, Bob Lokman terus rancak berkempen politik untuk parti itu termasuk dalam beberapa pilihanraya kecil.
Tidak seperti beberapa artis lain yang dilaporkan menyertai Pas seperti Ito (kumpulan Blues Gang) dan Ringgo (vokalis kumpulan Arrow) yang tidak berceramah agama bersadur politik kepartian, Bob Lokman kelihatan seolah-olah begitu ‘teruja’ untuk menjadi ‘ustaz mee segera’ seperti mana seorang lagi rakan artis yang telah lama menyertai Pas iaitu Akil Hayy.
Mungkin juga disebabkan Bob Lokman merupakan salah seorang cicit ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali dan dia pernah belajar di sebuah sekolah menengah agama di Kajang, Selangor membuatkan dirinya mudah untuk ditonjolkan sebagai penceramah agama bagi Pas.
Kita tidak menghalang hasrat mana-mana artis seperti Bob Lokman untuk berhijrah cara hidup mereka kepada kehidupan beragama yang lebih baik, tetapi kita tidak mahu melihat kelahiran artis sepertinya yang apabila berubah kononnya mahu mencari jalan agama sebaliknya berceramah politik menghentam peribadi saudara Islam yang lain tanpa segan silu.
Jika dia mahu berceramah agama tanpa unsur politik kebencian atau menasihati orang ramai dalam perkara yang dia mampu memahami dengan tepat dan jelas, itu merupakan sesuatu yang tidak salah malah patut dipuji.
Saya sendiri telah beberapa kali mendengar ceramah Bob Lokman yang dimuat naikkan di internet. Ternyata kandungan ceramahnya tidak wajar disampaikan oleh seorang artis yang mengaku telah bertaubat dari kemaksiatan yang dilakukannya semasa bergelumang dalam dunia hiburan.
Bila berceramah politik, tidak dapat tidak dia dapat dilihat secara semena-menanya mengecam, mengutuk, mempersenda dan memburuk-burukkan lawan politiknya terutama peribadi saudara seagama. Tidak terlepas dari bahan ceramah Bob Lokman ialah peribadi bekas pemimpin UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dan rakan-rakan artis.
Bob Lokman pernah dikecam kerana didakwa menghina keturunan syed semasa dia berkempen untuk calon Pas dalam Pilihanraya Kecil DUN Kerdau tidak lama dulu.
Telatah Bob Lokman ini mengingatkan kita kepada seorang lagi ‘ustaz mee segera’ Pas, Akil Hayy, yang suatu masa dahulu aktif berceramah agama berbaur politik dan berkempen untuk Pas.
Akil Hayy pernah menjadi ‘fenomena’ kepada masyarakat ketika itu terutama kepada muda-mudi yang mula berjinak-jinak dengan agama. Dari kebolehan, kefasihan memetik dan melagukan ayat-ayat al Quran (yang mungkin tidak mampu ditandingi Bob Lokman) kepada mengupas isu-isu semasa mengikut perspektif dan citarasa orang muda telah menaikkan nama Akil Hayy lebih setengah dekad yang lalu.
VCD, DVD dan mp3 ceramah Akil Hayy sangat laris di pasaran, bahkan kandungan ceramahnya sering diperdengarkan di televisyen, radio, pasar-pasar malam dan pesta-pesta anjuran pusat pengajian tinggi. Di awal popularitinya, Akil Hayy lebih licik berbanding Bob Lokman dalam menyampaikan pengaruh Pas. Barangkali selepas dia menyedari tahap penerimaan masyarakat terhadapnya meluas, Akil Hayy mula menunjukkan belang sebenarnya sebagai penceramah politik di pentas-pentas kempen Pas.
Sebenarnya, Akil Hayy bukanlah seorang pendakwah yang mempunyai keilmuan dan kefahaman agama yang tinggi walaupun dia sangat popular ketika itu. Banyak ulasan agama yang tidak menepati pandangan sebenar Islam, malah dia tidak kurang juga banyaknya membawakan hadis-hadis palsu dan sangat lemah serta kisah-kisah Israiliyyat dalam ceramahnya. Kemampuannya memukau pendengar mungkin disebabkan kefasihan, kepetahan, lawak jenaka dan pengalaman zaman remajanya.
Namun dengan kuasa Allah, populariti yang dibinanya akhirnya musnah lantaran kontroversi krisis rumah tangganya. Hikmah dari peristiwa tersebut nampaknya telah mengubah sedikit sebanyak keterujaan Akil Hayy untuk berceramah menghentam peribadi saudara seagama yang berbeza pandangan politiknya. Barangkali Bob Lokman boleh mengambil iktibar dari kisah Akil Hayy ini. Penghijrahan kehidupan beragama dengan cara menyertai dan berkempen untuk Pas bukanlah bererti mereka telah mendapat lesen untuk mencerca atau mengutuk orang lain yang tidak sealiran. Ia juga bukanlah bererti mereka mampu merawat masalah keluarga seperti mendidik anak yang dihadapi Bob Lokman, kerana kisah Akil Hayy sendiri telah membuktikannya, dalam pada berkempen politik mencemuh peribadi orang lain Akil Hayy sendiri akhirnya terjerumus ke dalam masalah peribadi yang meruntuhkan keluarganya sendiri.
Seeloknya Bob Lokman berhenti berkempen politik secara keterlaluan jika dia benar-benar mahu berubah kepada dunia baru yang lebih dekat dengan iman dan taqwa. Ketahuilah dunia politik hari ini penuh dengan fitnah kekalutan dan sebagai pendatang baru dalam politik, sebelum mahu terjun secara aktif hendaklah memahami selok-belok ini dengan tepat. Ini kerana kedangkalan dalam memahaminya akan menyebabkan kefahaman agama yang cuba disampaikan Bob Lokman dalam ceramah agamanya menjadikan orang ramai keliru dengan ajaran Islam sebenar. Akhirnya, umat Islam juga yang rugi kerana kita berpecah-belah dan menjadi taksub dengan politik kepartian. Sebenarnya berpolitik itu tidak salah, tetapi janganlah memperalatkan agama untuk kepentingan politik kelompok kita.
Baru-baru ini Bob Lokman telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat. Sekali lagi isu ini dipolitikkan oleh pembangkang, bahkan Bob Lokman turut mengheret parti lawan iaitu UMNO sebagai dalang penahanannya walhal JAIS di bawah pengawasan Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor! Tohmahan dan cara dia menangani isu tersebut menyerlahkan betapa sentimen politik kepartian tidak membawa dia lebih dekat kepada akhlak Islam tetapi lebih kepada emosi serta asabiyyah kepartian.
Dalam hal ini, bukan bermaksud kita ingin memusuhi dan menghentam Bob Lokman atau Akil Hayy tetapi sebagai suatu bentuk nasihat yang ikhlas disertakan dengan fakta semasa. Apapun kita doakan supaya Bob Lokman, Akil Hayy dan kita semua terus istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan meninggalkan sifat-sifat tercela termasuk yang melibatkan hubungan sesama manusia.
*Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Suara Perkasa (1 November 2011).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan