Ahad, 5 Ogos 2012

Neraca Kebenaran Tidak Mengenal Individu



“Bila kita ajak mereka kepada benda baik dengan cara perbincangan, nasihat dan teguran dalam bentuk agama, ada juga sebilangan manusia yang persoalkan kita; Kau tu siapa? Lulusan pengajian agama ke? Kau pernah sekolah agama atau pondok ke? Kalau tak ada, tak payahlah sibuk-sibuk nak cakap pasal agama, mengalahkan ustaz dan ulama!”

Demikian antara luahan seorang sahabat saya yang kecewa dengan kerenah sebahagian masyarakat hari ini yang bersikap selektif dalam menerima teguran dan perbezaan pendapat terutama yang membabitkan persoalan agama. Lebih teruk lagi, sikap negatif mereka itu turut dibakar oleh sentimen dan asobiyyah1 politik kepartian.

Bukan seorang sahabat saya itu sahaja yang mengalaminya, sebaliknya ramai lagi yang turut mempunyai pengalaman yang sama. Luahan sebegitu juga bukan asing bagi saya kerana secara peribadi saya pernah beberapa kali menghadapi situasi ini. Situasi yang paling ‘tegang’ ialah ketika berbeza pendapat dengan kalangan mereka yang hanya mempunyai semangat agama yang kuat tetapi jahil murakkab2, malas mengkaji dan memiliki pemikiran yang terlalu jumud. Tidak terkecuali juga ialah segelintir golongan yang berlatar belakangkan pengajian agama sendiri yang bersikap angkuh dan sombong dengan kelayakan akademik mereka, serta memandang rendah kemampuan orang lain!

Saya katakan mereka ini jahil, malas mengkaji dan jumud kerana mereka tidak memahami ajaran Islam sebenar iaitu ajaran yang bersumberkan al-Quran dan hadis-hadis shahih serta contoh dari para salafus soleh3. Mereka ini lebih cenderung taqlid4 kepada ustaz, tok guru dan ulama mereka sahaja. Apa yang berbeza dengan kotak pemikiran yang diajar oleh kelompok ikutan mereka itu ditolak sekalipun ia adalah suatu kebenaran yang nyata.

Saya masih ingat semasa berlaku kegawatan politik pada tahun 1998, saya ada mempersoalkan kepada abang saya mengenai kredibiliti individu-individu tertentu dalam membicarakan sesuatu perkara. Pada waktu itu, saya telah disangsikan untuk menerima kata-kata dari individu yang dipertikaikan kredibilitinya itu sebagai kebenaran walaupun apa yang diperkatakannya berasas.

Barangkali disebabkan masih kurang mendalam pemahaman agama, persepsi yang ditanam oleh ‘lebai-lebai politik’ telah memungkinkan saya agak terpengaruh dengan hujah mereka supaya meragui atau menolak segala perkara yang dibawa oleh individu terbabit sekalipun dia membawa kebenaran.

Antara hujah yang digunakan oleh ‘lebai-lebai politik’ ini ialah individu yang tidak menutup aurat itu merupakan orang fasik dan apa sahaja berita atau pandangan yang dibawa oleh mereka tidak boleh dipakai dan perlu ditolak. Abang saya lantas berhujah dengan kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. yang berbunyi:
لا تنظروا إلى من قال انظروا إلى ما قال
Maksudnya: “Janganlah kamu lihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kamu kepada apa yang dikatakan." [Dinukilkan oleh Imam Jalaluddin as-Suyuthi dari Ibn as-Sam'ani dalam Tarikhnya]5

Itulah kata-kata yang masih saya ingat walaupun sudah lebih sedekad ia berlalu. Kini saya bukan seperti dulu, saya sudah kenal kebenarannya dan saya juga sudah memahami kata-kata tersebut. Apatah lagi, dalam perjalanan hidup sehari-harian, sepanjang usaha murni menyampaikan dakwah dan perjuangan menegakkan agama Allah, saya turut menghadapi cemuhan dan sindiran yang mempersoalkan kredibiliti saya dalam membicarakan isu agama dan politik. Ia tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku terhadap sahabat saya tadi.

Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al Maidah: 8]

Menegakkan keadilan di sini termasuklah mengatakan sesuatu kebenaran sebagai kebenaran dan sanggup menerimanya sekalipun ia dari musuh atau orang yang dibenci. Begitu juga dalam menyatakan sesuatu kebatilan sebagai kebatilan dan menolaknya, sekalipun ia dari sahabat atau orang yang dicintai.

Di sini kita bukan menyentuh persoalan ilmu Tarikh al-Ruwat (علم تاريخ الرواة) - sejarah perawi atau ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (علم الجرح والتعديل) - keputusan terhadap perawi, adil atau tidak; dalam ilmu Rijal Hadis (علم رجال الحديث). Sebaliknya ia berkenaan persoalan individu-individu di kalangan kita yang membawa kebenaran dan perkara yang haq. Keabsahannya pula boleh dikaji, difikirkan secara aqli dan ditimbang dengan neraca naqli daripada al-Quran dan al-Hadis. Ia termasuklah dalam soal penyampaian hadis yang telah diperakui keshahihannya oleh ulama hadis melalui metodologi ilmu hadis yang turut melibatkan ilmu Rijal Hadis tersebut.

Sebagai contoh, apabila sebuah hadis shahih (yang telah ditakhrij dan ditahqiq oleh ulama hadis)6 itu dikemukakan oleh kenalan kita yang sekalipun kita mengetahui dia tidak mempunyai latar belakang pengajian agama secara formal, maka kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak hadis tersebut.

Lebih tidak wajar apabila kita mempersenda dan mempertikaikan pula hadis shahih yang disampaikan oleh kenalan itu hanya dengan alasan dangkal seperti dia bukan lulusan bidang agama atau masih cetek dalam ilmu tersebut!

Kesediaan menerima kebenaran dari sesiapa pun di sini bukan bermakna kita bersetuju untuk menyebarkan serta mempopularkan perkataan-perkataan yang benar dari ahli bid’ah7 dan musuh Islam. Menerima dan menyebarkan kebenaran adalah dua perkara yang berbeza.

Sekiranya penyebaran perkataan-perkataan berupa kebenaran dari ahli bid’ah dan musuh Islam itu disebar luas di kalangan masyarakat. Kemudian ia  menjadikan mereka lebih popular dan disanjung oleh masyarakat Islam. Keadaan ini pasti akan menimbulkan fitnah lebih besar dan mengelirukan orang awam. Justeru, tindakan penyebaran perkataan-perkataan dari ahli bid’ah dan musuh Islam yang boleh membahanakan keadaan sedemikian tidak patut dilakukan. Namun begitu, kita tidak pula menolak kebenaran yang disampaikan oleh mereka dalam apa pun keadaan.   

Perlu juga diingat, kita mesti membezakan antara pandangan yang berlandaskan ilmu dengan pandangan yang bersandarkan kejahilan. Pandangan yang dibuat oleh sesiapa pun termasuk oleh ulama tidak boleh diterima sekiranya jelas kesongsangsan pandangan tersebut menurut neraca al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya manusia kecuali para Nabi tidak maksum, bahkan insan8 itu bersifat pelupa dan terdedah kepada kesilapan-kesilapan yang disengajakan atau tidak.

Sesiapa pun tidak boleh membicarakan tentang sesuatu perkara tanpa berlandaskan ilmu terutama dalam perkara yang membabitkan persoalan akidah dan ketuhanan. Lebih berbahaya lagi jika intipati bicara tanpa ilmu itu dijadikan pula pegangan dan amalan mereka.

Allah Taala berfirman:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [Surah al-Isra’: 36]

Ahli tafsir terkemuka, Imam Ibnu Katsir r.h. setelah mengemukakan pendapat para salafus soleh seperti `Ali bin Abi Talhah (dari Ibn `Abbas), Al-`Awfi, Muhammad bin Al-Hanafiyyah dan Qatadah dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan:

ومضمون ما ذكروه أن الله تعالى نهى عن القول بلا علم، بل بالظن الذي هو التوهم والخيال
Bermaksud: “Kesimpulan pendapat mereka dapat dikatakan bahawa Allah Taala melarang mengatakan sesuatu tanpa pengetahuan, bahkan melarang pula mengatakan sesuatu berdasarkan dzon (dugaan) yang bersumber dari sangkaan dan ilusi."9

Di sana terdapat suatu kisah yang masyhur dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. telah diajarkan oleh syaitan untuk membaca ayat Kursi sebelum tidur supaya mendapat penjagaan dari Allah sehingga ke pagi hari. Setelah beliau menyampaikan hal tersebut kepada Nabi, baginda s.a.w. bersabda:

صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ
Maksudnya: “Dia telah berkata benar kepadamu, padahal dia (syaitan itu) adalah pendusta.” [Hadis Riwayat al-Bukhari: 4651]

Kisah yang shahih ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari seperti matan10 berikut:


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ سُلَيْمَانَ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ و حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ وَقَالَ عُثْمَانُ بْنُ الْهَيْثَمِ حَدَّثَنَا عَوْفٌ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَصَّ الْحَدِيثَ فَقَالَ إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir, telah mengkhabarkan kepada kami Syu'bah dari Sulaiman dari Ibrahim dari Abdurrahman dari Abu Mas'ud dari Nabi s.a.w., baginda bersabda: "Barangsiapa yang membaca dua ayat." Dan telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim, telah menceritakan kepada kami Sufyan dari Manshur dari Ibrahim dari Abdurrahman bin Yazid dari Abu Mas'ud r.a. beliau berkata; Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah pada suatu malam, nescaya kedua ayat itu akan mencukupinya." Utsmana bin al- Haitsam berkata; telah menceritakan kepada kami 'Auf dari Muhammad bin Sirin dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata; Rasulullah s.a.w. menugaskanku untuk menjaga harta zakat Ramadhan. Lalu pada suatu hari ada seseorang yang menyusup hendak mengambil makanan, maka aku pun menyergapnya seraya berkata, "Aku benar-benar akan menyerahkanmu kepada Rasulullah s.a.w." lalu dia bercerita dan berkata, "Jika kamu hendak beranjak ke tempat tidur maka bacalah ayat Kursi, nescaya Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi." Maka Nabi s.a.w. pun bersabda: "Dia telah berkata benar kepadamu, padahal dia adalah pendusta. Itu adalah syaitan."11

Rasulullah s.a.w. yang merupakan insan yang kamil, contoh terbaik umat manusia sendiri boleh menerima kebenaran dari sejahat-jahat makhluk yakni syaitan, mengapa pula ada kalangan masyarakat kita yang bukan pun sesempurna Nabi s.a.w. terlalu mudah menolak kebenaran dari saudara seagama hanya kerana beralasan saudaranya bukan berlatar belakangkan pengajian agama, ustaz atau ulama, dan tidak layak menasihat, menegur atau berbicara soal agama walaupun mempunyai hujah kebenaran?

Ingatlah Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata:

لا تعرف الحق بالرجال بل اعرف الحق تعرف أهله
Maksudnya: “Janganlah mengenal kebenaran itu berdasarkan individu-individu tertentu, tetapi kenalilah kebenaran itu (maka) engkau akan mengenal pemiliknya.” [Dinukilkan oleh Imam Al-Ghazzālī dalam al-Munqidh min al-Dalāl]12


إن الحق لا يعرف بالرجال، اعرف الحق تعرف أهله
Maksudnya: “Sesungguhnya kebenaran itu tidak mengenal individu-individu tertentu, kenalilah kebenaran itu (maka) engkau akan mengenal pemiliknya.” [Dinukilkan oleh Imam Ibn al-Jawzi dalam Talbis Iblis dan Sayd al-Khatir, al-Jaahiz dalam al-Bayan wa-l-Tabyin dan al-Ya’quubi dalam Tarikhnya]13

Seorang lagi sahabat Nabi bernama Ibn Mas’ud r.a. ada berkata:

من جاءك بالحق فاقبل منه، وإن كان بعيداً بغيضاً، ومن جاءك بالباطل فاردّد عليه، وإن كان حبيباً قريباً
Maksudnya: “Barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu darinya, meskipun ia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebatilan maka tolaklah, meskipun ia adalah orang yang dicintai dan dekat.” [Diriwayatkan oleh Imam Abu Nu`aym al-Isfahani dalam Hilyat al-Awliya' wa-Tabaqāt al-Asfiyā’: 419]14

Muadz bin Jabal r.a. pernah berkata:

اقبلوا الحق من كل من جاء به، وإن كان كافراً - أو قال فاجراً
Maksudnya: “Terimalah kebenaran dari siapa saja yang membawanya, walaupun dia adalah orang kafir - atau beliau berkata: orang fajir (pelaku dosa).” [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya, dinilai shahih mauquf oleh al-Albaani]15

Kepada mereka yang masih lagi berkeras untuk tidak mahu menerima kebenaran dari pihak lain yang dianggap tidak layak dan lekeh, maka ketahuilah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ada mengkhabarkan bahawa menolak kebenaran, di pihak manapun kebenaran itu berada merupakan suatu kesombongan yang nyata.

Baginda bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ " ، قَالَ رَجُلٌ : إِنَّ الرَّجُلَ ، يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا ، وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ، قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan  seumpama biji sawi.” Seorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya ada seseorang yang menyukai supaya bajunya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu indah, Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain.” [Hadis Riwayat Muslim: 131]

Kepada sahabat saya, janganlah bersedih dengan gelagat mereka yang sombong, jahil murakkab, malas lagi jumud, yang mempertikaikan kredibiliti kita dalam menyeru kepada agama Allah. Ketahuilah banyak dalil-dalil dari al-Quran, al-Hadis dan al-athar16 para sahabat Nabi radiallahuanhum yang boleh membuka mata hati mereka seperti yang saya petik tadi. Bacakan dan terangkanlah kepada mereka, teruslah menyeru mereka dengan penuh hikmah, nasihat yang baik dan sedia berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik. Mudah-mudahan diberikan hidayah oleh Allah kepada mereka. Di samping itu kita teruskan usaha menimba ilmu pengetahuan dengan cara yang haq demi untuk mendapat keredhaan Allah berupa kejayaan di dunia dan di akhirat serta pemeliharaan dari azab neraka.

Akhirnya, ambillah iktibar dari firman Allah Taala yang berbunyi:

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” [Surah al-A’raaf: 199]



[1] Perkataan asobiyyah (عصبية) di sini bermaksud perkelompokkan secara melampau dengan membelakangkan kebenaran malah mempertahankan kezaliman kerana ketaksuban kepada puak, kaum, mazhab, negara, negeri malahan parti politik.

[2] Jahil murakkab atau al-Jahl al-Murakkab (الجهل المركب) iaitu kejahilan yang berat dan berlapis-lapis yang menentang kebenaran. Dimaksudkan di sini tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu perkara, namun dia mengaku memiliki pengetahuan mengenainya. Disebut murakkab yang ertinya bertingkat atau berlapis-lapis kerana terdapat dua kejahilan sekaligus pada orang tersebut, iaitu jahil kerana dia tidak mengetahui perkara yang sebenar dan jahil kerana dia beranggapan bahawa dia mengetahui perkara yang sebenar, padahal dia tidak mengetahuinya.

[3] As-Salafus Soleh (السلف الصالح) dari sudut bahasa bermakna para pendahulu yang soleh. Dari sudut istilah, makna as-Salafus Soleh ialah para pendahulu kaum muslimin dari kalangan para sahabat nabi, tabi'in (para murid sahabat) dan tabi'ut tabi'in (para murid tabi'in). Dengan demikian as-Salafus Soleh adalah tiga generasi awal kaum muslimin.

[4] Makna taqlid (تقليد) ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.


[6] Takhrij (تخريج) ialah mengeluarkan sesuatu hadis dan memastikan dari mana sumbernya (contoh dari al-Bukhari atau Muslim dan sebagainya). Tahqiq (تحقيق) ialah melakukan penelitian terhadap sesuatu qaul, pendapat atau matan. Secara umumnya takhrij juga merupakan salah satu proses tahqiq

[7] Ahli bid’ah atau ahl al bid’a (أهل البدع) di sini termasuklah ulama Syiah, Khawarij, Muktazilah, syeikh tareqat sesat dan intelektual yang menganut fahaman Pluralisme Agama dan Islam Liberal.

[8] Kata insan (الانسان) menurut Ibn Manzur diambil dari tiga akar perkataan iaitu: anasa (أنس), anisa (أنس) dan nasia (نسي). Perkataan nasia (نسي) bermaksud ‘lupa’. Beliau turut menukilkan riwayat dari Ibn Abbas r.a. yang menyebut bahawa: “Manusia dinamakan insan kerana diberi janji, kemudian dia lupa.” [Sila lihat Ibn Manzur, Muhammad ibn Mukarram. 1402H/1982. Lisan al-'Arab. Jil. 1, hal. 147. ‘Abdullah ‘Ali al-Kabir, Muhammad Ahmad Hasbullah dan Hashim Muhammad asy-Syaazili (pnyt.). Kaherah: Daar al-Maa'rifah].

[10] Matan (متن) dari sudut bahasa ertinya kuat, kukuh, keras. Manakala, matan dari istilah ahli hadis ialah teks (isi, ucapan atau lafaz-lafaz) hadis.

[16] Makna al-Athar (الآثار) dari sudut bahasa ia bermaksud 'kesan', 'impak', 'tanda' atau 'sisa' yang ditinggalkan atau diwarisi dari perkara yang lalu. Manakala dari sudut istilah, al-Athar adalah percakapan, perbuatan dan pengakuan oleh para sahabat dan tabi'in.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan