Sabtu, 4 April 2015
Isnin, 23 Mac 2015
Kritik Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Negeri Kelantan bukan Tolak Hudud
Teringat semasa belajar dulu, saya
pernah dikafirkan oleh beberapa rakan saya hanya kerana mengkritik dan menolak
tafsiran berkenaan hudud oleh PAS dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993)
Negeri Kelantan (EKJSII).
Apabila kita menolak interpretasi hudud
oleh PAS, kita pasti dituduh oleh mereka sebagai menolak hukum Allah dan secara
automatiknya menjadi kafir. Sejak di sekolah asrama penuh, kemudian di
universiti dan sehinggalah sekarang saya memang berminat mempelajari, mengkaji
dan berbincang mengenai hukum hudud.
Antara kritikan-kritikan yang
selalu dikemukakan oleh saya dalam perbincangan sehingga ditohmah sebagai
menolak hukum Allah ialah:
1. Adakah adil sekiranya seorang Islam mencuri
harta seorang bukan Islam dia dihukum potong tangan di bawah hukuman hudud
manakala seorang bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh
dihukum penjara penjara dan denda sepertimana peruntukan dalam EKJSII?
Walhal pandangan jumhur (majoriti) ulama' Islam termasuk di
kalangan para fuqaha' Syafi'iyyah bahawa orang bukan Islam
juga wajib dikenakan hukuman hudud jika bersalah bagi kesalahan mencuri (sariqah).
Sila rujuk Kitab Al-Muhazzab II:256, Kitab Nihayatul
Muhtaj VII:446, Kitab Hasyiyah
Radd Mukthar 6:137, Kitab Hasyiyah Radd Mukthar 6:137, Kitab Al-Mudawwanatul
Kubra 4:414, Kitab At-Taj wa Iklil 6:312, KitabHasyiyah
Ad-Dusuki 4:332, Kitab Kashshaf Al Qinaâ VII:91 dan
Kitab Al-Mughni X:276.
2. Seorang yang dirogol atau diliwat menuduh
si fulan merogol atau meliwatnya tanpa 4 orang saksi lelaki yang adil akan
dihukum dengan 80 kali sebatan atas kesalahan qazaf mengikut EKJSII. Adakah
adil hukuman ini, sudahlah mangsa sudah dizalimi oleh perogol atau peliwat, dia
pula didera oleh pihak berkuasa dengan sebatan? Ibarat sudah jatuh ditimpa
tangga, perogol dan peliwat pula mungkin bebas bermaharajalela!
Walhal seseorang yang mengadu
dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, dia tidak terus dikenakan
hukuman qazaf walau pun gagal membawa 4 orang saksi. Berdasarkan keterangan fuqaha' Islam, setiap aduan rogol atau liwat
perlu melalui proses pengumpulan bukti-bukti (al-Bayyinah, termasuk juga al-Qarinah) sama ada mangsa
benar-benar dirogol atau diliwat. Jika terbukti mangsa memang dirogol atau
diliwat maka mangsa tidak akan dikenakan hukuman qazaf, manakala perogol atau
peliwat pula akan dihukum di bawah kesalahan takzir. Sila rujuk Kitab Al-Muntaqa
Syarh Muwattha’ Malik 4:21.
3. Adakah adil seorang wanita yang tidak
bersuami mengandung akibat dirogol dikenakan hukuman hudud atas kesalahan zina
hanya kerana wujud qarinah kehamilan anak luar nikah? Ini juga satu lagi
perumpamaan sudah jatuh ditimpa tangga, malah lebih teruk lagi dari mangsa yang
dihukum atas kesalahan qazaf tadi!
Walhal hukuman zina dengan sabitan qarinah melalui
bukti kehamilan itu perlu diperinci dan diselidiki terlebih dahulu. Memang
benar terdapat athar para sahabat radiallahu'anhum terutama
dari Sayidina 'Umar Al-Khattab RA dan Sayidina 'Ali bin Abi Thalib RA, namun
sebahagian ilmuan Islam percaya hakikatnya tidak seperti pemahaman dalam
EKJSII. Dalam kes zina, Sayidina 'Umar tidak mungkin hanya bersandarkan kepada
al-Qarinah mengandung semata-mata sebaliknya pasti ada bukti-bukti lain yang
menyokong tuduhan tersebut, walau bagaimanapun mengandung adalah al-Qarinah
yang paling kukuh, kerana itu ia difokuskan. Secara logiknya sebelum sesuatu
hukuman itu dijatuhkan pasti ada perbicaraan (pertuduhan dan pembelaan),
malangnya ia tidak dinukilkan oleh sejarah. Sila rujuk Al-Qarinah:
antara Kekuatan dan Keperluan dalam Mensabitkan Kesalahan Jenayah (Zina) dalam International Journal of Islamic
Thought Vol. 2, Dec 2012 oleh
Dr. Lukman Abdul Mutalib dan Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail.
Sebahagian fuqaha' Islam pula berpendapat bahawa athar dari
Sayidina 'Umar mengenai sabitan al-Qarinah zina melalui kehamilan bukanlah
hujah. Pendapat ini didukung oleh Abu Bakar Al-Ash`ari, Mazhab Shafii, Mazhab
Daud dan Imam Ar-Razi.
Sebenarnya ada banyak lagi kritikan-kritikan terhadap
EKJSII (1993) yang biasa digelar sebaga 'hudud PAS', tetapi saya hanya
kemukakan 3 kritikan utama ini terlebih dahulu. Kritikan-kritikan ini adalah
sebahagian intipati surat penolakan EKJSII oleh Perdana Menteri ketika itu, YAB
Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun Dr. Mahathir Mohamad) kepada Menteri
Besar Kelantan ketika itu, YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini
Allahyarham Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat) pada 1994.
Alhamdulillah, nampaknya hasil kritikan-kritikan dari
pelbagai pihak termasuk dari pakar undang-undang Islam terkemuka antarabangsa,
Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali dan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri
Malaysia ketika itu, Kerajaan PAS Negeri Kelantan di bawah Menteri Besar sekarang,
YAB Datuk Ahmad Yakob telah bersetuju membuat pindaan terhadap beberapa isu
berbangkit seperti dalam point (2) dan (3) di atas.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Pindaan 2015)
telah telah memasukkan pengecualian kesalahan qazaf dalam Fasal 18(2) terhadap
yang individu yang mengadu dirogol atau diliwat tetapi tidak dapat mengemukakan
4 orang saksi.
Pindaan pada 18 Mac 2015 lalu turut membuang peruntukan
Fasal 46(2) mengenai qarinah atau sebab zina bagi perempuan hamil tanpa suami.
Fasal yang dimansuhkan tersebut menyatakan:
“Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh
seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan
yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud
ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dia dapat membuktikan
sebaliknya.”
Dua pindaan tersebut memperlihatkan Kerajaan PAS Negeri Kelantan akur
dengan kritikan-kritikan yang selama ini dianggap sebagai menghina hudud dan
menolak hukum Allah.
Ahli-ahli Dewan Undangan (ADUN) BN dan PAS
bersalaman selepas selesai pembentangan usul Rang Undang-Undang Enakmen Kanun
Jenayah Syariah II (1993) (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015 lalu di Dewan
Undangan Negeri Kelantan. Pindaan yang dibawa oleh Menteri Besar Kelantan, YAB
Datuk Ahmad Yakob tersebut mendapat sokongan sebulat suara dari semua ADUN
termasuk dari kerajaan negeri dan pembangkang.
Melihat kepada perkembangan ini,
kalau boleh mahu sahaja saya berjumpa kembali rakan-rakan saya yang pernah
mengkafirkan saya disebabkan kritikan-kritikan saya terhadap 'hudud tafsiran
PAS Kelantan' yang dianggap sebagai menolak hukum Islam!
Saya sentiasa teringat kepada
pendirian konsisten Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II (1993) Negeri Kelantan yang dilihatnya tidak adil dengan menyatakan
bahawa terdapat 43 ayat Al-Quran yang menyebut jika menghukum, hukumlah dengan
adil. Jika sesuatu itu tidak adil, kita tidak boleh menghukum.
Saya juga teringat kepada jawapan
Khalifah 'Umar bin 'Abd Al-'Aziz kepada anaknya, 'Abdul Malik apabila ditanya:
“Wahai ayah, kenapa saya melihat ayah selalu lambat dalam melaksanakan segala
urusan? Demi Allah, saya tidak peduli, sekalipun takdir memanggil kita selagi
kita berada pada jalan Allah”.
'Umar bin 'Abd Al-Aziz berkata
kepada anaknya: “Janganlah kamu tergesa-gesa wahai anakku. Allah telah mencela
arak dalam Al-Quran pada dua ayat yang berasingan, kemudian barulah Allah
mengharamkannya pada ayat yang ketiga. Aku bimbang jika aku memaksakan
kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, hal ini akan mendatangkan
fitnah kepada mereka”.
Harapan saya suatu hari nanti,
apabila kita sudah mampu dan bersedia, hukum-hukum Islam akan tertegak secara
menyeluruh bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia termasuklah
terlaksananya undang-undang Islam seperti hudud, qisas dan takzir. Aamiin.
KANDUNGAN SURAT DR. MAHATHIR KEPADA NIK AZIZ
PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Y.A.B. Tuan Haji,
PENGUATKUASAAN
KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN
Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994
Bertarikh 8 Jun 1994
Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada
kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.
dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam
melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum
jenayah.
1. Jalan yang
diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang
terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah
sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan
kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian
sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar
perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia
selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan
bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.
2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.
3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa
banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya
keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman.
Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya
huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang
menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap
permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan
Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan
membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan
ajaran Islam.
4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di
Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang
disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja
menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa
kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan
berikut:
(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan
dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk
orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara
berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum
di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab
Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran.
Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap
jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada
penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di
zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara
hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah
undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.
Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi
orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah
dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan
undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka
undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk
dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya
tertentangan dengan agama Islam.
(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan
kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan
anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut
undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu
adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya,
tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri
daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang
menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh
telah merogol wanita berkenaan.
Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan
perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita
Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang
terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak
menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti
penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika
ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak
boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya
dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan
perogol akan terlepas.
Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana
melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah
kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun
sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.
5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi
keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman.
Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara
akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah
undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS
yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya
menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan
sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek
tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang
lain daripada Islam dan kepentingannya .
6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi
unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan
itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan
Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga
memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej
orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan
menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan
menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.
7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat
dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan
politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia
yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat
membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip
keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang
sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat
Islam dan penganut-penganutnya.
DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 Julai 1994
15 Julai 1994
Sabtu, 24 Mei 2014
Takrif Melayu, Sejarah dan Identiti Bangsa
Masih ramai orang Melayu sendiri
tidak mengetahui tentang asal usul dan takrif Melayu. Beberapa kali juga
segelintir kenalan saya kelahiran Pantai Barat yang kurang celik sejarah dan
terpengaruh dengan dakyah DAP mendakwa orang Melayu juga adalah pendatang dari
Indonesia. Kononnya Melayu bukanlah penduduk asal di negara ini. Lalu
dicontohkan diri mereka yang berketurunan Jawa, di mana nenek moyang mereka
merupakan etnik Jawa yang berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia.
Saya ingin menegaskan
bahawa penakrifan orang Melayu itu adalah sesuatu yang luas dan dinamik. Di
Malaysia, orang Melayu itu lebih merujuk kepada bangsa berbanding keturunan
atau kaum semata-mata. Menurut Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 160,
dinyatakan bahawa:
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan —(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;
Sebelum kemerdekaan Tanah
Melayu dan wujudnya Perlembagaan Persekutuan, definisi orang Melayu sebenarnya
telah diikat dengan agama Islam, kebiasaannya berbahasa dan
mengamalkan adat budaya Melayu. Ketika itu orang Melayu dikenali terbahagi
kepada beberapa kelompok iaitu Melayu Anak Jati (seperti Melayu Kelantan,
Melayu Kedah, Melayu Terengganu, Melayu Perak dan sebagainya), Melayu Anak
Dagang (seperti mereka dari rumpun Melayu dari etnik berketurunan Jawa, Bugis,
Banjar, Acheh, Sunda, Rawa, dan sebagainya) dan Melayu Peranakan (seperti
Melayu lahir hasil perkahwinan campur dengan bangsa selain rumpun Melayu iaitu
Turki, Arab, India, Cina dan sebagainya).
"Pengertian Melayu dalam maksud satu kelompok bangsa yang besar atau "ras" (race) atau "rumpun bangsa" (a racial stock) — Ia adalah istilah yang diguna pakai oleh penyelidik dalam bidang antropologi dan sosio-linguistik; juga digunakan oleh UNESCO merujuk kepada penduduk asal di Semenanjung dan Gugusan Kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Alam Melayu atau the Malay World. Ia adalah konsepsi budaya yang tidak menjadikan agama Islam sebagai salah satu takrifan Melayu seperti orang Filipina, etnik Batak atau Bali dan penduduk asal di Pulau Taiwan dikategorikan sebagai "rumpun Melayu". Salah satu unsur persamaan mereka ialah bertutur dalam bahasa dari cabang atau rumpun bahasa induk Austronesia atau Melayu-Polinesia.
"Kumpulan-kumpulan yang tergolong dalam ras atau rumpun Melayu itu termasuklah penduduk pribumi Pulau Taiwan yang bukan dari bangsa Han (China), etnik Cham dan beberapa suku bangsa asal-pribumi di Semenanjung Indo-China (Vietnam dan Kemboja), etnik keturunan Melayu Patani di Thailand, seluruh penduduk asal di Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei serta suku bangsa Merina di Pulau Malagasi (Madagascar). Saudara terdekat kepada rumpun atau ras Melayu itu ialah bangsa Polinesia yang tersebar secara meluas di Kepulauan Pasifik sehingga ke Pulau Hawaii, New Zealand, dan lain-lain lagi, dipercayai berasal dari Alam Melayu dan mempunyai akar bahasa yang sama, iaitu Austronesia." [Petikan dari Prof Dato Dr Wan Hashim Wan Teh, Rumpun Melayu: Teori Migrasi Dan Diaspora, hlm 18, Penerbit USIM, 2012]
Sebahagian kelompok yang bukan dari
rumpun Melayu yang telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu turut diterima
sebagai sebahagian daripada mereka. Kelompok ini telah sebati dengan orang
Melayu melalui kesamaan pegangan agama Islam, dan kebiasaan mereka menggunakan
Bahasa Melayu dan mengamalkan sebahagian adat budaya Melayu. Sebagai contoh
kelompok pendakwah dan pedagang dari Hadraumaut (Yemen), Peshawar (India,
sekarang Pakistan), Kerala (India), Istanbul (Turki) dan lain-lain. Mereka ini
walaupun bukan dari rumpun Melayu tetapi tetap diterima sebagai orang Melayu
kerana mereka merupakan penganut agama Islam yang sanggup mengenepikan
sebahagian identiti tanah asal mereka untuk berasimilasi dengan penduduk Melayu
setempat.
Kesediaan kelompok minoriti Islam ini untuk 'menjunjung agama, bahasa dan budaya setempat' inilah yang membezakan mereka dengan kaum pendatang lain seperti Cina dan India yang bukan beragama Islam. Sebaliknya kaum pendatang dari Tanah Besar Cina dan India tetap mahu mengekalkan identiti tanah asal mereka. Kiblat politik dan bahasa mereka ketika itu masih merujuk kepada tanah asal mereka. Keengganan mereka berasimilasi dengan penduduk Melayu (majoriti dan penduduk asal Tanah Melayu) menjadikan mereka tetap dikira sebagai bangsa pendatang ketika itu, walaupun telah bermastautin berpuluh-puluh tahun di Tanah Melayu.
Sebaik sahaja Tanah Melayu merdeka, tiada lagi istilah
Melayu Anak Jati, Melayu Anak Dagang atau Melayu Peranakan. Semua mereka telah
diterima sebagai orang Melayu tanpa mengira apa jua asal usul dan keturunan
mereka. Mereka menikmati hak istimewa orang Melayu sepertimana termaktub dalam
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (hari ini Malaysia, sebelumnya Persekutuan
Tanah Melayu). Sementara kaum pendatang bukan Islam dari kaum Cina dan India
pula telah menikmati taraf kewarganegaraan melalui prinsip 'Jus Soli'
dalam Perkara 170 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (peruntukan sementara
ini telah dimansuhkan) dan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka dengan aman
dalam Perkara 3(1) dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Keistimewaan atau 'give and take' ini merupakan sebahagian daripada
kontrak sosial dalam Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia).
Bagi sebahagian kaum Cina dan India
yang beragama Islam di Tanah Melayu sebelum merdeka yang masih mahu mengekalkan
identiti tanah asal (bahasa dan budaya) nenek moyang, mereka tidak dipaksa
untuk menisbahkan diri mereka sebagai orang Melayu. Selepas merdeka, mereka
boleh terus dikenali sebagai kaum Cina Muslim atau India Muslim yang memegang
status bukan Melayu dan Bumiputera.
Selepas merdeka juga, kaum Cina dan India telah
diberikan kebebasan untuk mengadakan sekolah vernakular berasaskan kaum mereka
seperti SRJK Cina dan Tamil. Tidak ada sebuah pun negara di dunia seperti
Malaysia di mana kerajaan memberikan bantuan kewangan yang banyak setiap tahun
kepada sekolah vernakular sebegini.
Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu
Melayu silam yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Pattani (sekarang di
bawah Thailand). - Gambar hiasan dari filem Langkasuka
Berbalik kepada polemik isu
identiti orang Melayu, anggapan sesetengah pihak bahawa Melayu juga merupakan
golongan pendatang adalah tidak benar jika mereka mengkaji dan memahami sejarah
peradaban, antropologi, adat budaya serta kajian saintifik (arkeologi dan
genetik) Melayu. Manusia dari rumpun Melayu sudah mendiami benua Sunda sejak 60
ribu hingga 70 ribu tahun yang lalu. Rumpun inilah yang membentuk identiti
dominan bangsa Melayu di Malaysia hari ini. Kajian mtDNA oleh pakar genetik
Universiti Oxford, Dr Stephen Oppenheimer dan beberapa penyelidik lain telah
mengesahkan bahawa nenek moyang orang Melayu ialah penduduk asal negara ini
(Tanah Melayu/Malaysia) dan telah mendiaminya sejak lebih 25 ribu tahun yang
lalu.
Sila rujuk http://www.bradshawfoundation.com/journey/
Pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati bahawa
masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang mendiami Benua Sunda adalah
merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum (rumpun) Melayu
hari ini.
Fakta sejarah moden juga membuktikan bahawa wilayah atau Tanah Melayu sebelum berlakunya penjajahan adalah merangkumi Semenanjung Tanah Melayu (dari Segenting Krai di Selatan Thai hinggalah ke Singapura), Kepulauan Lingga-Riau, Pantai Timur Sumatera, sebahagian Jawa Barat dan sebahagian kepulauan Borneo/Brunei.
Keratan laporan akhbar Berita Harian bertarikh 4 Ogos 2011 bertajuk "Melayu Kelantan 60,000 tahun: Kajian USM dapati sub-etnik penduduk paling asal di Semenanjung".
Lebih lama dari itu ialah fakta
sejarah terkenal mengenai Srivijaya, sebuah empayar maritim etnik Melayu purba
yang agung berpusat di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke-7
hingga ke-14. Bahkan sebelumnya, beberapa kerajaan Melayu awal sudah bertapak
di Tanah Melayu seperti Gangga Negara di Perak (kurun ke-2 hingga kurun ke-11),
Langkasuka di Pattani (kurun ke-2 hingga kurun ke-14), Pan Pan di Pantai Timur
Semenanjung Tanah Melayu (kurun ke-3 hingga kurun ke-5) dan Kedah Tua (kurun
ke-5 hingga kurun ke-14).
Peta Kerajaan Melayu Srivijaya yang kini sebahagian menjadi wilayah Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Selepas kejatuhan Srivijaya, muncul
Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada awal kurun ke-15.
Parameswara merupakan keturunan pemerintah Kerajaan Melayu Srivijaya yang
berasal dari Palembang, Sumatera. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa
Palembang ialah wilayah etnik Melayu sama seperti Semenanjung Tanah Melayu dan
wilayah-wilayah etnik Melayu lain. Tidak timbul dakwaan kononnya orang Melayu
ini pendatang dari Sumatera kerana sebelum adanya persempadanan negara bangsa
seperti hari ini, kawasan itu juga merupakan wilayah orang (etnik) Melayu.
Orang Melayu (genetik etnik Melayu) bukan saja wujud di Sumatera, tetapi mereka
juga sudah lama mendiami kawasan-kawasan di Semenanjung Tanah Melayu seperti
Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu sejak puluhan ribu tahun dahulu
lagi.
Orang Melayu sifatnya suka berhijrah, bermigrasi, merantau dari satu tempat ke satu tempat yang lain terutama dalam wilayah mereka seperti orang Melayu di seberang Sumatera, Jawa Barat berlayar merentasi ke negeri-negeri Pantai Barat di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga pergerakan antara orang Melayu di Kelantan ke wilayah Melayu di Pattani atau sebaliknya. Wilayah-wilayah asal Melayu itu hanya dipisahkan akibat daripada penjajahan dan perjanjian-perjanjian pihak penjajah seperti Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Perpecahan sempadan wilayah Melayu inilah menyebabkan ramai mereka yang tidak celik sejarah ini menyangka Melayu itu pendatang dari Sumatera (kerana Parameswara dari Palembang) dan majoriti orang Pattani itu bukan orang Melayu.
Dakwaan bahawa Melayu adalah golongan pendatang sama seperti
kaum Cina dan India tidak benar kerana wilayah etnik keturunan atau kaum Melayu
itu sendiri sangat luas. Ia merangkumi bukan sahaja Malaysia bahkan sebahagian
wilayah Thailand dan Indonesia hari ini. Malah, hakikatnya ia lebih luas lagi
jika merujuk kepada rumpun Melayu iaitu yang terdapat seluruh Pentas Sunda dan
wilayah-wilayah sekitarnya termasuk di Filipina, negara-negara Indo-China dan
Taiwan.
Janganlah mempersoalkan nilai kemelayuan seseorang
biarpun nenek moyang mereka berasal dari Pulau Jawa, Sulawesi, Kerala, Nanning,
Hadramaut, Peshawar atau Istanbul! Nilai kemelayuan mereka telah diiktiraf dari
sudut Perlembagaan Persekutuan dan penerimaan oleh masyarakat Melayu setempat
sejak sebelum kita merdeka lagi. Halnya kerana kesanggupan dan kesediaan mereka
berasimilasi dengan menjunjung agama, bahasa dan budaya Melayu! Namun jangan
pula menafikan bahawa kaum atau keturunan Melayu yang jati itu tidak wujud!
Keturunan atau genetik tulen Melayu yang bukan hasil daripada asimilasi atau
pengiktirafan Perlembagaan telah lama wujud di negara ini sejak puluhan ribu
lamanya dan telah dibuktikan melalui kajian saintifik.
Sebenarnya konsep bangsa Melayu di Malaysia
lebih merujuk kepada identiti budaya anak watan atau tanahair (penduduk asal)
serta ikatannya kepada agama Islam. Konsep ini tidak sama seperti konsep
perkauman sempit yang hanya bersifat keturunan, ras dan etnik semata-mata.
Konsep bangsa Melayu yang dinamik sebeginilah bertepatan dengan konsep 'asobiyyah'
(dengan maksud yang baik dan asas pembinaan tamadun) yang dinyatakan oleh
sarjana Islam agung, Ibnu Khaldun RH dalam kitabnya, Al Muqaddimah. Uniknya di
Malaysia, keturunan Jawa, Sunda, Bugis, Melanau, Kadazan-Dusun, Bajau, Arab,
India-Muslim dan pelbagai lagi suku kaum akan dikenali sebagai orang Melayu
sekiranya mereka beragama Islam dan sanggup berasmilasi dengan bahasa dan
budaya etnik Melayu. Berbeza pula di Indonesia, orang Melayu merupakan suku
kaum yang berbeza dari suku-suku kaum tersebut. Suku Melayu ialah suku bangsa
Indonesia yang keempat terbesar selepas Jawa, Sunda dan Tionghua.
Apapun hakikatnya semua suku bangsa dan etnik pribumi sebahagian besar rantau Asia Tenggara seperti Kepulauan Melayu atau "Malay Archipelago" (seluruh Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, Singapura dan Filipina) dan sebahagian kawasan di Indo-China (Vietnam dan Kemboja) merupakan rumpun atau ras Melayu. Begitu juga penduduk pribumi di Pulau Taiwan dan Pulau Malagasi (Madagascar), mereka juga merupakan rumpun dan ras Melayu.
Jumaat, 4 April 2014
Misi SAR MH370: Rahsia Di Sebalik Kapal Selam
“The value of a
submarine is in its stealth and its ability to stay hidden - Nilai sesebuah kapal selam adalah
terdapat pada kehalimunannya dan kemampuan ia berada secara sembunyi,” kata
Eric Wertheim, seorang penganalisis dan pakar ketenteraan laut United States
Naval Institute di Annapolis, Md.
Katanya lagi, “It
could very well be doing it. But countries don't typically announce their
submarine’ locations - Ia
dengan baik boleh melakukannya. Bagaimanapun negara-negara terbabit biasanya
tidak mengumumkan lokasi kapal selam mereka.”
Orang yang naif tentang pengetahuan
persenjataan tidak akan faham kenapa 'keringat' dua kapal selam jenis tempur (attack
submarine) kelas Scorpène kepunyaan negara tidak 'ditonjolkan' kepada
khalayak termasuk beroperasi ketika insiden di Lahad Datu dan terbaru operasi
mencari dan menyelamat (SAR) MH370.
Pergerakan dan operasi aset
strategik pertahanan negara seperti kapal selam diesel-elektrik, KD Tunku Abdul
Rahman dan KD Tun Abdul Razak ini perlu mengambil kira isu-isu kerahsiaan yang
mungkin mendedahkan ia bocor kepada pihak tertentu. Sifat dan kekuatan sesebuah
kapal selam itu terserlah kepada tahap kehalimunannya dan kemampuan untuk
bersembunyi.
KD Tunku Abdul Rahman belayar
bersebelahan KD Tun Razak, berdekatan Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah.
Kepada orang yang naif, tak usah
bicara kepada pertimbangan seperti risiko ciri-ciri kerahsiaan dan kemampuan
sebenar kapal selam negara terdedah sepanjang operasi SAR jika ia dibuat secara
terbuka, di masa tentera laut pelbagai negara menyertai operasi terbabit.
Kapal Selam dan Acoustic Signature
Isu seperti kemungkinan acoustic signature yang dihasilkan kapal selam tersebut
akan dirakamkan oleh pihak tentera negara lain pun mereka tidak akan faham.
Sekiranya rahsia kemampuan aset strategik pertahanan terdedah, tiada lagi
gahnya sebuah kapal selam untuk menjaga perairan negara apabila diancam pihak
asing kelak, nauzubillahi min
zaalik.
Acoustic signature menjadi isu sensitif bagi
pengendalian kapal selam oleh tentera laut mana-mana negara, contohnya
peristiwa cubaan tentera Rusia untuk merakam acoustic
signature kapal selam kelas
Vanguard milik Tentera Laut Diraja British yang dikesan pada tahun 2010 seperti
dilaporkan oleh akhbar harian Britain, The Daily Telegraph. Kapal selam kelas
Vanguard merupakan satu kelas kapal selam peluru berpandu balistik (SSBN)
berkuasa nuklear yang kini digunakan oleh Britain.
Pertimbangan sebegini sememangnya sesuatu yang penting
untuk diambil kira oleh mana-mana tentera laut sekalipun kapal selam mereka
mempunyai kemampuan untuk operasi SAR MH370 sepertimana HMS Tireless (S880
milik Tentera Laut Diraja British.
Di Mana Kapal Selam AS, China dan Australia, Dan Kenapa
HMS Tireless?
Bagi HMS Tireless (S88) pula,
mungkin pengumuman penglibatannya dibuat secara terbuka tidak menjadi suatu
masalah kerana kapal selam nuklear kelas Trafalgar, HMS Tireless (S88) ini akan
dilucut tauliahkan (decommissioned) dalam masa terdekat. Kapal selam itu
dilaporkan oleh BBC sepatutnya dilucut tauliahkan pada tahun 2013 lalu.
HMS Tireless (S88) telah ditauliahkan (commissioned) pada tahun 1985. Mungkin HMS Tireless (S88) ini akan berbakti untuk hari-hari terakhir sebelum khidmatnya ditamatkan. Kapal selam itu sebenarnya bukan lagi aset strategik pertahanan Tentera Laut British.
Untuk rekod, Tentera Laut Diraja Australia mempunyai enam
kapal selam diesel-elektrik. Tentera Laut Amerika Syarikat mempunyai 72 kapal
selam. Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China pula mempunyai lebih 60
kapal selam. Ketiga-tiga negara tersebut terlibat aktif dalam SAR MH370 tetapi
sehingga kini tidak pernah mengumumkan penggunaan kapal selam mereka dalam
operasi terbabit setakat ini! Kita boleh pasti negara mana antara ketiga-tiga itu mempunyai kapal selam yang lebih canggih dan berkeupayaan dari Britain dan Malaysia sendiri.
Bagi operasi SAR di Lautan Hindi ini tentunya kapal selam nuklear lebih sesuai berbanding kapal selam diesel-elektrik. Kapal selam nuklear seperti HMS Tireless boleh menyelam sehingga 90 hari bergantung kepada bekalan makanan tanpa perlu timbul pada kedalaman melebihi kapal selam diesel-elektrik.
Malaysia dan Australia tidak mempunyai kapal selam berkuasa nuklear. Dua kapal selam kelas Scorpène milik Malaysia dan enam kapal selam kelas Collins milik Australia merupakan kapal selam berkuasa diesel-elektrik. Kesemua 72 kapal selam milik Amerika Syarikat adalah kapal selam nuklear. China pula dilaporkan mempunyai 12 kapal selam nuklear dari lebih 60 kapal selam yang dimiliki.
Barangkali ada antara negara-negara ini telah pun menggerakkan kapal selam mereka secara senyap-senyap untuk operasi SAR MH370 ini, kita sendiri tidak tahu.
Bagi operasi SAR di Lautan Hindi ini tentunya kapal selam nuklear lebih sesuai berbanding kapal selam diesel-elektrik. Kapal selam nuklear seperti HMS Tireless boleh menyelam sehingga 90 hari bergantung kepada bekalan makanan tanpa perlu timbul pada kedalaman melebihi kapal selam diesel-elektrik.
Malaysia dan Australia tidak mempunyai kapal selam berkuasa nuklear. Dua kapal selam kelas Scorpène milik Malaysia dan enam kapal selam kelas Collins milik Australia merupakan kapal selam berkuasa diesel-elektrik. Kesemua 72 kapal selam milik Amerika Syarikat adalah kapal selam nuklear. China pula dilaporkan mempunyai 12 kapal selam nuklear dari lebih 60 kapal selam yang dimiliki.
Barangkali ada antara negara-negara ini telah pun menggerakkan kapal selam mereka secara senyap-senyap untuk operasi SAR MH370 ini, kita sendiri tidak tahu.
Kalau Tidak Tahu, Lebih Baik Diam!
Mereka yang suka mengkaji dan tidak
berlagak pandai mengalahkan mereka yang arif dengan sistem pertahanan laut,
pasti akan dapat memahami rasional kenapa tentera-tentera laut yang dinyatakan
itu tidak tergesa-gesa untuk menghantar kapal selam mereka!
Janganlah kita suka mempersenda dan memperendahkan
kemampuan tentera kita sendiri jika tidak mempunyai pengetahuan tentang apa
yang dibicarakan itu, biarpun kita seorang pemegang ijazah PhD dalam bidang
agama sekalipun!
Imam An Nawawi RH menyebutkan:
وأما
قوله صلى الله عليه و سلم فليقل خيرا أو ليصمت فمعناه أنه اذا أراد أن يتكلم فإن
كان ما يتكلم به خيرا محققا يثاب عليه واجبا اومندوبا فليتكلم وان لم يظهر له أنه
خير يثاب عليه فليمسك عن الكلام سواء ظهر له أنه حرام أو مكروه أو مباح مستوي
الطرفين فعلى هذا يكون الكلام المباح مأمورا بتركه مندوبا إلى الإمساك عنه مخافة
من انجراره إلى المحرم أو المكروه وهذا يقع في العادة كثيرا أو غالبا
“Adapun sabda Rasulullah SAW: “Maka hendaklah dia berkata yang
baik atau hendaklah dia diam”, maka maknanya adalah jika dia ingin berbicara,
maka, jika apa yang dia bicarakan itu adalah sebuah kebaikan yang diharapkan,
diberikan pahala atasnya, baik berupa yang perkataan yang wajib atau
dianjurkan, maka hendaklah ia berkata-kata, dan jika tidak terlihat untuknya,
bahawa perkataan tersebut adalah sebuah kebaikan yang diberikan pahala atasnya,
maka hendaklah ia menahan dari perkataan, baik terlihat untuknya bahawa ia
adalah perkataan yang haram atau makruh atau harus,
sama sisi keduanya, oleh kerana itu, perkataan yang baik diperintahkan untuk
meninggalkannya, dianjurkan untuk menahannya, kerana ditakutkan akan menariknya
kepada sesuatu yang haram atau yang makruh, dan hal ini sering terjadi dalam
kebiasaan.” [Lihat kitab Syarah An Nawawi ‘ala Shahih Muslim, 2/19]
MV Swift milik
Singapura
MV Mega Bakti milik
Malaysia
Ramai yang salah sangka bahawa Kapal MV Swift yang
dihantar oleh Singapura untuk operasi SAR di Laut China Selatan pada bulan lalu
merupakan kapal selam. Sebenarnya Kapal MV Swift bukan sebuah kapal selam
tetapi ia merupakan sebuah kapal sokongan dan penyelamat kapal selam -
Submarine Support & Rescue Vessel (SSRV).
Malaysia juga memiliki kapal
jenis penyelamat kapal selam dan ia telah digunakan dalam operasi SAR MH370 di
Laut China Selatan sebelum ini. Operasi kapal Malaysia itu telah pun bermula
sebelum Angkatan Laut Singapura (RSN) menghantar MV Swift SSRV lagi. Kapal
SubMarine Escape & Rescue (SMER) yang digunakan oleh Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) yang dimaksudkan itu ialah MV Mega Bakti.
Rabu, 28 Ogos 2013
Koreksi Politik Antarabangsa Syiah Iran dan Sandiwara Amerika
1. Pada 31 Julai 2006, Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 1696 dan
diikuti Resolusi 1737 (23 Disember 2006), Resolusi 1747 (24 Mac 2007), Resolusi
1803 (3 Mac 2008), Resolusi 1835 (2008) dan Resolusi 1929 (9 Jun 2010) yang
mengenakan sekatan ke atas Iran. Semua resolusi-resolusi ini diluluskan tanpa
bangkangan kuasa veto Rusia mahupun China. Justeru, pandangan sesetengah pihak
bahawa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak mungkin menyerang Iran kerana negara
itu dilindungi oleh Rusia dan China adalah tidak benar. Apatah lagi, AS pernah
mengambil tindakan unilateral tanpa mandat Majlis Keselamatan
PBB apabila menyerang dan menakluk Afghanistan (2001) dan Iraq (2003) atas
alasan untuk memerangi keganasan.
2. Sejak Revolusi Iran 1979, AS telah dilihat
memimpin usaha antarabangsa untuk mengenakan sekatan terhadap Iran bagi
mempengaruhi polisi negara tersebut, termasuk dengan cara mewujudkan persepsi
negatif terhadap program pengkayaan uranium oleh Iran. Ia telah dibayangi
dengan kebimbangan program tersebut bertujuan untuk membangunkan keupayaan
membina senjata nuklear.
Propaganda Senjata Nuklear Iran
3. Hakikatnya pada 2009, Ketua Pengarah
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ketika itu, Mohamed El Baradei yang
mengetuai siasatan antarabangsa telah mengesahkan tiada bukti kukuh menunjukkan
Iran membangunkan senjata nuklear. Menurut El Baradei, dakwaan terhadap
Iran oleh Barat bahawa negara tersebut sedang membangunkan senjata nuklear satu
perkara yang sengaja diperbesarkan tanpa disandarkan kepada fakta. Kenyataan
ini turut disokong oleh Ketua Pengarah IAEA sekarang, Yukiya Amano. Bekas Ketua
Pengarah IAEA sebelum El Baradei, Dr. Hans Blix juga pernah menyatakan bahawa
Iran tidak pernah melanggar Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear
(NPT) dan tiada sebarang bukti menunjukkan Iran sedang membangunkan senjata
nuklear. Realiti ini juga telah diakui oleh Pengarah Perisikan Kebangsaan AS
sendiri, James Clapper yang pernah memberi keterangan pada Mac 2011 bahawa
beliau mempunyai yakin bahawa Iran tidak pernah mengusahakan pembangunan
senjata nuklear, walaupun dia berkata pihak perisikan tidak tahu sama ada Iran
mempunyai tujuan ke arah itu.
4. Saya tidak pernah mengatakan bahawa Iran
hanya berpura-pura menjadi musuh kepada AS atau Israel. Sebaliknya, saya
berpendapat bahawa hubungan dan tindak-tanduk AS (baca bersama Israel) terhadap
Iran adalah suatu bentuk retorik, propaganda dan ‘permainan wayang’
semata-mata. Pendapat saya ini adalah menjurus dalam konteks strategi
geo-politik (termasuk yang paling utama ialah tujuan AS untuk memastikan
keselamatan Israel, mengekalkan hegemoni mereka di rantau Arab, serta
menghalang kemaraan Islam – baca Sunni di Barat) di kepentingan ekonomi mereka.
Peranan Kuasa Besar Dunia AS, Rusia dan China
5. Untuk pengetahuan saudara, Rusia hari ini
adalah berbeza dengan Kesatuan Soviet. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada
tahun 1991, Perang Dingin yang bermula sejak 1947 telah pun berakhir. Pengaruh
Rusia tidak lagi segah semasa Kesatuan Soviet dulu. Sebaliknya, China dilihat
paling berpotensi untuk mengambil alih pengaruh yang pernah mereka miliki itu,
malah tidak mustahil China mampu menggantikan kedudukan AS yang menunggu masa
untuk tumbang. Adapun sesetengah tindakan Rusia dan China yang dilihat
cenderung memihak kepada Iran, ia bukanlah bermakna mereka secara mutlak
sentiasa mempertahankan negara Parsi tersebut. Sebaliknya, persepsi yang
mengatakan Rusia dan China akan menghalang sebarang usaha menyerang Iran melalui
penggunaan kuasa veto adalah sebahagian dari perang saraf kuasa-kuasa besar itu
sendiri untuk memperkuatkan pengaruh mereka di rantau Asia dan dunia.
Wakil Tetap Rusia, Vitaly Churkin dan
Wakil Tetap China, Zhang Yesui di Majlis Keselamatan PBB
6. Realitinya, Rusia dan China, yang
merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak pun menggunakan kuasa veto
mereka bagi menghalang resolusi-resolusi yang meluluskan sekatan terhadap Iran.
Sekali lagi saya ulangi, berdasarkan sejarah, AS sebenarnya tidak memerlukan
mandat antarabangsa untuk melakukan sebarang tindakan ketenteraan terhadap
mana-mana negara, dan mereka banyak kali melakukan tindakan unilateral terhadap
negara lain termasuk negara yang mempunyai hubungan baik dengan Rusia iaitu
Iraq pada tahun 2003.
Mengapa AS tidak menyerang Iran?
7. Jika AS benar-benar berpendirian bahawa
Iran merupakan negara yang sangat berbahaya dan digambarkan sebagai Paksi
Kejahatan (Axis of Evil) selain Iraq dan Korea Utara oleh bekas
Presidennya, George W. Bush, maka AS sepatutnya telah melakukan tindakan
ketenteraan di negara Syiah tersebut. Berbeza dengan Korea Utara, AS khuatir
dengan ancaman perang nuklear bakal berlaku sekiranya negara itu diserang.
Kewujudan senjata nuklear Korea Utara telah disahkan oleh Barat melalui bukti
imej satelit dan ia turut diakui secara terbuka oleh pemerintah Korea Utara.
Negara sosialis itu turut mempunyai hubungan baik dengan dua kuasa besar iaitu
Rusia dan China yang bersempadan dengannya. Keupayaan peluru berpandu antara
benua (ICBM) Korea Utara dikatakan mampu menjangkau ke wilayah pantai barat AS
termasuk Kepulauan Hawaii. Faktor-faktor inilah menjadi penyebab utama, AS
sehingga kini tidak berani mengambil tindakan ketenteraan ke atas Korea Utara.
Hal yang sama berlaku ke atas Iran juga berlaku dalam kes Korea Utara, kuasa
veto Rusia dan China juga tidak digunakan untuk menghalang resolusi-resolusi
sekatan terhadap negara sosialis Korea itu. Justeru, alasan bahawa Rusia dan
China pasti akan mempertahankan Iran dan Korea Utara di Mesyuarat Majlis
Keselamatan PBB adalah tertolak.
8. Jika dalam kes Korea Utara, AS tidak
berani menyerang negara terbabit kerana Korea Utara sememangnya mempunyai
senjata nuklear, alasan yang sama tidak releven untuk Iran. Dalam kes Iran
ini, seperti dinyatakan sebelum ini hasil penyiasatan-penyiasatan IAEA dan PBB
(malah pernah diakui Pengarah Perisikan Keselamatan AS sendiri) telah
disimpulkan bahawa tidak wujud program pembangunan senjata nuklear di negara
tersebut.
9. Saya konsisten dalam pendirian saya
sebelum ini bahawa situasi yang berlaku di rantau Arab, Timur Tengah dan Teluk
dalam beberapa dekad kebelakangan ini adalah lebih melibatkan strategi politik
kuasa besar dunia (AS, Rusia dan China), kerajaan negara-negara Arab dan
kebangkitan kumpulan Syiah. Di samping itu faktor ekonomi juga menjadi antara
elemen penting dalam rangka kerja kuasa besar di situ yang mana memiliki
simpanan sumber minyak terkaya di dunia.
Kemaraan Syiah perlu dikekang di Semenanjung
Arab
10. Seperti yang telah dinyatakan sebelum
ini, kerajaan-kerajaan Arab dengan pemerintahan beraja di rantau Teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai kebimbangan yang
munasabah dan mereka memikirkan langkah perlu diambil bagi menyekat kemaraan
kumpulan pemberontak dan penentang terutama dari minoriti Syiah (kecuali di
Bahrain, Syiah merupakan majoriti). Ketidak stabilan politik di negara mereka
akan menggugat kedudukan kuasa raja-raja Arab tersebut. Bukan sahaja ia menjejaskan
politik negara, ia secara langsung juga akan memusnahkan ekonomi negara-negara
teluk yang kaya itu dan merubah landskap sosial dan agamanya. Lebih
parah, Teori Domino kejatuhan mana-mana kerajaan
beraja di rantau itu pasti akhirnya akan menumbangkan pemerintahan beraja lain
termasuk Keluarga Diraja Saud di Arab Saudi. Kekacauan dan pertumpahan darah di
negara yang terletaknya dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah itu
pastinya akan merugikan umat Islam. Bukan sahaja ia mengganggu ibadah haji dan
umrah jutaan umat Islam setiap tahun tetapi juga mengakibatkan kematian mungkin
ratusan ribu rakyat tidak berdosa, selain menimbulkan persepsi negatif bukan
Islam terhadap umat Islam di Semenanjung Arab, tempat kelahiran Islam dan dua
kota suci itu.
11. Oleh sebab itulah, negara-negara Arab di
rantau Teluk dilihat mempunyai hubungan baik dengan AS, malah mereka sanggup
membenarkan penempatan tentera AS di negara mereka. Beberapa faktor yang
menatijahkan dasar luar mereka itu ialah disebabkan tidak mahu berkonfrontasi
dengan kuasa besar demi kelangsungan pemerintahan mereka. Mereka khuatir AS
bertindak melakukan regime change (perubahan rejim) seperti
mana berlaku di banyak negara yang berkonfrontasi dengan negara Uncle
Sam sama ada melalui dukungan politik, sekatan ekonomi atau tindakan
ketenteraan.
12. Saya membangkitkan persoalan di mana
tindakan Syria, Iran dan Hizbullah semasa penduduk Palestin diserang bagi
mengenepikan persepsi yang ditonjolkan oleh pihak tersebut dan penyokong mereka,
bahawa Syiahlah sebenar-benar pejuang Islam sejati yang berani mempertahankan
umat Islam dan melawan AS serta Israel. Hakikatnya, ia adalah sebaliknya.
Mereka sibuk mempromosikan Hari Al-Quds Sedunia yang digagaskan oleh Khomeini
tetapi fakta menunjukkan terlalu sedikit yang mereka lakukan untuk membantu
rakyat dan bumi Palestin. Seteruk-teruk raja-raja Arab, merekalah yang
menjuarai bantuan kemanusiaan dan dukungan politik kepada Palestin termasuk
Hamas dan Fatah. Sunnilah yang berjuang mempertahankan bumi Palestin dan
berusaha mengembalikan penguasaan di kota ketiga tersuci umat Islam iaitu
Baitulmuqqadis.
13. Presiden Iraq yang berfahaman Sunni dari Parti
Sosialis Ba’ath, Saddam Hussein mungkin dipandang buruk oleh sebahagian pihak.
Namun demikian, beliaulah pemimpin Arab yang berani bertindak balas dengan
melancarkan peluru berpandu Scud milik Iraq ke negara haram
Israel apabila rakyat Palestin diserang oleh tentera zionis. Ironinya, pemimpin
Syiah dari Parti Sosialis Ba’ath seperti Hafez Al-Assad dan kemudian anaknya
Bashar Al-Assad yang memimpin Syria, negara jiran kepada Israel dan Palestin
serta mempunyai kekuatan ketenteraan yang seimbang seperti Iraq tidak pernah
mengambil sebarang tindakan ketenteraan untuk menyokong rakyat Palestin seperti
mana dilakukan oleh Saddam. Begitu juga Iran yang kononnya digambarkan paling
berani di kalangan dunia Islam, juga tidak seberani Iraq di bawah Saddam
Hussein.
14. Saya tidak menafikan bahawa Saddam
Hussein bukanlah pemimpin yang mempunyai rekod bersih atau baik dalam
pemerintahannya. Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah bagi membuka minda
sesetengah pihak yang dimomok-momokkan bahawa Syiah Iran adalah negara Islam
sebenar dan dalam konfrontasi Iran dengan negara-negara Islam lain, Iran
sentiasa di pihak yang benar kerana keluhuran dasar luar mereka.
15. Mesej yang ingin disampaikan di sini
ialah sebarang ugutan AS mahu menyerang Iran hanya satu gimik dan aktiviti
dasar luarnya yang agresif ke atas Iran ketika ini lebih bersifat retorik dan
propaganda. Ia diambil untuk mengekalkan hegemoni mereka di rantau Timur Tengah
dan Teluk. Saya percaya bahawa AS tidak akan menyerang Iran kerana kewujudan
Kerajaan Syiah Iran penting dalam menimbulkan kebimbangan dan Syiahofobia di
kalangan negara-negara Arab terutama negara yang diperintah oleh dinasti raja. Kelompok minoriti Syiah memang diketahui dan terbukti dalam sejarah
Islam sentiasa mewujudkan pertelagahan dengan kerajaan yang dipimpin oleh
Sunni. Pertumpahan darah tidak dapat dielakkan apabila kehadiran mereka dalam
jumlah yang besar dalam wilayah Sunni.
16. Keadaan ini berlaku kerana akidah dan
amalan ritual Syiah itu sendiri bersifat sensitif kepada umat Islam apabila
mereka mencerca dan mengkafirkan para isteri dan sahabat Nabi r.a. seperti
A’isyah, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, ‘Uthman Ibnu ‘Affan dan
lain-lain. Umat Islam mana tidak marah atau tersinggung apabila tokoh terbilang
Islam diperlakukan sebegitu rupa. Ditambah lagi ‘fatwa-fatwa’ songsang dan
keterlaluan ulama Syiah seperti Khomeini dalam kitabnya, Al-Thaharah yang
menulis A’isyah, Zubair, Thalhah dan Muawiyyah lebih kotor dan keji daripada anjing dan
babi!
Bahaya Syiah kepada umat Islam
17. Benar kata-kata yang menyebut bahawa di
mana ‘ada’ Syiah di situ akan berlaku konflik dan perpecahan ketara antara umat
Islam. ‘Ada’ di sini adalah merujuk kepada kehadiran mereka dalam bilangan yang
agak besar dalam kawasan majoriti umat Islam.
18. Pengkafiran antara Sunni dan Syiah akan
melahirkan pertumpahan darah, apabila darah akan dianggap halal oleh kedua-dua
pihak yang bertelagah terutama apabila ‘sarang tebuan dijolok’ dengan
penghinaan yang keterlaluan terhadap Ummahat Al-Mukminin dan Khulafa’
Ar-Rasyidin. Sebaliknya, Sunni tidak pernah menghina mana-mana tokoh agung
Syiah dari kalangan Ahli Al-Bait serta keturunan Nabi Muhammad
S.A.W. Malah Sunni menyanjung dan menganggap nama-nama seperti Imam Zaid bin 'Ali dan Imam Ja'afar Ash-Shoodiq juga sebenarnya adalah
merupakan tokoh berwibawa dari kalangan mereka, bukannya tokoh Syiah Rafidhah seperti
didakwa.
19. Dalam saling berbunuhan dan saling berbalas serangan
ini, saya tidak hanya menyandarkan kepada keganasan oleh puak Syiah semata-mata
tetapi keganasan itu turut dilakukan oleh orang Sunni. Halnya berlaku seperti
apa yang saya nyatakan sebelum ini, mereka berbalas dendam bermula dengan
provokasi melampau dan tindakan Syiah yang ‘menjolok sarang tebuan’ dengan
isu-isu sensitif umat Islam. Isu-isu itu melibatkan penghinaan ke atas umat
Islam dan nyata bercanggah dengan akidah yang benar iaitu akidah Ahlus Sunnah
Wal Jama’ah. Kekarutan dan tokok-tambah dalam akidah seperti mewajibkan beriman
kepada rukun tambahan, Usūl al-Dīn mereka iaitu Al-Imāmah. Sesiapa yang tidak menurut dan
beriman kepada akidah mereka itu dianggap kafir, wajib dimusuhi dan akan
dihumban ke neraka. Walaupun ulama Sunni telah menghukum bahawa Syiah adalah sesat dan menyeleweng, tetapi mereka tidak sepakat dalam
mengkafirkan Syiah kerana Syiah juga mengucap kalimah syahadah. Hadith-hadith
shahih yang dipegangi Sunni menatijahkan ketetapan sebahagian ulama Sunni
bahawa sesiapa yang mengucap kalimah syahadah tetap dianggap sebagai saudara
seagama walaupun mereka menyeleweng akidah (tetapi menyembunyikannya secara
zahir). Seseorang boleh dihukum kafir hanya apabila tiada lagi hujah
menjustifikasi keIslaman dan keimanan mereka.
20. Kelicikan Syiah ialah mereka dapat meneruskan
kelangsungan fahaman mereka dalam masyarakat Islam melalui senjata taqiyyah.
Amalan taqiyyah menjadi satu syariat dan kewajipan bagi
penganut Syiah apabila berhadapan dengan Sunni. Mereka secara nyata
mengkafirkan Sunni seperti mana dijelaskan dalam kitab-kitab muktabar pegang
mereka tetapi kerana taqiyyah bagi mendekatkan (usaha taqrib)
Sunni-Syiah, mereka berpura-pura menerima Sunni sebagai saudara mereka. Hakikat
ini telah disedari oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Sheikh Dr.
Yusuf Al-Qaradhawi sendiri yang dahulu pernah menjuarai usaha taqrib Sunni-Syiah
di peringkat antarabangsa.
Ayatollah Seyyed Ali
Hosseini Khamenei merupakan pemimpin agung Iran kini yang
menggantikan Imam Ruhollah Khomeini
21. Tanpa kewujudan negara Syiah yang kuat
seperti Iran, kelompok Syiah di rantau Arab terutama negara-negara Arab beraja
tidak mampu berpaut dan dibantu sama ada dari sudut dana kewangan, psikologi
dan sokongan antarabangsa. Keresahan mereka tentang ancaman kelompok ini akan
hilang, maka kerajaan-kerajaan beraja di rantau Teluk mungkin tidak lagi
memerlukan kehadiran AS dalam mengekang ancaman negara Iran dan Syiah. Inilah
antara strategi geo-politik AS dan negara-negara Arab.
22. Rumusannya ialah AS masih memerlukan
kehadiran negara Iran bagi mewujudkan kebergantungan negara-negara Teluk yang
diperintah oleh raja-raja Arab terhadap ancaman kebangkitan kelompok Syiah yang
mula mendapat kembali nafas selepas Revolusi Iran pimpinan Khomeini. Tidak
boleh dinafikan lagi, Syiah dianggap ancaman besar kepada negara-negara Teluk
dengan pemerintahan beraja seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE. Enam buah negara ini telah membentuk satu pakatan
bersama melalui Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC). Ancaman
kelompok Syiah bukan perkara baru dalam dunia Islam, bahkan ia telah tercatat
dalam sejarah lampau kerajaan Islam sejak zaman Khulafa’
Ar-Rasyidin lagi yang mengakibatkan pertumpahan darah banyak berlaku
kerana konfrontasi Syiah dan pemerintah. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan
tentera Mongul Tartar juga berpunca dari pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah
bernama Alauddin Ibnu Al-Alqami dan seorang menteri Syiah bernama Nashiruddin
Ath-Thusi. Di era moden ini, Iraq dan Afghanistan menjadi contoh bagaimana
kerjasama di sebalik tabir dan terbuka antara Syiah dan Amerika Syarikat telah
berjaya menumbangkan Kerajaan Saddam Hussein di Iraq dan Kerajaan Taleban di
Afghanistan. Sememangnya jelas kekhuatiran mereka ketika ini adalah berasas
jika dilihat kepada kegiatan-kegiatan anti-kerajaan yang digerakkan oleh
kumpulan Syiah terutama di Bahrain dan Arab Saudi beberapa tahun kebelakangan
ini.
Politiking Raja-Raja
Arab di Negara Teluk
23.
Pada masa yang sama AS bersama negara-negara Barat lain memanipulasikan
kesempatan ini untuk mengaut sebahagian kekayaan dan mengekploitasi hasil
minyak negara-negara Teluk terbabit. Selain itu, perlumbaan untuk membeli
kelengkapan persenjataan juga menguntungkan mereka, kerana negara-negara Teluk
yang kaya sanggup berbelanja berbilion dolar AS setiap tahun untuk tujuan
menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan termasuk dari Iran dan Al-Qaeda. Negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, walaupun mempunyai hubungan diplomatik
dengan Iran, tetapi hubungan itu dianggap umpama ‘api dalam sekam’. Kehadiran
AS di rantau itu sebagai kuasa besar dengan mempunyai pangkalan tentera juga
turut mempengaruhi dasar luar kerajaan-kerajaan negara Teluk yang pro-Barat.
Enam pemimpin Sunni dalam Majlis Kerjasama Negara-negara
Arab Teluk (GCC) dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE bersidang di
Riyadh, Arab Saudi pada Mei 2012.
24. Justeru, saya berpendirian bahawa
perkembangan politik antara AS dan Iran yang agresif seolah-olah AS konon
terlalu ingin menghapuskan Iran dalam peta dunia adalah suatu ‘permainan
wayang’ kuasa dunia itu, dan kebanyakan perang mulut antara kedua-dua negara
terbabit adalah bersifat retorik semata-mata. Saya tidak menolak kemungkinan,
Iran mungkin akan dikenakan tindakan ketenteraan suatu hari nanti sekiranya
sebuah negara Syiah baru yang kuat berdiri di rantau tersebut, sebagai contoh
Iraq.
25. AS, Israel dan Barat mendapat keuntungan
dari pertelagahan Sunni-Syiah, dan mereka pasti tidak bersungguh-sungguh ke
arah menghapuskan salah satu pihak tersebut, melainkan membiarkan mereka
sendiri bertelagah yang akhirnya melemahkan kekuatan Islam sendiri. Perang
saudara berasaskan agama antara Sunni-Syiah lebih sukar ditamatkan berbanding
perang konvensional antara negara. Demikianlah realiti yang perlu difahami dan
telah pun difahami oleh musuh Islam sebagai senjata mereka menghadapi kemaraan
Islam di dunia.
26. ‘The
enemy of my enemy is my friend’ (musuh kepada musuhku adalah temanku) atau
dalam Bahasa Arabnya “عدو عدوي هو صديقي” pernah menjadi ungkapan popular yang
digunakan oleh wartawan kanan Barat semasa Perang Teluk 1 dahulu. Ungkapan yang
berasal dari pepatah Arab "أنا وأخي على ابن عمي
وأنا وابن عمي على الغريب"
merupakan kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi politik
negara Teluk ketika ini. Negara Syiah Iran walaupun dilihat bermusuh dengan AS,
tetapi pada masa yang sama mereka boleh menjadi rakan subahat antara satu sama
lain apabila ‘menganyang’ Sunni seperti mana telah berlaku di Iraq. Begitu juga
sebaliknya berlaku kepada negara-negara Teluk di bawah pemerintahan Sunni,
mereka juga dilihat sanggup bersekongkol dengan AS untuk menghalang kemaraan
Syiah yang mengancam pemerintahan dan negara Sunni.
Nota kaki:
Umumnya,
para ulama telah membahagikan Syiah kepada tiga kelompok yang terbesar. Antara
kelompok Syiah tersebut adalah Syiah yang melampau (al-Ghaliyah), Syiah
Al-Imamiyyah dan Syiah Al-Zaidiyyah. Daripada tiga kelompok
tersebut, terdapat banyak lagi kelompok Syiah yang terpecah daripadanya. Syiah
Al-Imamiyyah mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah penganut Syiah di
seluruh dunia. Mereka menjadi kumpulan majoriti di Iran, Iraq, Azerbaijan dan
Bahrain serta membentuk 27 peratus penduduk Lubnan. Pengikut Alevi di
Turki dan Albania serta Alawi di Syria, turut menisbahkan diri mereka
sebagai Syiah Al-Imamiyyah, walaupun mereka mempunyai perbezaan ketara
daripada Syiah Al-Imamiyah arus perdana. Penganut Syiah Al-Imamiyyah
membentuk kumpulan minoriti di India, Pakistan, Afghanistan, Kuwait, Qatar, UAE
dan Arab Saudi. Menurut al-Asy`ari, gelaran “al-Imamiyyah” digunakan
bagi merujuk kelompok Syiah Al-Imamiyyah disebabkan mereka mendakwa bahawa
kepimpinan Sayyidina Ali merupakan suatu perkara yang telah dinaskan. Mereka
juga telah dinamakan sebagai Syiah Al-Rafidhah kerana mereka menolak kepimpinan
(imamah) Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Selain itu, menurut Ibn
Khaldun, perkataan “Al-Imamiyyah” digunakan bagi merujuk golongan Syiah
al-Imamiyyah kerana mereka memasukkan keyakinan terhadap imam sebagai salah
satu daripada syarat keimanan.
Penganut
Syiah al-Zaidiyyah pula ramai terdapat di Yaman. Golongan ini merupakan
pengikut Zaid bin `Ali bin Al-Husain bin `Ali bin Abi Talib. Mereka merupakan
golongan Syiah yang paling hampir dengan Ahlus Sunnah Wa Jama’ah dan tidak
mengkafirkan para sahabat. Ini adalah kerana, mereka berpegang dengan konsep جواز إمامة المفضول مع قيام الأفضل. Berdasarkan pegangan ini juga, mereka tidak
mengkafirkan dan tidak melaknat Abu Bakr dan Umar. Selain berpegang dengan
konsep Al-Taqiyyah, mereka tidak mendakwa imam-imam mereka maksum dan
tidak juga mendakwa bahawa imam-imam mereka mampu menghilangkan diri seperti
mana yang telah diiktiqadkan oleh golongan Isma`iliyyah. Golongan ini terbahagi
kepada tiga kumpulan iaitu; Al-Jarudiyyah (pengikut Abi Al-Jarud), Al-Sulaymaniyyah
(pengikut Sulaiman bin Jarir al-Zaidi) – turut dikenali sebagai Al-Jaririyyah-
dan Al-Butriyyah pengikut Al-Hasan bin Saleh bin Hayy). Menurut Al-Baghdadi, golongan Al-Butriyyah dan
Al-Sulaimaniyyah menghukum kafir terhadap golongan Al-Jarudiyyah disebabkan
golongan Al-Jarudiyyah mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar,
manakala Al-Jarudiyyah pula telah menghukum kafir terhadap golongan Al-Sulaimaniyyah
dan Al-Butriyyah disebabkan mereka tidak mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina
Umar. Walau bagaimanapun ketiga-tiga golongan Syiah ini bersepakat dalam
mengatakan bahawa pelaku dosa besar akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.
Dalam hal ini, pendapat mereka tersebut didapati selari dengan golongan
Khawarij. Menurut Abu Zuhrah, Al-Zaidiyyah
terbahagi kepada dua; aliran Al-Mutaqaddimin dan Al-Muta’akhkhirin. Golongan
Syi`ah aliran Al-Mutaqaddimin tidak termasuk dalam kelompok Rafidah kerana
mereka masih mengiktiraf imamah Abu Bakr dan Umar. Manakala golongan Syiah
aliran Al-Muta’akhkhirin termasuk dalam kelompok Rafidhah kerana mereka menolak
imamah kedua-dua tokoh tersebut. Menurutnya lagi, Syiah Al-Zaidiyyah yang kini
berada di Yaman lebih hampir kepada Syiah al-Zaidiyyah aliran Al-Mutaqaddimin. Untuk
huraian lanjut, rujuk Ahmad Amin (1978), Duha al-Islam, j. 3, c. 12,
Kaherah : Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, hlm. 275-276; al-Baghdadi, `Abd
al-Qahir b. Tahir b. Muhammad (t.t), al-Farq bayn al-Firaq, Mesir :
al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, hlm. 31; Muhammad Abu Zuhrah (1996), op.cit., hlm.
46.
Golongan
Syiah yang melampau (Al-Ghaliyah) pula dikatakan telah pupus. Syiah Al-Ghaliyah merupakan golongan Syi`ah yang melampau dalam membesarkan Sayyidina
Ali. Selain mengangkat darjat Sayyidina Ali melebihi darjat kenabian, mereka
turut berpegang dengan iktikad Al-hulul dan Tanasukh Al-Arwah dengan
mendakwa bahawa Allah menyerap masuk ke dalam jasad Nabi Muhammad, Ali, Al-Hasan, Al-Husain dan Fatimah. Mereka turut mendakwa bahawa imam-imam
mereka adalah tuhan dan menyembahnya, manakala para pengikutnya adalah hamba bagi
tuhan tersebut. Di samping itu, mereka mengingkari hari kiamat, syurga dan
neraka dan berkeyakinan bahawa dunia ini tidak akan binasa. Mereka juga telah
menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti
perempuan-perempuan ajnabi, daging khinzir, arak dan judi. Menurut al-Asy`ari,
kelompok Syiah Al-Ghaliyah ini terpecah kepada lima belas kelompok iaitu; al-Bayaniyyah, Al-Janahiyyah, Al-Harbiyyah, Al-Mughiriyyah, Al-Mansuriyyah, Al-Khattabiyyah, Al-Ma`mariyyah, Al-Bazighiyyah, Al-`Umayriyyah, Al-Mufaddaliyyah, 11 (tiada
nama), 12 (tiada nama), al-Syari`iyyah, al-Saba‟iyyah dan 15 (tiada nama).
Untuk keterangan lanjut, rujuk; al-Asy`ari (1969), op.cit.,
hlm. 66-88.
Huraian lanjut baca di http://www.jais.gov.my/rnd/2012/januari/PerbezaanASWJ_Syiah.pdf
Huraian lanjut baca di http://www.jais.gov.my/rnd/2012/januari/PerbezaanASWJ_Syiah.pdf
*Artikel berasingan dengan topik "Pengaruh Ikhwanul Muslimin
dan Kemaraan Liberalisme di Dunia Arab" akan turut menyentuh politik
rantau Teluk, pemerintahan dinasti raja-raja Arab dan Syiah.
Langgan:
Catatan (Atom)
















