Rabu, 28 Ogos 2013

Koreksi Politik Antarabangsa Syiah Iran dan Sandiwara Amerika



1.   Pada 31 Julai 2006, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 1696 dan diikuti Resolusi 1737 (23 Disember 2006), Resolusi 1747 (24 Mac 2007), Resolusi 1803 (3 Mac 2008), Resolusi 1835 (2008) dan Resolusi 1929 (9 Jun 2010) yang mengenakan sekatan ke atas Iran. Semua resolusi-resolusi ini diluluskan tanpa bangkangan kuasa veto Rusia mahupun China. Justeru, pandangan sesetengah pihak bahawa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak mungkin menyerang Iran kerana negara itu dilindungi oleh Rusia dan China adalah tidak benar. Apatah lagi, AS pernah mengambil tindakan unilateral tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB apabila menyerang dan menakluk Afghanistan (2001) dan Iraq (2003) atas alasan untuk memerangi keganasan.

2.  Sejak Revolusi Iran 1979, AS telah dilihat memimpin usaha antarabangsa untuk mengenakan sekatan terhadap Iran bagi mempengaruhi polisi negara tersebut, termasuk dengan cara mewujudkan persepsi negatif terhadap program pengkayaan uranium oleh Iran. Ia telah dibayangi dengan kebimbangan program tersebut bertujuan untuk membangunkan keupayaan membina senjata nuklear. 
   
Propaganda Senjata Nuklear Iran 

3.   Hakikatnya pada 2009, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ketika itu, Mohamed El Baradei yang mengetuai siasatan antarabangsa telah mengesahkan tiada bukti kukuh menunjukkan Iran membangunkan senjata nuklear.  Menurut El Baradei, dakwaan terhadap Iran oleh Barat bahawa negara tersebut sedang membangunkan senjata nuklear satu perkara yang sengaja diperbesarkan tanpa disandarkan kepada fakta. Kenyataan ini turut disokong oleh Ketua Pengarah IAEA sekarang, Yukiya Amano. Bekas Ketua Pengarah IAEA sebelum El Baradei, Dr. Hans Blix juga pernah menyatakan bahawa Iran tidak pernah melanggar Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan tiada sebarang bukti menunjukkan Iran sedang membangunkan senjata nuklear. Realiti ini juga telah diakui oleh Pengarah Perisikan Kebangsaan AS sendiri, James Clapper yang pernah memberi keterangan pada Mac 2011 bahawa beliau mempunyai yakin bahawa Iran tidak pernah mengusahakan pembangunan senjata nuklear, walaupun dia berkata pihak perisikan tidak tahu sama ada Iran mempunyai tujuan ke arah itu.   

4.   Saya tidak pernah mengatakan bahawa Iran hanya berpura-pura menjadi musuh kepada AS atau Israel. Sebaliknya, saya berpendapat bahawa hubungan dan tindak-tanduk AS (baca bersama Israel) terhadap Iran adalah suatu bentuk retorik, propaganda dan ‘permainan wayang’ semata-mata. Pendapat saya ini adalah menjurus dalam konteks strategi geo-politik (termasuk yang paling utama ialah tujuan AS untuk memastikan keselamatan Israel, mengekalkan hegemoni mereka di rantau Arab, serta menghalang kemaraan Islam – baca Sunni di Barat) di kepentingan ekonomi mereka.

Peranan Kuasa Besar Dunia AS, Rusia dan China 

5.   Untuk pengetahuan saudara, Rusia hari ini adalah berbeza dengan Kesatuan Soviet. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Perang Dingin yang bermula sejak 1947 telah pun berakhir. Pengaruh Rusia tidak lagi segah semasa Kesatuan Soviet dulu. Sebaliknya, China dilihat paling berpotensi untuk mengambil alih pengaruh yang pernah mereka miliki itu, malah tidak mustahil China mampu menggantikan kedudukan AS yang menunggu masa untuk tumbang. Adapun sesetengah tindakan Rusia dan China yang dilihat cenderung memihak kepada Iran, ia bukanlah bermakna mereka secara mutlak sentiasa mempertahankan negara Parsi tersebut. Sebaliknya, persepsi yang mengatakan Rusia dan China akan menghalang sebarang usaha menyerang Iran melalui penggunaan kuasa veto adalah sebahagian dari perang saraf kuasa-kuasa besar itu sendiri untuk memperkuatkan pengaruh mereka di rantau Asia dan dunia.

 
Wakil Tetap Rusia, Vitaly Churkin dan Wakil Tetap China, Zhang Yesui di Majlis Keselamatan PBB

6.   Realitinya, Rusia dan China, yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak pun menggunakan kuasa veto mereka bagi menghalang resolusi-resolusi yang meluluskan sekatan terhadap Iran. Sekali lagi saya ulangi, berdasarkan sejarah, AS sebenarnya tidak memerlukan mandat antarabangsa untuk melakukan sebarang tindakan ketenteraan terhadap mana-mana negara, dan mereka banyak kali melakukan tindakan unilateral terhadap negara lain termasuk negara yang mempunyai hubungan baik dengan Rusia iaitu Iraq pada tahun 2003.

Mengapa AS tidak menyerang Iran? 

7.   Jika AS benar-benar berpendirian bahawa Iran merupakan negara yang sangat berbahaya dan digambarkan sebagai Paksi Kejahatan (Axis of Evil) selain Iraq dan Korea Utara oleh bekas Presidennya, George W. Bush, maka AS sepatutnya telah melakukan tindakan ketenteraan di negara Syiah tersebut. Berbeza dengan Korea Utara, AS khuatir dengan ancaman perang nuklear bakal berlaku sekiranya negara itu diserang. Kewujudan senjata nuklear Korea Utara telah disahkan oleh Barat melalui bukti imej satelit dan ia turut diakui secara terbuka oleh pemerintah Korea Utara. Negara sosialis itu turut mempunyai hubungan baik dengan dua kuasa besar iaitu Rusia dan China yang bersempadan dengannya. Keupayaan peluru berpandu antara benua (ICBM) Korea Utara dikatakan mampu menjangkau ke wilayah pantai barat AS termasuk Kepulauan Hawaii. Faktor-faktor inilah menjadi penyebab utama, AS sehingga kini tidak berani mengambil tindakan ketenteraan ke atas Korea Utara. Hal yang sama berlaku ke atas Iran juga berlaku dalam kes Korea Utara, kuasa veto Rusia dan China juga tidak digunakan untuk menghalang resolusi-resolusi sekatan terhadap negara sosialis Korea itu. Justeru, alasan bahawa Rusia dan China pasti akan mempertahankan Iran dan Korea Utara di Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB adalah tertolak.

8.   Jika dalam kes Korea Utara, AS tidak berani menyerang negara terbabit kerana Korea Utara sememangnya mempunyai senjata nuklear, alasan yang sama tidak releven untuk Iran.  Dalam kes Iran ini, seperti dinyatakan sebelum ini hasil penyiasatan-penyiasatan IAEA dan PBB (malah pernah diakui Pengarah Perisikan Keselamatan AS sendiri) telah disimpulkan bahawa tidak wujud program pembangunan senjata nuklear di negara tersebut.   
                
9.   Saya konsisten dalam pendirian saya sebelum ini bahawa situasi yang berlaku di rantau Arab, Timur Tengah dan Teluk dalam beberapa dekad kebelakangan ini adalah lebih melibatkan strategi politik kuasa besar dunia (AS, Rusia dan China), kerajaan negara-negara Arab dan kebangkitan kumpulan Syiah. Di samping itu faktor ekonomi juga menjadi antara elemen penting dalam rangka kerja kuasa besar di situ yang mana memiliki simpanan sumber minyak terkaya di dunia.

Kemaraan Syiah perlu dikekang di Semenanjung Arab 

10.   Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kerajaan-kerajaan Arab dengan pemerintahan beraja di rantau Teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai kebimbangan yang munasabah dan mereka memikirkan langkah perlu diambil bagi menyekat kemaraan kumpulan pemberontak dan penentang terutama dari minoriti Syiah (kecuali di Bahrain, Syiah merupakan majoriti). Ketidak stabilan politik di negara mereka akan menggugat kedudukan kuasa raja-raja Arab tersebut. Bukan sahaja ia menjejaskan politik negara, ia secara langsung juga akan memusnahkan ekonomi negara-negara teluk yang kaya itu dan merubah landskap sosial dan agamanya. Lebih parah, Teori Domino kejatuhan mana-mana kerajaan beraja di rantau itu pasti akhirnya akan menumbangkan pemerintahan beraja lain termasuk Keluarga Diraja Saud di Arab Saudi. Kekacauan dan pertumpahan darah di negara yang terletaknya dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah itu pastinya akan merugikan umat Islam. Bukan sahaja ia mengganggu ibadah haji dan umrah jutaan umat Islam setiap tahun tetapi juga mengakibatkan kematian mungkin ratusan ribu rakyat tidak berdosa, selain menimbulkan persepsi negatif bukan Islam terhadap umat Islam di Semenanjung Arab, tempat kelahiran Islam dan dua kota suci itu.

11.   Oleh sebab itulah, negara-negara Arab di rantau Teluk dilihat mempunyai hubungan baik dengan AS, malah mereka sanggup membenarkan penempatan tentera AS di negara mereka. Beberapa faktor yang menatijahkan dasar luar mereka itu ialah disebabkan tidak mahu berkonfrontasi dengan kuasa besar demi kelangsungan pemerintahan mereka. Mereka khuatir AS bertindak melakukan regime change (perubahan rejim) seperti mana berlaku di banyak negara yang berkonfrontasi dengan negara Uncle Sam sama ada melalui dukungan politik, sekatan ekonomi atau tindakan ketenteraan.   

12.   Saya membangkitkan persoalan di mana tindakan Syria, Iran dan Hizbullah semasa penduduk Palestin diserang bagi mengenepikan persepsi yang ditonjolkan oleh pihak tersebut dan penyokong mereka, bahawa Syiahlah sebenar-benar pejuang Islam sejati yang berani mempertahankan umat Islam dan melawan AS serta Israel. Hakikatnya, ia adalah sebaliknya. Mereka sibuk mempromosikan Hari Al-Quds Sedunia yang digagaskan oleh Khomeini tetapi fakta menunjukkan terlalu sedikit yang mereka lakukan untuk membantu rakyat dan bumi Palestin. Seteruk-teruk raja-raja Arab, merekalah yang menjuarai bantuan kemanusiaan dan dukungan politik kepada Palestin termasuk Hamas dan Fatah. Sunnilah yang berjuang mempertahankan bumi Palestin dan berusaha mengembalikan penguasaan di kota ketiga tersuci umat Islam iaitu Baitulmuqqadis.

13.  Presiden Iraq yang berfahaman Sunni dari Parti Sosialis Ba’ath, Saddam Hussein mungkin dipandang buruk oleh sebahagian pihak. Namun demikian, beliaulah pemimpin Arab yang berani bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu Scud milik Iraq ke negara haram Israel apabila rakyat Palestin diserang oleh tentera zionis. Ironinya, pemimpin Syiah dari Parti Sosialis Ba’ath seperti Hafez Al-Assad dan kemudian anaknya Bashar Al-Assad yang memimpin Syria, negara jiran kepada Israel dan Palestin serta mempunyai kekuatan ketenteraan yang seimbang seperti Iraq tidak pernah mengambil sebarang tindakan ketenteraan untuk menyokong rakyat Palestin seperti mana dilakukan oleh Saddam. Begitu juga Iran yang kononnya digambarkan paling berani di kalangan dunia Islam, juga tidak seberani Iraq di bawah Saddam Hussein.

14.   Saya tidak menafikan bahawa Saddam Hussein bukanlah pemimpin yang mempunyai rekod bersih atau baik dalam pemerintahannya. Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah bagi membuka minda sesetengah pihak yang dimomok-momokkan bahawa Syiah Iran adalah negara Islam sebenar dan dalam konfrontasi Iran dengan negara-negara Islam lain, Iran sentiasa di pihak yang benar kerana keluhuran dasar luar mereka.
  

15.   Mesej yang ingin disampaikan di sini ialah sebarang ugutan AS mahu menyerang Iran hanya satu gimik dan aktiviti dasar luarnya yang agresif ke atas Iran ketika ini lebih bersifat retorik dan propaganda. Ia diambil untuk mengekalkan hegemoni mereka di rantau Timur Tengah dan Teluk. Saya percaya bahawa AS tidak akan menyerang Iran kerana kewujudan Kerajaan Syiah Iran penting dalam menimbulkan kebimbangan dan Syiahofobia di kalangan negara-negara Arab terutama negara yang diperintah oleh dinasti raja. Kelompok minoriti Syiah memang diketahui dan terbukti dalam sejarah Islam sentiasa mewujudkan pertelagahan dengan kerajaan yang dipimpin oleh Sunni. Pertumpahan darah tidak dapat dielakkan apabila kehadiran mereka dalam jumlah yang besar dalam wilayah Sunni.

16.   Keadaan ini berlaku kerana akidah dan amalan ritual Syiah itu sendiri bersifat sensitif kepada umat Islam apabila mereka mencerca dan mengkafirkan para isteri dan sahabat Nabi r.a. seperti A’isyah, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, ‘Uthman Ibnu ‘Affan dan lain-lain. Umat Islam mana tidak marah atau tersinggung apabila tokoh terbilang Islam diperlakukan sebegitu rupa. Ditambah lagi ‘fatwa-fatwa’ songsang dan keterlaluan ulama Syiah seperti Khomeini dalam kitabnya, Al-Thaharah yang menulis A’isyah, Zubair, Thalhah dan Muawiyyah lebih kotor dan keji daripada anjing dan babi!

Bahaya Syiah kepada umat Islam 

17.   Benar kata-kata yang menyebut bahawa di mana ‘ada’ Syiah di situ akan berlaku konflik dan perpecahan ketara antara umat Islam. ‘Ada’ di sini adalah merujuk kepada kehadiran mereka dalam bilangan yang agak besar dalam kawasan majoriti umat Islam.

18.   Pengkafiran antara Sunni dan Syiah akan melahirkan pertumpahan darah, apabila darah akan dianggap halal oleh kedua-dua pihak yang bertelagah terutama apabila ‘sarang tebuan dijolok’ dengan penghinaan yang keterlaluan terhadap Ummahat Al-Mukminin dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Sebaliknya, Sunni tidak pernah menghina mana-mana tokoh agung Syiah dari kalangan Ahli Al-Bait serta keturunan Nabi Muhammad S.A.W. Malah Sunni menyanjung dan menganggap nama-nama seperti Imam Zaid bin 'Ali dan Imam Ja'afar Ash-Shoodiq juga sebenarnya adalah merupakan tokoh berwibawa dari kalangan mereka, bukannya tokoh Syiah Rafidhah seperti didakwa.

19. Dalam saling berbunuhan dan saling berbalas serangan ini, saya tidak hanya menyandarkan kepada keganasan oleh puak Syiah semata-mata tetapi keganasan itu turut dilakukan oleh orang Sunni. Halnya berlaku seperti apa yang saya nyatakan sebelum ini, mereka berbalas dendam bermula dengan provokasi melampau dan tindakan Syiah yang ‘menjolok sarang tebuan’ dengan isu-isu sensitif umat Islam. Isu-isu itu melibatkan penghinaan ke atas umat Islam dan nyata bercanggah dengan akidah yang benar iaitu akidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Kekarutan dan tokok-tambah dalam akidah seperti mewajibkan beriman kepada rukun tambahan, Usūl al-Dīn mereka iaitu Al-Imāmah. Sesiapa yang tidak menurut dan beriman kepada akidah mereka itu dianggap kafir, wajib dimusuhi dan akan dihumban ke neraka. Walaupun ulama Sunni telah menghukum bahawa Syiah adalah sesat dan menyeleweng, tetapi mereka tidak sepakat dalam mengkafirkan Syiah kerana Syiah juga mengucap kalimah syahadah. Hadith-hadith shahih yang dipegangi Sunni menatijahkan ketetapan sebahagian ulama Sunni bahawa sesiapa yang mengucap kalimah syahadah tetap dianggap sebagai saudara seagama walaupun mereka menyeleweng akidah (tetapi menyembunyikannya secara zahir). Seseorang boleh dihukum kafir hanya apabila tiada lagi hujah menjustifikasi keIslaman dan keimanan mereka.

20.   Kelicikan Syiah ialah mereka dapat meneruskan kelangsungan fahaman mereka dalam masyarakat Islam melalui senjata taqiyyah. Amalan taqiyyah menjadi satu syariat dan kewajipan bagi penganut Syiah apabila berhadapan dengan Sunni. Mereka secara nyata mengkafirkan Sunni seperti mana dijelaskan dalam kitab-kitab muktabar pegang mereka tetapi kerana taqiyyah bagi mendekatkan (usaha taqrib) Sunni-Syiah, mereka berpura-pura menerima Sunni sebagai saudara mereka. Hakikat ini telah disedari oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sendiri yang dahulu pernah menjuarai usaha taqrib Sunni-Syiah di peringkat antarabangsa.

Ayatollah Seyyed Ali Hosseini Khamenei merupakan pemimpin agung Iran kini yang menggantikan Imam Ruhollah Khomeini


21.   Tanpa kewujudan negara Syiah yang kuat seperti Iran, kelompok Syiah di rantau Arab terutama negara-negara Arab beraja tidak mampu berpaut dan dibantu sama ada dari sudut dana kewangan, psikologi dan sokongan antarabangsa. Keresahan mereka tentang ancaman kelompok ini akan hilang, maka kerajaan-kerajaan beraja di rantau Teluk mungkin tidak lagi memerlukan kehadiran AS dalam mengekang ancaman negara Iran dan Syiah. Inilah antara strategi geo-politik AS dan negara-negara Arab.

22.   Rumusannya ialah AS masih memerlukan kehadiran negara Iran bagi mewujudkan kebergantungan negara-negara Teluk yang diperintah oleh raja-raja Arab terhadap ancaman kebangkitan kelompok Syiah yang mula mendapat kembali nafas selepas Revolusi Iran pimpinan Khomeini. Tidak boleh dinafikan lagi, Syiah dianggap ancaman besar kepada negara-negara Teluk dengan pemerintahan beraja seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE. Enam buah negara ini telah membentuk satu pakatan bersama melalui Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC). Ancaman kelompok Syiah bukan perkara baru dalam dunia Islam, bahkan ia telah tercatat dalam sejarah lampau kerajaan Islam sejak zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin lagi yang mengakibatkan pertumpahan darah banyak berlaku kerana konfrontasi Syiah dan pemerintah. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan tentera Mongul Tartar juga berpunca dari pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah bernama Alauddin Ibnu Al-Alqami dan seorang menteri Syiah bernama Nashiruddin Ath-Thusi. Di era moden ini, Iraq dan Afghanistan menjadi contoh bagaimana kerjasama di sebalik tabir dan terbuka antara Syiah dan Amerika Syarikat telah berjaya menumbangkan Kerajaan Saddam Hussein di Iraq dan Kerajaan Taleban di Afghanistan.  Sememangnya jelas kekhuatiran mereka ketika ini adalah berasas jika dilihat kepada kegiatan-kegiatan anti-kerajaan yang digerakkan oleh kumpulan Syiah terutama di Bahrain dan Arab Saudi beberapa tahun kebelakangan ini.

Politiking Raja-Raja Arab di Negara Teluk 

23.   Pada masa yang sama AS bersama negara-negara Barat lain memanipulasikan kesempatan ini untuk mengaut sebahagian kekayaan dan mengekploitasi hasil minyak negara-negara Teluk terbabit. Selain itu, perlumbaan untuk membeli kelengkapan persenjataan juga menguntungkan mereka, kerana negara-negara Teluk yang kaya sanggup berbelanja berbilion dolar AS setiap tahun untuk tujuan menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan termasuk dari Iran dan Al-Qaeda. Negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, walaupun mempunyai hubungan diplomatik dengan Iran, tetapi hubungan itu dianggap umpama ‘api dalam sekam’. Kehadiran AS di rantau itu sebagai kuasa besar dengan mempunyai pangkalan tentera juga turut mempengaruhi dasar luar kerajaan-kerajaan negara Teluk yang pro-Barat.

Enam pemimpin Sunni dalam Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE bersidang di Riyadh, Arab Saudi pada Mei 2012.


24.   Justeru, saya berpendirian bahawa perkembangan politik antara AS dan Iran yang agresif seolah-olah AS konon terlalu ingin menghapuskan Iran dalam peta dunia adalah suatu ‘permainan wayang’ kuasa dunia itu, dan kebanyakan perang mulut antara kedua-dua negara terbabit adalah bersifat retorik semata-mata. Saya tidak menolak kemungkinan, Iran mungkin akan dikenakan tindakan ketenteraan suatu hari nanti sekiranya sebuah negara Syiah baru yang kuat berdiri di rantau tersebut, sebagai contoh Iraq.

25.   AS, Israel dan Barat mendapat keuntungan dari pertelagahan Sunni-Syiah, dan mereka pasti tidak bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan salah satu pihak tersebut, melainkan membiarkan mereka sendiri bertelagah yang akhirnya melemahkan kekuatan Islam sendiri. Perang saudara berasaskan agama antara Sunni-Syiah lebih sukar ditamatkan berbanding perang konvensional antara negara. Demikianlah realiti yang perlu difahami dan telah pun difahami oleh musuh Islam sebagai senjata mereka menghadapi kemaraan Islam di dunia.

26.   ‘The enemy of my enemy is my friend’ (musuh kepada musuhku adalah temanku) atau dalam Bahasa Arabnya “عدو عدوي هو صديقي” pernah menjadi ungkapan popular yang digunakan oleh wartawan kanan Barat semasa Perang Teluk 1 dahulu. Ungkapan yang berasal dari pepatah Arab "أنا وأخي على ابن عمي وأنا وابن عمي على الغريب" merupakan kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi politik negara Teluk ketika ini. Negara Syiah Iran walaupun dilihat bermusuh dengan AS, tetapi pada masa yang sama mereka boleh menjadi rakan subahat antara satu sama lain apabila ‘menganyang’ Sunni seperti mana telah berlaku di Iraq. Begitu juga sebaliknya berlaku kepada negara-negara Teluk di bawah pemerintahan Sunni, mereka juga dilihat sanggup bersekongkol dengan AS untuk menghalang kemaraan Syiah yang mengancam pemerintahan dan negara Sunni.


Nota kaki:
Umumnya, para ulama telah membahagikan Syiah kepada tiga kelompok yang terbesar. Antara kelompok Syiah tersebut adalah Syiah yang melampau (al-Ghaliyah), Syiah Al-Imamiyyah dan Syiah Al-Zaidiyyah. Daripada tiga kelompok tersebut, terdapat banyak lagi kelompok Syiah yang terpecah daripadanya. Syiah Al-Imamiyyah mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah penganut Syiah di seluruh dunia. Mereka menjadi kumpulan majoriti di Iran, Iraq, Azerbaijan dan Bahrain serta membentuk 27 peratus penduduk Lubnan. Pengikut Alevi di Turki dan Albania serta Alawi di Syria, turut menisbahkan diri mereka sebagai Syiah Al-Imamiyyah, walaupun mereka mempunyai perbezaan ketara daripada Syiah Al-Imamiyah arus perdana. Penganut Syiah Al-Imamiyyah membentuk kumpulan minoriti di India, Pakistan, Afghanistan, Kuwait, Qatar, UAE dan Arab Saudi. Menurut al-Asy`ari, gelaran “al-Imamiyyah” digunakan bagi merujuk kelompok Syiah Al-Imamiyyah disebabkan mereka mendakwa bahawa kepimpinan Sayyidina Ali merupakan suatu perkara yang telah dinaskan. Mereka juga telah dinamakan sebagai Syiah Al-Rafidhah kerana mereka menolak kepimpinan (imamah) Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Selain itu, menurut Ibn Khaldun, perkataan “Al-Imamiyyah” digunakan bagi merujuk golongan Syiah al-Imamiyyah kerana mereka memasukkan keyakinan terhadap imam sebagai salah satu daripada syarat keimanan.

Penganut Syiah al-Zaidiyyah pula ramai terdapat di Yaman. Golongan ini merupakan pengikut Zaid bin `Ali bin Al-Husain bin `Ali bin Abi Talib. Mereka merupakan golongan Syiah yang paling hampir dengan Ahlus Sunnah Wa Jama’ah dan tidak mengkafirkan para sahabat. Ini adalah kerana, mereka berpegang dengan konsep جواز إمامة المفضول مع قيام الأفضل. Berdasarkan pegangan ini juga, mereka tidak mengkafirkan dan tidak melaknat Abu Bakr dan Umar. Selain berpegang dengan konsep Al-Taqiyyah, mereka tidak mendakwa imam-imam mereka maksum dan tidak juga mendakwa bahawa imam-imam mereka mampu menghilangkan diri seperti mana yang telah diiktiqadkan oleh golongan Isma`iliyyah. Golongan ini terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu; Al-Jarudiyyah (pengikut Abi Al-Jarud), Al-Sulaymaniyyah (pengikut Sulaiman bin Jarir al-Zaidi) – turut dikenali sebagai Al-Jaririyyah- dan Al-Butriyyah pengikut Al-Hasan bin Saleh bin Hayy).  Menurut Al-Baghdadi, golongan Al-Butriyyah dan Al-Sulaimaniyyah menghukum kafir terhadap golongan Al-Jarudiyyah disebabkan golongan Al-Jarudiyyah mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar, manakala Al-Jarudiyyah pula telah menghukum kafir terhadap golongan Al-Sulaimaniyyah dan Al-Butriyyah disebabkan mereka tidak mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Walau bagaimanapun ketiga-tiga golongan Syiah ini bersepakat dalam mengatakan bahawa pelaku dosa besar akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. Dalam hal ini, pendapat mereka tersebut didapati selari dengan golongan Khawarij. Menurut Abu Zuhrah,  Al-Zaidiyyah terbahagi kepada dua; aliran Al-Mutaqaddimin dan Al-Muta’akhkhirin. Golongan Syi`ah aliran Al-Mutaqaddimin tidak termasuk dalam kelompok Rafidah kerana mereka masih mengiktiraf imamah Abu Bakr dan Umar. Manakala golongan Syiah aliran Al-Muta’akhkhirin termasuk dalam kelompok Rafidhah kerana mereka menolak imamah kedua-dua tokoh tersebut. Menurutnya lagi, Syiah Al-Zaidiyyah yang kini berada di Yaman lebih hampir kepada Syiah al-Zaidiyyah aliran Al-Mutaqaddimin. Untuk huraian lanjut, rujuk Ahmad Amin (1978), Duha al-Islam, j. 3, c. 12, Kaherah : Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, hlm. 275-276; al-Baghdadi, `Abd al-Qahir b. Tahir b. Muhammad (t.t), al-Farq bayn al-Firaq, Mesir : al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, hlm. 31; Muhammad Abu Zuhrah (1996), op.cit., hlm. 46.

Golongan Syiah yang melampau (Al-Ghaliyah) pula dikatakan telah pupus. Syiah Al-Ghaliyah merupakan golongan Syi`ah yang melampau dalam membesarkan Sayyidina Ali. Selain mengangkat darjat Sayyidina Ali melebihi darjat kenabian, mereka turut berpegang dengan iktikad Al-hulul dan Tanasukh Al-Arwah dengan mendakwa bahawa Allah menyerap masuk ke dalam jasad Nabi Muhammad, Ali, Al-Hasan, Al-Husain dan Fatimah. Mereka turut mendakwa bahawa imam-imam mereka adalah tuhan dan menyembahnya, manakala para pengikutnya adalah hamba bagi tuhan tersebut. Di samping itu, mereka mengingkari hari kiamat, syurga dan neraka dan berkeyakinan bahawa dunia ini tidak akan binasa. Mereka juga telah menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti perempuan-perempuan ajnabi, daging khinzir, arak dan judi. Menurut al-Asy`ari, kelompok Syiah Al-Ghaliyah ini terpecah kepada lima belas kelompok iaitu; al-Bayaniyyah, Al-Janahiyyah, Al-Harbiyyah, Al-Mughiriyyah, Al-Mansuriyyah, Al-Khattabiyyah, Al-Ma`mariyyah, Al-Bazighiyyah, Al-`Umayriyyah, Al-Mufaddaliyyah, 11 (tiada nama), 12 (tiada nama), al-Syari`iyyah, al-Saba‟iyyah dan 15 (tiada nama). Untuk keterangan lanjut, rujuk; al-Asy`ari (1969), op.cit., hlm. 66-88.

Huraian lanjut baca di http://www.jais.gov.my/rnd/2012/januari/PerbezaanASWJ_Syiah.pdf


*Artikel berasingan dengan topik "Pengaruh Ikhwanul Muslimin dan Kemaraan Liberalisme di Dunia Arab" akan turut menyentuh politik rantau Teluk, pemerintahan dinasti raja-raja Arab dan Syiah. 

Khamis, 22 Ogos 2013

Isu Sunni-Syiah: Surat Jawapan Kepada Presiden PAS






15 Syawal 1434 
22 Ogos 2013 


Y.B. Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi bin Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), 
Pejabat Presiden,
No. 318-A,
Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur.

Menemui Y.B. Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS 

Assalamualaikum WR WB. 

Yang Berhormat, 

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah membaca dan meneliti kenyataan YB Datuk Seri berkenaan isu Syiah ketika sesi dialog pada Majlis Ramah Mesra Idulfitri anjuran Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Dewan Tok Guru Rusila, Marang, Terengganu seperti yang telah disiarkan oleh portal berita rasmi PAS,
Harakahdaily bertajuk ‘Isu Sunni-Syiah agenda lemahkan umat Islam’ pada 20 Ogos lalu.

Dengan demikian, saya dengan rasa rendah diri terpanggil untuk mengulas beberapa perkara yang dinyatakan oleh YB Datuk Seri dalam laporan tersebut. 

Berikut adalah ulasan dan pandangan saya: 

1. Harakahdaily melaporkan bahawa YB Datuk Seri menyifatkan isu kontroversi antara mazhab Sunni-Syiah merupakan perkara lama yang sengaja ditimbulkan semula. Portal berita itu pada awal laporan kenyataan YB Datuk Seri itu turut menekankan peringatan supaya umat Islam tidak leka dan terpengaruh dengan agenda barat mahu melemahkan Islam dengan permasalahan mazhab Sunni-Syiah tersebut. Saya pasti penekanan Harakahdaily itu yang turut menjadi tajuk laporannya adalah manifestasi dari kenyataan YB Datuk Seri sendiri di Majlis Ramah Mesra Idulfitri anjuran Perantau tempoh hari.

2.   Saya berpendapat bahawa pandangan YB Datuk Seri dalam isu Sunni-Syiah ini tidak tepat dan bercanggah dengan realiti sebenar penyebab berlaku ledakan semula isu ini terutama di media-media massa serta forum-forum anjuran kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

3.   Sebenarnya isu Sunni-Syiah ini kembali menjadi antara topik utama dalam perbincangan umat Islam di seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia, ekoran ‘penyembelihan’ beramai-ramai rakyat Syria oleh Rejim Basyar Al-Assad, penganut Syiah Alawiyah yang didukung secara terbuka oleh Kerajaan Iran dan Pertubuhan Hizbullah. Perkembangan ini turut meresahkan para agamawan di Malaysia (bukan ahli politik atau UMNO) lantas mendorong mereka mengetengahkan secara lebih intensif isu bahaya Syiah di tanah air.

4.   Kesinambungan kepada isu yang menyemarak itu, akhbar-akhbar arus perdana mula mengangkat semula isu itu secara besar-besaran bermula dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada 18 Julai 2013 bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan mewartakan fatwa anti Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat. Akhbar Sinar Harian menjadi media massa arus perdana pertama yang bertindak agresif membongkar isu Syiah ini.

5.   Justeru, realiti ini dengan sendirinya telah menyanggah pandangan YB Datuk Seri bahawa isu Sunni-Syiah ini dicetuskan oleh Barat. Hakikatnya, isu ini dicetuskan oleh tindak-tanduk Syiah sendiri. Akal yang rasional dapat mena’akul dan memahami bahawa kewujudan kelompok Syiah yang besar dalam negara Islam pasti akan menimbulkan pertelagahan dan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan. Walaupun mungkin di sesetengah tempat dahulunya konflik Sunni-Syiah ini masih boleh dibendung, tetapi dengan menyuburnya liberalisasi politik di peringkat antarabangsa dan keterbukaan maklumat hasil kemajuan teknologi dan globalisasi, ia akhirnya telah meledak ibarat bom jangka seperti mana berlaku di Syria dan Iraq. Sementara itu, serangan berani mati dan saling berbunuhan antara Sunni dan Syiah masih kerap berlaku di Pakistan, India, Aghanistan dan Yaman.

6.   Umum mengetahui bahawa kewujudan ajaran Syiah di negara ini bukan baru berlaku. Pengaruh mereka semakin mula melebar di Malaysia selepas tercetusnya Revolusi Iran pada tahun 1979 terutama dalam parti politik dan pertubuhan Islam, tidak terkecuali Parti Islam SeMalaysia (PAS). Fakta ini tidak boleh dinafikan lagi dan boleh dibuktikan melalui dokumentasi sejarah rasmi parti dan pemimpin-pemimpin PAS sendiri.       

7.   Buku ‘Memoir Politik Asri: Meniti Arus’ mencatatkan bagaimana pekikan kalimah Iran `Marakbah Asri' (pergi mampus Asri!) yang berselang seli dengan kalimah Allahuakbar! dalam Muktamar ke-28 PAS, Oktober 1982 telah menumbangkan Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS ketika itu, Datuk Asri Muda (kemudian Allahyarham Tan Sri Asri Muda) dari kepimpinannya. Usaha menjatuhkan Asri banyak digerakkan oleh ahli-ahli Dewan Pemuda PAS pimpinan Mustafa Ali (sekarang Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali) yang terpengaruh dengan Revolusi Iran dan konsep ‘Wilayah al-Faqih’ Imam Khomeini, dan YB Datuk Seri sendiri difahamkan juga terlibat sama.
Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat, 1981-1982  mencatatkan bahawa Mustafa Ali yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS (1975-1987) ketika itu telah mengetuai lawatan ke Iran pada bulan Jun 1982 untuk meninjau keberkesanan kepimpinan ulama di sana. 

8.   Konsep ‘Kepimpinan Ulama’ yang dipelopori kepimpinan PAS selepas Datuk Asri Muda di bawah Ustaz Yusof Rawa (yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki, beliau juga merupakan Mursyidul Am PAS pertama dari 1987sehingga tahun 1991) sering dikaitkan dengan konsep ‘Wilayah al-Faqih’ Imam Khomeini dan pemerintahan Ayatollah di Iran. Maka tidak hairanlah ketika awal tahun 80-an dahulu, poster-poster Imam Khomeini digantung di kebanyakan pejabat, markas dan kediaman pemimpin-pemimpin PAS. Ucapan-ucapan para pemimpin dan aktivis PAS memuji, menyanjung dan mahu mencontohi Syiah di Iran ketika itu masih tersimpan kemas dalam bentuk teks dan audio. Ia termasuklah ucapan YB Datuk Seri dan ucapan kontroversi Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya.
 
Muka depan akhbar rasmi PAS, Harakah bertarikh Jumaat, 9 Jun 1989 (11 Zulkaedah 1409H) yang memaparkan kenyataan Mursyidul Am PAS ketika itu, Ustaz Yusuf Rawa yang menyifatkan kematian Khomeini sebagai kehilangan besar kepada umat Islam. Harakah keluaran tersebut juga turut memuatkan rencana dua halaman penuh mengenai latar belakang pendidikan serta ketokohan Khomeini.

9.   Kemuncak kepada isu Syiah di Malaysia sebenarnya telah berlaku pada 1996, apabila Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkan pengamalannya di negara ini. Fatwa sama kemudian telah diputuskan oleh jawatankuasa fatwa semua negeri di Malaysia. Pada tahun yang sama, kerajaan juga telah melakukan operasi tahanan ISA secara besar-besaran terhadap penggerak utama ajaran Syiah di negara ini yang turut melibatkan salah seorangnya adalah suami kepada sepupu saya (Allahyarham Wan Hanafi).

10.   Fatwa pengharaman Syiah pada 1996 tersebut juga telah memansuhkan kebenaran yang diberikan kepada dua ajaran Syiah iaitu Al-Zaidiyah dan Jaafariah yang diterima untuk diamalkan di Malaysia seperti diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang diadakan pada 24 dan 25 September 1984. Kebenaran mengamalkan kedua-dua ajaran Syiah itu sebenarnya akibat kecuaian dan kurangnya maklumat serta kefahaman mereka terhadap kesesatan dan bahaya Syiah yang pada ketika itu masih baru menjalar di Malaysia.
         
11.   Saya tidak mahu mengulas panjang dalam surat ini mengenai perincian hukum kesesatan Syiah dan pengharamannya tetapi cukuplah saya menukilkan keputusan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1996 tersebut, di samping perbahasan ulama muktabar dahulu dan kini mengenai kesesatan Syiah yang termuat dalam ribuan kitab-kitab berbahasa Arab, Inggeris dan Melayu yang YB Datuk Seri boleh menelitinya sendiri.

12.   Saya melihat kenyataan YB Datuk Seri selaku Presiden PAS di Dewan Tok Guru Rusila tempoh hari bersifat kontradiksi dengan kenyataan rasmi parti yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan oleh Harakahdaily pada 28 Julai 2013 lalu. Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa tiada pimpinan utama PAS terlibat dengan Syiah. Ia antara lain turut menyebut bahawa: “Isu Syiah bukan isu politik kerana ia merupakan isu aqidah dan kefahaman terhadap ajaran Islam. Atas sebab itu, PAS memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakan isu ini untuk menyerang pihak lawan untuk keuntungan politiknya. PAS kesal dengan pelbagai tuduhan liar tidak berasas yang dilemparkan kepada parti. PAS menentang sebarang usaha untuk membawa fahaman Syiah ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan pelbagai polemik dan pertembungan dalam masyarakat yang mendedahkan negara kepada perpecahan di kalangan umat Islam. Ahli PAS mesti berpegang dengan ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika ada yang menganut fahaman Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari menjadi ahli PAS.”

13.    Berkenaan kenyataan bahawa pimpinan dari Syiah pernah memberitahu YB Datuk Seri bahawa kebangkitan Islam mesti dipimpin oleh Sunni kerana 90 peratus dunia Islam hari ini merupakan pengikut Sunni, saya tidak hairan dengan perkara tersebut. Ini memandangkan amalan taqiyyah (menyembunyi pegangan mereka) sudah menjadi darah daging dan syariat yang wajib dilakukan oleh mereka untuk survival ajaran Syiah. Mereka biasa akan menzahirkan sesuatu ungkapan atau perilaku yang berbeza dengan kepercayaan yang mereka pegangi.

14.   Kenyataan yang mengaitkan usaha Barat yang dipengaruhi Israel mengepung Mesir dan Turki untuk menghalang kemaraan Islam untuk menafikan usaha membendung ajaran Syiah juga tidak releven. Apabila kita membicarakan isu Sunni-Syiah kita sepatutnya merujuk kepada permasalahan dasar iaitu isu aqidah bukan semata-mata isu politik. Kewujudan Syiah yang bermula akibat pertikaian politik kini sudah berubah kepada perpecahan aqidah. Fakta sejarah membuktikan kelahiran kelompok Syiah itu sendiri adalah dari gerakan yang dipelopori seorang Yahudi munafiq yang berpura-pura memeluk Islam bernama Abdullah bin Saba’ dengan tujuan memecah-belahkan umat Islam di zaman Khalifah ‘Uthman Ibn ‘Affan r.a. Dari perpecahan yang tidak berkesudahan tersebut telah menimbulkan gejala takfir (mengkafirkan) di kalangan pengikut Syiah kepada para isteri dan sahabat Nabi r.a. Pelbagai unsur syirik, bid’ah dan khurafat dipegang oleh ulama Syiah dahulu dan kini telah mewajarkan mereka untuk dijatuhkan hukum kafir dan bukan lagi dari tergolongan dari kalangan orang Islam.     

15.   Sepatutnya apabila isu Sunni-Syiah ini dibangkitkan, pandangan yang diutarakan oleh YB Datuk Seri perlu mengaitkan dengan isu di Syria dan Iraq. Adapun mengaitkan Turki dan Mesir dengan polemik ini sebenarnya menjerat diri Syiah sendiri. Kejatuhan Presiden Dr. Muhammad Mursi adalah dimulakan oleh golongan Tamarrud (pemberontak) yang mana Syiah Mesirlah antara penggerak utama mereka.

16.   Menurut laporan Ahram Online pada 1 Jun 2013, jurucakap Syiah Mesir, Bahaa Anwar memberitahu sejumlah 100, 253  rakyat Mesir berfahaman Syiah telah menandatangani kempen Tamarrud untuk menumbangkan Presiden Mursi. Sejak Mursi memegang tampuk pemerintahan Mesir, penganut Syiah mendakwa sentimen anti-Syiah semakin meningkat di negara itu. Sebelum kejatuhan pemerintahannya, Mursi dilihat lantang mengutuk keganasan di Syria dengan mengisytiharkan sokongan dan bantuan kewangan kepada pejuang Islam yang menentang Rejim Basyar Al-Assad. Beliau turut memutuskan hubungan diplomatik dengan negara sekutu rapat negara Syiah Iran dan pertubuhan Syiah Hizbullah itu seperti dilaporkan Ahram Online pada 15 Jun 2013. Rampasan kuasa tentera Mesir juga dikaitkan dengan kebimbangan pihak tentera kemungkinan Mursi akan menggunakan mereka dalam rancangan menyerang Syria.


17.   Sementara Turki pula diketahui memang sepakat dengan Amerika Syarikat berhubung konflik di Syria. Dalam laporan  Al-Jazeera pada 17 Mei 2013, ketika pertemuan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di White House, kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju supaya Basyar Al-Assad perlu berundur dan mereka akan meningkatkan tekanan ke pemimpin yang merupakan sekutu rapat Iran dan Hizbullah tersebut.


18.   Merujuk kepada gesaan YB Datuk Seri supaya pihak yang berautoriti dari kalangan ahli-ahli agama dan ahli akademik membincangkan masalah Sunni-Syiah ini, saya fikir gesaan tersebut sepatutnya tidak timbul. Sudah banyak wacana ilmu, seminar dan diskusi ilmiah sama ada terbuka dan tertutup mengenai isu Sunni-Syiah ini telah berlangsung di negara kita. Nama-nama seperti Maulana Muhammad ‘Asri Yusuf (pengasas Darul Kautsar), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis), Ustaz Aizam Mas’ud (Penolong Pengarah JAKIM), Ustaz Mohamad Ismail (Ketua Unit Kajian Syiah ISMA), Ustaz Muhammad Nazmi Abdul Karim (pengajar di Ma'had Tahzib wa Ta'lim) dan ramai lagi adalah antara ahli agama dan akademik yang membincangkan isu ini sama ada secara terbuka mahu pun tertutup.

19.   Perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala kenyataan YB Datuk Seri di Dewan Tok Guru Rusila seperti laporan Harakahdaily ialah isu Sunni-Syiah ini adalah agenda melemahkan umat Islam. Mereka yang membangkitkan kesesatan Syiah dan cuba membanteras pengaruhnya pula seolah-olah dianggap hanya dari kalangan orang jahil tentang ilmu agama. Lupakah YB Datuk Seri bahawa Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang dulunya menjuarai taqrib Sunni-Syiah telah mengubah pendirian apabila mengisytiharkan Syiah sebagai musuh umat Islam, dan Hizbullah pula digelarkan sebagai Hizbullaat? Adakah ulama besar yang disanjung oleh kepimpinan PAS sendiri ini juga terjebak dalam 'agenda lemahkan umat Islam'.

20.   Gesaan Al-Qaradhawi untuk berjihad memerangi Syiah ketika himpunan di Doha, Qatar pada 1 Jun 2013 lalu turut disiarkan oleh stesen televisyen Al-Jazeera.  Beliau turut mendoakan agar Iran dan Hizbullah dikutuk Allah, kerana merupakan pemimpin segala kejahatan. Ia merujuk pada tindakan kedua-dua pihak tersebut yang mendukung Basyar Al-Assad dan membunuh orang Sunni di Syria. Beliau mengakui selama ini telah tersalah langkah kerana pernah memberikan dukungan kepada Hizbullah dalam peperangan menentang Israel.


21.   Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Arabiya pada 9 Jun 2013, Al-Qaradhawi turut mengakui para ulama di Arab Saudi lebih mengetahui secara mendalam mengenai bahaya Hizbullah dan gerakan Syiah Iran berbanding dirinya. Beliau berkata: "Pada satu ketika saya pernah mempertahankan gerakan Hizbullah kerana keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Pendapat saya pada masa itu bertentangan dengan pandangan ulama-ulama tersebut. Mereka menentang Hizbullah. Namun setelah saya melihat apa yang dilakukan oleh Hizbullah terhadap saudara-saudara kita di Syria barulah saya sedar yang ulama-ulama di Arab Saudi lebih matang dan mempunyai pengetahuan cukup luas tentang Hizbullah dan Iran".


22.   Al-Qaradhawi telah mengisytiharkan golongan Syiah sebagai golongan kuffar serta merupakan musuh umat Islam keseluruhannya. Kenyataan keras itu telah disebut oleh beliau dalam satu wawancaranya dengan stesen televisyen Al-Jazeera dalam rancangan ‘Asy-Syarii’ah wal-Hayaah’ (Syari'ah dan Kehidupan) pada 16 Jun 2013. Beliau berkata, golongan Syiah sebenarnya telah mengkhianati umat Islam dan perkara itu terbukti dengan pembunuhan saudara seaqidah di Syria bersama-sama dengan puak Hizbullah. Beliau berkata: "Jangan panggil mereka Hizbullah, mereka selayaknya digelar Hizbussyaitan dan Allah tiada kaitan dengan mereka. Saya menyeru seluruh umat melawan kuffar dan Syiah di dalam Hizbullah. Mereka ternyata kuffar tanpa sedikit keraguan. Mereka sedang menjalankan operasi etnik di Syria dengan tujuan membina negara Syria Barat di barat Syria".

23.   YB Datuk Seri, saya sengaja meletakkan kenyataan-kenyataan Al-Qaradhawi bukan kerana saya taksub kepada beliau, sebaliknya kerana Al-Qaradhawi merupakan seorang tokoh ulama yang sangat berpengaruh dalam gerakan Islam termasuk PAS sendiri. Al-Qaradhawi juga terkenal sebagai ulama Sunni yang dahulunya bersungguh-sungguh berusaha berdamai dan mendekatkan antara Sunni-Syiah. Malah usaha taqrib Sunni-Syiah oleh Al-Qaradhawi selalu dijadikan hujah dan contoh oleh ulama-ulama Sunni di negara ini yang mesra dan pro-Syiah termasuk YB Datuk Seri sendiri.


Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.

24.   Saya ingin menegaskan bahawa saya sebagai salah seorang dari pemuda Ahlus Sunnah Wal Jamaah sesekali tidak akan membenarkan sebarang usaha penyebaran Syiah atau pengamalannya di Malaysia. Sesungguhnya bahaya dan bencana yang amat besar akan menimpa negara ini di masa hadapan, sekiranya ajaran Syiah dibiarkan merebak tanpa sekatan. Cukuplah umat Islam yang dominannya tidak sebesar mana ini berpecah dari segi ideologi politik kepartian. Janganlah pula selepas ini kita yang hanya berjumlah 61.3 peratus dari warganegara Malaysia semakin dipecahkan antara Sunni dan Syiah sehingga berlaku pertumpahan darah dan saling berbunuhan, yang akhirnya menyebabkan Islam hilang kekuatannya di tanah air.  

Akhir kalam saya ingin memohon maaf sekiranya surat terbuka saya ini menyinggung perasaan YB Datuk Seri. Sekiranya terdapat sebarang kesalahan fakta atau kekeliruan dalam tulisan saya ini, saya berharap YB Datuk Seri sudi memperbetulkan dan membuat pencerahan terhadapnya. Apapun saya percaya atas prinsip keterbukaaan dalam kepimpinan, YB Datuk Seri sedia menerima pandangan dari orang kebanyakan seperti saya ini.  Saya menutup surat ini dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ " ، قَالَ رَجُلٌ : إِنَّ الرَّجُلَ ، يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا ، وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ، قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan  seumpama biji sawi.” Seorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya ada seseorang yang menyukai supaya bajunya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu indah, Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain.” [Hadis Riwayat Muslim]

Sekian, terima kasih. 


*SAMPAIKANLAH DARI NABI WALAUPUN SATU AYAT * 


(IBNU HUSSIN AL KELANTANI) 



*Surat ini telah dihantar kepada Presiden PAS