Khamis, 6 Ogos 2009

Nostalgia Malam Nisfu Sya'aban: Peristiwa Tun Mahathir Di Dalam Kaabah

Tulisan ini bertujuan mengimbau kembali kenangan indah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang telah diberi rahmat, nikmat dan kelebihan oleh Allah Taala untuk masuk dan beribadat di dalam Kaabah. Kebetulan kelebihan yang diperolehi beliau itu ialah pada malam Nisfu Syaaban.

Kita imbas kembali tulisan Setiausaha Politik beliau pada masa itu iaitu Datuk Dusuki Ahmad di dalam Mingguan Malaysia. Sekali lagi kita berdoa di atas kebahagian dan kesihatan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali. Semoga mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Aamiin.

Di sana terdapat satu hadis yang boleh dipegang berkenaan kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain, Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah, jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh]

Perlu diingat hadis ini tidak mengajar kita bentuk amalan yang khusus pada malam berkenaan. Amalan-amalan khas tertentu yang dilakukan pada malam tersebut sebenarnya bukanlah dari ajaran Nabi s.a.w.

Saya ingin memetik jawapan Dr. Yusuf al Qaradawi berhubung persoalan Nisfu Syaaban ini:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al Quran dan as sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid'ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid'ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.” [Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut]




Lazatnya beribadah dalam Kaabah

Oleh DUSUKI AHMAD

AIR mata saya menitis, sayu, sedih dan hiba ketika melihat Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merapat kemas mukanya ke multazam pintu Kaabah. Tidaklah diketahui apa yang beliau berdoa dan bermunajat. Tetapi yang jelasnya beliau amat bersyahdu.

Beliau, isterinya Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan beberapa orang pegawai pengiring baru saja selesai sembahyang isyak berjemaah, kemudian dibawa tawaf qudum/umrah dengan diiringi oleh ramai tentera kerajaan Arab Saudi.

Kebetulan malam itu - 21 Oktober 2002 - ialah malam Nisfu Syaaban. Kira-kira pukul 11 malam, rombongan Dr. Mahathir dibawa masuk ke dalam Kaabah. Lama juga beliau berada di dalamnya sehingga sempatlah beliau menunaikan sembahyang sunat pada empat penjuru Kaabah itu.

Saya merasai sayu dan hiba kerana dua tiga hari sebelum ini ketika berada di Riyadh dan di Jeddah, saya ditanya oleh ramai tokoh cendekiawan Islam tentang sebab-sebab mengapa Dr. Mahathir tidak bercadang lagi untuk menyambung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.

Mereka hairan bagaimana seorang pemimpin yang amat dihormati seperti Dr. Mahathir yang telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai bidang telah membuat ketetapan untuk mengakhiri perkhidmatannya pada Oktober 2003.

Sikap seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara-negara Islam. Lebih-lebih lagi katanya, ``Umat Islam hari ini amat memerlukan pimpinan tokoh besar yang berwibawa seperti Dr. Mahathir, ketika nasib negara-negara Islam tidak menentu dan umatnya pula semacam mengambil sikap untuk tidak bersatu.''

Saya hanya menjawab pendek, ``Hanya Dr. Mahathir dan Allah yang mengetahui.''

Mereka tidak senang dengan jawapan itu. Mereka mahu sebab-sebab yang khusus. ``Seorang yang mendapat kurniaan Allah sebagai pemimpin yang berwibawa, dia harus amanah dan bertanggungjawab kepada orang ramai. Dia juga tidak boleh membiarkan pengikut-pengikutnya, rakyatnya dan negaranya kehilangan pemimpin.''

Saya memberi penjelasan, ``Kerana amanah dan tanggungjawablah maka Malaysia hari ini adalah negara paling aman dan selamat di rantau Asia dan Pasifik. Pentadbirannya baik, rakyatnya gembira, ekonominya kukuh dan politiknya stabil. Bahkan kita tidak ada masalah besar selain daripada penghijrahan haram kira-kira dua juta rakyat negara-negara jiran yang ingin menumpang hidup di Malaysia kerana tidak selesa di negara sendiri.

``Dan hari ini Dr. Mahathir sudah berjaya memastikan penggantinya dan menamakan seorang tokoh yang dapat menyambung dan menyempurnakan misi dan visinya.''

Beliau setuju dengan pandangan saya dan menegaskan, ``Dr. Mahathir adalah contoh mithali pemimpin Islam pada abad ini. Dan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang paling subur untuk dakwah, pembangunan ummah dan penyebaran syiar Islam.''

Kehadiran Dr. Mahathir ke negara Arab Saudi pada 21 Oktober lalu adalah atas jemputan Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri pertama Arab Saudi. Dr. Mahathir dijemput memberi ucapan tentang pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekonomi.

Tiba di Riyadh pada Sabtu 19 Oktober, Perdana Menteri disambut oleh Raja Salman bin Abdul Aziz, Gabenor Riyadh. Pada hari yang sama beliau diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada seminar yang bertemakan Wawasan Ekonomi Arab Saudi Sehingga Tahun 2020.

Seperti biasa, ucapannya mendapat sambutan luar biasa. Beliau memberi rangsangan masa depan negara Arab Saudi yang cemerlang dan gemilang. Katanya, Arab Saudi mampu menjadi kuasa besar dunia yang dapat menaungi umat Islam sejagat dan menjadi tempat berteduh negara-negara Islam yang ditindas.

Kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang adalah berjumlah 10 juta tong sehari yang memberikan hasil RM760 juta sehari atau RM277 bilion setahun. Dianggarkan kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang boleh bertahan selama 200 tahun lagi.

Beliau menyarankan supaya Arab Saudi menguasai bidang-bidang utama pengeluaran perindustrian, kewangan dan teknologi. Padang pasir dan bukit boleh disuburkan dengan tanaman melalui pengairan yang saintifik.

Beliau menegaskan bahawa pendapatan per kapita yang tinggi dan taraf hidup yang baik belum bermakna mencapai kemajuan jika sumber manusia tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya.

Beliau mahu melihat Arab Saudi bukan saja menjual minyak mentah semata-mata, tetapi mencari jalan agar wujud nilai tambah yang maksimum kepada sumber minyak yang ada itu. Katanya, ``Minyak itu boleh diolah dan digarap menjadi barangan lain dan boleh dijual secara runcitan seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat petroleum Shell, Mobil dan lain-lain. Harga runcitan tidak pernah jatuh walaupun ketika harga minyak mentah merudum.''

Ketika di Riyadh, Dr. Mahathir dikunjungi oleh Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud yang juga Perdana Menteri Pertama dan Putera Sultan bin Abdul Aziz al-Saud, Perdana Menteri Kedua yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi. Beliau juga mengunjungi Raja al-Malik Fahad bin Abdul Aziz as-Saud, raja bagi kerajaan Arab Saudi.

Pada hari kedua rombongan dibawa ke Jeddah dengan pesawat khas yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi. Di Jeddah juga Dr. Mahathir menemui ahli-ahli perniagaan dan kemudiannya dijemput ke rumah Syaikh Salleh Kamil di kawasan pembangunan yang indah di pinggir Jeddah yang diberi nama Durrah Al-Arus.

Ramai tokoh korporat dan ulama saya temui pada majlis-majlis bersama Dr. Mahathir sepanjang lawatan ke Arab Saudi. Setelah melihat sendiri air muka Dr. Mahathir dan mendengar sendiri ucapannya, maka seorang sahabat telah membisik ke telinga saya, ``Aktivis-aktivis Islam dan pendakwah hendaklah belajar daripada pengalaman yang lalu. Mengambil sikap bermusuh dengan pemerintah tidak akan memberi apa-apa faedah.''

Dikatakan ramai yang membenci Dr. Mahathir, tetapi berganda ramai yang menyanjunginya. Kerana itulah beliau mampu menjadi Perdana Menteri melebihi 20 tahun.

Mungkin beliau tidak popular bagi sesetengah orang. Apakah kerana adanya golongan tertentu yang hari-hari mencipta fitnah terhadapnya, lalu dianggapnya buruk belaka.

Siapakah pemimpin-pemimpin dunia dalam sejarah yang bersih daripada fitnah dan suci daripada pembenci? Bahkan makin tinggi dan mulia darjat kepimpinan seseorang itu maka bertambah subur fitnah terhadapnya dan bertambah biak golongan yang memusuhinya.

Sahabat yang berkenaan juga telah menegaskan kepada saya bahawa kesedaran Islam yang tinggi dan semangat juang yang kuat haruslah seiring dengan kefahaman yang sebenar.

Beliau menegaskan bahawa tamadun Islam tidak seharusnya berkisar dalam rangka bernostalgia dengan kehebatan lampau, tetapi haruslah mengambil kira kesesuaian masa kini dan masa depan.

Pada petangnya rombongan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dibawa ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan umrah. Pada malamnya mereka diberi kesempatan memasuki Kaabah. Sudah tentu mereka yang berkesempatan memasuki Kaabah itu merasai indah dan lazatnya berada dalam Kaabah. Hanya Allah yang mengetahui tentang kenikmatan itu.

- Datuk Dusuki Ahmad ialah mantan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Beliau adalah cucunda kepada ulama terkenal Kelantan, Tok Selehor

Sabtu, 1 Ogos 2009

Cara Sunnah Mentaati Pemerintah Muslim yang Fasiq dan Zalim

Seorang sahabat saya menggunakan dalil dari Surah al A’raf ayat 3 untuk menafikan hukum ketaatan terhadap pemerintah Muslim yang zalim dan fasiq.


“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya).”

Sebenarnya ayat dari Surah al A’raf di atas bukanlah berkenaan ketaatan kepada pemerintah tetapi ia menyentuh ketaatan dalam beragama. Perkataan أَوْلِيَآءَ (aulia’) yang diterjemahkan sebagai pemimpin-pemimpin dalam versi terjemahan al Quran yang menjadi rujukan sahabat saya itu secara tepatnya bukanlah bermaksud pemerintah dalam urusan negara atau pentadbiran politik.

Adapun berkenaan konsep ketaatan terhadap pemerintah, ia mestilah bersandarkan kepada nas-nas dari al Quran dan as Sunnah. Perkara ini telah diajarkan oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah sepertimana diterangkan dalam banyak kitab-kitab muktabar terdahulu.

Dalam sebuah athar,
Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib r.a. pernah berkata:

“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat.” [Diriwayatkan oleh al Baihaqi dengan sanad yang sahih]
Kata-kata Khalifah ar Rasyidin ini disokong oleh sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:


إِنَّ اللَّهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
“Sesungguhnya Allah akan mengukuhkan agama ini (Islam) dengan orang yang jahat.” [HR al Bukhari]

Di sana terdapat banyak hadith-hadith menceritakan perihal ini, antaranya ialah:


"Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku dengan panduan sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu." [HR al Bukhari dan Muslim]


"Dari Wail r.a. berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanyalah atas mereka apa yang mereka kerjakan dan atas kamu apa yang kamu kerjakan." [HR Muslim]

“Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu.” [HR al Bukhari dan Muslim]


“Dengarlah dan taatilah penguasa di waktu susah dan senang, di waktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat.” [HR Ibn Hibban, sanadnya hasan]


Rasulullah s.a.w. sudah pun mengetahui bahawa selepas kewafatan baginda, umat Islam akan dipimpin oleh orang-orang yang tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Bagaimana kita menghadapinya sudah pun diajarkan caranya oleh baginda dalam banyak hadith-hadith shahih.


Ambillah iktibar dari kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah sehingga mengakibatkan hampir seluruh negara Islam dijajah oleh orang Barat. Sultan Abdul Hamid II didakwa sebagai pemerintah yang korup, suka berfoya-foya, tidak cekap dan sebagainya sehingga sekelompok rakyat terdiri dari cerdik pandai, tentera dan ulama bergabung tenaga bangkit menentang kerajaannya sehingga jatuh tersungkur.

Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan rejim Saddam Hussein di Iraq yang menyebabkan negara teluk itu berada dalam keadaan kacau-bilau, rakyat dihina melalui penderaan oleh tentera penceroboh, golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan puak Syiah berbunuh-bunuhan dan sebagainya. Hilangnya pahlawan gagah perkasa bernama Saddam Hussein walaupun akhlaknya diragui, sedikit sebanyak telah mengurangkan kegentaran Yahudi Israel menyerang saudara Islam kita di Palestin.


Contohilah pendirian dan tindakan bijaksana ulama-ulama besar terdahulu seperti Imam Ahmad Ibn Hanbal r.h. dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h. dalam berhadapan pemerintah yang fasiq dan zalim. Mereka ini berani menyatakan kebenaran dan menyampaikan dakwah di hadapan pemerintah sehingga sanggup dihukum sebat dan dipenjara. Namun, mereka tidak pula mengizinkan pengikut-pengikutnya bangun menentang pemerintah dengan cara yang tidak sah di sisi syarak.


Mereka lebih mementingkan persaudaraan Islam dan memikirkan nasib masa depan agama dan umat Islam. Mereka inilah ulama haq dan ulama amilin yang betul-betul berpegang dengan ajaran al Quran dan as Sunnah, bukan sepertimana tindak-tanduk ulama su’ (jahat) yang memperalat agama untuk tujuan politik, mendapat sanjungan, kuasa dan pemerintahan!


Cara terbaik untuk mengubah pemerintah yang zalim dan jahat dalam konteks sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia pada hari ini ialah melalui pilihanraya. Pentas ceramah politik semasa (di luar kempen pilihanraya), akhbar, blog, surat layang dan demonstrasi bukanlah cara yang betul untuk menegur pemerintah dengan cara mengaibkan mereka (maki hamun, mencerca dan herdikan) kerana ia sangat bertentangan dengan anjuran Nabi s.a.w.


Dalam hal ini al Allamah Asy Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:

“Bukanlah termasuk uslub (metod) salaf perbuatan mendedahkan aib pemimpin dan menyebutkannya di atas mimbar (atau pentas), kerana hal ini hanya menimbulkan kerusuhan dan hilangnya ketaatan rakyat terhadap pemimpin, juga menyebabkan banyak persepsi dan pandangan yang merbahaya yang tidak mendatangkan manfaat.”Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya”.
[Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani]
Keadaan berbeza apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Pada masa itu bermulalah babak pilihanraya (pertandingan memilih pemerintah) di mana kita dibenarkan untuk mendedahkan secara terbuka kelemahan mereka semasa kempen pilihanraya. Hal ini kerana parti pemerintah ketika itu hanyalah ‘caretaker government’ bukanlah kerajaan dalam ertikata sebenar, malah mereka sendiri bersedia serta redha untuk menang atau kalah (dalam ertikata memperoleh atau hilang kuasa pemerintahan) dalam pilihanraya yang akan diadakan.
Bilamana selepas pilihanraya pula, ketika di Parlimen kita dibenarkan membahaskan sesuatu usul dengan kritikan dan bangkangan yang beretika serta membina. Ini sepertimana ruang musyawarah yang diberikan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin dalam membahaskan sesuatu perkara yang memerlukan perbincangan bersama.


Konsep Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri hampir boleh disamakan dengan konsep Ahlul Halli wal Aqdi yang dibincangkan oleh para ulama. Secara istilah konsep ini bermaksud “orang-orang yang berhak membentuk suatu sistem di dalam sebuah negara dan membubarkannya kembali jika dipandang perlu”.

Ruang perbincangan sesama mereka adalah diharuskan dalam syarak walaupun berlaku pertembungan idea dan pendapat.


Kadang-kala kita sendiri selalu alpa dan lupa dengan anjuran al Quran dan hadith berkenaan ketaatan kepada pemerintah. Kita sendiri ada masanya mengutuk, mengkritik tanpa fakta dan memaki pemerintah tetapi itu bukanlah bermakna kita perlu mencari dalil-dalil yang diada-adakan semata-mata untuk menjustifikasikan maksiat kita terhadap pemerintah.

Manusia atau insan itu secara lumrahnya bersifat pelupa dan oleh kerana itu kita perlu sentiasa diperingatkan dengan ayat-ayat Allah serta istighfar dan saling bermaafan sesama Muslim apabila terlanjur melakukan kesalahan.
Ulama terkenal, Sahl bin Abdullah at Tusturi r.h. pernah berkata:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rosaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka.”
Ulama salafus soleh melihat bahawa sifat pemerintah pada sesuatu masa atau tempat adalah cerminan sifat masyarakat ketika itu dan di tempat itu.
Ibn Abi al `Izz berkata:

“Adapun wali al Amr berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah, ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada kezaliman mereka.

Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah tidak menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan.


Firman Allah Taala:


“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.[Surah Ali Imran: 165]

Dan Allah Taala berfirman:


“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan.” [Surah al An`am: 129]

Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”. [Syarh al `Aqidati at Tohawiyah, juz 2, hal. 542]
Ingatlah kepada firman Allah Taala: 



“Dan apa saja musibah yang menimpa dirimu, maka yang demikian itu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” [Surah as Syura: 30]

Beradanya masyarakat kita di bawah pemerintah yang bersifat fasiq atau zalim adalah suatu bentuk musibah, yang sebenarnya berpunca dari masyarakat itu sendiri. Natijahnya, untuk mengubah sifat pemerintah maka kita perlu mengubah masyarakat tersebut melalui dakwah yang berpandukan al Quran dan as Sunnah, sentiasa bermuhasabah, pesan-memesan dengan kebenaran dan penuh kesabaran, di samping keberanian menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.

Wallahua’alam.