Khamis, 28 Mei 2015
Selasa, 26 Mei 2015
Isnin, 25 Mei 2015
Sabtu, 4 April 2015
Isnin, 23 Mac 2015
Kritik Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Negeri Kelantan bukan Tolak Hudud
Teringat semasa belajar dulu, saya
pernah dikafirkan oleh beberapa rakan saya hanya kerana mengkritik dan menolak
tafsiran berkenaan hudud oleh PAS dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993)
Negeri Kelantan (EKJSII).
Apabila kita menolak interpretasi hudud
oleh PAS, kita pasti dituduh oleh mereka sebagai menolak hukum Allah dan secara
automatiknya menjadi kafir. Sejak di sekolah asrama penuh, kemudian di
universiti dan sehinggalah sekarang saya memang berminat mempelajari, mengkaji
dan berbincang mengenai hukum hudud.
Antara kritikan-kritikan yang
selalu dikemukakan oleh saya dalam perbincangan sehingga ditohmah sebagai
menolak hukum Allah ialah:
1. Adakah adil sekiranya seorang Islam mencuri
harta seorang bukan Islam dia dihukum potong tangan di bawah hukuman hudud
manakala seorang bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh
dihukum penjara penjara dan denda sepertimana peruntukan dalam EKJSII?
Walhal pandangan jumhur (majoriti) ulama' Islam termasuk di
kalangan para fuqaha' Syafi'iyyah bahawa orang bukan Islam
juga wajib dikenakan hukuman hudud jika bersalah bagi kesalahan mencuri (sariqah).
Sila rujuk Kitab Al-Muhazzab II:256, Kitab Nihayatul
Muhtaj VII:446, Kitab Hasyiyah
Radd Mukthar 6:137, Kitab Hasyiyah Radd Mukthar 6:137, Kitab Al-Mudawwanatul
Kubra 4:414, Kitab At-Taj wa Iklil 6:312, KitabHasyiyah
Ad-Dusuki 4:332, Kitab Kashshaf Al Qinaâ VII:91 dan
Kitab Al-Mughni X:276.
2. Seorang yang dirogol atau diliwat menuduh
si fulan merogol atau meliwatnya tanpa 4 orang saksi lelaki yang adil akan
dihukum dengan 80 kali sebatan atas kesalahan qazaf mengikut EKJSII. Adakah
adil hukuman ini, sudahlah mangsa sudah dizalimi oleh perogol atau peliwat, dia
pula didera oleh pihak berkuasa dengan sebatan? Ibarat sudah jatuh ditimpa
tangga, perogol dan peliwat pula mungkin bebas bermaharajalela!
Walhal seseorang yang mengadu
dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, dia tidak terus dikenakan
hukuman qazaf walau pun gagal membawa 4 orang saksi. Berdasarkan keterangan fuqaha' Islam, setiap aduan rogol atau liwat
perlu melalui proses pengumpulan bukti-bukti (al-Bayyinah, termasuk juga al-Qarinah) sama ada mangsa
benar-benar dirogol atau diliwat. Jika terbukti mangsa memang dirogol atau
diliwat maka mangsa tidak akan dikenakan hukuman qazaf, manakala perogol atau
peliwat pula akan dihukum di bawah kesalahan takzir. Sila rujuk Kitab Al-Muntaqa
Syarh Muwattha’ Malik 4:21.
3. Adakah adil seorang wanita yang tidak
bersuami mengandung akibat dirogol dikenakan hukuman hudud atas kesalahan zina
hanya kerana wujud qarinah kehamilan anak luar nikah? Ini juga satu lagi
perumpamaan sudah jatuh ditimpa tangga, malah lebih teruk lagi dari mangsa yang
dihukum atas kesalahan qazaf tadi!
Walhal hukuman zina dengan sabitan qarinah melalui
bukti kehamilan itu perlu diperinci dan diselidiki terlebih dahulu. Memang
benar terdapat athar para sahabat radiallahu'anhum terutama
dari Sayidina 'Umar Al-Khattab RA dan Sayidina 'Ali bin Abi Thalib RA, namun
sebahagian ilmuan Islam percaya hakikatnya tidak seperti pemahaman dalam
EKJSII. Dalam kes zina, Sayidina 'Umar tidak mungkin hanya bersandarkan kepada
al-Qarinah mengandung semata-mata sebaliknya pasti ada bukti-bukti lain yang
menyokong tuduhan tersebut, walau bagaimanapun mengandung adalah al-Qarinah
yang paling kukuh, kerana itu ia difokuskan. Secara logiknya sebelum sesuatu
hukuman itu dijatuhkan pasti ada perbicaraan (pertuduhan dan pembelaan),
malangnya ia tidak dinukilkan oleh sejarah. Sila rujuk Al-Qarinah:
antara Kekuatan dan Keperluan dalam Mensabitkan Kesalahan Jenayah (Zina) dalam International Journal of Islamic
Thought Vol. 2, Dec 2012 oleh
Dr. Lukman Abdul Mutalib dan Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail.
Sebahagian fuqaha' Islam pula berpendapat bahawa athar dari
Sayidina 'Umar mengenai sabitan al-Qarinah zina melalui kehamilan bukanlah
hujah. Pendapat ini didukung oleh Abu Bakar Al-Ash`ari, Mazhab Shafii, Mazhab
Daud dan Imam Ar-Razi.
Sebenarnya ada banyak lagi kritikan-kritikan terhadap
EKJSII (1993) yang biasa digelar sebaga 'hudud PAS', tetapi saya hanya
kemukakan 3 kritikan utama ini terlebih dahulu. Kritikan-kritikan ini adalah
sebahagian intipati surat penolakan EKJSII oleh Perdana Menteri ketika itu, YAB
Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun Dr. Mahathir Mohamad) kepada Menteri
Besar Kelantan ketika itu, YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini
Allahyarham Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat) pada 1994.
Alhamdulillah, nampaknya hasil kritikan-kritikan dari
pelbagai pihak termasuk dari pakar undang-undang Islam terkemuka antarabangsa,
Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali dan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri
Malaysia ketika itu, Kerajaan PAS Negeri Kelantan di bawah Menteri Besar sekarang,
YAB Datuk Ahmad Yakob telah bersetuju membuat pindaan terhadap beberapa isu
berbangkit seperti dalam point (2) dan (3) di atas.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Pindaan 2015)
telah telah memasukkan pengecualian kesalahan qazaf dalam Fasal 18(2) terhadap
yang individu yang mengadu dirogol atau diliwat tetapi tidak dapat mengemukakan
4 orang saksi.
Pindaan pada 18 Mac 2015 lalu turut membuang peruntukan
Fasal 46(2) mengenai qarinah atau sebab zina bagi perempuan hamil tanpa suami.
Fasal yang dimansuhkan tersebut menyatakan:
“Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh
seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan
yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud
ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dia dapat membuktikan
sebaliknya.”
Dua pindaan tersebut memperlihatkan Kerajaan PAS Negeri Kelantan akur
dengan kritikan-kritikan yang selama ini dianggap sebagai menghina hudud dan
menolak hukum Allah.
Ahli-ahli Dewan Undangan (ADUN) BN dan PAS
bersalaman selepas selesai pembentangan usul Rang Undang-Undang Enakmen Kanun
Jenayah Syariah II (1993) (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015 lalu di Dewan
Undangan Negeri Kelantan. Pindaan yang dibawa oleh Menteri Besar Kelantan, YAB
Datuk Ahmad Yakob tersebut mendapat sokongan sebulat suara dari semua ADUN
termasuk dari kerajaan negeri dan pembangkang.
Melihat kepada perkembangan ini,
kalau boleh mahu sahaja saya berjumpa kembali rakan-rakan saya yang pernah
mengkafirkan saya disebabkan kritikan-kritikan saya terhadap 'hudud tafsiran
PAS Kelantan' yang dianggap sebagai menolak hukum Islam!
Saya sentiasa teringat kepada
pendirian konsisten Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II (1993) Negeri Kelantan yang dilihatnya tidak adil dengan menyatakan
bahawa terdapat 43 ayat Al-Quran yang menyebut jika menghukum, hukumlah dengan
adil. Jika sesuatu itu tidak adil, kita tidak boleh menghukum.
Saya juga teringat kepada jawapan
Khalifah 'Umar bin 'Abd Al-'Aziz kepada anaknya, 'Abdul Malik apabila ditanya:
“Wahai ayah, kenapa saya melihat ayah selalu lambat dalam melaksanakan segala
urusan? Demi Allah, saya tidak peduli, sekalipun takdir memanggil kita selagi
kita berada pada jalan Allah”.
'Umar bin 'Abd Al-Aziz berkata
kepada anaknya: “Janganlah kamu tergesa-gesa wahai anakku. Allah telah mencela
arak dalam Al-Quran pada dua ayat yang berasingan, kemudian barulah Allah
mengharamkannya pada ayat yang ketiga. Aku bimbang jika aku memaksakan
kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, hal ini akan mendatangkan
fitnah kepada mereka”.
Harapan saya suatu hari nanti,
apabila kita sudah mampu dan bersedia, hukum-hukum Islam akan tertegak secara
menyeluruh bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia termasuklah
terlaksananya undang-undang Islam seperti hudud, qisas dan takzir. Aamiin.
KANDUNGAN SURAT DR. MAHATHIR KEPADA NIK AZIZ
PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Y.A.B. Tuan Haji,
PENGUATKUASAAN
KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN
Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994
Bertarikh 8 Jun 1994
Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada
kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.
dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam
melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum
jenayah.
1. Jalan yang
diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang
terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah
sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan
kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian
sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar
perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia
selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan
bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.
2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.
3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa
banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya
keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman.
Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya
huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang
menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap
permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan
Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan
membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan
ajaran Islam.
4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di
Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang
disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja
menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa
kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan
berikut:
(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan
dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk
orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara
berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum
di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab
Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran.
Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap
jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada
penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di
zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara
hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah
undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.
Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi
orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah
dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan
undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka
undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk
dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya
tertentangan dengan agama Islam.
(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan
kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan
anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut
undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu
adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya,
tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri
daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang
menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh
telah merogol wanita berkenaan.
Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan
perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita
Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang
terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak
menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti
penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika
ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak
boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya
dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan
perogol akan terlepas.
Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana
melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah
kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun
sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.
5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi
keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman.
Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara
akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah
undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS
yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya
menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan
sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek
tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang
lain daripada Islam dan kepentingannya .
6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi
unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan
itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan
Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga
memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej
orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan
menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan
menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.
7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat
dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan
politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia
yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat
membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip
keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang
sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat
Islam dan penganut-penganutnya.
DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 Julai 1994
15 Julai 1994
Langgan:
Catatan (Atom)