Selasa, 27 April 2010

Polemik Kalimah Allah: Dangkalnya Khalid Samad!


Ahli Parlimen Pas Shah Alam, YB Khalid Samad pernah menyifatkan bahawa polemik mengenai kalimah Allah ini merupakan agenda UMNO untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

Kita jawab:

Sebenarnya yang menentang penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian ini bukan sahaja dari kalangan orang UMNO tetapi mereka terdiri daripada pelbagai pihak termasuk individu-individu non-partisan, NGO Islam dan orang Islam dalam pakatan pembangkang sendiri. Timbalan Mursyidul Am Pas, Dato' Dr. Haron Din, Timbalan Presiden Pas, YB Nasharudin Mat Isa, Ahli Parlimen Baling, YB Dato' Taib Azamuddin dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin Tantawi adalah beberapa pemimpin Pas yang ke hadapan menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.


YB Khalid Samad juga pernah berhujah bahawa al Quran dan hadis tidak pernah mengharamkan penggunaan nama Allah di kalangan orang bukan Islam. Sebarang usaha atau peraturan untuk menyekat orang bukan Islam dari memakai perkataan 'Allah' adalah ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah.

Kita jawab:

Memang larangan ini tidak disebut secara jelas dalam al Quran dan hadis. Namun demikian, sebarang tindakan menyekat penggunaan nama Allah kepada bukan Islam itu sebenarnya menepati kehendak 'Siasah Syariyyah'.


Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fiqah terdahulu, pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar Masolih Mursalah (kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya) dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid as Syariah) iaitu menjaga agama (Hifzu ad Din).


Perbuatan mengatakan sebarang enakmen atau undang-undang yang menghalang penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam sebagai ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah adalah keterlaluan.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.


Tidakkah kenyataan YB Khalid ini boleh dikatakan menghina institusi fatwa dan para mufti? Bahkan ia merupakan suatu bentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam memandangkan kenyataannya itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.



YB Khalid Samad menasihatkan supaya orang Islam tidak perlu terlalu khuatir apabila bukan Islam dibenarkan mengguna kalimah ‘Allah’ atas alasan kononnya gambaran ancaman kegelinciran akidah orang Islam adalah sebenarnya datang dari orang Islam yang lemah iman.

Kita jawab:

Kekhuatiran dan kewaspadaan itu sebenarnya berasas serta munasabah. Ia bukan datang dari mereka yang lemah iman tapi dari mereka yang arif tentang agama dan permasalahan ummah termasuk dari kalangan mufti dan ulama partinya sendiri.


Majlis-majlis Agama Islam Negeri sendiri memohon kebenaran untuk mencelah terhadap semakan kehakiman adalah untuk mengelakkan sebarang kekeliruan di dalam beragama sebagai akibat daripada penggunaan kalimah ‘Allah’, yang boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat awam serta menyebabkan sensitiviti agama.


Di sana terdapat alasan yang amat munasabah untuk mewujudkan kewaspadaan dalam isu ini kerana dapat difahami penggunaan kalimah ‘Allah’ merupakan salah satu strategi terancang oleh pihak gereja untuk menyebarluaskan agama Kristian di Malaysia dan memurtadkan penganut Islam yang lemah akidah mereka.


Umpamanya seperti mana pendirian The People of the Book (http://www.thepeopleofthebook.org/) merupakan organisasi yang giat menjalankan pengembangan kepercayaan agama Kristian kepada umat Islam yang boleh bertutur dalam bahasa Sepanyol. Walaupun mengakui bahawa kalimah ‘Allah’ di dalam al Quran tidak memiliki maksud yang sama dengan ‘God’ di dalam Bible, organisasi ini berpendapat penggunaannya amat berkesan untuk memurtadkan umat Islam:

“We believe that it can be very effective to use the Quran as a tool to share concepts that are familiar and acceptable to Muslims, and that support Biblical principles. There are many concepts that are very compatible with the Bible and there are other Quranic teachings that may actually be misunderstood by Christians and Muslims. Of course, the Holy Bible is the only and complete authority for everything pertaining to doctrine and lifestyle. We believe that it is perfectly acceptable to use the name Allah, both in the Bible that we use to minister to Muslims, as well as materials that we distribute. It is the translation of the word “God” in Arabic. Joshua Massey has written an excellent summary about this topic. This does not mean that Allah in the Qur’an is exactly the same as the God of the Bible.”


John Hultvall, mubaligh Mission Covenant Church of Sweden yang terlibat dalam misi pengembangan agama Kristian di Turkestan timur (kini wilayah Xinjiang, China), sebuah kawasan berpenduduk majoriti Islam, juga berpendapat bahawa walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ dipersoalkan dalam kalangan penganut-penganut Kristian sendiri, mubaligh-mubaligh Kristian sentiasa menggunakannya dalam usaha mereka memurtadkan umat Islam:


“It is questionable whether a description of mission work among Muslims should use the name of “Allah” and not “God”. Some Muslims mean that “Allah” should be translated by “God” in western languages. The missionaries always use the word “Allah” and this usage has been observed here too." (Sila baca di http://www.missionskyrkan.se/Svenska-Missionskyrkan/Aktuellt/Material/Mission-and-Revolution-in-Central-Asia-by-John-Hultvall/)


Selain itu, Kevin Greeson, yang juga seorang mubaligh Kristian, telah menulis sebuah buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! yang dijadikan panduan oleh mubaligh-mubalighInternational Mission Board (IMB) khusus untuk memurtadkan umat Islam (baca http://www.christianindex.org/3313.article.print ).


Mengapakah pihak Gereja Katolik tidak mahu menggunakan istilah Tuhan, ‘God’ atau ‘Lord dalam penerbitan mereka, sebaliknya mahu bertegas menggunakan kalimah Allah. Puak-puak ini sanggup untuk turun naik mahkamah hanya sekadar inginkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka [1]. Sedarilah agenda tersembunyi mereka!


Kepada YB Khalid Samad dan konco-konconya diharapkan ambillah peringatan Allah Taala dalam al Quran seperti berikut:

“Orang Yahudi dan Kristian tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau". [Surah Al-Baqarah: ayat 120]


[1] http://www.anakledang0616.com/2010/01/guna-kalimah-allah-agenda-tersembunyi.html


Selasa, 9 Mac 2010

Unsur Khawarij dalam politik - Memusuhi orang Islam lebih dari memusuhi orang kafir


Pelbagai cercaan, gelaran, tuduhan dan makian dihamburkan terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria oleh para penyokong Pas yang sering mendakwa merekalah pejuang Islam. Telatah mereka ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini terutama sejak Mursyidul Am mereka menulis satu surat terbuka memperlekeh peranan Mufti Perak dalam usaha mewujudkan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas selepas Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu.


Saya tidak terkejut dengan gelagat pemimpin dan penyokong fanatik parti tersebut sekalipun mereka mempamerkan ‘pakaian agama’ kerana Nabi Muhammad s.a.w. telah banyak memperingatkan kita dengan golongan sebegini yang pasti akan akan wujud terutama diakhir zaman ini.

Saya rasa eloklah kita mengambil ingatan dari Rasulullah s.a.w. berkenaan ciri-ciri Khawarij. Bukanlah maksud saya untuk menuduh bahawa mereka itu adalah Khawarij tetapi supaya mereka sedar bahawa mereka telah membayangi ciri-ciri Khawarij yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti dalam hadith berikut:
إنه يخرج من ضئضيء هذا قوم أحداث الأسنان سفهاء الأحلام يقولون من خير قول البرية ليس قراءتكم إلى قراءتهم بشيء ولا صلاتكم إلى صلاتهم بشيء ولا صيامكم إلى صيامهم بشيء تحقرون صلاتكم مع صلاتهم يقرأون القرآن يحسبون أنه لهم وهو عليهم يقرأون القرآن لينا رطبا لا يجاوز حناجرهم يقتلون أهل الإسلام ويدعون أهل الأوثان يمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية ينظر إلى نصله ورصافه ونضِيّه وقُذذه فلا يوجد فيه شيء، سبَق الفرْثَ والدّمَ، لئن أدركتهم لأقتلنهم قتل عاد فإذا لقيتموهم فاقتلوهم فإن في قتلهم أجرا لمن قتلهم عند الله يوم القيامة

“Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan al Quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka al Quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca al Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum ‘Ad, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah pada Hari Kiamat.” 
[Hadith Riwayat al Bukhari]

Bolehlah saya katakan bahawa mereka ini hampir menyerupai ciri-ciri Khawarij, iaitu mereka lebih memusuhi orang Islam lain yang tidak separti dengan mereka dari orang kafir, sekalipun mereka tidak memeranginya dalam ertikata membunuh saudara seagama secara fizikal. Apabila ada saudara seagama tidak sependapat dengan kelompok parti mereka akan dimusuhi sekalipun orang itu bukan ahli atau penyokong parti lawan. Keadaan berbeza apabila rakan politik bukan Islam dari parti seangkatan mereka lantang melaungkan penolakan terhadap cita-cita mereka sendiri untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah ‘Negara Islam’.

Perhatikanlah sikap mereka terhadap orang kafir yang sepakatan ini menghina Islam, mempertikaikan peruntukan kerajaan untuk pembangunan Islam, mempertahankan orang murtad dan memetik secara semberono ayat-ayat al Quran, namun mereka hanya membiarkan saja dan sebaliknya mengambil langkah kompromi demi kepentingan politik parti pakatan mereka. Mereka sanggup melakukannya sekalipun mereka tahu tindakan itu boleh memudharatkan kedudukan Islam dan umatnya di masa hadapan! Ambil saja isu kalimah Allah dan kedudukan politik orang Melayu-Islam di Perak sebagai contoh.

Dalam satu laporan oleh Harakahdaily, pemimpin dan ulama besar mereka, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengungkapkan kata-kata berikut :

"DAP kalau hina Islam, pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam.”

Renungilah firman Allah Taala:


Bermaksud: “Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.” [Surah al Fath: 29]

Sebagai seorang yang beragama Islam kita wajib sensitif dengan keceluparan orang kafir apabila mereka menghina agama kita. Bersifat keras bukan semata-mata dengan maksud bertindak melulu atau emosional tetapi lantang dan tegas mempertahankan agama Islam dari tindakan tidak bertanggungjawab orang kafir.

Di atas faktor politik asobiyyah kepartian pakatan mereka, puak parti ini sanggup bersekongkol dan bertolak-ansur dengan sebuah parti sekular yang secara terang-terangan mempunyai dasar menolak ketuanan orang Islam, apatah lagi terhadap usaha untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh di negara ini.

Nampaknya mereka lebih suka berkawan rapat dengan parti orang kafir yang bersifat ultra-kiasu dan cauvinis bernama DAP ini. Bagi mereka matlamat politik lebih penting dari persaudaraan Islam.

Pemimipin dan ulama mereka sentiasa menggunakan ayat-ayat Allah yang ditujukan kepada orang kafir untuk ditujukan kepada saudara seagama yang berlawanan parti dengan mereka. Sikap ini juga menonjolkan jelmaan kepada ciri-ciri Khawarij seperti yang disabdakan oleh Nabi dalam banyak hadis sahih.

Perkara ini sebagaimana dikatakan Ibnu Umar r.a :

“Mereka mengambil ayat-ayat yang berbicara tentang orang kafir dan mereka tujukan kepada kaum muslimin”. [Shahih Bukhari Kitab Istitaab Al-Murtadin Bab VI. Fathul Baari 12/282]

Mereka juga suka melaung-laungkah tentang perjuangan menegakkan hukum Allah di negara ini. Halnya sama seperti slogan yang sering dilaungkan oleh puak Khawarij dahulu dan sekarang iaitu ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’. Dalam hal ini Khalifah Ali bin Abi Thalib r.a. pernah menghuraikan slogan sebegitu dengan katanya:

“Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”

Solat golongan Khawarij seolah-olah kelihatan hebat pada mata umum sedangkan mereka secara tidak sedar melakukan kesalahan dalam agama. Jika kelompok parti ini menganggap solat hajat perdana mereka suatu anjuran Nabi dan berbangga-bangga dengannya maka bukankah ia adalah antara ciri-ciri Khawarij, walhal Nabi s.a.w. tidak pernah melakukannnya?



Puak yang menyerupai Khawarij ini kelihatan sangat kuat semangat agamanya, sepertimana ciri-ciri yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas.

Secara mata kasar dilihat seolah-olah solat, puasa dan bacaan al Quran mereka sangat hebat dibandingkan dengan orang lain, walhal mereka sebenarnya melakukan tindakan melanggar ajaran agama secara tidak sedar, melainkan ia boleh dikenalpasti oleh orang yang mendapat petunjuk yang benar dari al Quran dan as Sunnah.

Khawarij juga terkenal dengan sikap memusuhi pemerintah dan suka menimbulkan huru-hara dalam masyarakat. Hari ini kita lihat adanya sebilangan penyokong parti yang menggunakan nama Islam ini sanggup terlentang di atas jalan raya, merusuh, memekik dan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap saudara seagama terutama pemerintah semata-mata disebabkan politik kepartian.

Sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran al Quran dan as Sunnah, saya suka menasihatkan mereka supaya kembali ke pangkal jalan, beristighfar, memohon maaf atas keterlanjuran dan mengikuti ajaran Islam yang sebenar.

Ketahuilah Islam lebih dari politik kepartian. Islam memang tidak boleh dipisahkan dari politik, tetapi politik kebencian, fitnah-memfitnah, memusuhi sesama saudara agama, perpecahan adalah antara unsur-unsur politik kepartian yang wajib dipisahkan dari agama kita!

Rabu, 24 Februari 2010

Respon kepada MAZA - Jangan sempitkan perjuangan kebangsaan Melayu!

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana satu rencana tulisan Datuk Noor Azam telah disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini berkenaan perjuangan Melayu dan Islam (sila rujuk rencana bertajuk Jadilah umat Islam, bukan umat Melayu? Utusan Malaysia 24 Februari 2010).

Rencana beliau ini adalah sebagai suatu respon terhadap tulisan mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) tentang hakikat perjuangan kebangsaan Melayu-Islam di Malaysia (sila rujuk Minda Dr. Maza bertajuk Maulid, Melayu dan Mamak Penang, Mingguan Malaysia 21 Februari 2010).

Nampaknya MAZA masih tidak dapat memahami bahawa konsep bangsa Melayu di Malaysia bukanlah semata-mata merujuk kepada satu kaum, etnik atau ras. Sebaliknya, takrif Melayu dan perjuangannya adalah merujuk kepada bahasa dan kebudayaan setempat serta paling penting ia diikat dengan Islam. Di Malaysia, mana-mana kaum, etnik atau ras yang bersedia untuk menerima kelaziman kebudayaan dan bahasa setempat (budaya dan bahasa Melayu) maka mereka diiktiraf sebagai Melayu asalkan mereka wajib beragama Islam!

Kita menerima etnik Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Rawa, India-Muslim, Arab, Melanau dan pelbagai lagi keturunan lain sebagai Melayu selagi mereka beraqidahkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Demikianlah uniknya bangsa Melayu di Malaysia, bangsa yang diikat dengan pegangan Islam seperti mana sering ditegaskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Dalam satu temubual bersama portal berita, Malaysiakini berhubung kes murtad di kalangan orang Melayu, Dr. Mahathir pernah dipetik sebagai berkata:

“Jika mereka (orang Melayu) meninggal Islam, maka mereka bukan
orang Melayu,”

“Orang Melayu di negara ini menikmat
i keistimewaan-keistimewaan tertentu, jadi mereka (yang meninggalkan Islam) tidak lagi berhak mendapat hak dan keistimewaan (dalam Perlembagaan yang melibatkan orang Melayu),”

"Jika anda mahu meninggalkan Islam, maka anda juga mesti bersedia untuk melepaskan (hak-hak berkaitan dengan) definasi seorang Melayu. Anda mesti kata ‘saya bukan orang Melayu’.” Demikianlah pandangan oleh orang yang pernah memimpin kerajaan Malaysia dan parti siasah terbesar
Melayu.

Dalam satu program khas yang pernah disiarkan oleh stesen Al Jazeera mengenai isu murtad, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata:
“Bila kita melihat seorang Melayu, maka kita melihat seorang Islam. Itulah yang terkandung dalam Perlembagaan. Jadi jika kita membenarkan semua perkara ini berlaku, maka kita akan habis. Malaysia akan habis”.

Pandangan tokoh politik dan agama ini turut disokong oleh pakar perlembagaan, Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi yang menegaskan bahawa seorang Islam yang murtad akan hilang status Melayunya, perkahwinannya akan bubar dan akan berbangkit masalah hak jagaan dan hak keistimewaan orang Melayu. Pandangan beliau ini pernah disiarkan dalam akhbar The Star tidak lama dulu.

Di sini saya ingin menyeru kepada ilmuan Islam seperti MAZA supaya tidak menyempitkan konsep kebangsaan Melayu dengan perkauman sempit semata-mata. Terimalah hakikat konsep dan identiti Melayu seperti mana telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah epistemologi dunia Melayu-Islam ini sebenarnya sudah lama diadaptasi di dalam masyarakat negara ini sebelum merdeka lagi.

Orang Melayu seperti ditakrifkan menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah mereka yang beragama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.

Ketahuilah, ulama-ulama besar kita dahulu sama ada dari aliran tradisional atau pembaharuan seperti Syeikh Ahmad al Fathani, Tok Kenali, Tok Selehor, Abdullah Fahim, Hamka, Syeikh Idris al Marbawi, dan banyak lagi sering melaungkan tentang peri pentingnya perjuangan memartabatkan bangsa Melayu yang bersendikan Islam. Mereka tidak pernah menyempitkan bahawa Melayu itu dengan satu keturunan tetapi satu bangsa yang sangat dominan dan penting dalam kelangsungan masyarakat Islam dan agama Islam itu di negara ini.


Ketahuilah juga, tokoh-tokoh pembaharuan dan politik Islam tanahair merupakan kumpulan yang terkehadapan dalam memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu sebelum kemerdekaan dahulu. Antaranya ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al Hadi, Abbas Mohamad Taha, Pendeta Za’aba, Burhanuddin el Helmy dan ramai lagi.

Golongan pembaharuan yang digelar Kaum Muda paling lantang mewujudkan kesedaran terhadap perjuangan kebangsaan Melayu dengan wacana Islam untuk merubah nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sosial. Telitilah kembali teks-teks sejarah yang terkandung di dalam majalah seperti al Imam, Saudara, Pengasuh, Neracha dan Edaran Zaman.

Usahlah kita diperbodohkan oleh momokan segelintir ahli politik tertentu yang sengaja mewujudkan kesangsian tentang keperluan memelihara kelangsungan gagasan Melayu-Islam hanya kerana kepentingan dan agenda politik parti mereka. Selama ini negara kita kekal stabil dan aman kerana konsep yang sekelian lama dipraktikkan ini.


Apa yang diistilahkan sebagai Ketuanan Melayu yang sering dikaitkan dengan agenda perjuangan kebangsaan Melayu sebenarnya adalah selari dengan anjuran Nabi s.a.w. yang mengkehendaki bangsa, kaum, kumpulan yang terkuat dari sudut politik untuk mentadbir negara dengan maksud mengelakkan negara dari kacau-bilau.

Realiti inilah yang diterangkan oleh pakar hadis dari Kelantan, Maulana Mohd Asri Yusoff ketika mensyarahkan tentang begitu banyak hadis sahih menyebutkan tentang suruhan Nabi Muhammad s.a.w. supaya melantik orang Quraisy sebagai pemimpin. (Sila ikuti klip video Youtube Mfundamentalist bertajuk “Ketuanan Melayu dan Ketuanan Quraisy”).




Satu daripada hadis tersebut ialah:

 لا يَزَالُ هَذَا الأَمْرُ فِي قُرَيْشٍ مَا بَقِيَ مِنَ النَّاسِ اثْنَانِ

“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dua orang di antara manusia.”
[Hadith Riwayat Muslim]

Di sana terdapat sebab dan illat mengapa Nabi s.a.w. memerintahkan supaya kepimpinan umat ini mesti dari kaum Quraisy seperti mana dinyatakan dalam sebuah lagi hadis shahih yang berbunyi:

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

"Para imam (mesti) dari golongan Quraisy."
[Hadith Riwayat A
hmad dan al Baihaqi]

Menurut Ibn Khaldun di dalam kitab al Muqaddimah, illat yang melatarbelakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.

Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya. Menurut beliau, illat yang terkandung dalam penyebutan “golongan Quraisy” akan terus berlaku dengan syarat ‘asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.

Ibn Khaldun menyebutkan:


"Kerana itu, kita pun menganggapnya sebagai satu prasyarat yang mendesak bagi seseorang yang bertugas menguruskan persoalan kaum Muslimin supaya dia termasuk golongan orang-orang yang kuat perpaduannya, dan mengatasi perpaduan bangsa-bangsa lain yang semasa dengan mereka, sehingga mereka dapat memaksa bangsa-bangsa itu bersatu demi kepentingan bersama. Kenyataan demikian tidak akan pernah ditemukan di seluruh pelusuk dunia sebagaimana terjadi pada masa kekuasaan keturunan Quraisy; sebab dakwah Islamiyah yang ada pada mereka sifatnya adalah universal, sehinggakan mereka dapat mengalahkan bangsa yang lainnya. Namun dewasa ini setiap daerah mempunyai orangnya sendiri yang mewakili perasaan 'asabiyyah (kekitaan) terbesar di sana." [Mukadimah Ibn Khaldun (2006), Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 207-208]

Sesungguhnya konsep perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia sesuai dengan takrif 'asabiyyah baik yang disebut oleh tokoh Islam agung, Ibn Khaldun ini. Perjuangan kebangsaan Melayu ini sesekali tidak boleh dinamakan ‘asabiyyah tercela yang membawa kepada mati dalam keadaan jahiliyyah kerana perjuangan ini sebenarnya tidak akan menyokong ketaksuban membuta tuli kepada kumpulan semata-mata.


Diriwayatkan dalam sebuah hadis shahih bahawa:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ , قَالَ :  لَا , وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ
"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah perbuatan asabiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman."
[Hadith Riwayat An-Nasai']

Ingatlah perjuangan kebangsaan Melayu kita di Malaysia ini adalah disempadani oleh agama Islam. Apa-apa agenda perjuangan yang dinisbahkan kepada perjuangan kebangsaan Melayu tetapi bersalahan dengan syarak, maka ia bukanlah perjuangan kebangsaan Melayu yang sebenar dan ia tertolak!

Ahad, 20 Disember 2009

Muhadharah Perdana al Qaradhawi di Putrajaya

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri program Muhadharah Perdana bersama Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawi di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada Sabtu,19 Disember bersamaan 2 Muharram 1431H.


Pada hari sebelumnya, saya turut hadir menyaksikan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431H juga di PICC.


Topik yang dikupas oleh Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawi di dalam majlis Muhadharah Perdana 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabtu lalu ialah 'Fiqh al Jihad'. 'Fiqh al Jihad' adalah karya terbaru beliau.

Saya mengharapkan hadirin dan diri saya sendiri mendapat ilmu yang bermanfaat dari majlis tersebut. InsyaAllah.



Ahad, 22 November 2009

Al Kuliyyah Khas TV3: Satu Akidah


Khamis, malam Jumaat (19 November) lalu, saya hadir ke Auditorium Utama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk menyaksikan secara langsung rancangan Al Kuliyyah TV3 Edisi Khas yang menampilkan tiga panelis ulung dalam bidang agama iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Dr. Fauzi Deraman serta Felo Kehormat ISTAC, (Dr.) Muhammad Uthman el-Muhammady.
Banyak perkara yang saya ingin ulaskan mengenai hasil perbincangan ketiga-tiga ahli panel tersebut, tetapi memandangkan masa saya agak terhad ketika ini, saya akan menulis panjang di masa akan datang mengenainya.

Jumaat, 6 November 2009

Meneruskan Amanah dan Perjuangan Yang Belum Selesai

Alhamdulillah Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri 1430H yang diaturkan oleh Kelab Che Det Dot Com (KCD), akhirnya berjalan lancar seperti dirancangkan walaupun tarikhnya terpaksa dianjakkan lewat sehari ke 18 Oktober disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Program tersebut berjalan dengan penuh meriah walaupun dibuat serba sederhana di Hotel Putra bersebelahan Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur.

Sebagai salah seorang Exco KCD, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dan isteri beliau, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Bin Haji Mohd Ali kerana sudi meluangkan masa menghadiri sambutan hari raya kami yang tidak seberapa ini. Begitu juga kepada semua hadirin yang turut sama menjaya dan memeriahkan majlis ini. Mereka ini datang dari seluruh Malaysia termasuk dari Singapura!

Paling menggembirakan kami, Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Hasmah kelihatan begitu ceria sekali dalam majlis tersebut. Walaupun pada awalnya mereka hanya dijadualkan berada di majlis KCD ini hanya sejam, namun syukur Alhamdulillah mereka sudi memanjangkan masa lebih kurang dua jam di majlis yang penuh nostalgia itu untuk turut sama para hadirin termasuk untuk sesi fotografi. Hampir semua hadirin berkesempatan bergambar dengan pasangan mantan Perdana Menteri dan Wanita Pertama negara ini.

Ini merupakan sambutan hari raya pertama KCD sejak ia ditubuhkan penghujung tahun lalu. Sambutan di luar dugaan oleh forumer dan pengunjung portal kami ini menjadi perangsang dan semangat untuk meneruskan amanah dan perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad demi untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Akhir sekali saya ingin menukilkan kembali lafaz-lafaz doa yang dibacakan semasa pembukaan majlis tersebut, sebaik sahaja ketibaan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah di dewan Hotel Putra. Semoga doa yang diaminkan bersama oleh pejuang-pejuang yang ikhlas dan negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimakbulkan oleh Allah Taala. Aamiin…


Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Sesungguhnya kami berhimpun pada hari ini di Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri Kelab Che Det Dot Com bagi menyatakan kesyukuran kami kepada-Mu.

Ya Allah Ya Tuhan kami,

Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih samada terhadap nikmat yang sedikit apatah lagi nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada kami termasuk nikmat kegembiraan kami dengan kehadiran negarawan ulung, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali ke majlis kami ini.

Berkatilah dan rahmatilah majlis kami ini. Sinarilah hati-hati kami dengan cahaya dan petunjuk-Mu. Berikanlah kami kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab kami bersifat fardhu ain mahupun fardhu kifayah, agar kami menjadi hamba-Mu yang bertaqwa. Semoga dengannya kami mudah menerima dan menghayati serta mengamalkan setiap ibadah kepadaMu.

Kurniakanlah kepada kami kesihatan tubuh badan, kecergasan minda, ketenangan jiwa dan kekuatan semangat. Semoga dengannya kami mampu melaksanakan segala ketaatan kepada-Mu.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Kami pohon perlindungan dari-Mu dari segala hasutan syaitan mahu pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan, jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit yang menyusahkan.

Ya Allah, hindarkanlah kami dari sifat-sifat yang keji dan jadikanlah kami hamba-Mu yang mulia dan berjaya, yang mematuhi segala ajaran agama suci-Mu. Ajaran yang menyuruh berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan umat ini untuk dijadikan contoh sebagai hambaMu yang tunduk kepada segala perintah-Mu ya Allah.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami sebagai insan yang bersaudara, eratkanlah perhubungan diantara kami untuk bekerjasama. Jadikanlah kami, hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa, mematuhi segala perintah-Mu dan Rasul-Mu yang mulia, agar kami dapat meneruskan amanah Tun Dr. Mahathir Mohamad serta perjuangan beliau yang belum selesai untuk agama, bangsa dan negara.


Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperolehi rahmat.

Khamis, 6 Ogos 2009

Nostalgia Malam Nisfu Sya'aban: Peristiwa Tun Mahathir Di Dalam Kaabah

Tulisan ini bertujuan mengimbau kembali kenangan indah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang telah diberi rahmat, nikmat dan kelebihan oleh Allah Taala untuk masuk dan beribadat di dalam Kaabah. Kebetulan kelebihan yang diperolehi beliau itu ialah pada malam Nisfu Syaaban.

Kita imbas kembali tulisan Setiausaha Politik beliau pada masa itu iaitu Datuk Dusuki Ahmad di dalam Mingguan Malaysia. Sekali lagi kita berdoa di atas kebahagian dan kesihatan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali. Semoga mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Aamiin.

Di sana terdapat satu hadis yang boleh dipegang berkenaan kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain, Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah, jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh]

Perlu diingat hadis ini tidak mengajar kita bentuk amalan yang khusus pada malam berkenaan. Amalan-amalan khas tertentu yang dilakukan pada malam tersebut sebenarnya bukanlah dari ajaran Nabi s.a.w.

Saya ingin memetik jawapan Dr. Yusuf al Qaradawi berhubung persoalan Nisfu Syaaban ini:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al Quran dan as sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid'ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid'ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.” [Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut]




Lazatnya beribadah dalam Kaabah

Oleh DUSUKI AHMAD

AIR mata saya menitis, sayu, sedih dan hiba ketika melihat Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merapat kemas mukanya ke multazam pintu Kaabah. Tidaklah diketahui apa yang beliau berdoa dan bermunajat. Tetapi yang jelasnya beliau amat bersyahdu.

Beliau, isterinya Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan beberapa orang pegawai pengiring baru saja selesai sembahyang isyak berjemaah, kemudian dibawa tawaf qudum/umrah dengan diiringi oleh ramai tentera kerajaan Arab Saudi.

Kebetulan malam itu - 21 Oktober 2002 - ialah malam Nisfu Syaaban. Kira-kira pukul 11 malam, rombongan Dr. Mahathir dibawa masuk ke dalam Kaabah. Lama juga beliau berada di dalamnya sehingga sempatlah beliau menunaikan sembahyang sunat pada empat penjuru Kaabah itu.

Saya merasai sayu dan hiba kerana dua tiga hari sebelum ini ketika berada di Riyadh dan di Jeddah, saya ditanya oleh ramai tokoh cendekiawan Islam tentang sebab-sebab mengapa Dr. Mahathir tidak bercadang lagi untuk menyambung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.

Mereka hairan bagaimana seorang pemimpin yang amat dihormati seperti Dr. Mahathir yang telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai bidang telah membuat ketetapan untuk mengakhiri perkhidmatannya pada Oktober 2003.

Sikap seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara-negara Islam. Lebih-lebih lagi katanya, ``Umat Islam hari ini amat memerlukan pimpinan tokoh besar yang berwibawa seperti Dr. Mahathir, ketika nasib negara-negara Islam tidak menentu dan umatnya pula semacam mengambil sikap untuk tidak bersatu.''

Saya hanya menjawab pendek, ``Hanya Dr. Mahathir dan Allah yang mengetahui.''

Mereka tidak senang dengan jawapan itu. Mereka mahu sebab-sebab yang khusus. ``Seorang yang mendapat kurniaan Allah sebagai pemimpin yang berwibawa, dia harus amanah dan bertanggungjawab kepada orang ramai. Dia juga tidak boleh membiarkan pengikut-pengikutnya, rakyatnya dan negaranya kehilangan pemimpin.''

Saya memberi penjelasan, ``Kerana amanah dan tanggungjawablah maka Malaysia hari ini adalah negara paling aman dan selamat di rantau Asia dan Pasifik. Pentadbirannya baik, rakyatnya gembira, ekonominya kukuh dan politiknya stabil. Bahkan kita tidak ada masalah besar selain daripada penghijrahan haram kira-kira dua juta rakyat negara-negara jiran yang ingin menumpang hidup di Malaysia kerana tidak selesa di negara sendiri.

``Dan hari ini Dr. Mahathir sudah berjaya memastikan penggantinya dan menamakan seorang tokoh yang dapat menyambung dan menyempurnakan misi dan visinya.''

Beliau setuju dengan pandangan saya dan menegaskan, ``Dr. Mahathir adalah contoh mithali pemimpin Islam pada abad ini. Dan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang paling subur untuk dakwah, pembangunan ummah dan penyebaran syiar Islam.''

Kehadiran Dr. Mahathir ke negara Arab Saudi pada 21 Oktober lalu adalah atas jemputan Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri pertama Arab Saudi. Dr. Mahathir dijemput memberi ucapan tentang pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekonomi.

Tiba di Riyadh pada Sabtu 19 Oktober, Perdana Menteri disambut oleh Raja Salman bin Abdul Aziz, Gabenor Riyadh. Pada hari yang sama beliau diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada seminar yang bertemakan Wawasan Ekonomi Arab Saudi Sehingga Tahun 2020.

Seperti biasa, ucapannya mendapat sambutan luar biasa. Beliau memberi rangsangan masa depan negara Arab Saudi yang cemerlang dan gemilang. Katanya, Arab Saudi mampu menjadi kuasa besar dunia yang dapat menaungi umat Islam sejagat dan menjadi tempat berteduh negara-negara Islam yang ditindas.

Kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang adalah berjumlah 10 juta tong sehari yang memberikan hasil RM760 juta sehari atau RM277 bilion setahun. Dianggarkan kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang boleh bertahan selama 200 tahun lagi.

Beliau menyarankan supaya Arab Saudi menguasai bidang-bidang utama pengeluaran perindustrian, kewangan dan teknologi. Padang pasir dan bukit boleh disuburkan dengan tanaman melalui pengairan yang saintifik.

Beliau menegaskan bahawa pendapatan per kapita yang tinggi dan taraf hidup yang baik belum bermakna mencapai kemajuan jika sumber manusia tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya.

Beliau mahu melihat Arab Saudi bukan saja menjual minyak mentah semata-mata, tetapi mencari jalan agar wujud nilai tambah yang maksimum kepada sumber minyak yang ada itu. Katanya, ``Minyak itu boleh diolah dan digarap menjadi barangan lain dan boleh dijual secara runcitan seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat petroleum Shell, Mobil dan lain-lain. Harga runcitan tidak pernah jatuh walaupun ketika harga minyak mentah merudum.''

Ketika di Riyadh, Dr. Mahathir dikunjungi oleh Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud yang juga Perdana Menteri Pertama dan Putera Sultan bin Abdul Aziz al-Saud, Perdana Menteri Kedua yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi. Beliau juga mengunjungi Raja al-Malik Fahad bin Abdul Aziz as-Saud, raja bagi kerajaan Arab Saudi.

Pada hari kedua rombongan dibawa ke Jeddah dengan pesawat khas yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi. Di Jeddah juga Dr. Mahathir menemui ahli-ahli perniagaan dan kemudiannya dijemput ke rumah Syaikh Salleh Kamil di kawasan pembangunan yang indah di pinggir Jeddah yang diberi nama Durrah Al-Arus.

Ramai tokoh korporat dan ulama saya temui pada majlis-majlis bersama Dr. Mahathir sepanjang lawatan ke Arab Saudi. Setelah melihat sendiri air muka Dr. Mahathir dan mendengar sendiri ucapannya, maka seorang sahabat telah membisik ke telinga saya, ``Aktivis-aktivis Islam dan pendakwah hendaklah belajar daripada pengalaman yang lalu. Mengambil sikap bermusuh dengan pemerintah tidak akan memberi apa-apa faedah.''

Dikatakan ramai yang membenci Dr. Mahathir, tetapi berganda ramai yang menyanjunginya. Kerana itulah beliau mampu menjadi Perdana Menteri melebihi 20 tahun.

Mungkin beliau tidak popular bagi sesetengah orang. Apakah kerana adanya golongan tertentu yang hari-hari mencipta fitnah terhadapnya, lalu dianggapnya buruk belaka.

Siapakah pemimpin-pemimpin dunia dalam sejarah yang bersih daripada fitnah dan suci daripada pembenci? Bahkan makin tinggi dan mulia darjat kepimpinan seseorang itu maka bertambah subur fitnah terhadapnya dan bertambah biak golongan yang memusuhinya.

Sahabat yang berkenaan juga telah menegaskan kepada saya bahawa kesedaran Islam yang tinggi dan semangat juang yang kuat haruslah seiring dengan kefahaman yang sebenar.

Beliau menegaskan bahawa tamadun Islam tidak seharusnya berkisar dalam rangka bernostalgia dengan kehebatan lampau, tetapi haruslah mengambil kira kesesuaian masa kini dan masa depan.

Pada petangnya rombongan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dibawa ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan umrah. Pada malamnya mereka diberi kesempatan memasuki Kaabah. Sudah tentu mereka yang berkesempatan memasuki Kaabah itu merasai indah dan lazatnya berada dalam Kaabah. Hanya Allah yang mengetahui tentang kenikmatan itu.

- Datuk Dusuki Ahmad ialah mantan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Beliau adalah cucunda kepada ulama terkenal Kelantan, Tok Selehor