Sabtu, 16 Mei 2009

Krisis Politik Perak: Cerita Harussani

Majalah Milenia Muslim edisi Mei 2009 telah memuatkan temu bual eksklusif bersama Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria dengan tajuk 'Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa'. Berikut adalah petikan dari temu bual tersebut.

Umum mengetahui bahawa pandangan Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, 70, terhadap isu-isu yang menghimpit masyarakat amat di perhatikan oleh umat Islam negara ini. Ketegasan beliau dalam mengutarakan pendapatnya adalah berpandukan al-Quran dan hadis serta ijmak.

Walaupun dikecam, beliau tidak pernah serik menyuarakan pendapat. Itulah Harussani dan itulah tanggungjawab seorang mufti. Satu lagi catatan peristiwa yang Dato' Seri Harussani beritahu ialah mengenai persetujuan UMNO Perak pada malam 8 Mac 2008 untuk bergabung dengan PAS membentuk kerajaan negeri dengan memberi PAS jawatan Menteri Besar dan kesemua jawatan EXCO.

UMNO hanya memperoleh 28 kerusi, PAS 6, DAP 18 dan PKR 7 kerusi. Kata Dato' Seri Harussani, Ketua Perhubungan UMNO negeri, Dato' Seri Diraja Tajol Rosli Mohd Ghazali, memintanya menyampaikan keputusan itu kepada Mursyidul Am PAS Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerana ingin melihat cadangan itu yang akan membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang kesemuanya Melayu dan beragama Islam buat pertama kalinya sejak merdeka, malam itu juga dalam hujan lebat, Dato’ Seri Harussani membawa amanat itu ke Kota Bharu. Semalaman berkereta, beliau menemui Dato' Nik Aziz sebaik sahaja Tok Guru itu mengetahui bahawa Mufti Perak turut bersama menunaikan solat fajar.

Dato' Seri Harussani berkata, Nik Aziz bersetuju dengan cadangan itu tetapi memberitahu bahawa kuasa pemutus tiada di tangannya. la di tangan Presiden parti, katanya.

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menelefon Dato' Seri Harussani pada jam 10 pagi 9 Mac memberitahu persetujuannya kepada cadangan UMNO Perak itu. Namun, kata Hadi pemutus bukan di tangannya tetapi terletak di tangan Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang.

Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu dan beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini dan isu semasa yang membelenggu umat Islam. Secara terbuka diceritakan beliau dalam temu bual dengan Editor Milenia Muslim (MM) Zulkafly Baharuddin, di Jabatan Mufti Negeri, baru-baru ini.

MM: Bagaimana pandangan Dato’ Seri dengan kemelut politik yang berlaku di Perak?


Harussani: Pasal mereka bertelagah ni, kerana mereka tidak mahu ikut cakap sultan. Saya kata kita wajib taat kepada sultan. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. pun ada sebut kita wajib taat pada pemerintah kecuali pemerintah itu zalim.

Dalam kemelut di Perak hari ini, kita tidak boleh kata sultan itu zalim. Nak hukum zalim macam mana? Semuanya dalam pertimbangan sultan.


MM: Siapa yang banyak mengkritik dalam keputusan yang dibuat sultan?


Harussani: Orang Melayulah. Orang Melayu juga yang ramai maki hamun saya. Macam-macam mereka kata. Saya tak pernah jumpa raja pun dalam hal ini. Mereka kata macam-macam pada saya. Nabi s.a.w. dah kata, dari syak kepada yakin, daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada derhaka kepada taat. Jika mengajak kita berpecah itu bukan seruan nabi. Kerana mereka ini suka menjalankan kerja syaitan. Kenapa kita perlu dengar kepada hal-hal yang dilarang Tuhan? Mereka tidak setuju dengan pendapat saya, mereka sanggup kata saya anjing. Mufti sekarang dah jadi anjing kerajaan. Menyokong BN. Bila pula saya masuk BN? Saya tak campur pun. Sultan tidak pernah tanya saya. Waktu itu saya terperangkap. Menteri Penerangan datang, ada pula wartawan tanya saya apa hukumnya menderhaka kepada raja? Itu yang saya kena jawab bila wartawan sudah tanya. Mereka marah.

MM: Adakah Dato' Seri perjelaskan isu yang berlaku ini kepada masyarakat?

Harussani: Pakatan Rakyat bukan ada perjanjian antara mereka pun. Sekarang ini mereka sudah lebih (dalam dewan undangan). Kita sudah bagi teks khutbah Jumaat, mereka tidak baca langsung. Malahan sekarang doa untuk sultan pun mereka tidak mahu baca selepas berlaku krisis politik di negeri ini.

MM: Adakah tindakan mereka itu bertepatan dengan syariat?

Harussani: Tidak tepatlah. Walaupun mereka kata bukan pun wajib kena baca doa untuk sultan. Betul tidak wajib. Tetapi kita disuruh mendoakan agar Tuhan memberikan petunjuk kepada sultan. Apa yang tidak boleh dilakukan untuk sultan, apabila kita puji atas keadilan sultan kerana belum tentu sultan itu adil.

Jadi dalam kemelut di Perak ini, perlu kita minta kepada Allah s.w.t. memberi taufik dan hidayah, selain menanamkan sifat ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. Itu yang kita doakan untuk sultan. Memang Tuhan suruh pun.

MM: Jadi bagaimana hendak selesaikan masalah ini?


Harussani: PAS dan PKR sudah jumpa saya, jam 11 malam datang ke rumah, sedangkan saya nak tidur kerana sakit gigi waktu itu. Tapi mereka mendesak nak jumpa saya juga. Mereka suruh saya nasihatkan sultan untuk bubarkan kerajaan. Buat Pilihanraya Nege
ri. Ini bukan kerja saya. Saya tiada kena mengena dengan politik. Kalau saya ketuk pintu istana, walaupun sultan bagi saya masuk, nanti sultan tanya apa hal? Awak masuk parti mana? Saya nak kata apa?

Sedangkan saya yang mencadangkan nama Nizar pada sultan untuk dilantik MB selepas pakatan pembangkang menang pilihan raya lalu (PRU 12). Yang berhak jadi MB adalah PKR. Anwar Ibrahim pun telefon saya. Tapi sultan tanya saya, siapa yang kita akan pilih jadi MB? Saya kata pilihlah Nizar kerana dia berilmu dan ada agama. Nizar pun selepas dilantik jadi MB ada juga datang ke rumah dengan pengikutnya. Perrnah mereka datang di pejabat penuh sesak sehingga tidak ada kerusi nak duduk. Tapi saya tetap layan beliau.

MM: Apakah yang dibualkan?

Harussani: Tiada apa yang dibualkan pun. Yang dia kata cuma minta saya nasihatkan beliau. Saya pernah kata itu memang tugas saya. Jadi saya perjelaskan pada beliau, dalam enakmen perundangan negeri bahagian syarak, jawatan mufti adalah tertinggi, sultan hanya sebagai ketua. Raja pun saya nasihat. Saya tegur jika tindakan baginda tidak menepati syarak.

MM: Apakah pandangan Dato' Seri mengenai kepentingan orang Melayu terutama dalam isu pajakan tanah 99 tahun ini?

Harussani: Saya tidak pernah nasihat dan ambil tahu pun apa yang MB nak buat. Walaupun saya dilantik sebagai Exco tetapi bidang tugas saya hanya sebagai penasihat sahaja. Saya tidak boleh mengundi pun. Nak nasihat apa, jika ada lapan Exco Cina, hanya dua Melayu? Dah tentu keputusan memihak kepada bukan Melayu.


MM: Adakah Nizar datang meminta nasihat selepas apa yang berlaku?


Harussani: Tidak datang. Hanya hantar orang dia. Pandangannya banyak peribadi, saya tidak mahu campur. Mereka marahlah.


MM: Adakah penyelesaian terbaik antara Nizar dan Zambry yang sama-sama Melayu?

Harussani: Mereka tidak rebut kuasa. Cuma mereka (UMNO) bagi tahu pada sultan sekarang BN lebih daripada PR. Itu saja. Pasal dua wakil rakyat PR dan seorang kembali kepada BN. Terimalah hakikat tu. Tapi mereka tidak boleh terima. Sekarang majoriti wakil rakyat memihak BN.

Kalau kita mengasihi orang kafir itu haram. Kita boleh berbaik dengan orang kafir tapi kita tidak boleh berkasih sayang dengan orang kafir. Kenapa kita lebih menyayangi orang kafir daripada sayang orang Islam? Orang Islam kita sanggup maki hamun, orang kafir kita berpeluk-peluk pula.

Macam kes Elizabeth Wong memang dia jelas buat maksiat. Kenapa Ketua Muslimat PAS peluk sampai menangis, dan macam mana Nik Aziz (MB Kelantan) boleh menyokong isu ini. Sedangkan kita tahu mereka tidak akan sokong Islam. Tengok saja Ketua DAP kata: "langkah mayat saya dulu".


MM: Pandangan Dato' Seri melihat pemimpin Melayu hari ini?


Harussani: Pemimpin Melayu perlu fikir ke arah pemurnian akidah. Penting untuk terus pertahankan bangsa, agama dan negara, iaitu motto perjuangan kemerdekaan kita. Kenapa sekarang, kita tinggal semua hal itu? Islam adalah agama negara yang tujuannya untuk kerajaan membentuk kerajaan Islam. Orang bukan Islam tidak dibenarkan sama sekali mengganggu orang Islam.

Dulu kalau orang lain boleh berdakwah kepada orang Islam, mereka boleh didenda RM3,000 atau tiga tahun penjara. Tapi sekarang apa dah jadi? Enakmen ada tapi tidak dilaksanakan. Mufti nak buat apa lagi. Sejauh manalah kemampuan kami?



Muat turun temu bual Mufti Perak dengan Milenia Muslim

*Sila dapatkan di pasaran untuk edisi bercetak

Khamis, 14 Mei 2009

Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam

Beberapa rakan saya banyak kali bertanya soalan-soalan yang lebih kurang sama bentuknya seperti apakah relevennya 'Ketuanan Melayu' pada masa sekarang dan mengapa tidak berminat dengan 'Ketuanan Islam'?

Apakah itu 'Ketuanan Melayu'? Secara mudah, 'Ketuanan Melayu' bermaksud pemerintahan negara mestilah diketuai oleh orang Melayu kerana mereka adalah penduduk asal dan majoriti negara ini. Mengikut sejarah, warganegara dari kaum Cina dan India di negara ini asalnya merupakan imigran yang datang ke Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.

Orang Melayu sanggup dan sedia menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) walaupun pada waktu itu kesetiaan kaum imigran itu lebih kepada negara asal mereka. Sebagai timbal balas di atas pengorbanan orang Melayu, maka Perlembagaan telah memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini dikenali sebagai 'Kontrak Sosial'.

Sesungguhnya 'Ketuanan Melayu' masih releven di negara kita. Ia perlu untuk menjaga kelangsungan bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam di negara ini. Jika pemerintahan negara terlepas ke tangan bukan Melayu, apakah jaminan kedua-dua elemen penting yang kita ingin pertahankan ini terus selamat? Mahukah kita menjadi seperti Singapura, di mana bangsa Melayu dipinggirkan, agama Islam ditundukkan?

Ada rakan saya membantah dengan mengatakan bahawa konsep 'Ketuanan Melayu' adalah perkauman sempit, Islam tidak memandang pun dari apa keturunan, bangsa atau warna kulit seseorang sebaliknya Allah memandang akan ketakwaannya.

Saya ingin menyatakan bahawa memang benar Islam tidak memandang kepada keturunan, bangsa atau warna kulit, tetapi dalam soal kepimpinan ia melibatkan skop pemahaman yang lebih meluas perbincangannya.

Di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih berkenaan prasyarat pemerintah mestilah dari keturunan Quraisy. Salah satunya ialah sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya: "Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy." [HR Ahmad dan al Baihaqi]

Apakah Nabi s.a.w. bersifat perkauman sempit dengan bersabda demikian? Nauzubillahi min zaalik. Semoga Allah menjauhkan kita dari persangkaan buruk sedemikian.

Sebenarnya ada sebab, illat atau maslahah umum Nabi memerintahkan supaya kepimpinan umat ini mesti dari kaum Quraisy. Menurut Ibn Khaldun di dalam kitab al Muqaddimah, illat yang melatarbelakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.

Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya. Menurut beliau, illat yang terkandung dalam penyebutan “golongan Quraisy” akan terus berlaku dengan syarat ‘asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.

Ibn Khaldun menyebutkan:

"Kerana itu, kita pun menganggapnya sebagai satu prasyarat yang mendesak bagi seseorang yang bertugas menguruskan persoalan kaum Muslimin supaya dia termasuk golongan orang-orang yang kuat perpaduannya, dan mengatasi perpaduan bangsa-bangsa lain yang semasa dengan mereka, sehingga mereka dapat memaksa bangsa-bangsa itu bersatu demi kepentingan bersama. Kenyataan demikian tidak akan pernah ditemukan di seluruh pelusuk dunia sebagaimana terjadi pada masa kekuasaan keturunan Quraisy; sebab dakwah Islamiyah yang ada pada mereka sifatnya adalah universal, sehinggakan mereka dapat mengalahkan bangsa yang lainnya. Namun dewasa ini setiap daerah mempunyai orangnya sendiri yang mewakili perasaan 'asabiyyah (kekitaan) terbesar di sana."

[Mukadimah Ibn Khaldun (2006), Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 207-208]

Dari kupasan oleh sarjana Islam terkenal itu, dapat difahami illat daripada hadis tersebut ialah para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan ‘asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.

Dalam konteks hadis berkenaan 'Ketuanan Quraisy', jika ‘asabiyyah, kewibawaan dan kekuatan politik golongan Quraisy tidak kuat lagi maka syarat pemimpin dari golongan ini juga akan hilang.

Berikut adalah beberapa lagi hadis sahih lain menyebut tentang 'Ketuanan Quraisy'.

“Manusia itu (hendaklah) mengikut orang-orang Quraisy dalam urusan pemerintahan. Setiap orang Islam hendaklah mengikut (pemimpin) yang Islam di kalangan mereka dan orang-orang kafirnya mengikut (pemimpin) yang kafir juga di kalangan mereka.” [HR al Bukhari]


“Sesungguhnya urusan (pemerintahan/khilafah) ini ada di tangan Quraisy. Tidak seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan membuatnya tersungkur ke tanah, selama mereka menegakkan agama (Islam).” [HR al Bukhari]


“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dari mereka dua orang.” [HR al Bukhari]


“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dua orang di antara manusia.” [HR Muslim]


“Manusia mengikuti orang Quraisy dalam perkara (pemerintahan) ini. Yang muslim mengikuti kaum muslimin dari kalangan mereka. Yang kafir mengikuti kaum kafir dari kalangan mereka.” [HR Muslim]


“Orang Quraisy adalah pemimpin manusia, dalam hal kebaikan mahupun dalam hal keburukan sampailah ke hari kiamat.” [HR at Tirmidzi]


"Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik memerintah kamu seramai dua belas orang amir (khalifah), dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu.” Kemudian aku mendengar Nabi s.a.w. menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa jelas lalu aku bertanya kepada bapaku, “Apa yang baginda sebutkan?” Jawabnya, “Mereka semua adalah dari kaum Quraisy.” [HR Abu Daud]


“Tetaplah bersama Quraisy selama mereka tetap bersama kamu. Kalau mereka tidak melakukan hal itu, maka angkatlah pedang kamu di atas bahu kamu, lalu musnahkahlah pemimpin-pemimpin (Quraisy) itu. Jika kamu tidak melakukannya, maka jadilah sebagai kaum petani yang dipapah hidupnya dimana kamu akan makan hanya dari hasil jeritan kamu.” [HR ath Thabrani]

Di negara kita, orang Melayu merupakan kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan 'asabiyyah dan kekuasaan terbesar ketika ini. Orang Melayu seperti ditafkrifkan menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan adalah mereka yang beragama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.

Natijah dari illat beberapa hadis sahih tadi, disamping penegasan takrifan orang Melayu yang dimestikan beragama Islam, maka saya berpendapat 'Ketuanan Melayu' releven dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Malah ia merupakan anjuran yang bersifat islamik untuk menjaga maslahah ammah atau kepentingan umum.

Ia bukanlah bermakna kepentingan bangsa atau kaum lebih diutamakan dari Islam. Keadaan ini sama seperti 'Ketuanan Quraisy' dalam pemerintahan khalifah yang masih meletakkan Islam sebagai prioriti teratas dalam pemerintahan mereka.


Saya harap mereka yang keliru dengan konsep 'Ketuanan Melayu' dapat menyelami tulisan saya ini. Bagi saya 'Ketuanan Melayu' dan 'Ketuanan Islam' tidak ada bezanya, ini kerana perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia sebenarnya adalah untuk Islam juga.

Hidup Melayu!
Hidup Islam!
Allahu akbar!

Selasa, 12 Mei 2009

Merokok: Antara lemah jati diri, menipu diri atau jahil

Merokok membahayakan kesihatan. Kenapa saya tidak merokok? Sejak kecil, ibu saya menanamkan dalam diri anak-anaknya bahawa merokok merupakan suatu kesalahan besar. Ibu menyedarkan kami bahawa merokok adalah punca asal dan permulaan kepada gejala penagihan dadah di kalangan remaja sekolah. Didikan itu telah membina suatu jati diri yang kuat dalam diri saya dengan menolak sepenuhnya tabiat merokok sehingga hari ini.

Tidak perlu saya menghuraikannya secara panjang lebar keburukan merokok dari sudut saintifik dan agama. Daripada bukti-bukti yang ada, merokok telah diakui oleh semua orang tanpa khilaf lagi, memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh perokok, orang di sekelilingnya dan tidak terkecuali alam sekitar juga.

Allah Taala berfirman:

“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al Baqarah: 195]

Merokok boleh membawa kebinasaan kepada kesihatan tubuh badan manusia. Apakah kita tidak mahu beriman dengan a
yat Allah itu?

“Maka kepada perkataan apakah selain al Quran ini mereka akan beriman?” [Surah al Mursalaat: 50]

Rasulullah s.a.w. ada bersabda:

“Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain” [HR Ibnu Majah]

Bukankah merokok boleh membahayakan bukan sahaja perokok tetapi juga orang lain melalui pencemaran udara? Dalam hukum fiqh, keharaman merokok masih dalam ruang lingkup khilafiah kerana ia bukan persoalan yang boleh dimuktamadkan melalui nas qat’ie dari al Quran dan hadis. Pun begitu, saya tidak setuju kepada mereka yang beralasankan soal khilafiah sebagai hujah untuk membenarkan sesuatu perkara yang boleh memudharatkan diri mereka, sama ada dalam aspek keduniaan atau keagamaan. Prinsip yang diajarkan oleh Islam mengkehendaki kita supaya apabila kita mengetahui hakikat kebenaran sesuatu hujah itu, kita perlu jujur menerimanya. Kita tidak boleh membohongi diri kita dengan kebenaran hanya disebabkan ingin memuaskan nafsu dan kemahuan kita semata-mata.

Ada orang yang mengetahui hakikat merokok itu memudharatkan tetapi dia tetap bertegas mengharuskan perbuatan tersebut dengan alasan ada pendapat lain yang mengatakan ia tidak haram. Analoginya, anda tahu meminum arsenik walaupun dalam kuantiti sedikit itu berbahaya kepada kesihatan dan boleh menjadi pembunuh senyap, tetapi anda tetap meminumnya hanya kerana beralasankan keharamannya secara jelas tidak ada dalam al Quran atau hadis. Berakalkah anda jika bertindak demikian? Mungkin ada benarnya sindiran Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan perokok dari kalangan mereka yang berkopiah dan berjubah lebih hina dari binatang.



Di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Melaka dan Sarawak, fatwa keharaman rokok telah digazetkan. Bahkan di peringkat kebangsaan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam, walaupun tiada fatwa khusus dikeluarkan mengenainya.

Hukum melanggar fatwa adalah haram, yakni berdosa apabila dilakukan. Dengan kata lain, mana-mana individu yang merokok di negeri-negeri terbabit akan mendapat dosa. Jika individu ini berterusan melakukan dosa kecil ini secara terbuka, tidakkah boleh dikategorikan sebagai seorang yang fasik? Bagaimana pula keabsahan bagi kesaksian dan perwalian dari orang ini?


Kandungan Fatwa Keharaman Merokok yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 1995

Remaja yang merokok sebenarnya terdiri dari mereka yang mudah terpengaruh dengan persekitaran dan rakan sebaya serta kurang jati diri. Penilaian ini didasarkan dari pengalaman rakan-rakan, ahli keluarga dan diri saya sendiri. Semasa belajar di universiti, saya pernah tinggal serumah dengan kesemua penghuninya adalah perokok. Syukur, saya tidak terpengaruh di usia remaja itu sehinggalah sekarang, walaupun saya melihat sendiri ramai rakan-rakan saya yang asalnya dari kelompok yang baik, terjebak dalam tabiat merokok ini atas pengaruh rakan sama ada ketika bangku sekolah, universiti atau alam pekerjaan. Secara peribadi, saya bersyukur kerana mempunyai kekuatan jati diri saya hasil didikan ibu saya, di samping contoh tauladan dari tokoh yang saya selalu ingati iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.


Kita wajar mengucapkan syabas kepada sahabat-sahabat kita yang berjaya menghentikan tabiat merokok mereka. Sesungguhnya ia tidak akan berhasil melainkan dengan keazaman dan semangat yang tinggi. Alah bisa tegal biasa. Saya menyeru seluruh pembaca supaya bersama berkempen menghentikan tabiat merokok ini untuk kebaikan semua. Ingatlah merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan perokok, malah boleh memudharatkan orang lain dan alam sekitar melalui pencemaran udara. Lebih penting lagi, agama melarang sebarang perbuatan yang boleh membawa kebinasaan dan pembaziran.

Ahad, 10 Mei 2009

Selamat Hari Ibu

Sempena Hari Ibu ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua insan bergelar ibu teristimewanya buat ibu saya. Terima kasih ibu.

Jumaat, 24 April 2009

Lihat apa yang dikata, bukan siapa yang berkata

Seorang sahabat mengeluh kepada saya, “Bila kita ajak mereka kepada kebaikan dengan perbincangan, nasihat dan teguran berbentuk agama, ramai yang persoalkan siapa kamu, lulusan agama ke, pernah sekolah agama atau arab ke? Kalau tak ada, tak payah sibuk-sibuk cakap pasal agama, mengalahkan ustaz dan ulama!”


Saya sendiri sudah acapkali mengalami situasi ini, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang hanya kuat semangat agamanya tetapi jahil dan jumud pemikirannya. Termasuk yang jahil dan jumud ini ialah sebahagian golongan yang berlatarbelakangkan pengajian Islam sendiri!


Saya katakan mereka ini jahil dan jumud kerana mereka tidak memahami ajaran Islam sebenar yang bersumberkan al Quran dan hadis-hadis shahih serta contoh dari salafussoleh. Mereka ini lebih banyak taqlid membuta tuli kepada ustaz, tok guru dan ulama mereka sahaja. Apa yang berbeza dengan kotak pemikiran yang diajar oleh kelompok ikutan mereka itu ditolak sekalipun ia adalah suatu kebenaran yang nyata.


Saya ingat lagi semasa berlaku kegawatan politik berikutan pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr. Mahathir pada tahun 1998, saya ada mempersoalkan kepada abang saya tentang kredibiliti Umi Hafilda Ali yang membawa cerita salah laku seksual Anwar sehingga menjadi punca krisis itu. Waktu itu saya masih muda remaja, barangkali masih kurang pemahaman agama yang memungkinkan saya agak terpengaruh dengan kata-kata lebai-lebai politik yang menyerang peribadi pembawa cerita yang didakwa seorang yang fasik kerana tidak menutup aurat. Abang saya lantas berhujah dengan kata-kata Saidina Ali r.a. yang berbunyi:

لا تنظروا إلى من قال انظروا إلى ما قال

Bermaksud: “Janganlah kamu melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan." [Al-‘Ajluni al-Jarrahi al-Dimasqy, Isma'il bin Muhammad. 1351H/1931. Kasyfu al-Khafa' wa Muzil al-Ilbas 'Amma Isytahara min al-Ahadits 'ala al-Sinah al-Naas. Jil.2, hlm. 363. Kaherah: Al-Maktabah al-Quds]


Itulah kata-kata yang masih saya ingat walaupun sudah 10 tahun berlalu. Kini saya bukan seperti dulu, saya sudah kenal kebenarannya dan saya juga sudah faham kata-kata itu. Apatah lagi, dalam perjalanan hidup sehari-harian, sepanjang usaha murni menyampaikan dakwah dan perjuangan menegakkan agama Allah, saya turut menghadapi cemuhan dan sindiran yang mempersoalkan kredibiliti saya dalam membicarakan isu agama dan politik. Ia lebih kurang apa yang berlaku terhadap sahabat saya tadi.

Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al Maidah: 8]

Menegakkan keadilan di sini termasuklah mengatakan sesuatu kebenaran sebagai kebenaran dan sanggup menerimanya sekalipun ia dari musuh atau orang yang dibenci. Begitu juga dalam menyatakan sesuatu kebathilan sebagai kebathilan dan menolaknya, sekalipun ia dari sahabat atau orang yang dicintai. 

Di sana terdapat suatu kisah yang masyhur dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari bahawa sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. telah diajarkan oleh syaitan untuk membaca ayat Kursi sebelum tidur supaya mendapat penjagaan dari Allah sehingga ke pagi hari. Setelah beliau menyampaikan hal tersebut kepada Nabi, baginda s.a.w. bersabda, “Dia jujur mengkhabarkan kebenaran kepadamu, padahal dia (syaitan itu) adalah pendusta.”

Rasulullah s.a.w. yang merupakan insan yang kamil, contoh terbaik umat manusia sendiri boleh menerima kebenaran dari sejahat-jahat makhluk yakni syaitan, mengapa pula ada kalangan masyarakat kita yang bukan pun sesempurna Nabi s.a.w. terlalu mudah menolak kebenaran dari saudara seagama hanya kerana beralasan saudaranya bukan berlatar belakangkan pengajian agama, ustaz atau ulama, dan tidak layak menasihat, menegur atau berbicara isu agama. 

Ingatlah Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata:

لا تعرف الحق بالرجال بل اعرف الحق تعرف أهله
Bermaksud: “Janganlah mengenal kebenaran itu berdasarkan individu-individu tertentu, tetapi kenalilah kebenaran itu, (nescaya) engkau akan mengenal pemiliknya." [Al-Ghazzālī, Abu Hāmed Muhammad ibn Muhammad. 1967. Al-Munqidh min al-Dalāl wa-al-Mawṣil ilá dhī al-ʻIzzah wa-al-Jalāl. Edisi ke-7, hlm. 87. Beirut: Dar al-Andalus lil-Tiba'ah wa-'l-Nashr]

Seorang lagi sahabat Nabi bernama Ibn Mas’ud r.a. ada berkata:

من جاءك بالحق فاقبل منه، وإن كان بعيداً بغيضاً، ومن جاءك بالباطل فاردّد عليه، وإن كان حبيباً قريباً
Bermaksud: “Barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu darinya, meskipun ia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebathilan maka tolaklah, meskipun ia adalah orang yang dicintai dan dekat.” [Abū Nuʻaym al-Iṣbahānī, Aḥmad ibn ʻAbd Allāh. 1416H/1996. Hilyat al-Awliyāʼ wa-Tabaqāt al-Asfiyāʼ. Jil.1, hlm. 134. Beirut: Dar al-Fikr]

Kepada sahabat saya, janganlah bersedih dengan gelagat mereka yang jahil dan jumud, yang mempertikaikan kredibiliti kita dalam menyeru kepada agama Allah. Ketahuilah banyak dalil-dalil dari al Quran, hadis dan kata-kata sahabat Nabi yang boleh membuka mata hati mereka seperti yang saya petik tadi. Bacakan dan terangkanlah kepada mereka, teruslah menyeru mereka dengan penuh hikmah, nasihat yang baik dan sedia berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik. Mudah-mudahan diberikan hidayah oleh Allah kepada mereka. InsyaAllah.

Sabtu, 18 April 2009

Dr. Mahathir dan Teguran Ulama

Beberapa hari lepas, beberapa sahabat saya telah menghentam saya kerana mempertahankan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa mereka tidak memberikan ruang untuk kritikan dan teguran kepada pentadbiran beliau. Kononnya di zaman pentadbiran Pak Lah dahulu jauh lebih terbuka berbanding era Dr. Mahathir. Di antara mereka ada yang sangat agresif menyerang Dr. Mahathir sehingga sanggup mengada-adakan cerita dan memfitnah negarawan itu.

Sebagai salah seorang yang sangat dekat dengan pemikiran dan aspirasi Dr. Mahathir, saya tidak teragak-agak membela tokoh yang sangat berjasa kepada agama, bangsa dan negara itu. Saya juga tidak sesekali akan membenarkan perbuatan terkutuk oleh mereka yang ‘jahil’ itu terus berlaku, kerana adalah menjadi suatu dosa besar bagi saya menghaqkan yang bathil dan membathilkan yang haq. Pun begitu bukanlah maksud saya mendewa-dewakan mantan Perdana Menteri Malaysia keempat itu ke tahap maksum atau tidak pernah melakukan kesalahan. Waiyyazubillah.

Benarkah Tun Dr. Mahathir sangat tertutup kepada kritikan dan teguran, bersifat diktator dan langsung tidak mahu mendengar pandangan orang lain terutama alim ulama?

Kali ini saya tidak mahu menulis panjang, untuk menjawab persoalan itu cukup saja dengan memetik sebahagian daripada wawancara bersama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22 Februari 2009:
WARTAWAN MM: Sepanjang 24 tahun menjadi Mufti, adakah cacian dan kejian kali ini paling teruk ke atas Datuk?

HARUSSANI: Ini adalah antara yang paling teruk. Sebelum ini ada beberapa isu antaranya apabila saya mengharamkan acara Sure Heboh, mengharamkan sambutan kongsi raya dan juga isu murtad. Ketika itu, saya dikecam hebat termasuk oleh golongan atasan dalam kerajaan.

Saya anggap apa yang terjadi itu sebagai takdir. Apa yang saya buat adalah semata-mata untuk tegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Adalah tugas saya sampaikan yang hak walaupun ia pahit. Saya lakukan semua itu bukan untuk kepentingan diri. Dalam kebanyakan kes, saya hanya berseorangan. Tidak ada pun ulama lain bangkit menyokong saya. Adalah sesekali saya dipuji kerana kenyataan atau tindakan saya. Itu sahaja. Tetapi bukan itu yang saya minta.

Sebagai Mufti, adalah tugas dan kewajipan saya menyampaikan. Soal terima atau tidak itu hal lain.

Sepanjang berkhidmat, saya cuma tidak pernah berjumpa dua Perdana Menteri (PM) iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman al-Hajj dan Allahyarham Tun Hussein Onn. Yang lainnya, saya ada berjumpa dan memberi nasihat mengikut apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-sunnah.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya, banyak yang saya tegur beliau ikut. Apabila beliau meletak jawatan sebagai PM, beliau menghantar surat ucapan terima kasih kerana banyak membantu sepanjang perkhidmatan sebagai PM.

Ada juga yang dakwa saya mencari publisiti. Saya nak maklumkan sejak tahun 1967 iaitu semasa saya bertugas sebagai Kadi Besar di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, suara saya sudah kedengaran melalui media. Begitu juga dalam Forum Perdana Ehwal Islam, saya antara ahli panel yang awal menyertainya pada tahun 1970-an.


Isnin, 13 April 2009

Surat Kepada YAB Tuan Guru Dato' MB Kelantan

17 Rabiul Akhir 1430
13 April 2009

Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan,
Pejabat Menteri Besar Kelantan,
Tingkat 1, Blok 1,
Kota Darulnaim,
15502 Kota Bharu,
Kelantan Darul Naim.



Menemui Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Menteri Besar
Assalamualaikum WR WB.

Yang Amat Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah membaca dan meneliti surat terbuka YAB Tuan Guru kepada YB Nga Kor Ming, ADUN Pantai Remis, Perak seperti yang telah disiarkan dalam blog rasmi YAB Tuan Guru (www.blogtokguru.com). Saya juga dengan rasa rendah diri terpanggil untuk mengulas beberapa perkara yang dinyatakan oleh YAB Tuan Guru dalam surat tersebut.

Pertamanya, saya ingin menyatakan bahawa saya berkongsi impian bersama YAB Tuan Guru berkenaan harapan agar lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, Iban dan Kadazan tampil menjadi qari, ustaz, khatib dan imam di seluruh negara.

Saya juga menyokong saranan YAB Tuan Guru supaya langkah-langkah permulaan ke arah mengembalikan kegemilangan Islam di zaman lampau melalui penganjuran seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana yang melibatkan pelbagai pihak dan di pelbagai tempat.

Saya ingin mengulas sedikit kepada kenyataan YAB Tuan Guru yang terharu dengan keluhan YB Nga Kor Ming yang kesal kerana dia mendakwa kononnya dihalang untuk mengenali Islam dan al Quran melalui kitab tersebut. Walaupun saya menghormati reaksi YAB Tuan Guru terhadap isu ini, saya memilih untuk tidak bersetuju dan menyanggah beberapa pendirian YAB Tuan Guru dengan penuh beradab. Berikut adalah pandangan saya:

1. YB Nga tidak sepatutnya kesal atau kecewa apabila dia dikecam kerana mempergunakan ayat suci al Quran dalam ceramah politik kerana dia sendiri telah memilih untuk melakukan tindakan yang boleh mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.

2. Untuk pengetahuan, YB Nga telah beberapa kali menyalah petik nama surah dan bacaan ayat al Quran dibuat secara caca merba. Dia tidak akan dikecam sekiranya lebih berhati-hati dan cermat dalam memetik ayat suci al Quran, sebaliknya dia langsung tidak pernah memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya itu.

3. YB Nga mendabik dada mendakwa dia faham dan hafal ayat suci yang dibacanya padahal sebutan nama surah dan bacaan pun jelas sekali tidak betul.

4. Mengenali Islam dan al Quran bukanlah dengan cara memetik ayat al Quran secara caca merba dalam ceramah politik. Jika demikianlah cara bukan Islam mengenali Islam, maka ruang harus dibuka seluas-luasnya supaya mana-mana individu yang berminat memeluk Islam dibenarkan memetik atau melafazkan apa saja ayat secara tunggang langgang, mereka-reka nama surah dan membuat apa saja yang mereka mahu dari ayat suci al Quran.

5. Wujud kesangsian terhadap niat sebenar YB Nga dalam mempergunakan ayat al Quran kerana jika betul dia ikhlas mengkaji al Quran dan Islam, dia tidak akan sewenang-wenangnya melafazkan ayat al Quran tanpa diselidiki ketepatannya. YB Nga bukan melakukannya sekali, tapi beberapa kali dalam ceramahnya yang mana didapati semuanya tidak betul.

6. YB Nga seorang Kristian yang mengaku memahami dan menghafal ayat 90 Surah an Nahl tetapi berlawanan dengan realiti sebenar kerana pada hakikatnya dia tidak faham dan hafal ayat Allah tersebut, jauh sekali dari beriman dengannya. Apakah dia ikhlas untuk mengkaji al Quran dan Islam jika demikian atau dia sekadar memperalat ayat suci untuk menarik sokongan orang ramai terhadapnya?

7. Kesangsian terhadap tindak-tanduk YB Nga itu berasas kerana wujud kontradiksi kata-kata YB Nga dengan realiti sebenar seperti tersebut di atas, apatahlagi Allah Taala ada berfirman:


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. Orang-orang yang telah kami beri Al-kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” [Surah al Baqarah: 120-121]

Di sini juga, saya ingin memperbetulkan kesilapan fakta sejarah Islam oleh YAB Tuan Guru dalam surat kepada YB Nga tersebut. Sebenarnya bukanlah Jenghiz Khan yang berperanan mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi cucunya Hulagu Khan.

Akhir kalam saya ingin memohon maaf sekiranya surat terbuka saya ini menyinggung perasaan YAB Tuan Guru. Apapun saya percaya atas prinsip keterbukaaan dalam kepimpinan, YAB Tuan Guru sedia menerima perbezaan pendapat dari orang kebanyakan asalkan ia masih dalam batasan syarak. Ibnu Mas’ud r.a. pernah berkata:

مَنْ جَاءَكَ بِالْحَقِّ فَاقْبَلْ مِنْهُ وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا بَغِيْضًا وَمَنْ جَاءَكَ بِالْبَاطِلِ فَارْدُدْ عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ حَبِيْبًا قَرِيْبًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu darinya, meskipun ia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebatilan maka tolaklah, meskipun ia adalah orang yang dicintai dan dekat.”


Sekian, terima kasih.



*SAMPAIKANLAH DARI NABI WALAUPUN SATU AYAT *


(IBNU HUSSIN AL KELANTANI)
Orang biasa merangkap penulis blog
http://www.mfundamentalist.blogspot.com