Khamis, 7 Februari 2013

Bersyukur Kepada Allah, Berterima Kasih Kepada Manusia Dari Ajaran Islam

Kita telah sedia maklum bahawa adalah menjadi tanggungjawab manusia apabila diberikan sebarang nikmat oleh Allah Taala maka hendaklah dia bersyukur kepada-Nya. Al-Quran dan hadith sahih banyak membicarakan tentang suruhan bersyukur dan tegahan mengkufuri nikmat kepada manusia.

Allah Taala berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." [Surah al-Baqarah: 172]

Sesungguhnya nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita adalah terlampau banyak jika hendak dihitung. Nikmat kesihatan, nikmat iman, nikmat keselesaan, kemakmuran dan kemajuan dalam hidup bermasyarakat adalah hanya beberapa contoh nikmat yang dapat dilihat dari pelbagai jenis nikmat lain yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada kita semua.

Namun kebanyakan manusia alpa dan lupa dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan mereka. Mereka mengingkari perintah Allah Taala dengan mengkufuri nikmat-Nya. Mereka menyangka segala nikmat yang dikecapi oleh mereka adalah hanya daripada titik peluh dan usaha mereka semata-mata. Maka timbullah perasaan bongkak, ego, takabur dan sum'ah. Mereka menunjukkan kelebihan mereka, memperalat dan memperendahkan martabat orang lain, menindas yang lemah dan melakukan pelbagai bentuk pembaziran dan kezaliman. Nikmat yang dikurniakan hanya digunakan untuk hawa nafsu sahaja tanpa memperdulikan dasar iman dan takwa.

Kebelakangan ini ada pula kelompok ulama tertentu yang mendakwa kita hanya perlu bersyukur kepada Allah Taala sahaja sebaliknya tidak perlu berterima kasih kepada manusia. Dakwaan mereka ini tidak lebih daripada dakyah berunsur politik yang cuba menguntungkan masa depan kelompok mereka dan menafikan hak-hak orang lain.

Golongan ini memberikan hujjah bahawa nikmat kemakmuran dan kemajuan negara hari ini datangnya dari Allah Taala, manakala kerajaan hanya menyampaikan sahaja. Jadi tidak perlulah kita berterima kasih kepada mereka, hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Allah Taala.

Mereka juga berhujjah bahawa kerajaan yang tertegak hari ini hakikatnya diwujudkan untuk melaksanakan segala bentuk pembangunan dan memelihara kemakmuran negara dan perkara-perkara itu sudah menjadi tanggungjawab sesuatu kerajaan yang dipilih. Jika orang lain yang menjadi kerajaan pun mereka akan membuat perkara yang sama. Maka, apa perlunya kita berterima kasih kepada kerajaan? Lagipun tidak ada suruhan supaya berterima kasih kepada pemerintah di dalam al-Quran dan hadith.

Kepada mereka ini bukalah minda dan ikutilah hujjah-hujjah yang insya Allah akan menjawab dan menangkis hujjah-hujjah mereka. Saya sendiri mengakui pernah berbahas tentang isu ini dengan beberapa mahasiswa yang sehaluan dengan golongan ulama terbabit dan mereka menggunakan hujjah yang sama semasa berhadapan dengan saya.

Jika mereka mendakwa kemajuan dan kemakmuran hari ini akan tetap dilaksanakan oleh mana-mana orang yang dipilih menjadi kerajaan, maka mereka silap kerana kita lihat banyak negara di dunia yang mempunyai kerajaan sebaliknya mereka gagal melaksanakan pembangunan dan mewujudkan kemakmuran seperti yang ada di Malaysia hari ini. Jika orang lain yang menjadi kerajaan mungkin mereka tidak sampai ke tahap yang diperolehi hari ini.

Keduanya, jika mereka terus mengatakan bahawa mana-mana individu yang diberikan tanggungjawab oleh kita dan sekalipun dia berjaya memenuhi tanggungjawab tersebut, tidak perlu juga berterima kasih kepadanya. Diumpamakan seorang posmen yang menyampaikan surat kepada kita, tidak perlu kita berterima kasih kepada mereka kerana sudah menjadi tugasnya menyampaikan surat tersebut. Maka kita menjawab melalui dalil al-Quran, di mana Allah Taala berfirman:
"Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada-Ku tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman: 14]

Bukankah sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa memelihara, mengasuh dan mendidik anak-anak? Tetapi Allah tetap menyuruh kita berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita malah diwajibkan pula berbuat baik kepada mereka. Bukanlah dimaksudkan berterima kasih di sini dengan cara melafazkan ungkapan terima kasih semata-mata tetapi maksud berterima kasih itu sebenarnya dapat diterjemahkan melalui sangkaan, tuturkata dan perilaku yang baik terhadap mereka berdua. Sama juga dengan bersyukur, kita tidak dinamakan bersyukur kepada Allah Taala jika hanya menyebutnya di bibir sahaja tetapi hati dan kelakuan kita tetap mengingkari nikmat-Nya.

Memang benar kita tidak perlu melafazkan perkataan terima kasih kepada posmen, tetapi rasa berterima kasih itu perlu diterjemahkan melalui perilaku dan tuturkata kita terhadap mereka. Jika kita mendapatkan surat tersebut daripada posmen dengan cara yang baik itu sudah disifatkan sebagai berterima kasih kepadanya. Sebaliknya jika kita memaki hamun, menyumpah, menghinanya walaupun dia menjalankan tugasnya dengan baik maka ini tidak dinamakan berterima kasih. 

Rasulullah SAW ada bersabda dalam sebuah hadith sahih yang berbunyi:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ : جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا , فَقَدْ أبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
Barangsiapa yang dibuatkan (diberikan) kepadanya kebaikan, maka katakan kepada orang yang berbuat baik itu “Jazakallahu khaira” semoga Allah membalas kepadamu dengan kebaikan. Sesungguhnya hal tersebut telah bersungguh-sungguh dalam berterima kasih.” [HR at-Tirmizi, dishahihkan oleh al-Albaani]

Jelas daripada hadith Rasulullah ini menunjukkan bahawa baginda sendiri mengajar kita supaya berterima kasih kepada manusia termasuk dengan cara mendoakan supaya dibalas kebaikan kepada sesiapa yang berbuat baik kepada kita.

Dalam hal ini, Allah Taala telah berfirman:
"Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." [Surah Ibrahim: 7]

Dan jika kalian tetap dengan pendirian bahawa tidak perlu berterima kasih kepada seseorang yang menjalankan tanggungjawab kepada kita, maka ditunjukkan hujjah yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang suatu masa dulu diputar belitkan pihak tertentu dengan tuduhan beliau menghina Nabi Muhammad SAW.

"Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar (sepenuhnya) sahajalah. Dengan itu berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukkan mereka tidak salah.

"Hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah SWT sahaja."
[Petikan Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 11 Mei 2000]

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyampaikan risalah kepada seluruh manusia. Maka adakah kita tidak perlu berterima kasih kepada baginda hanya jika tanggungjawabnya menyampaikan dakwah Islam kepada kita umat manusia? Fikir dan renungkanlah baik-baik, jangan menerima kata-kata mana-mana ulama secara taqlid buta tanpa mengetahui hakikat kebenarannya.

Kesimpulannya, sebagai seorang manusia yang beriman kepada ajaran Islam, maka sepatutnya kita mempunyai ciri-ciri insan yang soleh dan sifat-sifat mahmudah dalam menelusuri zaman yang serba mencabar kini. Bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah memang menjadi tanggungjawab kita dan perlu juga kita berterima kasih kepada manusia yang membantu kita sekalipun bantuan itu sudah menjadi tanggungjawab mereka. Sebagai peringatan, selamilah pengertian hadith ini:

 لا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لا يَشْكُرُ النَّاسَ
“Tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur (berterima kasih) kepada manusia.” [HR at-Tirmidzi, sanad hasan shahih]


*Artikel ini telah ditulis pada 2002 ketika penulis masih menuntut di universiti dan telah disiarkan dalam laman web Laman Minda At Tajdid dan beberapa portal politik. 

2 ulasan:

  1. dan menjadi tnggungjwb kite utk menentang pemimpin yg korup dan zalim..

    BalasPadam
  2. tanpa nama, kau refer to siapa?
    korup... org yg gunakan polis utk kepentingan peribadi then dipenjara sampai 2004?
    zalim... org yg sama gunakan polis utk torture seorang perempuan utk tarik balik surat pengakuan yg ditulis.

    BalasPadam