Rabu, 28 September 2011

Mat Sabu, Mat Indera dan Komunis

Apabila meneliti ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Padang Menora, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu membuatkan kita terfikir sejenak tentang agenda sebenar pemimpin utama pembangkang itu dan betapa cetek pengetahuannya mengenai sejarah perjuangan bangsa dan negara.


Berikut adalah transkrip sedutan dari ceramah Mohamad Sabu tersebut:

“Kita lihat cara yang dibuat itu memang banyak yang tak kena. Bila hari merdeka nanti tunjuklah filem Bukit Kepong, (dalam filem) Bukit Kepong, polis itu, polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat Indera, (seorang) Melayu.

“Tetapi semua sejarah itu ditutup. Jins Samsudin buat filem, Jins Samsudin tu UMNO. Dalam cerita Bukit Kepong hak serang balai polis tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka, negara kita diperintah oleh British. Tetapi dibuat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas. Padahal (yang hero) Mat Indera, ketua penyerang balai polis itu yang akhirnya dia dihukum gantung di Jail Taiping.”

Kenyataan Mohamad Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai wira dan mempertikaikan pengorbanan anggota polis yang terbunuh dalam Peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 telah menyerlahkan kedangkalannya terhadap fakta sejarah dan realiti perjuangan.

Malah, ia secara tidak langsung merupakan suatu usaha terancang pihak tertentu supaya rakyat Malaysia mengiktiraf pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Sekalipun Mohamad Sabu berkali-kali menafikan perkara tersebut dengan mendakwa bahawa Mat Indera bukanlah seorang komunis, namun hakikatnya penafian itu bukanlah sesuatu yang boleh diterima.

Hujah Mohamad Sabu dan mereka yang berpihak kepadanya hanyalah berpandukan kepada kenyataan adik Mat Indera bernama Baharom Shah dan juga dakwaan mereka kononnya Kerajaan Negeri Johor sendiri mengiktiraf Mat Indera sebagai salah seorang hero Johor melalui sebuah buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor bertajuk “Pengukir Nama Johor”.

Dalam satu sidang akhbar bersama pemimpin Pas Johor, Baharom Shah telah menafikan keanggotaan abangnya, Mat Indera dalam Parti Komunis Malaya (PKM).

Penafian yang dibuat oleh Baharom ini tidak pula disertakan dengan sebarang fakta yang kukuh dan hanya sekadar merujuk kepada penulisan yang didakwa disiarkan akhbar Utusan Malaysia sekitar tahun 70-an. Malah, Baharom juga gagal mengemukakan sebarang bukti sahih dari kajian yang didakwa dilakukannya di Arkib Negara untuk menulis rencana (yang disiarkan Utusan Malaysia) tersebut dengan alasan rekod tersebut telah hilang semasa dia berpindah rumah.

Sesuatu yang lumrah bagi kebanyakan orang akan cenderung membela ahli keluarga mereka termasuklah kepada keluarga Mat Indera ini. Lebih-lebih lagi apabila ada segelintir pihak yang mempergunakan isu Mat Indera untuk kepentingan politik mereka membakarkan lagi sentimen keluarga individu kontroversi tersebut.

Ketika Peristiwa Bukit Kepong, Baharom hanya berusia 4 tahun sementara abangnya, Mat Indera pula berumur 31 tahun. Kemudian dua tahun selepas itu, Mat Indera dihukum gantung sampai mati.

Justeru, kita dapati pengakuan Baharom sesuatu yang boleh ditolak kerana periwayatannya mengenai Mat Indera tidak disertakan bukti sahih (seperti didakwanya diperolehi dari kajian di Arkib Negara) bahkan dia sendiri tidak mungkin mengenali abangnya itu secara peribadi memandangkan usianya yang terlalu muda ketika rakaman sejarah yang dipolemikkan itu berlaku.

Dakwaan Mohamad Sabu dan pengikutnya bahawa fakta yang menyebut Mat Indera seorang komunis adalah suatu pembohongan yang dibuat oleh pemerintah negara ini dan ahli sejarah UMNO adalah tidak benar.

Abdullah C.D, Komander Regimen Ke-10 PKM yang berpangkalan di Shukirin, Selatan Thailand sendiri mengesahkan penglibatan Mat Indera dalam pertubuhan tersebut. Buku bertajuk “Memoir Abdullah C.D. (Bahagian Kedua) - Penaja Dan Pemimpin Rejimen Ke-10” dengan jelas menyatakan dan mengiktiraf Mat Indera sebagai komunis pada halaman 115:

“Salah satu pasukan bersenjata Melayu Johor yang berpengaruh dan luas kawasan gerakannya ialah pasukan di bawah pimpinan Mat Indera dan Kadir Murei’ih. Pasukan ini bergerak di kawasan dari Muar hingga ke Air Hitam, Batu Pahat dan Segamat. Mereka mendapat sambutan yang hangat dari massa rakyat, banyak kampung telah disusun menjadi pangkalan gerila yang kukuh, banyak darah-darah baru mengalir masuk tentera. Dengan itu terbentuklah satu pangkalan gerila yang luas di kawasan Pantai Barat Negeri Johor.”

Menyentuh Peristiwa Bukit Kepong pula, Abdullah C.D dalam bukunya turut menyebut:

“Pada 23 Februari 1950 satu kompeni pasukan gabungan yang terdiri dari kawan-kawan Tionghua dan 2 platun kawan Melayu di bawah pimpinan Mat Indera melancarkan serangan mendadak ke atas Balai Polis penjajah di Bukit Kepong yang berkekuatan 1 platun.”

Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng juga pernah mengesahkan bahawa Mat Indera merupakan seorang panglima pemerintah komunis di negeri Johor. Perkara itu dimaklumkan oleh Chin Peng dalam satu wacana yang diadakan pada 22 dan 23 Februari 1999 di sebuah universiti terkemuka di Canberra, Australia.

Para penceramah Pas yang membela Mohamad Sabu dalam isu ini sering mewar-warkan tentang latar belakang agama Mat Indera yang disifatkan sebagai seorang yang kuat agama, hafiz al Quran dan pernah menjadi guru agama di sekolah agama di Muar dan Pontian.

Kononnya tidak mungkin orang sealim itu akan terpengaruh dengan ideologi komunis. Samada mereka buta sejarah atau sengaja cuba mengaburi masyarakat dengan persepsi tersebut, hakikatnya tidak kurang ramainya pemimpin kanan PKM mempunyai latar belakang agama yang kuat termasuklah Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik.

Musa Ahmad adalah bekas Pengerusi PKM yang merupakan lepasan pengajian agama Sekolah Agama al Mahsyoor di Pulau Pinang.

Shamsiah Fakeh menerima pendidikan di Sekolah Tinggi Islam, Pelangai, Negeri Sembilan dan kemudian ke Madrasah Tuddimiah di Padang Panjang, Sumatera. (Sila rujuk Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10).

Begitu juga dengan Ibrahim Chik yang berkelulusan sekolah pondok. (Sila rujuk Memoir Ibrahim Chik: Dari API ke Rejimen ke-10).

Kita tidak hairan bagaimana golongan lepasan agama boleh terpengaruh dengan ideologi komunis kerana mereka juga manusia biasa yang tidak lari dari salah dan silap, apatah lagi kebanyakan mereka yang menyertai PKM masih lagi berusia muda antara 20-an hingga 30-an. Walaupun mempunyai latar belakang pengajian agama mungkin mereka masih belum matang dalam memahami perjuangan sebenar menuntut kemerdekaan dan hakikat kesesatan ideologi komunisme menurut perspektif Islam.

Sejarah awal Rejimen Ke-10 yang merupakan sayap Melayu dalam PKM menyaksikan kemasukan sebahagian pemimpin dan ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diharamkan pada tahun 1948 dengan sayap mudanya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Antaranya ialah Mat Indera sendiri yang merupakan ahli API.

Kemasukan mereka dalam PKM dan menyertai gerakan militan samada dalam Peristiwa Bukit Kepong atau di Lubok Kawah, Temerloh merupakan tindakan yang tidak boleh diiktiraf sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan walaupun mungkin niat asal mereka adalah untuk menentang penjajahan British secara bersenjata. Ini adalah kerana perjuangan PKM bukanlah bertujuan memerdekaan negara ini, sebaliknya untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya yang bersekutu dengan komunis antarabangsa.

Dalam Peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera bertanggungjawab mengarahkan serangan pengganas komunis terhadap balai polis yang membunuh 25 nyawa anggota polis dan ahli keluarga mereka. Hampir kesemua mereka adalah beragama Islam.

Adik Mat Indera, Johan Shah mendedahkan bahawa abangnya mengaku bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung (balai polis) Bukit Kepong. Hal ini disahkan dalam buku “Memoir Abdullah C.D.” dan buku “Dialogues with Chin Peng: New Light on The Malayan Communist Party”. Ching Peng turut mengesahkan bahawa pihak komunis mengetahui kehadiran kanak-kanak dan wanita di balai tersebut.

Alasan yang digunakan untuk membela Mat Indera kononnya dia hanya mengarahkan serangan bukannya membunuh dan membakar balai polis adalah tidak masuk akal. Setiap pertempuran bersenjata sesiapa pun tidak boleh menjamin tiadanya pertumpahan darah. Jika dia seorang yang berpinsip dan berjati diri agama, dia sepatutnya bertanggungjawab di atas kematian ramai saudara Islam itu oleh pengganas komunis yang diarahkannya. Kenapa Mat Indera menyembunyikan diri sehingga lebih 2 tahun barulah dia ditangkap?

Tindakan Mohamad Sabu menjulang Mat Indera dan komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong sebagai hero sesuatu yang dangkal. Kononnya polis tersebut adalah polis British yang bekerja untuk menjaga kepentingan British di kawasan tersebut. Tergamakkah untuk kita mengangkat orang yang membunuh anggota keselamatan beragama Islam dan ahli keluarga mereka yang tidak bersalah secara kejam termasuk membakar mayat sebagai hero?

Pihak komunis turut melempar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan Abu Bakar, anak kepada Konstabel Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api.

Membandingkan perjuangan Mat Indera dengan para pejuang seperti Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, Mat Kilau dan Mat Salleh adalah jauh langit dari bumi. Para pejuang sebenar seperti nama-nama tadi berjuang atas kekuatan sendiri untuk kemerdekaan tanahair, bukannya digerakkan oleh fahaman sesat komunis yang bertujuan menakluki negara ini menjadi negara republik komunis. Mereka juga tidak pernah bersekongkol atau terlibat dalam pembunuhan kejam saudara seagama yang tidak bersalah!

Dakwaan Mohamad Sabu kononnya Kerajaan Johor mengiktiraf ketokohan Mat Indera melalui penerbitan buku “Pengukir Nama Johor” yang turut membariskan namanya juga tidak benar.

Pengarah Yayasan Warisan Johor, Muhamad Fuad Radzuan telah menjelaskan bahawa walaupun nama Mat Indera disenaraikan menerusi penulisan yang diterbitkan dalam buku tersebut namun Mat Indera tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Sebaliknya jelas YWJ, dua penulisan berkaitan Mat Indera diterbitkan dalam buku itu hasil penyelidikan dua penulis berbeza, memerlukan tafsiran dan penilaian masyarakat, khususnya golongan sejarawan, sama ada lelaki itu seorang pengganas komunis atau pejuang.

Selain artikel hasil penyelidikan Allahyarham Ismail Adnan, buku itu juga memaparkan penulisan mengenai Mat Indera berdasarkan kajian Sahgidon Dirhan bertajuk “Bajuri Haji Siraj”, yang mendedahkan Mat Indera pemimpin komunis Melayu melakukan keganasan dan kekejaman terhadap bangsa sendiri.

Beliau berkata buku berkenaan hasil kajian penyelidik dan penulis secara individu di bawah Projek Penyelidikan dan Penulisan Warisan Sejarah Johor (PEWARIS) yang diselenggarakan yayasan itu. Hasil kajian dan penyelidikan penulis secara individu itu mungkin boleh menimbulkan kontroversi tetapi ia terserah kepada masyarakat khususnya golongan sejarawan mentafsir dan menilainya.

Justeru, tidak timbul soal kononnya Kerajaan Johor mengiktiraf Mat Indera kerana di dalam buku yang dihebohkan oleh Mohamad Sabu itu, ia turut memuatkan penulisan menunjukkan Mat Indera merupakan pemimpin komunis yang jahat.

Apapun penafian tentang penglibatan Mat Indera dengan keganasan komunis dalam Peristiwa Bukit Kepong sebenarnya mempunyai agenda tersirat iaitu supaya masyarakat mengiktiraf perjuangan PKM dan menimbulkan keraguan tentang sejarah serta sumbangan para pejuang kemerdekaan terdahulu yang besar jasanya terutama dari kalangan pemimpin UMNO dan nasionalis lainnya.

4 ulasan:

  1. Balasan
    1. Perjuangan UMNO utk merdeka? PKMM,API itu baru perjuangan anak watan...UMNO SUCK

      Padam
    2. Perjuangan UMNO utk merdeka? PKMM,API itu baru perjuangan anak watan...UMNO SUCK

      Padam