Apakah hukum dan pandangan Islam terhadap demonstrasi?
Para ulama berbeza pendapat dalam perkara ini. Di sana terdapat pandangan yang mengharuskan berdemonstrasi dan terdapat juga pandangan yang mengharamkannya.
Sebenarnya tidak ada nas yang qati’e (muktamad) samada dari al Quran atau hadith-hadith shahih yang mengharuskan atau mengharamkan berdemonstrasi.
Tulisan ini akan mengupas mengenai persoalan hukum dan justifikasi agama terhadap Perhimpunan Bersih 2.0. anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.
Perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah suatu bentuk demonstrasi atau bantahan jalanan terhadap pihak pemerintah Muslim.
Pihak penganjur mendakwa ia bertujuan mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia melalui tuntutan-tuntutan seperti yang terkandung di dalam memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.
Mereka juga mendakwa Perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah suatu demonstrasi aman dan merupakan hak-hak rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 10 (1) (b) yang menyatakan semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata.
Berdasarkan sirah Nabi dan sahabat, demonstrasi terhadap pemerintah Muslim dalam bentuk seperti ditunjukkan oleh masyarakat dunia hari ini (sama ada secara aman atau liar) tidak pernah dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat radhiallahu ‘anhum.
Walaupun demikian, ada golongan yang mengharuskan demonstrasi terhadap pemerintah dengan berhujjahkan kepada suatu riwayat bahawa kononnya Rasulullah s.a.w. pernah melakukan demonstrasi aman di Kota Makkah dahulu.
Peristiwa itu kononnya berlaku setelah Nabi s.a.w. diperintahkan oleh Allah Taala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Kaabah.
Satu barisan dipimpin oleh Umar bin al Khattab r.a. dan satu lagi dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Muthalib r.a. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci “La ilaha illallah”, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Kaabah. Kononnya Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut dan memberi arahan kepada mereka.
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’ 1/40 berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ahmad bin Hasan, berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Utsman bin Abi Syaibah berkata: Telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid bin Shalih berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Aban dari Ishaq bin Abdullah dari Aban bin Shalih dari Mujahid dari Ibnu Abbas dari Umar bin al Khattab.
Abu Nu’aim juga meriwayatkan kisah ini dalam Dala’ilun Nubuwwah no.194 dengan sanad yang sama.
Sebenarnya taraf riwayat ini sangat lemah dan ia bertentangan dengan hadith-hadith shahih yang lain. Kelemahannya adalah dari segi sanad dan matan.
Adapun dari segi sanad adalah kerana di dalam riwayat tersebut terdapat seorang yang bernama Ishaq bin Abdullah bin Abi Farwah.
Imam an Nasa’i berkata: “Dia seorang yang matruk (orang yang ditinggalkan haditsnya)”.
Imam al Bukhari berkata: “Para ulama’ meninggalkannya”.
Imam Baihaqi berkata: “Dia matruk“.
Imam Yahya bin Ma’in berkata: “Dia pendusta”.
Imam Ibnu Hibban berkata: “Dia membolak-balikkan sanad, memarfu’kan hadith mursal, dan Imam Ahmad melarang meriwayatkan hadithnya”.
Sementara dari segi matan pula, kisah ini bertentangan dengan beberapa riwayat shahih yang menceritakan tentang kemasukan Umar ke dalam agama Islam.
Di antaranya hadith yang terdapat di dalam Shahih al Bukhari mengenai Islamnya Umar bin al Khattab seperti diriwayatkan dari Abdullah bin Umar.
Begitu juga hadith yang dinukilkan di dalam Bidayah Wan Nihayah 3/81 oleh Imam Ibnu Katsir.
Golongan yang menyetujui demonstrasi turut berhujah dengan beberapa hadith lain yang walaupun ada di antaranya shahih tetapi maksudnya telah diinterpretasikan mengikut kefahaman mereka sendiri.
Satu-satunya hadith shahih yang kerap digunakan oleh mereka ialah suatu riwayat di mana Nabi s.a.w pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadith itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. [Hadith Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih]
Hadith ini sebenarnya adalah berkaitan dengan hak-hak jiran. Ia tiada kaitan dengan hak-hak rakyat terhadap pemerintah.
Bolehkah hadith berkenaan hak-hak jiran seperti ini disandarkan sebagai hujah yang kuat untuk membenarkan demonstrasi atau bantahan jalanan terhadap pemerintah? Sedangkan hubungan rakyat dengan pemerintah adalah tidak sama dengan hubungan di antara jiran dengan jiran.
Malah tidak terdapat satu pun panduan dari ulama salaf yang berdalilkan hadith ini sama ada bagi membenarkan atau menyuruh rakyat melakukan bantahan jalanan untuk menegur pihak pemerintah!
Ada juga sebahagian ulama yang membela amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah turut menggunakan hujjah-hujjah lain seperti perhimpunan haji di Makkah dan perbuatan Rasulullah s.a.w. yang menghimpunkan kaum Quraisy di Bukit Safa untuk menyeru dakwah Islam.
Semua hujjah-hujjah tersebut adalah terlalu lemah untuk meng’agama’kan demonstrasi dan bantahan jalanan.
Amalan agama yang bersifat pasti dan qati’e berkaitan aqidah dan rukun Islam tidak boleh disamakan dengan amalan muamalat atau hubungan sesama manusia yang bersifat kurang pasti dan dzanni.
Demonstrasi merupakan antara komponen demokrasi dan ia sebenarnya berasal dari Barat.
Amalan berdemonstrasi adalah sesuatu yang bid’ah dhalalah (perkara yang diada-adakan dan sesat hukumnya) jika ia dikaitkan dengan amalan beragama (contohnya mewajibkan orang ramai menyertai demonstrasi atas ‘fatwa’ agama atau justifikasi bahawa ia merupakan suatu ibadah).
Namun jika ia tidak dianggap sedemikian, amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah dengan cara seperti hari ini tetap merupakan bid’ah keduniaan yang tidak ada contohnya dari Nabi s.a.w.
Kita tidak terlalu kaku ketika berhadapan dengan teks syarak (nas) yang berkaitan dengan muamalat. Tidak seperti dalam hal-hal ibadah.
Dalam hal muamalah, ia mestilah bertepatan dengan maqasid atau roh syariah, manakala dalam hal ibadah mestilah bertepatan dengan teks syarak atau nas.
Justeru, untuk menghukumkan sama ada Perhimpunan Bersih 2.0 ini haram atau tidak, kita akan meninjau perspektif dan kaedah hukum yang lebih menyeluruh.
Dalam bab muamalah, ulama usul fiqh telah membina satu kaedah usul iaitu “al-aslu fil asyyia al-ibahah ma lam yurid dalil at-tahrim” bermaksud “hukum asal sesuatu perkara itu adalah harus kecuali ada dalil tentang pengharamannya”.
Apakah justifikasi atau hujjah para ulama yang mengharamkan berdemonstrasi terhadap pemerintah seperti Himpunan Bersih 2.0 tersebut?
Di sana terdapat banyak kemungkaran-kemungkaran yang didapati dari amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah Muslim.
Tasyabbuh
Amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah adalah berbentuk tasyabbuh, iaitu menyerupai perbuatan orang-orang kafir.
Sepertimana yang kita ketahui bahawa demonstrasi adalah salah satu komponen dalam sistem demokrasi yang berasal dari Barat.
Tidak semua perkara atau perbuatan orang-orang kafir mesti ditolak atau dilarang iaitu sesuatu yang bukan merupakan ciri-ciri khusus orang-orang kafir, sama ada aqidah, adat-istiadat, atau peribadatannya, dan hal itu tidak bertentangan dengan nas-nas serta prinsip-prinsip syariah, atau tidak dikhuatiri akan membawa kepada kerosakan. Maka yang demikian itu tidaklah termasuk dalam tasyabbuh.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka termasuk golongan tersebut.” [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]
Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani berpendapat bahawa perbuatan demonstrasi adalah termasuk dalam bentuk tasyabbuh terhadap orang kafir.
Pendapat beliau ini boleh dipakai terhadap Perhimpunan Bersih 2.0 kerana demonstrasi Bersih yang pertama dahulu telah membuktikan bahawa ia telah menimbulkan kerosakan, kesusahan dan kerugian harta benda kepada masyarakat awam.
Walaupun penganjurnya mendakwa ia suatu demonstrasi aman, tetapi hakikatnya mereka tidak mampu mengawal para peserta yang bertindak liar, tidak kiralah sama ada ia akibat daripada provokasi pihak luar atau tidak.
Tingkah-laku puluhan ribuan para peserta Perhimpunan Bersih pada 20 November 2007 yang mana majoritinya adalah Muslim boleh dijadikan ukuran sejauh mana penyerupaan mereka terhadap orang kafir dan. Antaranya ialah percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilath) tanpa batasan, sepanduk-sepanduk dan pidato berapi-api memaki hamun, mengutuk dan mengaibkan pihak pemerintah di hadapan umum.
Khuruj
Demonstrasi terhadap pemerintah juga boleh dimasukkan ke dalam kategori khuruj (keluar menentang pemerintah) yang mana ia dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadith shahih.
Ada yang berpandangan bahawa Perhimpunan Besih 2.0 tidak boleh disifatkan sebagai amalan Khawarij kerana mereka tidak pun mengangkat senjata.
Dalam hal ini kita perlu membuka pemikiran kita, adakah semua kelompok Khawarij itu sifatnya mengangkat senjata semata-mata? Perbuatan memerangi pemerintah dengan mengangkat senjata atau keganasan memang salah satu daripada ciri-ciri Khawarij, tetapi di sana terdapat banyak lagi manhaj dan ciri-ciri lain termasuklah mencela pemerintah dan mengingkari ketaatan kepadanya seperti larangan berhimpun tanpa permit dalam negara kita hari ini.
Diriwayatkan bahawa Said bin Jahman r.a. berkata:
“Aku datang kepada Abdullah bin Abu Aufa, matanya buta, aku mengucapkan salam." Beliau bertanya kepadaku: "Siapa engkau?" "Said bin Jahman, jawabku." Beliau bertanya: "Kenapa dengan ayahmu?" Aku katakan: "Al-Azariqah telah membunuhnya." Beliau berkata: "Semoga Allah melaknat Al-Azriqah, semoga Allah melaknat Al-Azriqah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan bahawa mereka anjing-anjing neraka." Aku bertanya: "(Yang dilaknat sebagai anjing-anjing neraka) Al-Azriqah sahaja atau Khawarij semuanya?" Aku katakan: "Beliau menjawab: Ya! Khawarij semuanya." Aku katakan: "Tetapi sesungguhnya pemerintah telah berbuat kezaliman kepada rakyatnya?" Maka beliau mengambil tanganku dan memegang dengan sangat kuat, kemudian berkata: "Celaka engkau wahai Ibnu Jahman! Wajib atasmu berpegang dengan sawadul a'zham, wajib atasmu untuk berpegang dengan sawadul a'zham. Jika kau ingin pemerintah mahu mendengar nasihatmu, maka datangilah dan khabarkan apa yang engkau ketahui. Itu kalau dia menerima, kalau tidak, tinggalkan! Sesungguhnya engkau tidak lebih tahu darinya." [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]
Mengaibkan Pemerintah
Menceritakan aib pemerintah di hadapan umum dalam bentuk pidato atau ucapan adalah dilarang oleh Rasulullah s.a.w.
Apabila demonstrasi dilakukan terhadap pemerintah, ia tidak boleh lari dari perbuatan memburuk-burukkan atau mengaibkan pemerintah secara terbuka.
Selain daripada pidato berapi-api bertujuan menghasut rakyat membenci pemerintah, tidak kurang juga pasti terdapat pelbagai slogan dan kata-kata kesat mencaci pemerintah terpampang pada sepanduk-sepanduk yang dibawa oleh peserta demonstrasi jalanan. Senario inilah yang berlaku semasa Perhimpunan Bersih 1 dahulu.
Islam memang mewajibkan rakyat menegur pemerintah yang zalim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih lagi masyhur:
“Agama itu adalah nasihat”. Kami (Sahabat) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”. [Hadith Riwayat Muslim]
Dan sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Jihad yang afdal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Hadith Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadithnya shahih]
Nasihat kepada pemerintah itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Surah Taha: 43-44]
Istidlalnya adalah jika kepada Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada pemerintah Islam.
Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]
Hadith ini menjelaskan mengenai kewajipan menasihati pemerintah dan melakukannya dengan cara yang baik. Dalam sebuah riwayat dinyatakan:
“Daripada Ziyad bin Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal: ‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [Hadith Riwayat al-Tirmizi, shahih]
Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj Syarak yang benar, perbuatan berdemonstrasi dan bantahan jalanan terhadap pemerintah yang zalim sekalipun adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa atas dosa semata-mata.
Abu Ishaq al-Sabi’i r.h. daripada pembesar ulama Tabiin berkata: “Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani]
Perbezaan Pendapat
Polemik percanggahan pendapat mengenai hukum berdemonstrasi terhadap pemerintah sentiasa berterusan.
Masing-masing mengemukakan pandangan berserta hujjah-hujjah tersendiri. Namun yang pasti tidak ada nas yang muktamad atau qat’ie berkenaan isu ini.
Pendapat yang mengharamkan demonstrasi jalanan seperti Himpunan Bersih 2.0 dilihat lebih kuat untuk dipegang atas hujjah-hujjah yang disebutkan sebelum ini.
Apatah lagi dalam persoalan khilafiah seperti ini, pemerintah lebih berhak menentukan pendapat mana untuk diterima pakai dan sudah jelas bahawa pemerintah di Malaysia ketika ini mengharamkan demonstrasi jalanan seperti Perhimpunan Bersih 2.0.
Dari sudut undang-undang sivil negara kita, larangan berhimpun tanpa permit ini termaktub dalam Akta Polis 1967 (Akta 334) di bawah Seksyen 27 (2) yang menetapkan bahawa adalah disyaratkan bagi mana-mana kumpulan untuk mendapatkan lesen untuk berhimpun dan Seksyen 27 (5) yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk berhimpun tanpa lesen.
Walaupun undang-undang dan ketetapan yang diambil oleh pihak pemerintah ini ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia, namun hakikatnya itulah yang terpakai ketika ini sekalipun kita membencinya.
Telah sabit daripada hadith Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:
“Rasulullah s.a.w memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di hadapan Allah nanti”.
Jalan Penyelesaian
Pengharaman demonstrasi dalam undang-undang negara ini bukanlah bersifat mutlak kerana hak berhimpun telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia bertitik tolak dari kebarangkalian yang wujud akibat daripada perjumpaan atau perarakan itu mungkin boleh memudaratkan kepentingan dan keselamatan negara atau ia boleh membangkitkan kekacauan dan merosakkan keamanannya.
Dalam kerangka pemahaman Islam yang progresif, demonstrasi dalam ertikata perhimpunan awam dengan cara menunjuk perasaan secara aman, dengan mematuhi syarat-syarat tertentu dan dibenarkan oleh pemerintah maka ia masih memerlukan ruang perbincangan yang lebih luas untuk dibicarakan bagi mengharuskannya dari sudut syarak.
Antara syarat-syarat yang diketengahkan oleh pihak yang mengharuskannya ialah tujuan yang hendak dicapai melalui demonstrasi adalah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Keduanya, penganjur dan peserta demonstrasi dapat menjaga hak-hak jalanan yang digariskan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w. seperti tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain, menjawab salam apabila disapa, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Ketiga, perhimpunan tersebut hendaklah tidak disertai dengan perbuatan maksiat lain, seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, mengeluarkan perkataan atau memaparkan tulisan maki hamun dan mencarut, menyerupai orang kafir contohnya dari sudut pakaian serta merosakkan harta benda awam dan orang lain.
Barangkali pertikaian Perhimpunan Bersih 2.0 boleh diselesaikan dengan pemerintah sekiranya mereka memanfaatkan tawaran pihak pemerintah untuk membenarkan mereka untuk mengadakannya di dalam stadium seperti di Stadium Melawati atau Stadium Shah Alam.
Dengan mengadakan perhimpunan aman di stadium, pihak penganjur Bersih 2.0 mempunyai lebih berkemampuan dan jaminan untuk memastikan tiga syarat-syarat di atas dipenuhi serta menghalang dari provokasi pihak luar.
Apakah motif sebenar mereka tetap bertegas mahu berdemonstrasi jalanan di tengah-tengah ibu kota yang sesak itu? Sekalipun mereka mendakwa mempunyai niat yang bersih, tetapi umum dapat membaca agenda kotor mereka iaitu menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam masyarakat, mewujudkan persepsi negatif dunia luar terhadap keadaan di Malaysia dan mengalih masalah peribadi tokoh utama mereka.
Islam mempunyai jalan penyelesaian dalam isu ini. Pada situasi sekarang, masalah yang timbul bukan sahaja terjadi akibat satu aspek, misalnya keadilan dalam pilihanraya, tetapi juga terjadi pada aspek lainnya, seperti ekonomi, politik dan sosial. Krisis ini tidak boleh sembuh secara total jika dibasmi dengan cara berdemonstrasi.
Suatu negara yang dipimpin oleh pemimpin yang zalim yang didalamnya ditaburi dengan perbuatan-perbuatan mungkar orang yang berkuasa seperti rasuah dan nepotisme merupakan hasil dari sikap dan tindakan rakyatnya juga. Maka kalau rakyatnya baik, nescaya Allah Taala akan menganugerahkan kepada mereka pemimpin yang baik, arif dan bijaksana. Hal ini sudah dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para Khulafa' Ar-Rasyidin.
Adapun setiap situasi yang kacau-bilau, maka jalan keluar dan penyelesaiannya bukanlah dengan demonstrasi, tetapi dengan amar makruf nahi mungkar (termasuk menegur pemerintah) dengan cara yang tepat dan benar. Kemudian menyebarkan ilmu yang haq di kalangan umat agar muncul generasi-generasi yang berbekal ilmu.
Perlu difahami bahawa hikmah di sebalik kekangan syarak terhadap perbuatan menegur secara wewenang atau menjatuhkan pemerintah melalui jalan demonstrasi sebenarnya lebih kepada memelihara kestabilan ummah itu sendiri.
Ulama terkenal, Ibn Abi al `Izz menyebutkan: “Adapun wali al Amr berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah, ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada kezaliman mereka.
“Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah tidak menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan.
Firman Allah Taala:
“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah Ali Imran: 165]
Dan Allah Taala berfirman:
“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan.” [Surah al An`am: 129]
“Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”. [Syarh al `Aqidati at Tohawiyah, juz 2, hal. 542]
Sebagai akhirnya, diharapkan nanti setiap langkah yang kita lakukan diukur dengan ilmu syarak yang haq. Dengan demikian akan musnahlah penyakit penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyakit-penyakit lain. Wallahua'lam.
demonstrasi ada asasnye dalam islam
BalasPadamBenda ni cuma Khilaf.. Ulama' Dunia Prof Yusof Al-Qardhawi mengiktiraf Demonstrasi jalanan..
BalasPadamYg tiada khilaf, ARAK, JUDI, RIBA, Tolak hukum Allah.. Ini tiada khilaf, ianya HARAM malah boleh menjejaskan Akidah.
semoga suma org Islam di dunia ini bersatupadu,.. tiada gunanya membuat demonstrasi yang membawa kepada rusuhan.. kalau x dibendung dari awal, perkara ini tidak akan terjadi, isu ini tidak akan dipersoalkan.. samalah seperti mendidik dan membentuk anak dari kecil dengan sifat-sifat yang baik.. samalah seperti demonstrasi ini.. mula-mula mmg xde apa.. tp lama-kelamaan akan jadi teruk.. demonstrai bukanya xboleh.. tp masyarakat yang mempunyai tingkahlaku yang memalukan negara sendiri.. huhuhhuhuh... so baik xpayah buat demosntrasi.. kita ada undang-undang.. kalau nak komplen komplen komplen jer.. baik xpayah.. nak komplen kenalah dengan cara yang berhemah.. bukannya memalukan diri sendiri or masyarakat Islam..
BalasPadam