Ahad, 20 Disember 2009

Muhadharah Perdana al Qaradhawi di Putrajaya

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri program Muhadharah Perdana bersama Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawi di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada Sabtu,19 Disember bersamaan 2 Muharram 1431H.


Pada hari sebelumnya, saya turut hadir menyaksikan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431H juga di PICC.


Topik yang dikupas oleh Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawi di dalam majlis Muhadharah Perdana 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabtu lalu ialah 'Fiqh al Jihad'. 'Fiqh al Jihad' adalah karya terbaru beliau.

Saya mengharapkan hadirin dan diri saya sendiri mendapat ilmu yang bermanfaat dari majlis tersebut. InsyaAllah.



Ahad, 22 November 2009

Al Kuliyyah Khas TV3: Satu Akidah


Khamis, malam Jumaat (19 November) lalu, saya hadir ke Auditorium Utama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk menyaksikan secara langsung rancangan Al Kuliyyah TV3 Edisi Khas yang menampilkan tiga panelis ulung dalam bidang agama iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Dr. Fauzi Deraman serta Felo Kehormat ISTAC, (Dr.) Muhammad Uthman el-Muhammady.
Banyak perkara yang saya ingin ulaskan mengenai hasil perbincangan ketiga-tiga ahli panel tersebut, tetapi memandangkan masa saya agak terhad ketika ini, saya akan menulis panjang di masa akan datang mengenainya.

Jumaat, 6 November 2009

Meneruskan Amanah dan Perjuangan Yang Belum Selesai

Alhamdulillah Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri 1430H yang diaturkan oleh Kelab Che Det Dot Com (KCD), akhirnya berjalan lancar seperti dirancangkan walaupun tarikhnya terpaksa dianjakkan lewat sehari ke 18 Oktober disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Program tersebut berjalan dengan penuh meriah walaupun dibuat serba sederhana di Hotel Putra bersebelahan Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur.

Sebagai salah seorang Exco KCD, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dan isteri beliau, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Bin Haji Mohd Ali kerana sudi meluangkan masa menghadiri sambutan hari raya kami yang tidak seberapa ini. Begitu juga kepada semua hadirin yang turut sama menjaya dan memeriahkan majlis ini. Mereka ini datang dari seluruh Malaysia termasuk dari Singapura!

Paling menggembirakan kami, Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Hasmah kelihatan begitu ceria sekali dalam majlis tersebut. Walaupun pada awalnya mereka hanya dijadualkan berada di majlis KCD ini hanya sejam, namun syukur Alhamdulillah mereka sudi memanjangkan masa lebih kurang dua jam di majlis yang penuh nostalgia itu untuk turut sama para hadirin termasuk untuk sesi fotografi. Hampir semua hadirin berkesempatan bergambar dengan pasangan mantan Perdana Menteri dan Wanita Pertama negara ini.

Ini merupakan sambutan hari raya pertama KCD sejak ia ditubuhkan penghujung tahun lalu. Sambutan di luar dugaan oleh forumer dan pengunjung portal kami ini menjadi perangsang dan semangat untuk meneruskan amanah dan perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad demi untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Akhir sekali saya ingin menukilkan kembali lafaz-lafaz doa yang dibacakan semasa pembukaan majlis tersebut, sebaik sahaja ketibaan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah di dewan Hotel Putra. Semoga doa yang diaminkan bersama oleh pejuang-pejuang yang ikhlas dan negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimakbulkan oleh Allah Taala. Aamiin…


Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Sesungguhnya kami berhimpun pada hari ini di Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri Kelab Che Det Dot Com bagi menyatakan kesyukuran kami kepada-Mu.

Ya Allah Ya Tuhan kami,

Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih samada terhadap nikmat yang sedikit apatah lagi nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada kami termasuk nikmat kegembiraan kami dengan kehadiran negarawan ulung, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali ke majlis kami ini.

Berkatilah dan rahmatilah majlis kami ini. Sinarilah hati-hati kami dengan cahaya dan petunjuk-Mu. Berikanlah kami kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab kami bersifat fardhu ain mahupun fardhu kifayah, agar kami menjadi hamba-Mu yang bertaqwa. Semoga dengannya kami mudah menerima dan menghayati serta mengamalkan setiap ibadah kepadaMu.

Kurniakanlah kepada kami kesihatan tubuh badan, kecergasan minda, ketenangan jiwa dan kekuatan semangat. Semoga dengannya kami mampu melaksanakan segala ketaatan kepada-Mu.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Kami pohon perlindungan dari-Mu dari segala hasutan syaitan mahu pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan, jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit yang menyusahkan.

Ya Allah, hindarkanlah kami dari sifat-sifat yang keji dan jadikanlah kami hamba-Mu yang mulia dan berjaya, yang mematuhi segala ajaran agama suci-Mu. Ajaran yang menyuruh berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan umat ini untuk dijadikan contoh sebagai hambaMu yang tunduk kepada segala perintah-Mu ya Allah.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami sebagai insan yang bersaudara, eratkanlah perhubungan diantara kami untuk bekerjasama. Jadikanlah kami, hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa, mematuhi segala perintah-Mu dan Rasul-Mu yang mulia, agar kami dapat meneruskan amanah Tun Dr. Mahathir Mohamad serta perjuangan beliau yang belum selesai untuk agama, bangsa dan negara.


Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperolehi rahmat.

Khamis, 6 Ogos 2009

Nostalgia Malam Nisfu Sya'aban: Peristiwa Tun Mahathir Di Dalam Kaabah

Tulisan ini bertujuan mengimbau kembali kenangan indah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang telah diberi rahmat, nikmat dan kelebihan oleh Allah Taala untuk masuk dan beribadat di dalam Kaabah. Kebetulan kelebihan yang diperolehi beliau itu ialah pada malam Nisfu Syaaban.

Kita imbas kembali tulisan Setiausaha Politik beliau pada masa itu iaitu Datuk Dusuki Ahmad di dalam Mingguan Malaysia. Sekali lagi kita berdoa di atas kebahagian dan kesihatan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali. Semoga mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Aamiin.

Di sana terdapat satu hadis yang boleh dipegang berkenaan kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain, Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah, jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh]

Perlu diingat hadis ini tidak mengajar kita bentuk amalan yang khusus pada malam berkenaan. Amalan-amalan khas tertentu yang dilakukan pada malam tersebut sebenarnya bukanlah dari ajaran Nabi s.a.w.

Saya ingin memetik jawapan Dr. Yusuf al Qaradawi berhubung persoalan Nisfu Syaaban ini:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al Quran dan as sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid'ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid'ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.” [Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut]




Lazatnya beribadah dalam Kaabah

Oleh DUSUKI AHMAD

AIR mata saya menitis, sayu, sedih dan hiba ketika melihat Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merapat kemas mukanya ke multazam pintu Kaabah. Tidaklah diketahui apa yang beliau berdoa dan bermunajat. Tetapi yang jelasnya beliau amat bersyahdu.

Beliau, isterinya Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan beberapa orang pegawai pengiring baru saja selesai sembahyang isyak berjemaah, kemudian dibawa tawaf qudum/umrah dengan diiringi oleh ramai tentera kerajaan Arab Saudi.

Kebetulan malam itu - 21 Oktober 2002 - ialah malam Nisfu Syaaban. Kira-kira pukul 11 malam, rombongan Dr. Mahathir dibawa masuk ke dalam Kaabah. Lama juga beliau berada di dalamnya sehingga sempatlah beliau menunaikan sembahyang sunat pada empat penjuru Kaabah itu.

Saya merasai sayu dan hiba kerana dua tiga hari sebelum ini ketika berada di Riyadh dan di Jeddah, saya ditanya oleh ramai tokoh cendekiawan Islam tentang sebab-sebab mengapa Dr. Mahathir tidak bercadang lagi untuk menyambung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.

Mereka hairan bagaimana seorang pemimpin yang amat dihormati seperti Dr. Mahathir yang telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai bidang telah membuat ketetapan untuk mengakhiri perkhidmatannya pada Oktober 2003.

Sikap seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara-negara Islam. Lebih-lebih lagi katanya, ``Umat Islam hari ini amat memerlukan pimpinan tokoh besar yang berwibawa seperti Dr. Mahathir, ketika nasib negara-negara Islam tidak menentu dan umatnya pula semacam mengambil sikap untuk tidak bersatu.''

Saya hanya menjawab pendek, ``Hanya Dr. Mahathir dan Allah yang mengetahui.''

Mereka tidak senang dengan jawapan itu. Mereka mahu sebab-sebab yang khusus. ``Seorang yang mendapat kurniaan Allah sebagai pemimpin yang berwibawa, dia harus amanah dan bertanggungjawab kepada orang ramai. Dia juga tidak boleh membiarkan pengikut-pengikutnya, rakyatnya dan negaranya kehilangan pemimpin.''

Saya memberi penjelasan, ``Kerana amanah dan tanggungjawablah maka Malaysia hari ini adalah negara paling aman dan selamat di rantau Asia dan Pasifik. Pentadbirannya baik, rakyatnya gembira, ekonominya kukuh dan politiknya stabil. Bahkan kita tidak ada masalah besar selain daripada penghijrahan haram kira-kira dua juta rakyat negara-negara jiran yang ingin menumpang hidup di Malaysia kerana tidak selesa di negara sendiri.

``Dan hari ini Dr. Mahathir sudah berjaya memastikan penggantinya dan menamakan seorang tokoh yang dapat menyambung dan menyempurnakan misi dan visinya.''

Beliau setuju dengan pandangan saya dan menegaskan, ``Dr. Mahathir adalah contoh mithali pemimpin Islam pada abad ini. Dan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang paling subur untuk dakwah, pembangunan ummah dan penyebaran syiar Islam.''

Kehadiran Dr. Mahathir ke negara Arab Saudi pada 21 Oktober lalu adalah atas jemputan Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri pertama Arab Saudi. Dr. Mahathir dijemput memberi ucapan tentang pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekonomi.

Tiba di Riyadh pada Sabtu 19 Oktober, Perdana Menteri disambut oleh Raja Salman bin Abdul Aziz, Gabenor Riyadh. Pada hari yang sama beliau diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada seminar yang bertemakan Wawasan Ekonomi Arab Saudi Sehingga Tahun 2020.

Seperti biasa, ucapannya mendapat sambutan luar biasa. Beliau memberi rangsangan masa depan negara Arab Saudi yang cemerlang dan gemilang. Katanya, Arab Saudi mampu menjadi kuasa besar dunia yang dapat menaungi umat Islam sejagat dan menjadi tempat berteduh negara-negara Islam yang ditindas.

Kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang adalah berjumlah 10 juta tong sehari yang memberikan hasil RM760 juta sehari atau RM277 bilion setahun. Dianggarkan kadar pengeluaran minyak Arab Saudi sekarang boleh bertahan selama 200 tahun lagi.

Beliau menyarankan supaya Arab Saudi menguasai bidang-bidang utama pengeluaran perindustrian, kewangan dan teknologi. Padang pasir dan bukit boleh disuburkan dengan tanaman melalui pengairan yang saintifik.

Beliau menegaskan bahawa pendapatan per kapita yang tinggi dan taraf hidup yang baik belum bermakna mencapai kemajuan jika sumber manusia tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya.

Beliau mahu melihat Arab Saudi bukan saja menjual minyak mentah semata-mata, tetapi mencari jalan agar wujud nilai tambah yang maksimum kepada sumber minyak yang ada itu. Katanya, ``Minyak itu boleh diolah dan digarap menjadi barangan lain dan boleh dijual secara runcitan seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat petroleum Shell, Mobil dan lain-lain. Harga runcitan tidak pernah jatuh walaupun ketika harga minyak mentah merudum.''

Ketika di Riyadh, Dr. Mahathir dikunjungi oleh Putera Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud yang juga Perdana Menteri Pertama dan Putera Sultan bin Abdul Aziz al-Saud, Perdana Menteri Kedua yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi. Beliau juga mengunjungi Raja al-Malik Fahad bin Abdul Aziz as-Saud, raja bagi kerajaan Arab Saudi.

Pada hari kedua rombongan dibawa ke Jeddah dengan pesawat khas yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi. Di Jeddah juga Dr. Mahathir menemui ahli-ahli perniagaan dan kemudiannya dijemput ke rumah Syaikh Salleh Kamil di kawasan pembangunan yang indah di pinggir Jeddah yang diberi nama Durrah Al-Arus.

Ramai tokoh korporat dan ulama saya temui pada majlis-majlis bersama Dr. Mahathir sepanjang lawatan ke Arab Saudi. Setelah melihat sendiri air muka Dr. Mahathir dan mendengar sendiri ucapannya, maka seorang sahabat telah membisik ke telinga saya, ``Aktivis-aktivis Islam dan pendakwah hendaklah belajar daripada pengalaman yang lalu. Mengambil sikap bermusuh dengan pemerintah tidak akan memberi apa-apa faedah.''

Dikatakan ramai yang membenci Dr. Mahathir, tetapi berganda ramai yang menyanjunginya. Kerana itulah beliau mampu menjadi Perdana Menteri melebihi 20 tahun.

Mungkin beliau tidak popular bagi sesetengah orang. Apakah kerana adanya golongan tertentu yang hari-hari mencipta fitnah terhadapnya, lalu dianggapnya buruk belaka.

Siapakah pemimpin-pemimpin dunia dalam sejarah yang bersih daripada fitnah dan suci daripada pembenci? Bahkan makin tinggi dan mulia darjat kepimpinan seseorang itu maka bertambah subur fitnah terhadapnya dan bertambah biak golongan yang memusuhinya.

Sahabat yang berkenaan juga telah menegaskan kepada saya bahawa kesedaran Islam yang tinggi dan semangat juang yang kuat haruslah seiring dengan kefahaman yang sebenar.

Beliau menegaskan bahawa tamadun Islam tidak seharusnya berkisar dalam rangka bernostalgia dengan kehebatan lampau, tetapi haruslah mengambil kira kesesuaian masa kini dan masa depan.

Pada petangnya rombongan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dibawa ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan umrah. Pada malamnya mereka diberi kesempatan memasuki Kaabah. Sudah tentu mereka yang berkesempatan memasuki Kaabah itu merasai indah dan lazatnya berada dalam Kaabah. Hanya Allah yang mengetahui tentang kenikmatan itu.

- Datuk Dusuki Ahmad ialah mantan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Beliau adalah cucunda kepada ulama terkenal Kelantan, Tok Selehor

Sabtu, 1 Ogos 2009

Cara Sunnah Mentaati Pemerintah Muslim yang Fasiq dan Zalim

Seorang sahabat saya menggunakan dalil dari Surah al A’raf ayat 3 untuk menafikan hukum ketaatan terhadap pemerintah Muslim yang zalim dan fasiq.


“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya).”

Sebenarnya ayat dari Surah al A’raf di atas bukanlah berkenaan ketaatan kepada pemerintah tetapi ia menyentuh ketaatan dalam beragama. Perkataan أَوْلِيَآءَ (aulia’) yang diterjemahkan sebagai pemimpin-pemimpin dalam versi terjemahan al Quran yang menjadi rujukan sahabat saya itu secara tepatnya bukanlah bermaksud pemerintah dalam urusan negara atau pentadbiran politik.

Adapun berkenaan konsep ketaatan terhadap pemerintah, ia mestilah bersandarkan kepada nas-nas dari al Quran dan as Sunnah. Perkara ini telah diajarkan oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah sepertimana diterangkan dalam banyak kitab-kitab muktabar terdahulu.

Dalam sebuah athar,
Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib r.a. pernah berkata:

“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat.” [Diriwayatkan oleh al Baihaqi dengan sanad yang sahih]
Kata-kata Khalifah ar Rasyidin ini disokong oleh sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:


إِنَّ اللَّهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
“Sesungguhnya Allah akan mengukuhkan agama ini (Islam) dengan orang yang jahat.” [HR al Bukhari]

Di sana terdapat banyak hadith-hadith menceritakan perihal ini, antaranya ialah:


"Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku dengan panduan sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu." [HR al Bukhari dan Muslim]


"Dari Wail r.a. berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanyalah atas mereka apa yang mereka kerjakan dan atas kamu apa yang kamu kerjakan." [HR Muslim]

“Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu.” [HR al Bukhari dan Muslim]


“Dengarlah dan taatilah penguasa di waktu susah dan senang, di waktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat.” [HR Ibn Hibban, sanadnya hasan]


Rasulullah s.a.w. sudah pun mengetahui bahawa selepas kewafatan baginda, umat Islam akan dipimpin oleh orang-orang yang tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Bagaimana kita menghadapinya sudah pun diajarkan caranya oleh baginda dalam banyak hadith-hadith shahih.


Ambillah iktibar dari kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah sehingga mengakibatkan hampir seluruh negara Islam dijajah oleh orang Barat. Sultan Abdul Hamid II didakwa sebagai pemerintah yang korup, suka berfoya-foya, tidak cekap dan sebagainya sehingga sekelompok rakyat terdiri dari cerdik pandai, tentera dan ulama bergabung tenaga bangkit menentang kerajaannya sehingga jatuh tersungkur.

Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan rejim Saddam Hussein di Iraq yang menyebabkan negara teluk itu berada dalam keadaan kacau-bilau, rakyat dihina melalui penderaan oleh tentera penceroboh, golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan puak Syiah berbunuh-bunuhan dan sebagainya. Hilangnya pahlawan gagah perkasa bernama Saddam Hussein walaupun akhlaknya diragui, sedikit sebanyak telah mengurangkan kegentaran Yahudi Israel menyerang saudara Islam kita di Palestin.


Contohilah pendirian dan tindakan bijaksana ulama-ulama besar terdahulu seperti Imam Ahmad Ibn Hanbal r.h. dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h. dalam berhadapan pemerintah yang fasiq dan zalim. Mereka ini berani menyatakan kebenaran dan menyampaikan dakwah di hadapan pemerintah sehingga sanggup dihukum sebat dan dipenjara. Namun, mereka tidak pula mengizinkan pengikut-pengikutnya bangun menentang pemerintah dengan cara yang tidak sah di sisi syarak.


Mereka lebih mementingkan persaudaraan Islam dan memikirkan nasib masa depan agama dan umat Islam. Mereka inilah ulama haq dan ulama amilin yang betul-betul berpegang dengan ajaran al Quran dan as Sunnah, bukan sepertimana tindak-tanduk ulama su’ (jahat) yang memperalat agama untuk tujuan politik, mendapat sanjungan, kuasa dan pemerintahan!


Cara terbaik untuk mengubah pemerintah yang zalim dan jahat dalam konteks sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia pada hari ini ialah melalui pilihanraya. Pentas ceramah politik semasa (di luar kempen pilihanraya), akhbar, blog, surat layang dan demonstrasi bukanlah cara yang betul untuk menegur pemerintah dengan cara mengaibkan mereka (maki hamun, mencerca dan herdikan) kerana ia sangat bertentangan dengan anjuran Nabi s.a.w.


Dalam hal ini al Allamah Asy Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:

“Bukanlah termasuk uslub (metod) salaf perbuatan mendedahkan aib pemimpin dan menyebutkannya di atas mimbar (atau pentas), kerana hal ini hanya menimbulkan kerusuhan dan hilangnya ketaatan rakyat terhadap pemimpin, juga menyebabkan banyak persepsi dan pandangan yang merbahaya yang tidak mendatangkan manfaat.”Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya”.
[Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani]
Keadaan berbeza apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Pada masa itu bermulalah babak pilihanraya (pertandingan memilih pemerintah) di mana kita dibenarkan untuk mendedahkan secara terbuka kelemahan mereka semasa kempen pilihanraya. Hal ini kerana parti pemerintah ketika itu hanyalah ‘caretaker government’ bukanlah kerajaan dalam ertikata sebenar, malah mereka sendiri bersedia serta redha untuk menang atau kalah (dalam ertikata memperoleh atau hilang kuasa pemerintahan) dalam pilihanraya yang akan diadakan.
Bilamana selepas pilihanraya pula, ketika di Parlimen kita dibenarkan membahaskan sesuatu usul dengan kritikan dan bangkangan yang beretika serta membina. Ini sepertimana ruang musyawarah yang diberikan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin dalam membahaskan sesuatu perkara yang memerlukan perbincangan bersama.


Konsep Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri hampir boleh disamakan dengan konsep Ahlul Halli wal Aqdi yang dibincangkan oleh para ulama. Secara istilah konsep ini bermaksud “orang-orang yang berhak membentuk suatu sistem di dalam sebuah negara dan membubarkannya kembali jika dipandang perlu”.

Ruang perbincangan sesama mereka adalah diharuskan dalam syarak walaupun berlaku pertembungan idea dan pendapat.


Kadang-kala kita sendiri selalu alpa dan lupa dengan anjuran al Quran dan hadith berkenaan ketaatan kepada pemerintah. Kita sendiri ada masanya mengutuk, mengkritik tanpa fakta dan memaki pemerintah tetapi itu bukanlah bermakna kita perlu mencari dalil-dalil yang diada-adakan semata-mata untuk menjustifikasikan maksiat kita terhadap pemerintah.

Manusia atau insan itu secara lumrahnya bersifat pelupa dan oleh kerana itu kita perlu sentiasa diperingatkan dengan ayat-ayat Allah serta istighfar dan saling bermaafan sesama Muslim apabila terlanjur melakukan kesalahan.
Ulama terkenal, Sahl bin Abdullah at Tusturi r.h. pernah berkata:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rosaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka.”
Ulama salafus soleh melihat bahawa sifat pemerintah pada sesuatu masa atau tempat adalah cerminan sifat masyarakat ketika itu dan di tempat itu.
Ibn Abi al `Izz berkata:

“Adapun wali al Amr berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah, ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada kezaliman mereka.

Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah tidak menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan.


Firman Allah Taala:


“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.[Surah Ali Imran: 165]

Dan Allah Taala berfirman:


“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan.” [Surah al An`am: 129]

Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”. [Syarh al `Aqidati at Tohawiyah, juz 2, hal. 542]
Ingatlah kepada firman Allah Taala: 



“Dan apa saja musibah yang menimpa dirimu, maka yang demikian itu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” [Surah as Syura: 30]

Beradanya masyarakat kita di bawah pemerintah yang bersifat fasiq atau zalim adalah suatu bentuk musibah, yang sebenarnya berpunca dari masyarakat itu sendiri. Natijahnya, untuk mengubah sifat pemerintah maka kita perlu mengubah masyarakat tersebut melalui dakwah yang berpandukan al Quran dan as Sunnah, sentiasa bermuhasabah, pesan-memesan dengan kebenaran dan penuh kesabaran, di samping keberanian menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.

Wallahua’alam.

Jumaat, 19 Jun 2009

Doa Pengantin Yusuf dan Zulaikha: Suatu Kepalsuan

Cuti sekolah baru saja berakhir, maka redalah juga musim kahwin. Sejak dulu lagi saya rasa terpanggil untuk menulis mengenai sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita bila tiba musim kahwin, bagaimanapun masa dan kerja membataskan hasrat saya. Dengan niat untuk melakukan islah dan dakwah sesama saudara seagama, maka saya mengambil sedikit masa sempena redanya musim kahwin ini untuk menjadi panduan berguna kepada mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan di masa hadapan.

Kita selalu menerima kad jemputan kahwin yang tertulis doa berbunyi:

"Ya Allah. Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah. Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat “


Saya sering tertanya-tanya mengapakan doa ini selalu menjadi pilihan bakal-bakal pengantin, sedangkan ada yang tidak kena dengan sebahagian ungkapan doa tersebut. Doa Yusuf dan Zulaikha. Yusuf seorang Nabi dan Rasul. Zulaikha pula nama yang biasa dirujukkan kepada peribadi isteri pembesar (imra’ah al aziz) Mesir yang cuba menggoda Nabi Yusuf a.s.

Bagaimana seorang perempuan yang teruk perilakunya boleh dibariskan dalam kalangan yang beriman dan istimewa seperti Adam, Hawa, Yusuf, Muhammad dan Siti Khadijah dalam doa pengantin tersebut?

Dalam al Quran, ada diceritakan kisah wanita tersebut seperti terkandung dalam Surah Yusuf seperti berikut:

“Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.

“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya.”

“Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:“Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”.

“Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!”

“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”

“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”

“Yusuf (merayu ke hadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.


[Surah Yusuf, ayat 22-33]

Kita terkadang pernah mendengar ceramah agama oleh beberapa pendakwah yang selalu bercerita tanpa disandarkan kepada nas termasuk oleh seorang ustazah terkenal tentang kehebatan cinta Yusuf dan Zulaikha. Kononnya Yusuf dan Zulaikha pada akhirnya bertaut juga sebagai pasangan suami isteri atas dasar cinta suci. Digambarkan betapa hebatnya cinta mereka sehingga boleh mengagumkan para pendengar yang tidak pernah berusaha menyelidikan sumber cerita tersebut.

Sebenarnya tidak ada satu pun riwayat yang shahih berkenaan pernikahan Nabi Yusuf a.s. dan Zulaikha. Ia sebenarnya bersumber dari israiliyat. Israiliyat adalah istilah sumber pengambilan cerita dari ahli kitab di kalangan Yahudi semenjak zaman nabi lagi.

Kisah cinta Yusuf dan Zulaikha adalah kisah Parsi yang dicedok daripada kitab Talmud yang telah menokok tambah kisah sebenar Nabi Yusuf. Ia dikatakan tersebar secara lebih meluas di kalangan umat Islam melalui hasil kerja Nuruddin Abdul Rahman Jami’ (1414-1492) dalam Haft Awrang (Seven Thrones). Beliau adalah seorang ahli sufi dan juga penyajak terkenal di Parsi. Beliau berasal dari sebuah wilayah Parsi yang kini dikenali sebagai Khurasan. Khurasan merupakan sebuah tempat berkurun lamanya didiami oleh Yahudi Parsi dan banyak rabbai muktabar terkubur di situ sehingga makam-makam mereka dijadikan suatu tempat haji oleh Yahudi sedunia sehingga ke hari ini.

Mungkin ramai di kalangan kita tidak menyedari kepalsuan kisah cinta Yusuf dan Zulaikha ini disebabkan terlepas pandang dan tidak pernah mengkaji kesahihan sumbernya. Sebahagian kita pula beranggapan kisah sebegini tidak merosakkan akidah seseorang. Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa dengan berseleraknya kisah-kisah palsu dan karut tentang rasul dan nabi tentunya akan memberikan imej negatif terhadap golongan yang sangat tinggi maqamnya itu di sisi Allah Taala. Apatah lagi ia dibaluti dengan tokok-tambah yang karut-marut serta tidak masuk akal. Tentunya ini akan menimbulkan persepsi salah di kalangan bukan Islam, malah umat Islam sendiri.

Suatu kesalahan jika kita mengetahui sesuatu cerita itu tidak mempunyai asas yang sahih, lalu kita menyebarkannya tanpa menyatakan kelemahan cerita tersebut. Lebih teruk lagi, mereka yang percaya bulat-bulat kerana bertaqlidkan kepada tok-tok guru, ustaz dan ustazah, lantaran kemasyhuran mereka di kaca televisyen, corong radio, pentas ceramah dan surat khabar.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajak diri saya dan saudara saya sekalian supaya kita menghapuskan karut-marut kisah cinta palsu Yusuf dan Zulaikha ini yang sebenarnya tidak bersumberkan nas yang shahih mengenainya, Hentikan penyebaran doa yang membariskan Zulaikha dengan nama-nama yang berperibadi sangat mulia seperti Adam, Hawa, Yusuf, Muhammad dan Siti Khadijah. Perempuan sekeji akhak Zulaikha tidak layak untuk dibariskan dengan mereka yang tulus suci cinta mereka kepada agama Allah. Jangan lagi percaya kepada cerita kononnya Yusuf dan Zulaikha pernah berkahwin. Sucikanlah kembali Islam dari karut-marut dan tokok-tambah dalam agama.

Wallahua’lam.

Sabtu, 16 Mei 2009

Krisis Politik Perak: Cerita Harussani

Majalah Milenia Muslim edisi Mei 2009 telah memuatkan temu bual eksklusif bersama Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria dengan tajuk 'Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa'. Berikut adalah petikan dari temu bual tersebut.

Umum mengetahui bahawa pandangan Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, 70, terhadap isu-isu yang menghimpit masyarakat amat di perhatikan oleh umat Islam negara ini. Ketegasan beliau dalam mengutarakan pendapatnya adalah berpandukan al-Quran dan hadis serta ijmak.

Walaupun dikecam, beliau tidak pernah serik menyuarakan pendapat. Itulah Harussani dan itulah tanggungjawab seorang mufti. Satu lagi catatan peristiwa yang Dato' Seri Harussani beritahu ialah mengenai persetujuan UMNO Perak pada malam 8 Mac 2008 untuk bergabung dengan PAS membentuk kerajaan negeri dengan memberi PAS jawatan Menteri Besar dan kesemua jawatan EXCO.

UMNO hanya memperoleh 28 kerusi, PAS 6, DAP 18 dan PKR 7 kerusi. Kata Dato' Seri Harussani, Ketua Perhubungan UMNO negeri, Dato' Seri Diraja Tajol Rosli Mohd Ghazali, memintanya menyampaikan keputusan itu kepada Mursyidul Am PAS Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerana ingin melihat cadangan itu yang akan membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang kesemuanya Melayu dan beragama Islam buat pertama kalinya sejak merdeka, malam itu juga dalam hujan lebat, Dato’ Seri Harussani membawa amanat itu ke Kota Bharu. Semalaman berkereta, beliau menemui Dato' Nik Aziz sebaik sahaja Tok Guru itu mengetahui bahawa Mufti Perak turut bersama menunaikan solat fajar.

Dato' Seri Harussani berkata, Nik Aziz bersetuju dengan cadangan itu tetapi memberitahu bahawa kuasa pemutus tiada di tangannya. la di tangan Presiden parti, katanya.

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menelefon Dato' Seri Harussani pada jam 10 pagi 9 Mac memberitahu persetujuannya kepada cadangan UMNO Perak itu. Namun, kata Hadi pemutus bukan di tangannya tetapi terletak di tangan Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang.

Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu dan beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini dan isu semasa yang membelenggu umat Islam. Secara terbuka diceritakan beliau dalam temu bual dengan Editor Milenia Muslim (MM) Zulkafly Baharuddin, di Jabatan Mufti Negeri, baru-baru ini.

MM: Bagaimana pandangan Dato’ Seri dengan kemelut politik yang berlaku di Perak?


Harussani: Pasal mereka bertelagah ni, kerana mereka tidak mahu ikut cakap sultan. Saya kata kita wajib taat kepada sultan. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. pun ada sebut kita wajib taat pada pemerintah kecuali pemerintah itu zalim.

Dalam kemelut di Perak hari ini, kita tidak boleh kata sultan itu zalim. Nak hukum zalim macam mana? Semuanya dalam pertimbangan sultan.


MM: Siapa yang banyak mengkritik dalam keputusan yang dibuat sultan?


Harussani: Orang Melayulah. Orang Melayu juga yang ramai maki hamun saya. Macam-macam mereka kata. Saya tak pernah jumpa raja pun dalam hal ini. Mereka kata macam-macam pada saya. Nabi s.a.w. dah kata, dari syak kepada yakin, daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada derhaka kepada taat. Jika mengajak kita berpecah itu bukan seruan nabi. Kerana mereka ini suka menjalankan kerja syaitan. Kenapa kita perlu dengar kepada hal-hal yang dilarang Tuhan? Mereka tidak setuju dengan pendapat saya, mereka sanggup kata saya anjing. Mufti sekarang dah jadi anjing kerajaan. Menyokong BN. Bila pula saya masuk BN? Saya tak campur pun. Sultan tidak pernah tanya saya. Waktu itu saya terperangkap. Menteri Penerangan datang, ada pula wartawan tanya saya apa hukumnya menderhaka kepada raja? Itu yang saya kena jawab bila wartawan sudah tanya. Mereka marah.

MM: Adakah Dato' Seri perjelaskan isu yang berlaku ini kepada masyarakat?

Harussani: Pakatan Rakyat bukan ada perjanjian antara mereka pun. Sekarang ini mereka sudah lebih (dalam dewan undangan). Kita sudah bagi teks khutbah Jumaat, mereka tidak baca langsung. Malahan sekarang doa untuk sultan pun mereka tidak mahu baca selepas berlaku krisis politik di negeri ini.

MM: Adakah tindakan mereka itu bertepatan dengan syariat?

Harussani: Tidak tepatlah. Walaupun mereka kata bukan pun wajib kena baca doa untuk sultan. Betul tidak wajib. Tetapi kita disuruh mendoakan agar Tuhan memberikan petunjuk kepada sultan. Apa yang tidak boleh dilakukan untuk sultan, apabila kita puji atas keadilan sultan kerana belum tentu sultan itu adil.

Jadi dalam kemelut di Perak ini, perlu kita minta kepada Allah s.w.t. memberi taufik dan hidayah, selain menanamkan sifat ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. Itu yang kita doakan untuk sultan. Memang Tuhan suruh pun.

MM: Jadi bagaimana hendak selesaikan masalah ini?


Harussani: PAS dan PKR sudah jumpa saya, jam 11 malam datang ke rumah, sedangkan saya nak tidur kerana sakit gigi waktu itu. Tapi mereka mendesak nak jumpa saya juga. Mereka suruh saya nasihatkan sultan untuk bubarkan kerajaan. Buat Pilihanraya Nege
ri. Ini bukan kerja saya. Saya tiada kena mengena dengan politik. Kalau saya ketuk pintu istana, walaupun sultan bagi saya masuk, nanti sultan tanya apa hal? Awak masuk parti mana? Saya nak kata apa?

Sedangkan saya yang mencadangkan nama Nizar pada sultan untuk dilantik MB selepas pakatan pembangkang menang pilihan raya lalu (PRU 12). Yang berhak jadi MB adalah PKR. Anwar Ibrahim pun telefon saya. Tapi sultan tanya saya, siapa yang kita akan pilih jadi MB? Saya kata pilihlah Nizar kerana dia berilmu dan ada agama. Nizar pun selepas dilantik jadi MB ada juga datang ke rumah dengan pengikutnya. Perrnah mereka datang di pejabat penuh sesak sehingga tidak ada kerusi nak duduk. Tapi saya tetap layan beliau.

MM: Apakah yang dibualkan?

Harussani: Tiada apa yang dibualkan pun. Yang dia kata cuma minta saya nasihatkan beliau. Saya pernah kata itu memang tugas saya. Jadi saya perjelaskan pada beliau, dalam enakmen perundangan negeri bahagian syarak, jawatan mufti adalah tertinggi, sultan hanya sebagai ketua. Raja pun saya nasihat. Saya tegur jika tindakan baginda tidak menepati syarak.

MM: Apakah pandangan Dato' Seri mengenai kepentingan orang Melayu terutama dalam isu pajakan tanah 99 tahun ini?

Harussani: Saya tidak pernah nasihat dan ambil tahu pun apa yang MB nak buat. Walaupun saya dilantik sebagai Exco tetapi bidang tugas saya hanya sebagai penasihat sahaja. Saya tidak boleh mengundi pun. Nak nasihat apa, jika ada lapan Exco Cina, hanya dua Melayu? Dah tentu keputusan memihak kepada bukan Melayu.


MM: Adakah Nizar datang meminta nasihat selepas apa yang berlaku?


Harussani: Tidak datang. Hanya hantar orang dia. Pandangannya banyak peribadi, saya tidak mahu campur. Mereka marahlah.


MM: Adakah penyelesaian terbaik antara Nizar dan Zambry yang sama-sama Melayu?

Harussani: Mereka tidak rebut kuasa. Cuma mereka (UMNO) bagi tahu pada sultan sekarang BN lebih daripada PR. Itu saja. Pasal dua wakil rakyat PR dan seorang kembali kepada BN. Terimalah hakikat tu. Tapi mereka tidak boleh terima. Sekarang majoriti wakil rakyat memihak BN.

Kalau kita mengasihi orang kafir itu haram. Kita boleh berbaik dengan orang kafir tapi kita tidak boleh berkasih sayang dengan orang kafir. Kenapa kita lebih menyayangi orang kafir daripada sayang orang Islam? Orang Islam kita sanggup maki hamun, orang kafir kita berpeluk-peluk pula.

Macam kes Elizabeth Wong memang dia jelas buat maksiat. Kenapa Ketua Muslimat PAS peluk sampai menangis, dan macam mana Nik Aziz (MB Kelantan) boleh menyokong isu ini. Sedangkan kita tahu mereka tidak akan sokong Islam. Tengok saja Ketua DAP kata: "langkah mayat saya dulu".


MM: Pandangan Dato' Seri melihat pemimpin Melayu hari ini?


Harussani: Pemimpin Melayu perlu fikir ke arah pemurnian akidah. Penting untuk terus pertahankan bangsa, agama dan negara, iaitu motto perjuangan kemerdekaan kita. Kenapa sekarang, kita tinggal semua hal itu? Islam adalah agama negara yang tujuannya untuk kerajaan membentuk kerajaan Islam. Orang bukan Islam tidak dibenarkan sama sekali mengganggu orang Islam.

Dulu kalau orang lain boleh berdakwah kepada orang Islam, mereka boleh didenda RM3,000 atau tiga tahun penjara. Tapi sekarang apa dah jadi? Enakmen ada tapi tidak dilaksanakan. Mufti nak buat apa lagi. Sejauh manalah kemampuan kami?



Muat turun temu bual Mufti Perak dengan Milenia Muslim

*Sila dapatkan di pasaran untuk edisi bercetak

Khamis, 14 Mei 2009

Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam

Beberapa rakan saya banyak kali bertanya soalan-soalan yang lebih kurang sama bentuknya seperti apakah relevennya 'Ketuanan Melayu' pada masa sekarang dan mengapa tidak berminat dengan 'Ketuanan Islam'?

Apakah itu 'Ketuanan Melayu'? Secara mudah, 'Ketuanan Melayu' bermaksud pemerintahan negara mestilah diketuai oleh orang Melayu kerana mereka adalah penduduk asal dan majoriti negara ini. Mengikut sejarah, warganegara dari kaum Cina dan India di negara ini asalnya merupakan imigran yang datang ke Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.

Orang Melayu sanggup dan sedia menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) walaupun pada waktu itu kesetiaan kaum imigran itu lebih kepada negara asal mereka. Sebagai timbal balas di atas pengorbanan orang Melayu, maka Perlembagaan telah memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini dikenali sebagai 'Kontrak Sosial'.

Sesungguhnya 'Ketuanan Melayu' masih releven di negara kita. Ia perlu untuk menjaga kelangsungan bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam di negara ini. Jika pemerintahan negara terlepas ke tangan bukan Melayu, apakah jaminan kedua-dua elemen penting yang kita ingin pertahankan ini terus selamat? Mahukah kita menjadi seperti Singapura, di mana bangsa Melayu dipinggirkan, agama Islam ditundukkan?

Ada rakan saya membantah dengan mengatakan bahawa konsep 'Ketuanan Melayu' adalah perkauman sempit, Islam tidak memandang pun dari apa keturunan, bangsa atau warna kulit seseorang sebaliknya Allah memandang akan ketakwaannya.

Saya ingin menyatakan bahawa memang benar Islam tidak memandang kepada keturunan, bangsa atau warna kulit, tetapi dalam soal kepimpinan ia melibatkan skop pemahaman yang lebih meluas perbincangannya.

Di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih berkenaan prasyarat pemerintah mestilah dari keturunan Quraisy. Salah satunya ialah sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya: "Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy." [HR Ahmad dan al Baihaqi]

Apakah Nabi s.a.w. bersifat perkauman sempit dengan bersabda demikian? Nauzubillahi min zaalik. Semoga Allah menjauhkan kita dari persangkaan buruk sedemikian.

Sebenarnya ada sebab, illat atau maslahah umum Nabi memerintahkan supaya kepimpinan umat ini mesti dari kaum Quraisy. Menurut Ibn Khaldun di dalam kitab al Muqaddimah, illat yang melatarbelakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.

Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya. Menurut beliau, illat yang terkandung dalam penyebutan “golongan Quraisy” akan terus berlaku dengan syarat ‘asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.

Ibn Khaldun menyebutkan:

"Kerana itu, kita pun menganggapnya sebagai satu prasyarat yang mendesak bagi seseorang yang bertugas menguruskan persoalan kaum Muslimin supaya dia termasuk golongan orang-orang yang kuat perpaduannya, dan mengatasi perpaduan bangsa-bangsa lain yang semasa dengan mereka, sehingga mereka dapat memaksa bangsa-bangsa itu bersatu demi kepentingan bersama. Kenyataan demikian tidak akan pernah ditemukan di seluruh pelusuk dunia sebagaimana terjadi pada masa kekuasaan keturunan Quraisy; sebab dakwah Islamiyah yang ada pada mereka sifatnya adalah universal, sehinggakan mereka dapat mengalahkan bangsa yang lainnya. Namun dewasa ini setiap daerah mempunyai orangnya sendiri yang mewakili perasaan 'asabiyyah (kekitaan) terbesar di sana."

[Mukadimah Ibn Khaldun (2006), Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 207-208]

Dari kupasan oleh sarjana Islam terkenal itu, dapat difahami illat daripada hadis tersebut ialah para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan ‘asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.

Dalam konteks hadis berkenaan 'Ketuanan Quraisy', jika ‘asabiyyah, kewibawaan dan kekuatan politik golongan Quraisy tidak kuat lagi maka syarat pemimpin dari golongan ini juga akan hilang.

Berikut adalah beberapa lagi hadis sahih lain menyebut tentang 'Ketuanan Quraisy'.

“Manusia itu (hendaklah) mengikut orang-orang Quraisy dalam urusan pemerintahan. Setiap orang Islam hendaklah mengikut (pemimpin) yang Islam di kalangan mereka dan orang-orang kafirnya mengikut (pemimpin) yang kafir juga di kalangan mereka.” [HR al Bukhari]


“Sesungguhnya urusan (pemerintahan/khilafah) ini ada di tangan Quraisy. Tidak seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan membuatnya tersungkur ke tanah, selama mereka menegakkan agama (Islam).” [HR al Bukhari]


“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dari mereka dua orang.” [HR al Bukhari]


“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dua orang di antara manusia.” [HR Muslim]


“Manusia mengikuti orang Quraisy dalam perkara (pemerintahan) ini. Yang muslim mengikuti kaum muslimin dari kalangan mereka. Yang kafir mengikuti kaum kafir dari kalangan mereka.” [HR Muslim]


“Orang Quraisy adalah pemimpin manusia, dalam hal kebaikan mahupun dalam hal keburukan sampailah ke hari kiamat.” [HR at Tirmidzi]


"Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik memerintah kamu seramai dua belas orang amir (khalifah), dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu.” Kemudian aku mendengar Nabi s.a.w. menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa jelas lalu aku bertanya kepada bapaku, “Apa yang baginda sebutkan?” Jawabnya, “Mereka semua adalah dari kaum Quraisy.” [HR Abu Daud]


“Tetaplah bersama Quraisy selama mereka tetap bersama kamu. Kalau mereka tidak melakukan hal itu, maka angkatlah pedang kamu di atas bahu kamu, lalu musnahkahlah pemimpin-pemimpin (Quraisy) itu. Jika kamu tidak melakukannya, maka jadilah sebagai kaum petani yang dipapah hidupnya dimana kamu akan makan hanya dari hasil jeritan kamu.” [HR ath Thabrani]

Di negara kita, orang Melayu merupakan kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan 'asabiyyah dan kekuasaan terbesar ketika ini. Orang Melayu seperti ditafkrifkan menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan adalah mereka yang beragama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.

Natijah dari illat beberapa hadis sahih tadi, disamping penegasan takrifan orang Melayu yang dimestikan beragama Islam, maka saya berpendapat 'Ketuanan Melayu' releven dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Malah ia merupakan anjuran yang bersifat islamik untuk menjaga maslahah ammah atau kepentingan umum.

Ia bukanlah bermakna kepentingan bangsa atau kaum lebih diutamakan dari Islam. Keadaan ini sama seperti 'Ketuanan Quraisy' dalam pemerintahan khalifah yang masih meletakkan Islam sebagai prioriti teratas dalam pemerintahan mereka.


Saya harap mereka yang keliru dengan konsep 'Ketuanan Melayu' dapat menyelami tulisan saya ini. Bagi saya 'Ketuanan Melayu' dan 'Ketuanan Islam' tidak ada bezanya, ini kerana perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia sebenarnya adalah untuk Islam juga.

Hidup Melayu!
Hidup Islam!
Allahu akbar!