Jumaat, 19 Jun 2009

Doa Pengantin Yusuf dan Zulaikha: Suatu Kepalsuan

Cuti sekolah baru saja berakhir, maka redalah juga musim kahwin. Sejak dulu lagi saya rasa terpanggil untuk menulis mengenai sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita bila tiba musim kahwin, bagaimanapun masa dan kerja membataskan hasrat saya. Dengan niat untuk melakukan islah dan dakwah sesama saudara seagama, maka saya mengambil sedikit masa sempena redanya musim kahwin ini untuk menjadi panduan berguna kepada mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan di masa hadapan.

Kita selalu menerima kad jemputan kahwin yang tertulis doa berbunyi:

"Ya Allah. Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah. Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat “


Saya sering tertanya-tanya mengapakan doa ini selalu menjadi pilihan bakal-bakal pengantin, sedangkan ada yang tidak kena dengan sebahagian ungkapan doa tersebut. Doa Yusuf dan Zulaikha. Yusuf seorang Nabi dan Rasul. Zulaikha pula nama yang biasa dirujukkan kepada peribadi isteri pembesar (imra’ah al aziz) Mesir yang cuba menggoda Nabi Yusuf a.s.

Bagaimana seorang perempuan yang teruk perilakunya boleh dibariskan dalam kalangan yang beriman dan istimewa seperti Adam, Hawa, Yusuf, Muhammad dan Siti Khadijah dalam doa pengantin tersebut?

Dalam al Quran, ada diceritakan kisah wanita tersebut seperti terkandung dalam Surah Yusuf seperti berikut:

“Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.

“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya.”

“Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:“Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”.

“Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!”

“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”

“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”

“Yusuf (merayu ke hadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.


[Surah Yusuf, ayat 22-33]

Kita terkadang pernah mendengar ceramah agama oleh beberapa pendakwah yang selalu bercerita tanpa disandarkan kepada nas termasuk oleh seorang ustazah terkenal tentang kehebatan cinta Yusuf dan Zulaikha. Kononnya Yusuf dan Zulaikha pada akhirnya bertaut juga sebagai pasangan suami isteri atas dasar cinta suci. Digambarkan betapa hebatnya cinta mereka sehingga boleh mengagumkan para pendengar yang tidak pernah berusaha menyelidikan sumber cerita tersebut.

Sebenarnya tidak ada satu pun riwayat yang shahih berkenaan pernikahan Nabi Yusuf a.s. dan Zulaikha. Ia sebenarnya bersumber dari israiliyat. Israiliyat adalah istilah sumber pengambilan cerita dari ahli kitab di kalangan Yahudi semenjak zaman nabi lagi.

Kisah cinta Yusuf dan Zulaikha adalah kisah Parsi yang dicedok daripada kitab Talmud yang telah menokok tambah kisah sebenar Nabi Yusuf. Ia dikatakan tersebar secara lebih meluas di kalangan umat Islam melalui hasil kerja Nuruddin Abdul Rahman Jami’ (1414-1492) dalam Haft Awrang (Seven Thrones). Beliau adalah seorang ahli sufi dan juga penyajak terkenal di Parsi. Beliau berasal dari sebuah wilayah Parsi yang kini dikenali sebagai Khurasan. Khurasan merupakan sebuah tempat berkurun lamanya didiami oleh Yahudi Parsi dan banyak rabbai muktabar terkubur di situ sehingga makam-makam mereka dijadikan suatu tempat haji oleh Yahudi sedunia sehingga ke hari ini.

Mungkin ramai di kalangan kita tidak menyedari kepalsuan kisah cinta Yusuf dan Zulaikha ini disebabkan terlepas pandang dan tidak pernah mengkaji kesahihan sumbernya. Sebahagian kita pula beranggapan kisah sebegini tidak merosakkan akidah seseorang. Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa dengan berseleraknya kisah-kisah palsu dan karut tentang rasul dan nabi tentunya akan memberikan imej negatif terhadap golongan yang sangat tinggi maqamnya itu di sisi Allah Taala. Apatah lagi ia dibaluti dengan tokok-tambah yang karut-marut serta tidak masuk akal. Tentunya ini akan menimbulkan persepsi salah di kalangan bukan Islam, malah umat Islam sendiri.

Suatu kesalahan jika kita mengetahui sesuatu cerita itu tidak mempunyai asas yang sahih, lalu kita menyebarkannya tanpa menyatakan kelemahan cerita tersebut. Lebih teruk lagi, mereka yang percaya bulat-bulat kerana bertaqlidkan kepada tok-tok guru, ustaz dan ustazah, lantaran kemasyhuran mereka di kaca televisyen, corong radio, pentas ceramah dan surat khabar.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajak diri saya dan saudara saya sekalian supaya kita menghapuskan karut-marut kisah cinta palsu Yusuf dan Zulaikha ini yang sebenarnya tidak bersumberkan nas yang shahih mengenainya, Hentikan penyebaran doa yang membariskan Zulaikha dengan nama-nama yang berperibadi sangat mulia seperti Adam, Hawa, Yusuf, Muhammad dan Siti Khadijah. Perempuan sekeji akhak Zulaikha tidak layak untuk dibariskan dengan mereka yang tulus suci cinta mereka kepada agama Allah. Jangan lagi percaya kepada cerita kononnya Yusuf dan Zulaikha pernah berkahwin. Sucikanlah kembali Islam dari karut-marut dan tokok-tambah dalam agama.

Wallahua’lam.

6 ulasan:

  1. DAH TRY TGK PADA KITAB2? APA PENGAKHIRAN KISAH NABBI YUSUF DGN ZULAIKHA?

    BalasPadam
  2. terima kasih atas kongsian saudara ini..namun, sya ingin tahu apa akhir kisah nabi yusuf a.s dengan zulaaikha???
    boleh saudara kaji lagi??..mungkin ada yang terlepas pandang..

    BalasPadam
  3. Jangan dipertikaikan sesuatu yg kita sendiri tidak tahu secra mendalam... Mudah2an Allah merahmati kita semua dan menempatkan kita dlm kalangan org beriman.. dijauhi dr fitnah

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  5. Sebagai tambahan sila rujuk kepada tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil berkenaan kisah Zulaikha ini bertajuk "Kekalutan Doa Pengantin Yusuf Dan Zulaikha" di http://saifulislam.com/?p=2208

    Ustadz Bachtiar Nasir juga ada menulis mengenai perkara ini "Benarkah Zulaikha Istri Nabi Yusuf?" dan boleh dibaca di http://jalmilaip.wordpress.com/2011/07/06/benarkah-zulaikha-istri-nabi-yusuf/

    Mantan Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin juga menyifatkan kisah cinta dan nama wanita Zulaikha adalah tidak shahih dan merupakan kisah israiliyyat.

    Wallahua'lam.

    BalasPadam
  6. Sumber Israeliyat banyak dusta dan penghinaan terhadap para nabi ...sebagai contoh anak2 perempuan nabi Lot bersetubuh dgnnya ...sumber dari kitab Old Tastement...sebagai orang Islam apakah Kita hendak terima ?

    BalasPadam