Khamis, 22 Ogos 2013

Isu Sunni-Syiah: Surat Jawapan Kepada Presiden PAS






15 Syawal 1434 
22 Ogos 2013 


Y.B. Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi bin Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), 
Pejabat Presiden,
No. 318-A,
Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur.

Menemui Y.B. Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS 

Assalamualaikum WR WB. 

Yang Berhormat, 

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah membaca dan meneliti kenyataan YB Datuk Seri berkenaan isu Syiah ketika sesi dialog pada Majlis Ramah Mesra Idulfitri anjuran Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Dewan Tok Guru Rusila, Marang, Terengganu seperti yang telah disiarkan oleh portal berita rasmi PAS,
Harakahdaily bertajuk ‘Isu Sunni-Syiah agenda lemahkan umat Islam’ pada 20 Ogos lalu.

Dengan demikian, saya dengan rasa rendah diri terpanggil untuk mengulas beberapa perkara yang dinyatakan oleh YB Datuk Seri dalam laporan tersebut. 

Berikut adalah ulasan dan pandangan saya: 

1. Harakahdaily melaporkan bahawa YB Datuk Seri menyifatkan isu kontroversi antara mazhab Sunni-Syiah merupakan perkara lama yang sengaja ditimbulkan semula. Portal berita itu pada awal laporan kenyataan YB Datuk Seri itu turut menekankan peringatan supaya umat Islam tidak leka dan terpengaruh dengan agenda barat mahu melemahkan Islam dengan permasalahan mazhab Sunni-Syiah tersebut. Saya pasti penekanan Harakahdaily itu yang turut menjadi tajuk laporannya adalah manifestasi dari kenyataan YB Datuk Seri sendiri di Majlis Ramah Mesra Idulfitri anjuran Perantau tempoh hari.

2.   Saya berpendapat bahawa pandangan YB Datuk Seri dalam isu Sunni-Syiah ini tidak tepat dan bercanggah dengan realiti sebenar penyebab berlaku ledakan semula isu ini terutama di media-media massa serta forum-forum anjuran kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

3.   Sebenarnya isu Sunni-Syiah ini kembali menjadi antara topik utama dalam perbincangan umat Islam di seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia, ekoran ‘penyembelihan’ beramai-ramai rakyat Syria oleh Rejim Basyar Al-Assad, penganut Syiah Alawiyah yang didukung secara terbuka oleh Kerajaan Iran dan Pertubuhan Hizbullah. Perkembangan ini turut meresahkan para agamawan di Malaysia (bukan ahli politik atau UMNO) lantas mendorong mereka mengetengahkan secara lebih intensif isu bahaya Syiah di tanah air.

4.   Kesinambungan kepada isu yang menyemarak itu, akhbar-akhbar arus perdana mula mengangkat semula isu itu secara besar-besaran bermula dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada 18 Julai 2013 bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan mewartakan fatwa anti Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat. Akhbar Sinar Harian menjadi media massa arus perdana pertama yang bertindak agresif membongkar isu Syiah ini.

5.   Justeru, realiti ini dengan sendirinya telah menyanggah pandangan YB Datuk Seri bahawa isu Sunni-Syiah ini dicetuskan oleh Barat. Hakikatnya, isu ini dicetuskan oleh tindak-tanduk Syiah sendiri. Akal yang rasional dapat mena’akul dan memahami bahawa kewujudan kelompok Syiah yang besar dalam negara Islam pasti akan menimbulkan pertelagahan dan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan. Walaupun mungkin di sesetengah tempat dahulunya konflik Sunni-Syiah ini masih boleh dibendung, tetapi dengan menyuburnya liberalisasi politik di peringkat antarabangsa dan keterbukaan maklumat hasil kemajuan teknologi dan globalisasi, ia akhirnya telah meledak ibarat bom jangka seperti mana berlaku di Syria dan Iraq. Sementara itu, serangan berani mati dan saling berbunuhan antara Sunni dan Syiah masih kerap berlaku di Pakistan, India, Aghanistan dan Yaman.

6.   Umum mengetahui bahawa kewujudan ajaran Syiah di negara ini bukan baru berlaku. Pengaruh mereka semakin mula melebar di Malaysia selepas tercetusnya Revolusi Iran pada tahun 1979 terutama dalam parti politik dan pertubuhan Islam, tidak terkecuali Parti Islam SeMalaysia (PAS). Fakta ini tidak boleh dinafikan lagi dan boleh dibuktikan melalui dokumentasi sejarah rasmi parti dan pemimpin-pemimpin PAS sendiri.       

7.   Buku ‘Memoir Politik Asri: Meniti Arus’ mencatatkan bagaimana pekikan kalimah Iran `Marakbah Asri' (pergi mampus Asri!) yang berselang seli dengan kalimah Allahuakbar! dalam Muktamar ke-28 PAS, Oktober 1982 telah menumbangkan Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS ketika itu, Datuk Asri Muda (kemudian Allahyarham Tan Sri Asri Muda) dari kepimpinannya. Usaha menjatuhkan Asri banyak digerakkan oleh ahli-ahli Dewan Pemuda PAS pimpinan Mustafa Ali (sekarang Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali) yang terpengaruh dengan Revolusi Iran dan konsep ‘Wilayah al-Faqih’ Imam Khomeini, dan YB Datuk Seri sendiri difahamkan juga terlibat sama.
Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat, 1981-1982  mencatatkan bahawa Mustafa Ali yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS (1975-1987) ketika itu telah mengetuai lawatan ke Iran pada bulan Jun 1982 untuk meninjau keberkesanan kepimpinan ulama di sana. 

8.   Konsep ‘Kepimpinan Ulama’ yang dipelopori kepimpinan PAS selepas Datuk Asri Muda di bawah Ustaz Yusof Rawa (yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki, beliau juga merupakan Mursyidul Am PAS pertama dari 1987sehingga tahun 1991) sering dikaitkan dengan konsep ‘Wilayah al-Faqih’ Imam Khomeini dan pemerintahan Ayatollah di Iran. Maka tidak hairanlah ketika awal tahun 80-an dahulu, poster-poster Imam Khomeini digantung di kebanyakan pejabat, markas dan kediaman pemimpin-pemimpin PAS. Ucapan-ucapan para pemimpin dan aktivis PAS memuji, menyanjung dan mahu mencontohi Syiah di Iran ketika itu masih tersimpan kemas dalam bentuk teks dan audio. Ia termasuklah ucapan YB Datuk Seri dan ucapan kontroversi Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya.
 
Muka depan akhbar rasmi PAS, Harakah bertarikh Jumaat, 9 Jun 1989 (11 Zulkaedah 1409H) yang memaparkan kenyataan Mursyidul Am PAS ketika itu, Ustaz Yusuf Rawa yang menyifatkan kematian Khomeini sebagai kehilangan besar kepada umat Islam. Harakah keluaran tersebut juga turut memuatkan rencana dua halaman penuh mengenai latar belakang pendidikan serta ketokohan Khomeini.

9.   Kemuncak kepada isu Syiah di Malaysia sebenarnya telah berlaku pada 1996, apabila Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkan pengamalannya di negara ini. Fatwa sama kemudian telah diputuskan oleh jawatankuasa fatwa semua negeri di Malaysia. Pada tahun yang sama, kerajaan juga telah melakukan operasi tahanan ISA secara besar-besaran terhadap penggerak utama ajaran Syiah di negara ini yang turut melibatkan salah seorangnya adalah suami kepada sepupu saya (Allahyarham Wan Hanafi).

10.   Fatwa pengharaman Syiah pada 1996 tersebut juga telah memansuhkan kebenaran yang diberikan kepada dua ajaran Syiah iaitu Al-Zaidiyah dan Jaafariah yang diterima untuk diamalkan di Malaysia seperti diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang diadakan pada 24 dan 25 September 1984. Kebenaran mengamalkan kedua-dua ajaran Syiah itu sebenarnya akibat kecuaian dan kurangnya maklumat serta kefahaman mereka terhadap kesesatan dan bahaya Syiah yang pada ketika itu masih baru menjalar di Malaysia.
         
11.   Saya tidak mahu mengulas panjang dalam surat ini mengenai perincian hukum kesesatan Syiah dan pengharamannya tetapi cukuplah saya menukilkan keputusan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1996 tersebut, di samping perbahasan ulama muktabar dahulu dan kini mengenai kesesatan Syiah yang termuat dalam ribuan kitab-kitab berbahasa Arab, Inggeris dan Melayu yang YB Datuk Seri boleh menelitinya sendiri.

12.   Saya melihat kenyataan YB Datuk Seri selaku Presiden PAS di Dewan Tok Guru Rusila tempoh hari bersifat kontradiksi dengan kenyataan rasmi parti yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan oleh Harakahdaily pada 28 Julai 2013 lalu. Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa tiada pimpinan utama PAS terlibat dengan Syiah. Ia antara lain turut menyebut bahawa: “Isu Syiah bukan isu politik kerana ia merupakan isu aqidah dan kefahaman terhadap ajaran Islam. Atas sebab itu, PAS memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakan isu ini untuk menyerang pihak lawan untuk keuntungan politiknya. PAS kesal dengan pelbagai tuduhan liar tidak berasas yang dilemparkan kepada parti. PAS menentang sebarang usaha untuk membawa fahaman Syiah ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan pelbagai polemik dan pertembungan dalam masyarakat yang mendedahkan negara kepada perpecahan di kalangan umat Islam. Ahli PAS mesti berpegang dengan ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika ada yang menganut fahaman Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari menjadi ahli PAS.”

13.    Berkenaan kenyataan bahawa pimpinan dari Syiah pernah memberitahu YB Datuk Seri bahawa kebangkitan Islam mesti dipimpin oleh Sunni kerana 90 peratus dunia Islam hari ini merupakan pengikut Sunni, saya tidak hairan dengan perkara tersebut. Ini memandangkan amalan taqiyyah (menyembunyi pegangan mereka) sudah menjadi darah daging dan syariat yang wajib dilakukan oleh mereka untuk survival ajaran Syiah. Mereka biasa akan menzahirkan sesuatu ungkapan atau perilaku yang berbeza dengan kepercayaan yang mereka pegangi.

14.   Kenyataan yang mengaitkan usaha Barat yang dipengaruhi Israel mengepung Mesir dan Turki untuk menghalang kemaraan Islam untuk menafikan usaha membendung ajaran Syiah juga tidak releven. Apabila kita membicarakan isu Sunni-Syiah kita sepatutnya merujuk kepada permasalahan dasar iaitu isu aqidah bukan semata-mata isu politik. Kewujudan Syiah yang bermula akibat pertikaian politik kini sudah berubah kepada perpecahan aqidah. Fakta sejarah membuktikan kelahiran kelompok Syiah itu sendiri adalah dari gerakan yang dipelopori seorang Yahudi munafiq yang berpura-pura memeluk Islam bernama Abdullah bin Saba’ dengan tujuan memecah-belahkan umat Islam di zaman Khalifah ‘Uthman Ibn ‘Affan r.a. Dari perpecahan yang tidak berkesudahan tersebut telah menimbulkan gejala takfir (mengkafirkan) di kalangan pengikut Syiah kepada para isteri dan sahabat Nabi r.a. Pelbagai unsur syirik, bid’ah dan khurafat dipegang oleh ulama Syiah dahulu dan kini telah mewajarkan mereka untuk dijatuhkan hukum kafir dan bukan lagi dari tergolongan dari kalangan orang Islam.     

15.   Sepatutnya apabila isu Sunni-Syiah ini dibangkitkan, pandangan yang diutarakan oleh YB Datuk Seri perlu mengaitkan dengan isu di Syria dan Iraq. Adapun mengaitkan Turki dan Mesir dengan polemik ini sebenarnya menjerat diri Syiah sendiri. Kejatuhan Presiden Dr. Muhammad Mursi adalah dimulakan oleh golongan Tamarrud (pemberontak) yang mana Syiah Mesirlah antara penggerak utama mereka.

16.   Menurut laporan Ahram Online pada 1 Jun 2013, jurucakap Syiah Mesir, Bahaa Anwar memberitahu sejumlah 100, 253  rakyat Mesir berfahaman Syiah telah menandatangani kempen Tamarrud untuk menumbangkan Presiden Mursi. Sejak Mursi memegang tampuk pemerintahan Mesir, penganut Syiah mendakwa sentimen anti-Syiah semakin meningkat di negara itu. Sebelum kejatuhan pemerintahannya, Mursi dilihat lantang mengutuk keganasan di Syria dengan mengisytiharkan sokongan dan bantuan kewangan kepada pejuang Islam yang menentang Rejim Basyar Al-Assad. Beliau turut memutuskan hubungan diplomatik dengan negara sekutu rapat negara Syiah Iran dan pertubuhan Syiah Hizbullah itu seperti dilaporkan Ahram Online pada 15 Jun 2013. Rampasan kuasa tentera Mesir juga dikaitkan dengan kebimbangan pihak tentera kemungkinan Mursi akan menggunakan mereka dalam rancangan menyerang Syria.


17.   Sementara Turki pula diketahui memang sepakat dengan Amerika Syarikat berhubung konflik di Syria. Dalam laporan  Al-Jazeera pada 17 Mei 2013, ketika pertemuan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di White House, kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju supaya Basyar Al-Assad perlu berundur dan mereka akan meningkatkan tekanan ke pemimpin yang merupakan sekutu rapat Iran dan Hizbullah tersebut.


18.   Merujuk kepada gesaan YB Datuk Seri supaya pihak yang berautoriti dari kalangan ahli-ahli agama dan ahli akademik membincangkan masalah Sunni-Syiah ini, saya fikir gesaan tersebut sepatutnya tidak timbul. Sudah banyak wacana ilmu, seminar dan diskusi ilmiah sama ada terbuka dan tertutup mengenai isu Sunni-Syiah ini telah berlangsung di negara kita. Nama-nama seperti Maulana Muhammad ‘Asri Yusuf (pengasas Darul Kautsar), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis), Ustaz Aizam Mas’ud (Penolong Pengarah JAKIM), Ustaz Mohamad Ismail (Ketua Unit Kajian Syiah ISMA), Ustaz Muhammad Nazmi Abdul Karim (pengajar di Ma'had Tahzib wa Ta'lim) dan ramai lagi adalah antara ahli agama dan akademik yang membincangkan isu ini sama ada secara terbuka mahu pun tertutup.

19.   Perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala kenyataan YB Datuk Seri di Dewan Tok Guru Rusila seperti laporan Harakahdaily ialah isu Sunni-Syiah ini adalah agenda melemahkan umat Islam. Mereka yang membangkitkan kesesatan Syiah dan cuba membanteras pengaruhnya pula seolah-olah dianggap hanya dari kalangan orang jahil tentang ilmu agama. Lupakah YB Datuk Seri bahawa Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang dulunya menjuarai taqrib Sunni-Syiah telah mengubah pendirian apabila mengisytiharkan Syiah sebagai musuh umat Islam, dan Hizbullah pula digelarkan sebagai Hizbullaat? Adakah ulama besar yang disanjung oleh kepimpinan PAS sendiri ini juga terjebak dalam 'agenda lemahkan umat Islam'.

20.   Gesaan Al-Qaradhawi untuk berjihad memerangi Syiah ketika himpunan di Doha, Qatar pada 1 Jun 2013 lalu turut disiarkan oleh stesen televisyen Al-Jazeera.  Beliau turut mendoakan agar Iran dan Hizbullah dikutuk Allah, kerana merupakan pemimpin segala kejahatan. Ia merujuk pada tindakan kedua-dua pihak tersebut yang mendukung Basyar Al-Assad dan membunuh orang Sunni di Syria. Beliau mengakui selama ini telah tersalah langkah kerana pernah memberikan dukungan kepada Hizbullah dalam peperangan menentang Israel.


21.   Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Arabiya pada 9 Jun 2013, Al-Qaradhawi turut mengakui para ulama di Arab Saudi lebih mengetahui secara mendalam mengenai bahaya Hizbullah dan gerakan Syiah Iran berbanding dirinya. Beliau berkata: "Pada satu ketika saya pernah mempertahankan gerakan Hizbullah kerana keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Pendapat saya pada masa itu bertentangan dengan pandangan ulama-ulama tersebut. Mereka menentang Hizbullah. Namun setelah saya melihat apa yang dilakukan oleh Hizbullah terhadap saudara-saudara kita di Syria barulah saya sedar yang ulama-ulama di Arab Saudi lebih matang dan mempunyai pengetahuan cukup luas tentang Hizbullah dan Iran".


22.   Al-Qaradhawi telah mengisytiharkan golongan Syiah sebagai golongan kuffar serta merupakan musuh umat Islam keseluruhannya. Kenyataan keras itu telah disebut oleh beliau dalam satu wawancaranya dengan stesen televisyen Al-Jazeera dalam rancangan ‘Asy-Syarii’ah wal-Hayaah’ (Syari'ah dan Kehidupan) pada 16 Jun 2013. Beliau berkata, golongan Syiah sebenarnya telah mengkhianati umat Islam dan perkara itu terbukti dengan pembunuhan saudara seaqidah di Syria bersama-sama dengan puak Hizbullah. Beliau berkata: "Jangan panggil mereka Hizbullah, mereka selayaknya digelar Hizbussyaitan dan Allah tiada kaitan dengan mereka. Saya menyeru seluruh umat melawan kuffar dan Syiah di dalam Hizbullah. Mereka ternyata kuffar tanpa sedikit keraguan. Mereka sedang menjalankan operasi etnik di Syria dengan tujuan membina negara Syria Barat di barat Syria".

23.   YB Datuk Seri, saya sengaja meletakkan kenyataan-kenyataan Al-Qaradhawi bukan kerana saya taksub kepada beliau, sebaliknya kerana Al-Qaradhawi merupakan seorang tokoh ulama yang sangat berpengaruh dalam gerakan Islam termasuk PAS sendiri. Al-Qaradhawi juga terkenal sebagai ulama Sunni yang dahulunya bersungguh-sungguh berusaha berdamai dan mendekatkan antara Sunni-Syiah. Malah usaha taqrib Sunni-Syiah oleh Al-Qaradhawi selalu dijadikan hujah dan contoh oleh ulama-ulama Sunni di negara ini yang mesra dan pro-Syiah termasuk YB Datuk Seri sendiri.


Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.

24.   Saya ingin menegaskan bahawa saya sebagai salah seorang dari pemuda Ahlus Sunnah Wal Jamaah sesekali tidak akan membenarkan sebarang usaha penyebaran Syiah atau pengamalannya di Malaysia. Sesungguhnya bahaya dan bencana yang amat besar akan menimpa negara ini di masa hadapan, sekiranya ajaran Syiah dibiarkan merebak tanpa sekatan. Cukuplah umat Islam yang dominannya tidak sebesar mana ini berpecah dari segi ideologi politik kepartian. Janganlah pula selepas ini kita yang hanya berjumlah 61.3 peratus dari warganegara Malaysia semakin dipecahkan antara Sunni dan Syiah sehingga berlaku pertumpahan darah dan saling berbunuhan, yang akhirnya menyebabkan Islam hilang kekuatannya di tanah air.  

Akhir kalam saya ingin memohon maaf sekiranya surat terbuka saya ini menyinggung perasaan YB Datuk Seri. Sekiranya terdapat sebarang kesalahan fakta atau kekeliruan dalam tulisan saya ini, saya berharap YB Datuk Seri sudi memperbetulkan dan membuat pencerahan terhadapnya. Apapun saya percaya atas prinsip keterbukaaan dalam kepimpinan, YB Datuk Seri sedia menerima pandangan dari orang kebanyakan seperti saya ini.  Saya menutup surat ini dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ " ، قَالَ رَجُلٌ : إِنَّ الرَّجُلَ ، يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا ، وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ، قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan  seumpama biji sawi.” Seorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya ada seseorang yang menyukai supaya bajunya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu indah, Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain.” [Hadis Riwayat Muslim]

Sekian, terima kasih. 


*SAMPAIKANLAH DARI NABI WALAUPUN SATU AYAT * 


(IBNU HUSSIN AL KELANTANI) 



*Surat ini telah dihantar kepada Presiden PAS

Selasa, 20 Ogos 2013

Ada Apa Dengan Institusi Raja di Malaysia?

Andai kata melalui proses demokrasi, pihak yang naik memerintah Malaysia ketika itu telah mengakibatkan kedudukan agama Islam dan umat Islam terjejas dan dihakis. Dalam hati kecil saya mencetuskan rasa setuju jika DYMM Yang Dipertuan Agong ketika itu selaku Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang pastinya beragama Islam dan beraqidahkan Ahlus Sunnah wal Jama'ah bertindak melakukan rampasan kuasa.

Yang Dipertuan Agong ketika itu mestilah berperwatakan berani, tegas, bijak dan beriman. Mungkin sekali Sultan Muhammad V antara raja Melayu yang didambakan itu .

Timbalan Yang Dipertuan Agong yang juga Sultan Kelantan, DYMM Sultan Muhammad V akan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong apabila tiba gilirannya nanti.

Andai kata pihak yang menang dalam pilihanraya ketika itu yang beragenda cauvinis, pluralisme agama dan Islam liberal, yang mahu melemahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan dasar kerajaan sepertimana DAP dan sekutunya (termasuk MCA dan Gerakan!). Parti-parti cauvinis ini pula berkemungkinan mampu naik dan menjadi dominan jika orang Islam di negara ini berpecah dengan lebih teruk melalui perpecahan parti politik dan merebaknya ajaran Syiah di kalangan orang Islam. Nauzubillahi min zaalik.

Keputusan PRU-13 lalu telah memberi gambaran jelas, bagaimana bukan Islam dan Melayu liberal sepakat untuk menawan Malaysia dengan bantuan parti Islam, Pas. Namun dengan kuasa Allah, kita masih boleh bersyukur orang Islam masih menjadi dominan dalam pemerintahan di Malaysia. Ini kerana orang Islam khususnya Melayu masih kuat bersatu di bawah parti dominan orang Islam iaitu UMNO. 

UMNO berjaya menambah kerusi Parlimen dari 79 kepada 88 kerusi serta menambah majoriti pengundi yang menyokong parti tersebut pada PRU-13 lalu, walaupun parti pemerintah BN kekurangan 7 kerusi berbanding PRU-12 akibat kekalahan teruk parti-parti komponen bukan Islam terutama MCA, MIC, Gerakan dan SUPP. 

Seandainya PR berjaya memecah-belahkan orang Islam dengan lebih teruk, pastinya kerajaan yang didominasi orang Islam akan tumbang. Cita-cita puak cauvinis ialah PR menang dengan ‘simple majority’ dengan DAP pastinya menjadi dominan dalam kerajaan baru. Nauzubillahi min zaalik.


Carta dan jadual jumlah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengikut agama pasca PRU-13. Sumber: http://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dr


Kita sepatutnya menyedari kepentingan sultan dalam sistem 'Raja Berperlembagaan' di Malaysia, di mana kita sebenarnya hidup dalam negara yang mana umat Islam tidaklah terlalu besar dominasinya dari sudut demografi penduduk. Pada awal kemerdekaan negara kita, orang Islam hanyalah berjumlah 50% saja dari populasi warganegara Malaysia. Sementara dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, keluarnya Singapura dari Malaysia, serta dakwaan pertambahan populasi melalui peningkatan taraf hidup orang Islam kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB), pemudahcaraan status kewarganegaraan untuk orang Islam yang sudah lama menetap dan bermigrasi (berulangalik antara Sabah, Mindanao dan Indonesia) di Sabah pada tahun 80-an, dan sebagainya, kita kini masih lagi hanya berjumlah 61.3% sahaja dari jumlah populasi warganegara Malaysia.

Carta taburan peratus penduduk mengikut agama dari Bancian Penduduk Malaysia 2010. Sumber: http://www.statistics.gov.my/portal/index.php?option=com_content&id=1215


Jumlah populasi orang Islam di Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara Islam lain yang mempunyai peratus komposisi orang Islam yang besar seperti Mesir (94.7%), Turki (97.5%), Arab Saudi (97.1%) atau Indonesia (88.1%) dan lain-lain. 

Kita sepatutnya bersyukur dan beruntung kerana kita masih mempunyai sistem 'Raja Berperlembagaan' yang mana raja tidak mempunyai kuasa mutlak dalam negara, malah institusi (bukan batang tubuhnya) itu yang berperanan menjaga dan memelihara kedudukan Islam di negara ini yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
  

Jadual taburan anggaran penduduk beragama Islam di Malaysia. Sumber: H. Kettani, “World Muslim Population: 1950 – 2020,” International Journal of Environmental Science and Development (IJESD), Vol. 1, No. 2, June 2010.


Andai kata kekuatan umat Islam hilang kerana perpecahan yang semakin parah, kita masih boleh diselamatkan dengan kuasa raja. Senario di Bahrain patut dijadikan iktibar, bagaimana dengan kuasa politik demokrasi, puak Syiah yang merupakan 46.8% dari komposisi warganegara menguasai pilihanraya negara tersebut berbanding Sunni hanya 23.4%, selebihnya 29.8% agama lain. Raja Bahrain, Shaikh Hamad bin Isa Al Khalif adalah seorang Sunni tetap mempertahankan negara itu sebagai negara Sunni walaupun ada cubaan puak Syiah melalui Revolusi Bahrain untuk mendapatkan kuasa lebih memandangkan mereka sebenarnya lebih besar populasinya berbanding Sunni dan menguasai keputusan pilihanraya di negara tersebut. Jikalah tiada raja di Bahrain yang merupakan seorang Sunni, barang tentu sekali Bahrain akan bertukar menjadi negara di bawah kekuasaan Syiah selepas Iran, Syria, Iraq dan sebagainya.

Puluhan ribu rakyat Bahrain dari puak Syiah berdemonstrasi saban hari di negara itu sebagai memprotes kerajaan sebagai usaha melemahkan kuasa kerajaan Bahrain yang dipimpin oleh raja yang berfahaman Sunni bermula tahun lalu dan berlarutan sehingga tahun ini.

Raja Bahrain, Shaikh Hamad bin Isa Al Khalif (kiri) dan anaknya Sheikh Nasser Bin Hamad Al Khalif (kanan).


Semoga Allah memelihara negara dan umat Islam ini dari huru-hara. Sedarilah kepentingan institusi beraja di negara kita, kita bukan taat membuta tuli kepada batang tubuh manusia yakni sultan atau raja, tetapi kita berusaha mengekalkan suatu institusi yang sangat penting demi kelangsungan dan ketinggian agama Islam di negara seperti Malaysia ini. - MFundamentalist

Khamis, 7 Februari 2013

Bersyukur Kepada Allah, Berterima Kasih Kepada Manusia Dari Ajaran Islam

Kita telah sedia maklum bahawa adalah menjadi tanggungjawab manusia apabila diberikan sebarang nikmat oleh Allah Taala maka hendaklah dia bersyukur kepada-Nya. Al-Quran dan hadith sahih banyak membicarakan tentang suruhan bersyukur dan tegahan mengkufuri nikmat kepada manusia.

Allah Taala berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." [Surah al-Baqarah: 172]

Sesungguhnya nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita adalah terlampau banyak jika hendak dihitung. Nikmat kesihatan, nikmat iman, nikmat keselesaan, kemakmuran dan kemajuan dalam hidup bermasyarakat adalah hanya beberapa contoh nikmat yang dapat dilihat dari pelbagai jenis nikmat lain yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada kita semua.

Namun kebanyakan manusia alpa dan lupa dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan mereka. Mereka mengingkari perintah Allah Taala dengan mengkufuri nikmat-Nya. Mereka menyangka segala nikmat yang dikecapi oleh mereka adalah hanya daripada titik peluh dan usaha mereka semata-mata. Maka timbullah perasaan bongkak, ego, takabur dan sum'ah. Mereka menunjukkan kelebihan mereka, memperalat dan memperendahkan martabat orang lain, menindas yang lemah dan melakukan pelbagai bentuk pembaziran dan kezaliman. Nikmat yang dikurniakan hanya digunakan untuk hawa nafsu sahaja tanpa memperdulikan dasar iman dan takwa.

Kebelakangan ini ada pula kelompok ulama tertentu yang mendakwa kita hanya perlu bersyukur kepada Allah Taala sahaja sebaliknya tidak perlu berterima kasih kepada manusia. Dakwaan mereka ini tidak lebih daripada dakyah berunsur politik yang cuba menguntungkan masa depan kelompok mereka dan menafikan hak-hak orang lain.

Golongan ini memberikan hujjah bahawa nikmat kemakmuran dan kemajuan negara hari ini datangnya dari Allah Taala, manakala kerajaan hanya menyampaikan sahaja. Jadi tidak perlulah kita berterima kasih kepada mereka, hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Allah Taala.

Mereka juga berhujjah bahawa kerajaan yang tertegak hari ini hakikatnya diwujudkan untuk melaksanakan segala bentuk pembangunan dan memelihara kemakmuran negara dan perkara-perkara itu sudah menjadi tanggungjawab sesuatu kerajaan yang dipilih. Jika orang lain yang menjadi kerajaan pun mereka akan membuat perkara yang sama. Maka, apa perlunya kita berterima kasih kepada kerajaan? Lagipun tidak ada suruhan supaya berterima kasih kepada pemerintah di dalam al-Quran dan hadith.

Kepada mereka ini bukalah minda dan ikutilah hujjah-hujjah yang insya Allah akan menjawab dan menangkis hujjah-hujjah mereka. Saya sendiri mengakui pernah berbahas tentang isu ini dengan beberapa mahasiswa yang sehaluan dengan golongan ulama terbabit dan mereka menggunakan hujjah yang sama semasa berhadapan dengan saya.

Jika mereka mendakwa kemajuan dan kemakmuran hari ini akan tetap dilaksanakan oleh mana-mana orang yang dipilih menjadi kerajaan, maka mereka silap kerana kita lihat banyak negara di dunia yang mempunyai kerajaan sebaliknya mereka gagal melaksanakan pembangunan dan mewujudkan kemakmuran seperti yang ada di Malaysia hari ini. Jika orang lain yang menjadi kerajaan mungkin mereka tidak sampai ke tahap yang diperolehi hari ini.

Keduanya, jika mereka terus mengatakan bahawa mana-mana individu yang diberikan tanggungjawab oleh kita dan sekalipun dia berjaya memenuhi tanggungjawab tersebut, tidak perlu juga berterima kasih kepadanya. Diumpamakan seorang posmen yang menyampaikan surat kepada kita, tidak perlu kita berterima kasih kepada mereka kerana sudah menjadi tugasnya menyampaikan surat tersebut. Maka kita menjawab melalui dalil al-Quran, di mana Allah Taala berfirman:
"Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada-Ku tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman: 14]

Bukankah sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa memelihara, mengasuh dan mendidik anak-anak? Tetapi Allah tetap menyuruh kita berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita malah diwajibkan pula berbuat baik kepada mereka. Bukanlah dimaksudkan berterima kasih di sini dengan cara melafazkan ungkapan terima kasih semata-mata tetapi maksud berterima kasih itu sebenarnya dapat diterjemahkan melalui sangkaan, tuturkata dan perilaku yang baik terhadap mereka berdua. Sama juga dengan bersyukur, kita tidak dinamakan bersyukur kepada Allah Taala jika hanya menyebutnya di bibir sahaja tetapi hati dan kelakuan kita tetap mengingkari nikmat-Nya.

Memang benar kita tidak perlu melafazkan perkataan terima kasih kepada posmen, tetapi rasa berterima kasih itu perlu diterjemahkan melalui perilaku dan tuturkata kita terhadap mereka. Jika kita mendapatkan surat tersebut daripada posmen dengan cara yang baik itu sudah disifatkan sebagai berterima kasih kepadanya. Sebaliknya jika kita memaki hamun, menyumpah, menghinanya walaupun dia menjalankan tugasnya dengan baik maka ini tidak dinamakan berterima kasih. 

Rasulullah SAW ada bersabda dalam sebuah hadith sahih yang berbunyi:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ : جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا , فَقَدْ أبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
“Barangsiapa yang dibuatkan (diberikan) kepadanya kebaikan, maka katakan kepada orang yang berbuat baik itu “Jazakallahu khaira” semoga Allah membalas kepadamu dengan kebaikan. Sesungguhnya hal tersebut telah bersungguh-sungguh dalam berterima kasih.” [HR at-Tirmizi, dishahihkan oleh al-Albaani]

Jelas daripada hadith Rasulullah ini menunjukkan bahawa baginda sendiri mengajar kita supaya berterima kasih kepada manusia termasuk dengan cara mendoakan supaya dibalas kebaikan kepada sesiapa yang berbuat baik kepada kita.

Dalam hal ini, Allah Taala telah berfirman:
"Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." [Surah Ibrahim: 7]

Dan jika kalian tetap dengan pendirian bahawa tidak perlu berterima kasih kepada seseorang yang menjalankan tanggungjawab kepada kita, maka ditunjukkan hujjah yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang suatu masa dulu diputar belitkan pihak tertentu dengan tuduhan beliau menghina Nabi Muhammad SAW.

"Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar (sepenuhnya) sahajalah. Dengan itu berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukkan mereka tidak salah.

"Hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah SWT sahaja."
[Petikan Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 11 Mei 2000]

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyampaikan risalah kepada seluruh manusia. Maka adakah kita tidak perlu berterima kasih kepada baginda hanya jika tanggungjawabnya menyampaikan dakwah Islam kepada kita umat manusia? Fikir dan renungkanlah baik-baik, jangan menerima kata-kata mana-mana ulama secara taqlid buta tanpa mengetahui hakikat kebenarannya.

Kesimpulannya, sebagai seorang manusia yang beriman kepada ajaran Islam, maka sepatutnya kita mempunyai ciri-ciri insan yang soleh dan sifat-sifat mahmudah dalam menelusuri zaman yang serba mencabar kini. Bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah memang menjadi tanggungjawab kita dan perlu juga kita berterima kasih kepada manusia yang membantu kita sekalipun bantuan itu sudah menjadi tanggungjawab mereka. Sebagai peringatan, selamilah pengertian hadith ini:

 لا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لا يَشْكُرُ النَّاسَ
“Tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur (berterima kasih) kepada manusia.” [HR at-Tirmidzi, sanad hasan shahih]


*Artikel ini telah ditulis pada 2002 ketika penulis masih menuntut di universiti dan telah disiarkan dalam laman web Laman Minda At Tajdid dan beberapa portal politik. 

Isnin, 7 Januari 2013

Bidasan Ringkas Dua Hujjah Sokong Bukan Islam Guna Kalimah 'Allah'



HUJJAH PERTAMA - Polemik mengenai kalimah ‘Allah’ ini hanya momokan dan merupakan agenda UMNO untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

JAWAPAN:
Sebenarnya yang menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang Kristian ini bukan sahaja dari kalangan orang UMNO tetapi mereka terdiri daripada pelbagai pihak termasuk individu-individu non-partisan, NGO Islam dan orang Islam dalam pakatan pembangkang seperti ulama Pas sendiri. Pemimpin dan ahli agama dalam PKR diketahui sangat menyokong penuh penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh).

Memang tidak dinafikan wujud sebahagian orang Pas terutama beberapa pemimpin Pas yang bukan dari kalangan ulama dan dilihat sangat pro-Anwar Ibrahim (kelompok 'Anwarinas') dan anti-kerajaan perpaduan seperti Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan dua AJK Pas Pusat iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) dan Ir. Khalid Abdul Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) juga sangat lantang menyokong malah mempertahankan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam.



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan dan ADUN Pulau Melaka) dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya berhubung polemik kalimah ‘Allah’ ini, beliau pada awalnya menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam tetapi kemudiannya dilihat menyokong pula penggunaannya. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) dan AJK Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) pula antara dua pemimpin Pas berlatar belakang agama yang kini mempertahankan tindakan bukan Islam untuk menggunakan kalimah 'Allah' terutama selepas perbincangan dengan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR.

Keratan Suara Keadilan Bilangan 214 (5 – 12 Januari 2010) yang melaporkan sokongan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam daripada para pemimpin PKR terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga ahli agama paling kanan dalam PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty yang merupakan Pengerusi Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA) parti tersebut.

Sementara itu Datuk  Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas), Datuk Harun Taib (Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan ADUN Manir), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Ahli Parlimen Bachok), Datuk Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling), Ustaz Nasrudin Hassan Thantawi (Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas Pusat) adalah antara para pemimpin Pas yang ke hadapan membantah penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam di negara ini.



HUJJAH KEDUA - Al-Quran dan al-Hadis tidak pernah mengharamkan penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan orang bukan Islam. Sebarang usaha atau peraturan untuk menyekat orang bukan Islam dari memakai kalimah 'Allah' adalah ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah.

JAWAPAN:
Memang larangan ini tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun demikian, sebarang tindakan menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam itu sebenarnya menepati kehendak 'Siasah Syar’iyyah' (السياسة الشرعية).

Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fiqh terdahulu, pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar ‘Masolih Mursalah’ (المصالح المرسلة) iaitu kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya, dan ia menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid asy-Syariah, مقاصد الشريعة) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din, حفظ الدين).

Perbuatan mengatakan sebarang enakmen atau undang-undang yang menghalang penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam sebagai ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah adalah keterlaluan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

Kenyataan itu yang bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah itu juga boleh dianggap menghina institusi fatwa dan para mufti.



FATWA RASMI JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN TERHADAP PENGGUNAAN KALIMAH ‘ALLAH’

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keterangan/Hujah:

1.     Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

2.     Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

3.     Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

4.     Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

5.     Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

6.     Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

7.     Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.

8.     Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.

9.     Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.

10.  Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.

11.  Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.