Sabtu, 25 September 2010

Kunjungan Syawal ke Rumah Maulana 'Asri

Tanggal 2 Syawal 1431, rombongan tiga hamba Allah yang sangat cintakan ilmu Islam telah menziarahi pakar hadith dari Kelantan, Maulana Muhammad 'Asri bin Yusoff di rumahnya dekat Darul Kautsar, Kubang Kerian. Kunjungan selama lebih kurang 45 minit itu disertai oleh penulis A.M. Noor, Saudara Afnizam dan saya.

Sebelum itu, rombongan yang diketuai oleh A.M. Noor singgah di rumah mantan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud al Iraqi di Demit, Kubang Kerian. Beliau bertanya khabar sahabat lamanya itu yang juga anak murid arwah bapanya, Allahyarham Ustaz Haji Mohd Noor bin Yusoff (Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ugama, Mahkamah Syariah dan Majlis Ugama Islam ketika era Menteri Besar, Allahyarham Datuk Asri Muda, bekas Presiden Pas).

Datuk Mohamed D
aud al Iraqi yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan) turut memberi panduan ke rumah Maulana 'Asri dan mengalu-alukan hasrat kami ke sana.

Kami tiba di rumah Maulana 'Asri pukul 5.00 petang, bagaimanapun beliau masih belum sampai ke rumah. Selepas berbincang, A.M. Noor mengambil keputusan untuk membawa kami ke rumah sahabatnya, ADUN Gaal, Dr. Nik Mazian Nik Mohamad di Lundang.

Dr. Nik Mazian yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan (sekarang Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi) memperakui ketinggian ilmu Maulana 'Asri dalam bidang hadith, bahkan beliau sendiri pernah berguru dengan pengasas Darul Kautsar tersebut walaupun usia mereka sebaya. Dr. Nik Mazian turut mengalu-alukan dan memuji kecenderungan kami yang sangat berminat dengan pengajian ilmu hadith oleh Maulana 'Asri.

Jam 6.00 petang, selepas menunggu 5 minit, Maulana 'Asri bersama anaknya tiba dari Kuchelong, Bachok. Beliau menyambut mesra kami walaupun nampak sedikit keletihan disebabkan terperangkap dalam kesesakan jalan
raya. Beliau dan anaknya menjemput kami masuk ke rumahnya sebelum secara sopan meminta izin bersolat asar terlebih dahulu. Sepanjang kunjungan Syawal itu telah terserlah sifat tawadhuk dan rendah diri beliau sesuai dengan ketinggian ilmunya.

Walaupun tidak banyak yang boleh dibicarakan, tetapi kunjungan singkat tersebut amat bermakna sebagai menghargai sumbangan besar Maulana 'Asri dalam menyebarkan dakwah Islamiah dan sebahagiannya dimanfaatkan oleh kami bertiga.


Di masa akan datang, kami bercadang akan membuat kunjungan lagi ke rumah beliau. Lebih banyak perkara yang boleh dibincangkan dan dipelajari secara terus dari ilmuwan tersebut. InsyaAllah
.

1 ulasan:

  1. Tuan Maulana memang luas dalam Ilmu hadiths dan permasaalah Umat,,, Alangkah malangnya tidak dapat dimanafaatkan ilmunya pada tetamu bertiga ini setelah ada pertemuan ini...atau adakah masih dalam musibah diperjauhkan hidayah olih Allah..

    Doa agar diberi hidayah untuk tetamu bertiga ini..

    BalasPadam