Selasa, 31 Mac 2009

Perjuangan Melayu Bukan Asabiyah

"TIDAK ada bangsa yang paling dimuliakan oleh Tuhan di dunia ini selain daripada bangsa Melayu di Malaysia, yang mana di dalam Perlembagaannya menyebut Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu ..."

Demikianlah ungkapan yang keluar daripada mulut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria semasa mengendalikan Seminar Pemantapan Akidah di Masjid Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan lebih sedekad yang lalu. [*Penulis turut hadir dalam program yang berlangsung pada tahun 2000 itu]


Kenyataan ini bukanlah dengan maksud mengagung-agungkan bangsa Melayu, sebaliknya ia suatu bentuk manifestasi rasa syukur seorang yang dilahirkan sebagai bangsa Melayu di Malaysia. Seorang yang berbangsa Melayu secara automatiknya diikat erat dengan agama Islam, dan ikatan ini dipelihara serta dijamin oleh perlembagaan negara. Malah, tiada mana-mana bangsa di dunia waiima bangsa Arab pun yang bertuah seperti bangsa Melayu di Malaysia. [*Maldives telah meminda perlembagaan negaranya pada tahun 2008 menjadikan setiap warganegara Maldives mesti beragama Islam. Artikel 9, Seksyen D, Perlembagaan Maldives menyatakan bahawa "... that a non-Muslim may not become a citizen of the Maldives."]

Tidak dinafikan lagi bahawa memang benar di dalam Perlembagaan Persekutuan, termaktub takrif Melayu dalam Perkara 160 iaitu Melayu ialah orang yang lazim bertutur bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu.

Jelaslah setiap yang mengaku dirinya Melayu itu mestilah beragama Islam dan sesiapa yang murtad tidaklah boleh diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan. Malah dalam masyarakat kita, apabila orang Cina atau India memeluk Islam, mereka juga boleh dikatakan masuk Melayu [*Ia bukan bentuk paksaan, masyarakat keturunan Cina boleh terus kekal dengan identiti bangsa Cina walaupun mereka memeluk Islam. Pun begitu mereka tetap dianggap tidak berbeza berbanding orang Melayu dari keturunan lain]. Ini adalah benar kerana sebagai seorang warganegara Malaysia, seorang mualaf itu pastinya boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dan biasa dengan adat resam dan budaya Melayu kerana budaya Melayu Islam sebenar adalah asas kebudayaan nasional, dengan itu mereka juga wajar dipanggil Melayu menurut terjemahan Perlembagaan kita.

Oleh yang demikian, benarlah ungkapan yang menyebut Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Adalah suatu kejahilan sesiapa menganggap perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu sebagai bukan perjuangan untuk agama Islam dan sempit. Tidak boleh juga kita memisahkan antara Melayu dan Islam dengan memaksa orang lain supaya memilih samada mahukan Islam ataupun Melayu. Ketahuilah bahawa hubungan Melayu dan Islam itu adalah bagaikan aur dengan tebing, suatu hubungan simbiotik yang saling kukuh mengukuhkan satu sama lain. Pun begitu, ungkapan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu mungkin hanya sesuai di Malaysia kerana kita mempunyai Perlembagaan yang menyebut tentangnya tetapi mungkin di Singapura atau Indonesia lain pula situasinya.

Namun begitu, yang pastinya bicara kita secara khusus adalah tentang perjuangan bangsa Melayu di negara ini. Lupakan pertikaian dengan berhujah adanya Melayu Kristian di Singapura atau di Indonesia kerana bagi kita di Malaysia, tiap-tiap Melayu itu mestilah beragama Islam menurut Perlembagaan Persekutuan.

Setelah kita memahami bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu, maka kita tidak boleh melabelkan perjuangan memartabatkan bangsa Melayu sebagai tidak Islamik atau asabiyyah. Perjuangan untuk bangsa Melayu adalah berbeza dengan perjuangan kebangsaan bagi bangsa-bangsa lain di dunia yang tidak diasaskan kepada agama. Perjuangan kebangsaan Melayu hari ini adalah disempadani oleh agama Islam, dengan sendirinya apa-apa yang bertentangan dengan agama maka ia bukanlah menjadi visi dan perjuangan bagi bangsa Melayu. Hal ini berlaku sejak turun temurun lagi dari mula kedatangan Islam di Tanah Melayu berabad-abad dulu. Bangsa Melayu memang terkenal dengan kuatnya berpegang kepada adat budayanya dan agama Islam. Ini diakui oleh semua orang termasuk penjajah.

Perlu diperjelaskan secara terperinci lagi bahawa dakwaan kononnya sesiapa yang berjuang untuk bangsa Melayu adalah berjuang atas dasar asabiyyah adalah silap sepertimana telah dijelaskan tentang batas-batas perjuangan Melayu di atas. Dalam sebuah hadith sahih disebutkan bahawa: 

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ, أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ, قَالَ  لَا , وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ
"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah perbuatan asabiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman." [H/R An-Nasa'i]

Juga disebutkan dalam sebuah hadith yang lain bahawa: 
عَنْ بِنْتِ وَاثِلَةَ بْنِ الْأَسْقَعِ أَنَّهَا سَمِعَتْ أَبَاهَا ، يَقُولُ : قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الْعَصَبِيَّةُ ؟ قَالَ : أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
"Dari anak perempuan Wasilah bin al Asqa', beliau pernah mendengar ayahnya berkata: Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah, apakah sebenarnya asabiyah? Jawab baginda : iaitu engkau menolong kaum bangsamu melakukan kezaliman." [H/R Ibnu Majah]

Jelas bahawa perjuangan kebangsaan yang disempadani oleh agama Islam tidak boleh diistilahkan sebagai perjuangan asabiyah kerana perjuangan kebangsaan sebegini tidak sesekali akan menyokong kemungkaran bangsanya. Sebaliknya asabiyah yang sebenarnya tidak terbatas pada perjuangan kebangsaan yang menyokong kezaliman sahaja tetapi turut meliputi perjuangan kelompok tertentu seperti kumpulan, parti, negeri, negara atau benua. Parti yang kononnya berjuang atas idealisme Islam juga boleh dilabelkan parti asabiyah jika mereka menyokong kezaliman puak-puak mereka.

Sesungguhnya tidaklah salah dan bukanlah kita berfahaman sekular jika kita mencintai bangsa dan tanahair kita sepertimana dakwaan sesetengah pihak. Nabi s.a.w. sendiri cintakan bangsa dan tanahairnya. Bahkan disebutkan oleh ulama kita bahawa:
حب الوطن من الإيمان
"Cintakan tanahair itu termasuk daripada Iman."

Jikalah perjuangan kebangsaan itu salah di sisi Islam kenapakah pejuang-pejuang Islam dahulu seperti Burhanuddin El Helmi, Syeikh Syed Al Hadi dan lain-lain ulama yang berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu? Malah disebutkan juga Imam as Syahid Hassan al Banna bahawa beliau tidak pernah menolak perjuangan berasaskan semangat cintakan bangsa dan tanahair. Beliau berkata tentang nasionalisme Mesir:

"Sesungguhnya kita menjadi orang-orang Mesir di atas tanah yang suci ini di mana di sinilah kita lahir dan membesar. Mesir adalah sebuah negara yang beriman dan menerima Islam secara mulia, menolak segala penentangan ke atas Islam sepanjang sejarah, ikhlas dalam menganutinya, meluruskan padanya perasaan yang paling lembut, emosi yang paling damai, di mana ia hanya baik untuk Islam, tidak berubat kecuali dengan ubatnya dan tidak akan sihat kecuali melalui rawatannya. Atas sebab keadaan yang banyak, ia telah menjadi penjaga pemikiran Islam dan mendirikannya. Maka bagaimanakah kita tidak mahu berusaha untuk Mesir dan melakukan kebaikannya untuknya? Bagaimanakah kita tidak mahu membela Mesir dengan segala kemampuan kita? Bagaimanakah dapat dikatakan bahawa Iman dan Mesir tidak menepati apa yang sepatutnya diserukan oleh seorang yang mengajak kepada Islam dan melaungkan Islam? Kita berbangga kerana kita ikhlas untuk negara yang dicintai ini, bekerja dan berjuang untuknya, kita akan terus demikian selagi kita masih hidup dan berkeyakinan bahawa ini adalah pusingan pertama bagi siri pembangunan yang dicitakan. Mesir adalah sebahagian daripada negara Arab secara umumnya dan apabila kita berusaha untuk Mesir, maka ia bererti kita berusaha untuk Arab, negara Timur dan Islam."

Dr. Yusuf al Qardhawi juga ada menyebutkan bahawa: 

"Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi s.a.w. sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, baginda berkata kepada kota Mekah: "Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling Allah cintai, kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukn kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya." Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergenang air mata Rasulullah dan baginda bersabda: "Biarkanlah hati ini memperakuinya". Tidak wujud di sana sebarang pertentangan di antara semangat kebangsaan yang bersifat fitrah dengan semangat keIslaman kerana tidak ada pertentangan di antara keduanya yang bersifat umum dan khusus."

Sekiranya seseorang itu adalah Melayu yang benar dan Muslim yang sedar, dia akan mendapati bahawa kebaikan untuk Melayu yang sebenarnya adalah kebaikan untuk Islam. Seorang Islam tidak akan mendapati halangan daripada agamanya untuk bermula dengan bangsanya di mana dia hidup bersamanya. Disebutkan dalam hadith sahih: 
  
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ ثُمَّ بِمَنْ تَعُولُ
"Mulakan dengan diri kamu, kemudian dengan mereka yang berada di bawah tanggungan kamu."[H/R at Tirmidzi]

Wallahu'alam.