Ahad, 26 Jun 2011

Menjawab Hukum Mengharuskan Demonstrasi Bersih 2.0

Demonstrasi seperti yang ditakrifkan di dalam Kamus Dewan bermaksud tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dan lain-lain.

Apakah hukum dan pandangan Islam terhadap demonstrasi?

Para ulama berbeza pendapat dalam perkara ini. Di sana terdapat pandangan yang mengharuskan berdemonstrasi dan terdapat juga pandangan yang mengharamkannya.

Sebenarnya tidak ada nas yang qati’e (muktamad) samada dari al Quran atau hadith-hadith shahih yang mengharuskan atau mengharamkan berdemonstrasi.

Tulisan ini akan mengupas mengenai persoalan hukum dan justifikasi agama terhadap Perhimpunan Bersih 2.0. anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.

Perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah suatu bentuk demonstrasi atau bantahan jalanan terhadap pihak pemerintah Muslim.

Pihak penganjur mendakwa ia bertujuan mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia melalui tuntutan-tuntutan seperti yang terkandung di dalam memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

Mereka juga mendakwa Perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah suatu demonstrasi aman dan merupakan hak-hak rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 10 (1) (b) yang menyatakan semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata.

Berdasarkan sirah Nabi dan sahabat, demonstrasi terhadap pemerintah Muslim dalam bentuk seperti ditunjukkan oleh masyarakat dunia hari ini (sama ada secara aman atau liar) tidak pernah dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat radhiallahu ‘anhum.

Walaupun demikian, ada golongan yang mengharuskan demonstrasi terhadap pemerintah dengan berhujjahkan kepada suatu riwayat bahawa kononnya Rasulullah s.a.w. pernah melakukan demonstrasi aman di Kota Makkah dahulu.

Peristiwa itu kononnya berlaku setelah Nabi s.a.w. diperintahkan oleh Allah Taala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Kaabah.

Satu barisan dipimpin oleh Umar bin al Khattab r.a. dan satu lagi dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Muthalib r.a. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci “La ilaha illallah”, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Kaabah. Kononnya Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut dan memberi arahan kepada mereka.

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’ 1/40 berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ahmad bin Hasan, berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Utsman bin Abi Syaibah berkata: Telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid bin Shalih berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Aban dari Ishaq bin Abdullah dari Aban bin Shalih dari Mujahid dari Ibnu Abbas dari Umar bin al Khattab.

Abu Nu’aim juga meriwayatkan kisah ini dalam Dala’ilun Nubuwwah no.194 dengan sanad yang sama.

Sebenarnya taraf riwayat ini sangat lemah dan ia bertentangan dengan hadith-hadith shahih yang lain. Kelemahannya adalah dari segi sanad dan matan.

Adapun dari segi sanad adalah kerana di dalam riwayat tersebut terdapat seorang yang bernama Ishaq bin Abdullah bin Abi Farwah.

Imam an Nasa’i berkata: “Dia seorang yang matruk (orang yang ditinggalkan haditsnya)”.

Imam al Bukhari berkata: “Para ulama’ meninggalkannya”.

Imam Baihaqi berkata: “Dia matruk“.

Imam Yahya bin Ma’in berkata: “Dia pendusta”.

Imam Ibnu Hibban berkata: “Dia membolak-balikkan sanad, memarfu’kan hadith mursal, dan Imam Ahmad melarang meriwayatkan hadithnya”.

Sementara dari segi matan pula, kisah ini bertentangan dengan beberapa riwayat shahih yang menceritakan tentang kemasukan Umar ke dalam agama Islam.

Di antaranya hadith yang terdapat di dalam Shahih al Bukhari mengenai Islamnya Umar bin al Khattab seperti diriwayatkan dari Abdullah bin Umar.

Begitu juga hadith yang dinukilkan di dalam Bidayah Wan Nihayah 3/81 oleh Imam Ibnu Katsir.

Golongan yang menyetujui demonstrasi turut berhujah dengan beberapa hadith lain yang walaupun ada di antaranya shahih tetapi maksudnya telah diinterpretasikan mengikut kefahaman mereka sendiri.

Satu-satunya hadith shahih yang kerap digunakan oleh mereka ialah suatu riwayat di mana Nabi s.a.w pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadith itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. [Hadith Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih]

Hadith ini sebenarnya adalah berkaitan dengan hak-hak jiran. Ia tiada kaitan dengan hak-hak rakyat terhadap pemerintah.

Bolehkah hadith berkenaan hak-hak jiran seperti ini disandarkan sebagai hujah yang kuat untuk membenarkan demonstrasi atau bantahan jalanan terhadap pemerintah? Sedangkan hubungan rakyat dengan pemerintah adalah tidak sama dengan hubungan di antara jiran dengan jiran.

Malah tidak terdapat satu pun panduan dari ulama salaf yang berdalilkan hadith ini sama ada bagi membenarkan atau menyuruh rakyat melakukan bantahan jalanan untuk menegur pihak pemerintah!

Ada juga sebahagian ulama yang membela amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah turut menggunakan hujjah-hujjah lain seperti perhimpunan haji di Makkah dan perbuatan Rasulullah s.a.w. yang menghimpunkan kaum Quraisy di Bukit Safa untuk menyeru dakwah Islam.

Semua hujjah-hujjah tersebut adalah terlalu lemah untuk meng’agama’kan demonstrasi dan bantahan jalanan.

Amalan agama yang bersifat pasti dan qati’e berkaitan aqidah dan rukun Islam tidak boleh disamakan dengan amalan muamalat atau hubungan sesama manusia yang bersifat kurang pasti dan dzanni.

Demonstrasi merupakan antara komponen demokrasi dan ia sebenarnya berasal dari Barat.

Amalan berdemonstrasi adalah sesuatu yang bid’ah dhalalah (perkara yang diada-adakan dan sesat hukumnya) jika ia dikaitkan dengan amalan beragama (contohnya mewajibkan orang ramai menyertai demonstrasi atas ‘fatwa’ agama atau justifikasi bahawa ia merupakan suatu ibadah).

Namun jika ia tidak dianggap sedemikian, amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah dengan cara seperti hari ini tetap merupakan bid’ah keduniaan yang tidak ada contohnya dari Nabi s.a.w.

Kita tidak terlalu kaku ketika berhadapan dengan teks syarak (nas) yang berkaitan dengan muamalat. Tidak seperti dalam hal-hal ibadah.

Dalam hal muamalah, ia mestilah bertepatan dengan maqasid atau roh syariah, manakala dalam hal ibadah mestilah bertepatan dengan teks syarak atau nas.

Justeru, untuk menghukumkan sama ada Perhimpunan Bersih 2.0 ini haram atau tidak, kita akan meninjau perspektif dan kaedah hukum yang lebih menyeluruh.

Dalam bab muamalah, ulama usul fiqh telah membina satu kaedah usul iaitu “al-aslu fil asyyia al-ibahah ma lam yurid dalil at-tahrim” bermaksud “hukum asal sesuatu perkara itu adalah harus kecuali ada dalil tentang pengharamannya”.

Apakah justifikasi atau hujjah para ulama yang mengharamkan berdemonstrasi terhadap pemerintah seperti Himpunan Bersih 2.0 tersebut?

Di sana terdapat banyak kemungkaran-kemungkaran yang didapati dari amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah Muslim.

Tasyabbuh

Amalan berdemonstrasi terhadap pemerintah adalah berbentuk tasyabbuh, iaitu menyerupai perbuatan orang-orang kafir.

Sepertimana yang kita ketahui bahawa demonstrasi adalah salah satu komponen dalam sistem demokrasi yang berasal dari Barat.

Tidak semua perkara atau perbuatan orang-orang kafir mesti ditolak atau dilarang iaitu sesuatu yang bukan merupakan ciri-ciri khusus orang-orang kafir, sama ada aqidah, adat-istiadat, atau peribadatannya, dan hal itu tidak bertentangan dengan nas-nas serta prinsip-prinsip syariah, atau tidak dikhuatiri akan membawa kepada kerosakan. Maka yang demikian itu tidaklah termasuk dalam tasyabbuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka termasuk golongan tersebut.” [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani berpendapat bahawa perbuatan demonstrasi adalah termasuk dalam bentuk tasyabbuh terhadap orang kafir.

Pendapat beliau ini boleh dipakai terhadap Perhimpunan Bersih 2.0 kerana demonstrasi Bersih yang pertama dahulu telah membuktikan bahawa ia telah menimbulkan kerosakan, kesusahan dan kerugian harta benda kepada masyarakat awam.

Walaupun penganjurnya mendakwa ia suatu demonstrasi aman, tetapi hakikatnya mereka tidak mampu mengawal para peserta yang bertindak liar, tidak kiralah sama ada ia akibat daripada provokasi pihak luar atau tidak.

Tingkah-laku puluhan ribuan para peserta Perhimpunan Bersih pada 20 November 2007 yang mana majoritinya adalah Muslim boleh dijadikan ukuran sejauh mana penyerupaan mereka terhadap orang kafir dan. Antaranya ialah percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilath) tanpa batasan, sepanduk-sepanduk dan pidato berapi-api memaki hamun, mengutuk dan mengaibkan pihak pemerintah di hadapan umum.

Khuruj

Demonstrasi terhadap pemerintah juga boleh dimasukkan ke dalam kategori khuruj (keluar menentang pemerintah) yang mana ia dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadith shahih.

Ada yang berpandangan bahawa Perhimpunan Besih 2.0 tidak boleh disifatkan sebagai amalan Khawarij kerana mereka tidak pun mengangkat senjata.

Dalam hal ini kita perlu membuka pemikiran kita, adakah semua kelompok Khawarij itu sifatnya mengangkat senjata semata-mata? Perbuatan memerangi pemerintah dengan mengangkat senjata atau keganasan memang salah satu daripada ciri-ciri Khawarij, tetapi di sana terdapat banyak lagi manhaj dan ciri-ciri lain termasuklah mencela pemerintah dan mengingkari ketaatan kepadanya seperti larangan berhimpun tanpa permit dalam negara kita hari ini.

Diriwayatkan bahawa Said bin Jahman r.a. berkata:

“Aku datang kepada Abdullah bin Abu Aufa, matanya buta, aku mengucapkan salam." Beliau bertanya kepadaku: "Siapa engkau?" "Said bin Jahman, jawabku." Beliau bertanya: "Kenapa dengan ayahmu?" Aku katakan: "Al-Azariqah telah membunuhnya." Beliau berkata: "Semoga Allah melaknat Al-Azriqah, semoga Allah melaknat Al-Azriqah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan bahawa mereka anjing-anjing neraka." Aku bertanya: "(Yang dilaknat sebagai anjing-anjing neraka) Al-Azriqah sahaja atau Khawarij semuanya?" Aku katakan: "Beliau menjawab: Ya! Khawarij semuanya." Aku katakan: "Tetapi sesungguhnya pemerintah telah berbuat kezaliman kepada rakyatnya?" Maka beliau mengambil tanganku dan memegang dengan sangat kuat, kemudian berkata: "Celaka engkau wahai Ibnu Jahman! Wajib atasmu berpegang dengan sawadul a'zham, wajib atasmu untuk berpegang dengan sawadul a'zham. Jika kau ingin pemerintah mahu mendengar nasihatmu, maka datangilah dan khabarkan apa yang engkau ketahui. Itu kalau dia menerima, kalau tidak, tinggalkan! Sesungguhnya engkau tidak lebih tahu darinya." [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Mengaibkan Pemerintah

Menceritakan aib pemerintah di hadapan umum dalam bentuk pidato atau ucapan adalah dilarang oleh Rasulullah s.a.w.

Apabila demonstrasi dilakukan terhadap pemerintah, ia tidak boleh lari dari perbuatan memburuk-burukkan atau mengaibkan pemerintah secara terbuka.

Selain daripada pidato berapi-api bertujuan menghasut rakyat membenci pemerintah, tidak kurang juga pasti terdapat pelbagai slogan dan kata-kata kesat mencaci pemerintah terpampang pada sepanduk-sepanduk yang dibawa oleh peserta demonstrasi jalanan. Senario inilah yang berlaku semasa Perhimpunan Bersih 1 dahulu.

Islam memang mewajibkan rakyat menegur pemerintah yang zalim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih lagi masyhur:

“Agama itu adalah nasihat”. Kami (Sahabat) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”. [Hadith Riwayat Muslim]

Dan sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Jihad yang afdal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Hadith Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadithnya shahih]

Nasihat kepada pemerintah itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Surah Taha: 43-44]

Istidlalnya adalah jika kepada Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada pemerintah Islam.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Hadith ini menjelaskan mengenai kewajipan menasihati pemerintah dan melakukannya dengan cara yang baik. Dalam sebuah riwayat dinyatakan:

“Daripada Ziyad bin Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal: ‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [Hadith Riwayat al-Tirmizi, shahih]

Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj Syarak yang benar, perbuatan berdemonstrasi dan bantahan jalanan terhadap pemerintah yang zalim sekalipun adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa atas dosa semata-mata.

Abu Ishaq al-Sabi’i r.h. daripada pembesar ulama Tabiin berkata: “Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani]

Perbezaan Pendapat

Polemik percanggahan pendapat mengenai hukum berdemonstrasi terhadap pemerintah sentiasa berterusan.

Masing-masing mengemukakan pandangan berserta hujjah-hujjah tersendiri. Namun yang pasti tidak ada nas yang muktamad atau qat’ie berkenaan isu ini.

Pendapat yang mengharamkan demonstrasi jalanan seperti Himpunan Bersih 2.0 dilihat lebih kuat untuk dipegang atas hujjah-hujjah yang disebutkan sebelum ini.

Apatah lagi dalam persoalan khilafiah seperti ini, pemerintah lebih berhak menentukan pendapat mana untuk diterima pakai dan sudah jelas bahawa pemerintah di Malaysia ketika ini mengharamkan demonstrasi jalanan seperti Perhimpunan Bersih 2.0.

Dari sudut undang-undang sivil negara kita, larangan berhimpun tanpa permit ini termaktub dalam Akta Polis 1967 (Akta 334) di bawah Seksyen 27 (2) yang menetapkan bahawa adalah disyaratkan bagi mana-mana kumpulan untuk mendapatkan lesen untuk berhimpun dan Seksyen 27 (5) yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk berhimpun tanpa lesen.

Walaupun undang-undang dan ketetapan yang diambil oleh pihak pemerintah ini ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia, namun hakikatnya itulah yang terpakai ketika ini sekalipun kita membencinya.

Telah sabit daripada hadith Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:

“Rasulullah s.a.w memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di hadapan Allah nanti”.

Jalan Penyelesaian

Pengharaman demonstrasi dalam undang-undang negara ini bukanlah bersifat mutlak kerana hak berhimpun telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia bertitik tolak dari kebarangkalian yang wujud akibat daripada perjumpaan atau perarakan itu mungkin boleh memudaratkan kepentingan dan keselamatan negara atau ia boleh membangkitkan kekacauan dan merosakkan keamanannya.

Dalam kerangka pemahaman Islam yang progresif, demonstrasi dalam ertikata perhimpunan awam dengan cara menunjuk perasaan secara aman, dengan mematuhi syarat-syarat tertentu dan dibenarkan oleh pemerintah maka ia masih memerlukan ruang perbincangan yang lebih luas untuk dibicarakan bagi mengharuskannya dari sudut syarak.

Antara syarat-syarat yang diketengahkan oleh pihak yang mengharuskannya ialah tujuan yang hendak dicapai melalui demonstrasi adalah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Keduanya, penganjur dan peserta demonstrasi dapat menjaga hak-hak jalanan yang digariskan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w. seperti tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain, menjawab salam apabila disapa, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ketiga, perhimpunan tersebut hendaklah tidak disertai dengan perbuatan maksiat lain, seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, mengeluarkan perkataan atau memaparkan tulisan maki hamun dan mencarut, menyerupai orang kafir contohnya dari sudut pakaian serta merosakkan harta benda awam dan orang lain.

Barangkali pertikaian Perhimpunan Bersih 2.0 boleh diselesaikan dengan pemerintah sekiranya mereka memanfaatkan tawaran pihak pemerintah untuk membenarkan mereka untuk mengadakannya di dalam stadium seperti di Stadium Melawati atau Stadium Shah Alam.

Dengan mengadakan perhimpunan aman di stadium, pihak penganjur Bersih 2.0 mempunyai lebih berkemampuan dan jaminan untuk memastikan tiga syarat-syarat di atas dipenuhi serta menghalang dari provokasi pihak luar.

Apakah motif sebenar mereka tetap bertegas mahu berdemonstrasi jalanan di tengah-tengah ibu kota yang sesak itu? Sekalipun mereka mendakwa mempunyai niat yang bersih, tetapi umum dapat membaca agenda kotor mereka iaitu menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam masyarakat, mewujudkan persepsi negatif dunia luar terhadap keadaan di Malaysia dan mengalih masalah peribadi tokoh utama mereka.

Islam mempunyai jalan penyelesaian dalam isu ini. Pada situasi sekarang, masalah yang timbul bukan sahaja terjadi akibat satu aspek, misalnya keadilan dalam pilihanraya, tetapi juga terjadi pada aspek lainnya, seperti ekonomi, politik dan sosial. Krisis ini tidak boleh sembuh secara total jika dibasmi dengan cara berdemonstrasi.

Suatu negara yang dipimpin oleh pemimpin yang zalim yang didalamnya ditaburi dengan perbuatan-perbuatan mungkar orang yang berkuasa seperti rasuah dan nepotisme merupakan hasil dari sikap dan tindakan rakyatnya juga. Maka kalau rakyatnya baik, nescaya Allah Taala akan menganugerahkan kepada mereka pemimpin yang baik, arif dan bijaksana. Hal ini sudah dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para Khulafa' Ar-Rasyidin.

Adapun setiap situasi yang kacau-bilau, maka jalan keluar dan penyelesaiannya bukanlah dengan demonstrasi, tetapi dengan amar makruf nahi mungkar (termasuk menegur pemerintah) dengan cara yang tepat dan benar. Kemudian menyebarkan ilmu yang haq di kalangan umat agar muncul generasi-generasi yang berbekal ilmu.

Perlu difahami bahawa hikmah di sebalik kekangan syarak terhadap perbuatan menegur secara wewenang atau menjatuhkan pemerintah melalui jalan demonstrasi sebenarnya lebih kepada memelihara kestabilan ummah itu sendiri.

Ulama terkenal, Ibn Abi al `Izz menyebutkan: “Adapun wali al Amr berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah, ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada kezaliman mereka.

“Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah tidak menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan.

Firman Allah Taala:

“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah Ali Imran: 165]

Dan Allah Taala berfirman:

“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan.” [Surah al An`am: 129]

“Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”. [Syarh al `Aqidati at Tohawiyah, juz 2, hal. 542]

Sebagai akhirnya, diharapkan nanti setiap langkah yang kita lakukan diukur dengan ilmu syarak yang haq. Dengan demikian akan musnahlah penyakit penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyakit-penyakit lain. Wallahua'lam.

Isnin, 10 Januari 2011

Surat kepada Pengarang Utusan Malaysia: Bantahan Kandungan Cerpen 'Wikifiqh'

Saudara Pengarang,

Saya sebagai pembaca setia akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ingin menyatakan bantahan terhadap kandungan cerpen 'Wikifiqh' karya Dr. Faisal Tehrani di ruangan Sastera, Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011.

http://www.utusan.com.my/u tusan/info.asp?y=2011&dt=0 109&pub=Utusan_Malaysia&se c=Sastera&pg=sa_01.htm

Cerpen tersebut telah menyelitkan secara ketara unsur-unsur fahaman Syiah yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri-negeri. (Sila rujuk http://www.islam.gov.my/e- rujukan/syiah.html )

Penulis dalam cerpennya itu seolah-olah cuba menghina para mufassirin muktabar seperti Ibnu Qutaibah dan Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat pertama Surah Maryam. Melalui watak ‘lelaki berwibawa’ yang muncul dalam mimpi watak ‘Tuan Presiden’ serta dialognya dengan ‘Tukang Sapu Buta’, beliau cuba menerapkan tafsiran songsang fahaman Syiah yang mengaitkan ayat tersebut dengan Peristiwa Karbala versi Syiah.

Penulis cerpen tersebut juga telah menukilkan riwayat yang munkar dan palsu tentang keutamaan Saidina Ali r.a. untuk menarik perhatian pembaca yang mungkin tidak mampu mengkaji keshahihan riwayat tersebut.

Hadis yang dimaksudkan ialah: “Aku (Rasulullah) adalah kota ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizy dari hadis Ali dan katanya, “Hadis Munkar.” Hadis ini juga ditolak oleh al-Bukhari. Di samping itu, hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak dari hadis Ibn Abbas. Ia berkata, “Hadis Sahih.” Walaupun begitu Imam az-Zahaby berkata, “Sebaliknya, ianya hadis Maudu’ (Palsu).”

Ad-Daruquthni berkata, “Tidak sah.”

Ibn Daqiq al-Ied berkata, “Mereka (ulama hadis) tidak menilainya sebagai sah.” Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawdhuu’aat (kitab yang khusus mengumpulkan hadis-hadis Maudhu’).

Al-Hafizh Abu Sa’id al-‘Alaa`iy berkata, “Yang benar, bahwa ia hadis Hasan bila dilihat dari jalur-jalurnya, tidak sahih dan juga tidak Dha’if apalagi dikatakan Maudhu’ (palsu).”

Menurut Imam as-Suyuthi: “Memang demikian yang dikatakan Syaikhul Islam Ibn Hajar al-Haitsamy dalam fatwanya. Ucapan al-‘Alaa`iy dan Ibn Hajar tersebut telah beliau paparkan dengan panjang lebar di dalam kitabnya at-Ta’aqqubaat yang menyanggah kenyataan yang terdapat di dalam kitab al-Mawdhuu’aat tersebut. (Sila rujuk http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=424 )

Tafsiran dan syarah tentang beberapa potong ayat al Quran dan hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. juga adalah sangat bertentangan dengan tafsiran dan syarah sebenar yang disyarahkan oleh ahli tafsir dan ahli hadith.

Walaupun karya Dr. Faisal Tehrani tersebut hanyalah sebuah cerpen tetapi kandungannya sangat berbahaya kerana ia boleh meracuni pemikiran pembaca yang naif dengan mengelirukan ajaran Islam yang sebenar.

Cukuplah umat Melayu-Islam kita dipecahkan oleh ideologi politik kepartian yang nampaknya merugikan nasib kita. Ketika para pemimpin, ulama serta cerdik pandai kita sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian ke arah perpaduan, kita tidak mahu adanya kelompok lain yang mahu memecah-belahkan umat ini dengan membawa fahaman baru yang sesat lagi menyesatkan. Fahaman yang penuh dengan sifat pembohongan melalui amalan taqiyyah ini sangat berbahaya kerana ia ibarat musuh dalam selimut dan api dalam sekam.

Suatu masa nanti ia boleh meletuskan masalah perbalahan akidah dan isu kafir-mengkafir (letup-meletup dan pembunuhan) sehingga jadilah seperti di kebanyakan negara mempunyai penduduk berfahaman Syiah yang seimbang dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Saya harap akhbar arus perdana tidak menyiarkan lagi apa-apa cerpen atau karya Dr. Faisal Tehrani yang mempunyai unsur-unsur Syiah. Ini adalah bertepatan dengan langkah Kerajaan Malaysia untuk menyekat fahaman sesat ini dari merebak dalam masyarakat Islam di Malaysia seperti mana yang dilaksanakan oleh JAIS ketika di bawah Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

IBNU HUSSIN AL KELANTANI, Bandar Baru Bangi, Selangor


Ahad, 26 September 2010

Ulama Pas, Jangan Hina Usaha Islah Umat Melayu-Islam!


“Saya tidak berbangga (jadi) bangsa Melayu. Bangsa ini datang secara automatik,” Demikian kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis dialog bersama wartawan di sebuah hotel di Kota Bharu baru-baru ini.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan ulama besar Pas itu, kerana sebelum ini pun beliau sentiasa memperlekeh sebarang usaha ke arah islah dan kebaikan yang dikaitkan dengan bangsa Melayu. Perpaduan Melayu, Ketuanan Melayu, perjuangan memartabatkan orang Melayu dan apa sahaja yang dikaitkan dengan nama Melayu lebih-lebih lagi parti Melayu ditolak bulat-bulat oleh beliau!

Sebenarnya saya bersikap terbuka dalam memahami pendirian Menteri Besar Kelantan itu, namun saya sangat terkilan apabila beliau mengajar pengikutnya menghina, mencerca dan mengecam orang lain yang tidak sependirian dalam perjuangan memartabatkan bangsa Melayu. Hal sama terjadi kepada Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, apabila beliau dikecam teruk oleh pemimpin dan penyokong Pas hanya kerana usahanya menyatukan UMNO dan Pas atas nama Melayu dan Islam.

Nik Aziz pernah berkata dalam satu sidang media pada tahun lalu:

“Bangsa Melayu, perjuangan bangsa Melayu tidak boleh dibawa ke akhirat. Kalau bangsa Melayu boleh dibawa ke akhirat. Nabi Muhammad lah pejuang Arab. Tapi Nabi Muhammad tidak pejuang Arab, Nabi Muhammad pejuang Islam. Jadi macam mana kita sebagai umat Nabi Muhammad tak pasal-pasal nak perjuang Melayu, tinggal Nabi Muhammad. Akhirat kelak nak cari siapa? Nak cari orang Melayu ke nak cari Nabi Muhammad. Akhirat kelak bangun dari kubur orang cari Nabi Muhammad, orang tak cari Inggeris dah, orang tak cari Melayu dah. Orang cari Nabi Muhammad. Nak kenal Muhammad macam mana kita duduk lawan Muhammad atas muka dunia!”
Dalam memahami hakikat perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah beranggapan bahawa bangsa Melayu itu adalah bangsa yang mempunyai kelebihan di akhirat atas namanya Melayu. Sebaliknya saya melihat kepada keperluan memperjuangkan nasib bangsa ini adalah kerana bangsa Melayu ini diikat dengan roh Islam dan kebaikan untuk bangsa ini adalah juga merupakan kebaikan untuk Islam.

Tidak salah kita melakukan usaha pembaikan dan islah bermula dari diri kita, kaum keluarga dan orang terdekat dengan kita termasuklah bangsa kita sendiri. Konsep tadaruj (berperingkat) ini memang diajar oleh Islam. Ini bukanlah bermakna kita melebih-lebihkan sesuatu bangsa secara mutlak, tetapi tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memelihara mereka yang terdekat dengan kita, di samping memastikan kelangsungan bangsa kita sendiri untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebenarnya perjuangan kebangsaan Melayu ini adalah alat kepada dakwah Islam untuk umat manusia seluruhnya.

Tambahan pula, perjuangan memelihara kekuatan bangsa yang menjadi dominan di sesebuah negara Islam adalah sangat penting dalam memastikan kedaulatan Islam dan ketuanannya terjamin. Seperti mana Nabi Muhammad s.a.w. mengkehendaki akan kepimpinan dari bangsa Quraisy, begitu jugalah kita sebagai orang Melayu perlu membela Ketuanan Melayu yang menjadi tunggak kekuatan Islam di Malaysia.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
إِنَّ هَذَا الْأَمْرَ فِي قُرَيْشٍ لَا يُعَادِيهِمْ أَحَدٌ إِلَّا كَبَّهُ اللَّهُ فِي النَّارِ عَلَى وَجْهِهِ مَا أَقَامُوا الدِّينَ
"Sesungguhnya urusan pemerintahan ini adalah di tangan Quraisy tidaklah ada seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan menyungkurkan wajahnya di dalam neraka selama mereka itu melaksanakan agama." [HR al Bukhari]

Adakah benar usaha islah dan perjuangan memartabatkan bangsa ditegah oleh agama dan tiada nilai di sisi Allah Taala? Apakah perspektif Islam sangat jijik sekali terhadap sebarang usaha kebaikan yang dikaitkan dengan nama bangsa atau keturunan?

Di sana terdapat banyak hadith menyebut tentang kelebihan bangsa Arab dan Quraisy terutama dalam bab kepimpinan dan sumbangan mereka terhadap perjuangan Islam. Bahkan diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri menisbahkan diri baginda dengan bangsa dan keturunannya, walaupun ada sebahagian riwayat tersebut ditakhrijkan sebagai dhaif (lemah), dhaif jiddan (sangat lemah) dan maudhuk (palsu) oleh sesetengah ulama hadith.

Dalam sebuah riwayat terkenal dikatakan bahawa:
حُبُّ الْعَرَبِ إِيمَانٌ ، وَبُغْضُهُمْ نِفَاقٌ
“Cintakan bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafikan.”

Mereka yang menganggap ia sebuah hadith dari Nabi Muhammad s.a.w. berhujah bahawa ia telah ditahkrijkan sebagai shahih oleh Imam al Hakim. Bagaimanapun, pendapat al Hakim ini disanggah oleh Imam az Zahabi dan beliau berkata: “Al- Haitham bin Jammaz yang terdapat dalam sanadnya adalah matruk dan Ma'qil pula adalah dhaif”. Berdasarkan keterangan az Zahabi ini, maka hadith ini adalah sangat dhaif. Saya menerima koreksi Syeikh Muhammad Nashiruddin al Albaani yang turut menganggap hadith in sangat dhaif dan tidak boleh dijadikan hujah untuk disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Apapun, kelemahan hadith ini bukan bermakna sekiranya seseorang itu dilahirkan sebagai orang Arab, dia tidak boleh mencintai bangsanya. Anggapan kecintaan kepada bangsa adalah suatu sifat ‘asabiyyah yang dikecam oleh Nabi s.a.w. dalam banyak hadith sahih adalah tidak benar!

Sesungguhnya kita tidak dilarang untuk mencintai bangsa atau kaum kita sendiri seperti mana telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadith shahih berikut:
سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ , قَالَ  لَا , وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ
"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah perbuatan ‘asabiyyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi ‘asabiyyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman." [HR An-Nasai']

Mengapa kita suka mengambil jalan memusuhi, memperlekeh serta menidakkan naluri kecintaan dan peranan bangsa dalam mentadbirkan kelangsungan hidup di dunia yang menjadi jambatan kehidupan di akhirat?

Siapalah kita untuk cuba menghapuskan pengenalan bangsa sedangkan Allah Taala sendiri mengiktiraf kewujudan manusia yang dijadikan oleh-Nya berbangsa-bangsa dengan tujuan untuk saling kenal-mengenal di antara mereka. Allah Taala ada berfirman:



"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." [Surah al Hujurat: 13]

Sedarkah kita bahawa dakwah agama tanpa 'asabiyyah (perasaan kekitaan) tidak akan berhasil? Ini kerana penglibatan rakyat terbanyak memerlukan perasaan ‘asabiyyah.

Sarjana Islam, Ibn Khaldun di dalam kitabnya al Muqadimah, memetik sebuah hadith shahih yang bermaksud:
مَا بَعَثَ اللَّهُ نَبِياً إِلَّا فِي مَنْعَةٍ مِنْ قَوْمِهِ
“Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun kecuali ia berada dalam penjagaan kaumnya.” [HR al Hakim]

Dalam hadith yang bertaraf hasan, Nabi s.a.w. bersabda:
مَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ نَبِيًّا إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ
“Allah tidak mengutuskan selepasnya seorang Nabi pun kecuali ia berada dalam kekayaan (kelimpahan dan penjagaan) kaumnya.” [HR at Tirmidzi]

Ibn Khaldun menegaskan bahawa para Nabi a.s. sendiri pun yang merupakan semulia-mulia makhluk dan mempunyai pelbagai kelebihan memerlukan kepada penjagaan keluarga dan kaum, apatah lagi manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan, tidak mungkin akan berjaya tanpa 'asabiyyah.”

‘Asabiyyah (perasaan kekitaan) yang dimaksudkan oleh Ibn Khaldun di sini adalah sokongan bantuan yang kuat sama ada moral, tenaga mahupun harta benda dalam melaksanakan siasah khalifah.

Ia merupakan ‘asabiyyah hasanah (baik) atau gholibah bukan ‘asabiyyah dholalah (sesat) atau jahiliah yang dikecam oleh Nabi s.a.w. seperti dalam hadith berikut:
مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. [HR Muslim]

Kepada saudara-saudara saya yang berada di dalam Pas, eloklah diteliti kembali pendirian bekas Yang Dipertua Pas, Almarhum Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi seperti yang dipetik dari buku Kursus Agama dan Politik, tahun 1954, terbitan Buana Singapura seperti berikut:

“Islam memandang kebangsaan sebagai alat dan bukan sebagai tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan boleh sebagai satu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu baginya tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan untuk menyampaikan ke akhirat.”

Dalam konteks negara Malaysia, semangat kebangsaan Melayu sangat penting dalam memastikan keutuhan dan kelangsungan negara Islam dan ummahnya. Kekuatan dan kesatuan Melayu di negara ini mencerminkan kekuatan dan kesatuan Islam itu sendiri. Dengan kata lain, orang Melayu adalah teras kepada kekuatan dan kesatuan Islam di sini. Lemahnya Melayu, lemahlah Islam. Mundurnya Melayu, mundurlah Islam. Berpecahnya Melayu, berpecahlah Islam. Runtuhnya Ketuanan Melayu, runtuhlah Ketuanan Islam di Malaysia.

Sememangnya kekuatan dan kemuliaan Melayu adalah kerana agama bukan kerana bangsanya. Tetapi bangsa manakah yang akan memperjuang dan mengangkat kemuliaan mereka dengan cahaya Islam dan memakmurkan Malaysia dengan nilai-nilai Islam jika bukan Melayu? Bukankah Melayu itu bangsa majoriti dan dominan dari sudut demografi di bumi bertuah ini? Bukankah bangsa Melayu di Malaysia itulah satu-satu bangsa di dunia yang diikat dengan Islam dalam perlembagaan negaranya? Bukankah Melayulah yang berjuang habis-habisan menuntut kemerdekaan dari penjajah bukan Islam? Bukankah Melayu yang berjuang mempertahankan Ketuanan orang Islam?

Mencintai bangsa Melayu dan berbangga dengan kepahlawanan bangsa dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanahair bukanlah bermaksud kita melampau-lampau dan taksub kepada bangsa kita semata-mata sehingga bertindak menyokong apa sahaja segala kezaliman yang dilakukan oleh mereka yang sebangsa dengan kita. Tetapi kecintaan dan kebanggaan itu adalah kerana ia merupakan fitrah naluri kita sebagai manusia yang dijadikan oleh Allah yang mengkehendaki kepada kebaikan kepada diri sendiri, ahli keluarga, kaum kerabat dan orang terdekat dengan kita.

Seperti mana yang pernah dikatakan oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Almarhum Dr Muhammad Abdul Rauf:

“Walau bagaimanapun, nasionalisme (kebangsaan) sebagai sentimen yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten (secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah ialah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui.” [Surah al Munafiqun: 8].


Rapat umum menentang Malayan Union oleh Melayu Kelantan pada tahun 1946 yang disertai oleh 65 ribu orang. 2 ribu orang Melayu turut membuat rapat umum membantah Malayan Union di Kedah beberapa hari sebelumnya.

Ada di antara kita menolak segala bentuk seruan kebaikan atas nama bangsa termasuk seruan perpaduan Melayu kerana kononnya ia bersifat ‘asabiyyah yang dikeji. Walhal seruan kepada perpaduan itu adalah tuntutan syarak yang paling besar dan banyak disebut dalam al Quran dan hadith shahih. Apa salahnya kita mulakan perpaduan Islam dalam kerangka bangsa Melayu itu terlebih dahulu, bukankah Melayu itu subset kepada Islam yang universal sifatnya?

Umpama seorang ketua kampung yang menyeru orang-orang kampungnya bersatu, tetapi membiarkan saja keluarganya berpecah kerana lebih mementing perpaduan orang-orang kampung keseluruhannya. Eloklah begitu? Membiarkan Melayu berpecah kerana tidak mahu kepada perpaduan Melayu tetapi lebih mementingkan perpaduan Islam kononnya!

Sekiranya seseorang itu adalah seorang Melayu yang benar dan Muslim yang sedar, dia akan mendapati bahawa kebaikan untuk Melayu yang sebenarnya adalah kebaikan untuk Islam. Seorang Islam tidak akan mendapati halangan daripada agamanya untuk bermula dengan bangsanya di mana dia hidup bersamanya. Disebutkan dalam hadith sahih:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ ثُمَّ بِمَنْ تَعُولُ
"Mulakan dengan diri kamu, kemudian dengan mereka yang berada di bawah tanggungan kamu." [HR at Tirmidzi]