Isnin, 23 Mac 2015

Kritik Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Negeri Kelantan bukan Tolak Hudud

Teringat semasa belajar dulu, saya pernah dikafirkan oleh beberapa rakan saya hanya kerana mengkritik dan menolak tafsiran berkenaan hudud oleh PAS dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Negeri Kelantan (EKJSII).

Apabila kita menolak interpretasi hudud oleh PAS, kita pasti dituduh oleh mereka sebagai menolak hukum Allah dan secara automatiknya menjadi kafir. Sejak di sekolah asrama penuh, kemudian di universiti dan sehinggalah sekarang saya memang berminat mempelajari, mengkaji dan berbincang mengenai hukum hudud.


Antara kritikan-kritikan yang selalu dikemukakan oleh saya dalam perbincangan sehingga ditohmah sebagai menolak hukum Allah ialah:

1. Adakah adil sekiranya seorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam dia dihukum potong tangan di bawah hukuman hudud manakala seorang bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh dihukum penjara penjara dan denda sepertimana peruntukan dalam EKJSII?

Walhal pandangan jumhur (majoriti) ulama' Islam termasuk di kalangan para fuqaha' Syafi'iyyah bahawa orang bukan Islam juga wajib dikenakan hukuman hudud jika bersalah bagi kesalahan mencuri (sariqah). Sila rujuk Kitab Al-Muhazzab II:256, Kitab Nihayatul Muhtaj VII:446, Kitab Hasyiyah Radd Mukthar 6:137, Kitab Hasyiyah Radd Mukthar 6:137, Kitab Al-Mudawwanatul Kubra 4:414, Kitab At-Taj wa Iklil 6:312, KitabHasyiyah Ad-Dusuki 4:332, Kitab Kashshaf Al Qinaâ VII:91 dan Kitab Al-Mughni X:276.

2. Seorang yang dirogol atau diliwat menuduh si fulan merogol atau meliwatnya tanpa 4 orang saksi lelaki yang adil akan dihukum dengan 80 kali sebatan atas kesalahan qazaf mengikut EKJSII. Adakah adil hukuman ini, sudahlah mangsa sudah dizalimi oleh perogol atau peliwat, dia pula didera oleh pihak berkuasa dengan sebatan? Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, perogol dan peliwat pula mungkin bebas bermaharajalela!

Walhal seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, dia tidak terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa 4 orang saksi. Berdasarkan keterangan fuqaha' Islam, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses pengumpulan bukti-bukti (al-Bayyinah, termasuk juga al-Qarinah) sama ada mangsa benar-benar dirogol atau diliwat. Jika terbukti mangsa memang dirogol atau diliwat maka mangsa tidak akan dikenakan hukuman qazaf, manakala perogol atau peliwat pula akan dihukum di bawah kesalahan takzir. Sila rujuk Kitab Al-Muntaqa Syarh Muwattha’ Malik 4:21.

3. Adakah adil seorang wanita yang tidak bersuami mengandung akibat dirogol dikenakan hukuman hudud atas kesalahan zina hanya kerana wujud qarinah kehamilan anak luar nikah? Ini juga satu lagi perumpamaan sudah jatuh ditimpa tangga, malah lebih teruk lagi dari mangsa yang dihukum atas kesalahan qazaf tadi!

Walhal hukuman zina dengan sabitan qarinah melalui bukti kehamilan itu perlu diperinci dan diselidiki terlebih dahulu. Memang benar terdapat athar para sahabat radiallahu'anhum terutama dari Sayidina 'Umar Al-Khattab RA dan Sayidina 'Ali bin Abi Thalib RA, namun sebahagian ilmuan Islam percaya hakikatnya tidak seperti pemahaman dalam EKJSII. Dalam kes zina, Sayidina 'Umar tidak mungkin hanya bersandarkan kepada al-Qarinah mengandung semata-mata sebaliknya pasti ada bukti-bukti lain yang menyokong tuduhan tersebut, walau bagaimanapun mengandung adalah al-Qarinah yang paling kukuh, kerana itu ia difokuskan. Secara logiknya sebelum sesuatu hukuman itu dijatuhkan pasti ada perbicaraan (pertuduhan dan pembelaan), malangnya ia tidak dinukilkan oleh sejarah. Sila rujuk Al-Qarinah: antara Kekuatan dan Keperluan dalam Mensabitkan Kesalahan Jenayah (Zina) dalam International Journal of Islamic Thought Vol. 2, Dec 2012 oleh Dr. Lukman Abdul Mutalib dan Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Sebahagian fuqaha' Islam pula berpendapat bahawa athar dari Sayidina 'Umar mengenai sabitan al-Qarinah zina melalui kehamilan bukanlah hujah. Pendapat ini didukung oleh Abu Bakar Al-Ash`ari, Mazhab Shafii, Mazhab Daud dan Imam Ar-Razi.

Sebenarnya ada banyak lagi kritikan-kritikan terhadap EKJSII (1993) yang biasa digelar sebaga 'hudud PAS', tetapi saya hanya kemukakan 3 kritikan utama ini terlebih dahulu. Kritikan-kritikan ini adalah sebahagian intipati surat penolakan EKJSII oleh Perdana Menteri ketika itu, YAB Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun Dr. Mahathir Mohamad) kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu, YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini Allahyarham Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat) pada 1994.

Alhamdulillah, nampaknya hasil kritikan-kritikan dari pelbagai pihak termasuk dari pakar undang-undang Islam terkemuka antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali dan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Kerajaan PAS Negeri Kelantan di bawah Menteri Besar sekarang, YAB Datuk Ahmad Yakob telah bersetuju membuat pindaan terhadap beberapa isu berbangkit seperti dalam point (2) dan (3) di atas.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Pindaan 2015) telah telah memasukkan pengecualian kesalahan qazaf dalam Fasal 18(2) terhadap yang individu yang mengadu dirogol atau diliwat tetapi tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi.

Pindaan pada 18 Mac 2015 lalu turut membuang peruntukan Fasal 46(2) mengenai qarinah atau sebab zina bagi perempuan hamil tanpa suami.

Fasal yang dimansuhkan tersebut menyatakan:

“Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dia dapat membuktikan sebaliknya.”

Dua pindaan tersebut memperlihatkan Kerajaan PAS Negeri Kelantan akur dengan kritikan-kritikan yang selama ini dianggap sebagai menghina hudud dan menolak hukum Allah.

Ahli-ahli Dewan Undangan (ADUN) BN dan PAS bersalaman selepas selesai pembentangan usul Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015 lalu di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Pindaan yang dibawa oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Datuk Ahmad Yakob tersebut mendapat sokongan sebulat suara dari semua ADUN termasuk dari kerajaan negeri dan pembangkang.


Melihat kepada perkembangan ini, kalau boleh mahu sahaja saya berjumpa kembali rakan-rakan saya yang pernah mengkafirkan saya disebabkan kritikan-kritikan saya terhadap 'hudud tafsiran PAS Kelantan' yang dianggap sebagai menolak hukum Islam!

Saya sentiasa teringat kepada pendirian konsisten Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Negeri Kelantan yang dilihatnya tidak adil dengan menyatakan bahawa terdapat 43 ayat Al-Quran yang menyebut jika menghukum, hukumlah dengan adil. Jika sesuatu itu tidak adil, kita tidak boleh menghukum.

Saya juga teringat kepada jawapan Khalifah 'Umar bin 'Abd Al-'Aziz kepada anaknya, 'Abdul Malik apabila ditanya: “Wahai ayah, kenapa saya melihat ayah selalu lambat dalam melaksanakan segala urusan? Demi Allah, saya tidak peduli, sekalipun takdir memanggil kita selagi kita berada pada jalan Allah”.

'Umar bin 'Abd Al-Aziz berkata kepada anaknya: “Janganlah kamu tergesa-gesa wahai anakku. Allah telah mencela arak dalam Al-Quran pada dua ayat yang berasingan, kemudian barulah Allah mengharamkannya pada ayat yang ketiga. Aku bimbang jika aku memaksakan kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, hal ini akan mendatangkan fitnah kepada mereka”.

Harapan saya suatu hari nanti, apabila kita sudah mampu dan bersedia, hukum-hukum Islam akan tertegak secara menyeluruh bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia termasuklah terlaksananya undang-undang Islam seperti hudud, qisas dan takzir. Aamiin.



KANDUNGAN SURAT DR. MAHATHIR KEPADA NIK AZIZ

PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Y.A.B. Tuan Haji,
PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN
Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994
Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.
1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.
3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.
4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:
(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.
Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.
(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.
Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.
Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.
5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .
6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.
7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 Julai 1994