Isnin, 10 Januari 2011

Surat kepada Pengarang Utusan Malaysia: Bantahan Kandungan Cerpen 'Wikifiqh'

Saudara Pengarang,

Saya sebagai pembaca setia akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ingin menyatakan bantahan terhadap kandungan cerpen 'Wikifiqh' karya Dr. Faisal Tehrani di ruangan Sastera, Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011.

http://www.utusan.com.my/u tusan/info.asp?y=2011&dt=0 109&pub=Utusan_Malaysia&se c=Sastera&pg=sa_01.htm

Cerpen tersebut telah menyelitkan secara ketara unsur-unsur fahaman Syiah yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri-negeri. (Sila rujuk http://www.islam.gov.my/e- rujukan/syiah.html )

Penulis dalam cerpennya itu seolah-olah cuba menghina para mufassirin muktabar seperti Ibnu Qutaibah dan Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat pertama Surah Maryam. Melalui watak ‘lelaki berwibawa’ yang muncul dalam mimpi watak ‘Tuan Presiden’ serta dialognya dengan ‘Tukang Sapu Buta’, beliau cuba menerapkan tafsiran songsang fahaman Syiah yang mengaitkan ayat tersebut dengan Peristiwa Karbala versi Syiah.

Penulis cerpen tersebut juga telah menukilkan riwayat yang munkar dan palsu tentang keutamaan Saidina Ali r.a. untuk menarik perhatian pembaca yang mungkin tidak mampu mengkaji keshahihan riwayat tersebut.

Hadis yang dimaksudkan ialah: “Aku (Rasulullah) adalah kota ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizy dari hadis Ali dan katanya, “Hadis Munkar.” Hadis ini juga ditolak oleh al-Bukhari. Di samping itu, hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak dari hadis Ibn Abbas. Ia berkata, “Hadis Sahih.” Walaupun begitu Imam az-Zahaby berkata, “Sebaliknya, ianya hadis Maudu’ (Palsu).”

Ad-Daruquthni berkata, “Tidak sah.”

Ibn Daqiq al-Ied berkata, “Mereka (ulama hadis) tidak menilainya sebagai sah.” Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawdhuu’aat (kitab yang khusus mengumpulkan hadis-hadis Maudhu’).

Al-Hafizh Abu Sa’id al-‘Alaa`iy berkata, “Yang benar, bahwa ia hadis Hasan bila dilihat dari jalur-jalurnya, tidak sahih dan juga tidak Dha’if apalagi dikatakan Maudhu’ (palsu).”

Menurut Imam as-Suyuthi: “Memang demikian yang dikatakan Syaikhul Islam Ibn Hajar al-Haitsamy dalam fatwanya. Ucapan al-‘Alaa`iy dan Ibn Hajar tersebut telah beliau paparkan dengan panjang lebar di dalam kitabnya at-Ta’aqqubaat yang menyanggah kenyataan yang terdapat di dalam kitab al-Mawdhuu’aat tersebut. (Sila rujuk http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=424 )

Tafsiran dan syarah tentang beberapa potong ayat al Quran dan hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. juga adalah sangat bertentangan dengan tafsiran dan syarah sebenar yang disyarahkan oleh ahli tafsir dan ahli hadith.

Walaupun karya Dr. Faisal Tehrani tersebut hanyalah sebuah cerpen tetapi kandungannya sangat berbahaya kerana ia boleh meracuni pemikiran pembaca yang naif dengan mengelirukan ajaran Islam yang sebenar.

Cukuplah umat Melayu-Islam kita dipecahkan oleh ideologi politik kepartian yang nampaknya merugikan nasib kita. Ketika para pemimpin, ulama serta cerdik pandai kita sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian ke arah perpaduan, kita tidak mahu adanya kelompok lain yang mahu memecah-belahkan umat ini dengan membawa fahaman baru yang sesat lagi menyesatkan. Fahaman yang penuh dengan sifat pembohongan melalui amalan taqiyyah ini sangat berbahaya kerana ia ibarat musuh dalam selimut dan api dalam sekam.

Suatu masa nanti ia boleh meletuskan masalah perbalahan akidah dan isu kafir-mengkafir (letup-meletup dan pembunuhan) sehingga jadilah seperti di kebanyakan negara mempunyai penduduk berfahaman Syiah yang seimbang dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Saya harap akhbar arus perdana tidak menyiarkan lagi apa-apa cerpen atau karya Dr. Faisal Tehrani yang mempunyai unsur-unsur Syiah. Ini adalah bertepatan dengan langkah Kerajaan Malaysia untuk menyekat fahaman sesat ini dari merebak dalam masyarakat Islam di Malaysia seperti mana yang dilaksanakan oleh JAIS ketika di bawah Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

IBNU HUSSIN AL KELANTANI, Bandar Baru Bangi, Selangor