يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” [Surah Al-Hujuraat: Ayat 6]
“Saya sendiri melihat dokumen itu. Saya berjumpa dengan Chief Investment Officer daripada penderma berkenaan. Saya jumpa jugak dengan trustee kepada kewangan yang ada pada keluarga berkenaan. Saya tak perlu sebut nama. Tetapi saya tanya, kenapa 700 juta ini, 700 juta USD didermakan kepada Malaysia. Dia bagitau saya. Excellency, Malaysia is not the only country that we are funnelling our donation. Many other Muslim countries and friendly countries that we have donated.”
Demikianlah petikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyentuh mengenai dana AS$681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Ucapan tersebut dibuat ketika beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Batu Pahat, Johor pada 22 Ogos 2015 lalu.
Persoalannya yang belum terjawab sehingga kini ialah siapakah wakil ‘penderma’ yang Zahid Hamidi jumpa dan maksudkan itu?
Isu ‘derma’ RM2.6 bilion ini tercetus rentetan laporan oleh Wall Street Journal pada 2 Julai 2015 bahawa para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak. Najib Razak menafikan bahawa wang tersebut dari 1MDB sebaliknya ia merupakan sumbangan dari penderma Arab.
Kini isu ini kembali meletup dengan pendedahan terperinci dalam dokumen saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) yang didakwa transaksi-transaksi yang melibatkan akaun peribadi MALAYSIAN OFFICIAL 1 dalam skandal penipuan dana 1MDB. Walaupun DOJ tidak menamakan siapa MALAYSIAN OFFICIAL 1 itu, namun profilnya dilihat ‘kononnya’ sepadan dengan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.
Jika berdasarkan kepada dokumen saman sivil DOJ, ‘sumbangan’ AS$681 juta (RM2.6 bilion mengikut kadar pertukaran wang asing pada Julai 2015) yang berlaku pada Mac 2013 tidak langsung datang melalui akaun milik mana-mana putera Arab Saudi atau pemegang amanahnya.
Sebaliknya, dua transaksi didakwa memindahkan dana ke akaun peribadi di Ambank kononnya milik Najib Razak yang berlaku pada 2011 dikesan melibatkan akaun di Riyad Bank didakwa milik putera Arab Saudi yang juga pengasas bersama PetroSaudi. Pemindahan didakwa berlaku itu berjumlah lebih kurang AS$20 juta (RM60.44 juta mengikut kadar pertukaran wang asing pada 30 Jun 2011).
Dari situ timbul kembali persoalan, adakah individu yang dimaksudkan oleh Zahid Hamidi dalam kenyataan di atas adalah merujuk kepada pengasas bersama dan CEO PetroSaudi International yang juga pemegang amanah pelaburan Putera Turki bin 'Abdullah bin 'Abdul 'Aziz As Sa'ud iaitu Tarek Essam Ahmad Obaid?
Dari kiri adalah Jho Low, dalang utama skandal penipuan dana 1MDB; Putera Turki bin ‘Abdullah, pengasas bersama dan pemilik PetroSaudi; Perdana Menteri Najib Razak, pengasas dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB; Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri; Nor Ashman Najib, anak lelaki Najib Razak; Tarek Obaid, pengasas bersama dan CEO PetroSaudi dan; Nooryana Najwa Najib, anak perempuan Najib Razak. Gambar ini dikatakan dirakam ketika Najib, Rosmah Mansor, Nor Ashman dan Nooryana Najwa bersama Jho Low dan Tarek menghabiskan cuti musim panas di atas kapal mewah – Tatoosh – yang didakwa oleh Sarawak Report biasanya disewa dengan kadar AS$500,000 seminggu, di perairan selatan Perancis pada Ogos 2009.
Jika Tarek Obaid yang dimaksudkan beliau maka kenyataan Zahid Hamidi itu boleh dipertikaikan dan bercanggah dengan dokumen saman sivil DOJ (dengan anggapan MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang dimaksudkan ialah kononnya Najib Razak).
Seperti yang dinyatakan sebelum ini berdasarkan rekod transaksi bank dari dalam dokumen terbabit, wang AS$681 juta bukan dari akaun milik mana-mana keluarga diraja Arab Saudi atau pemegang amanahnya.
Sementara dana sejumlah AS$20 juta (RM60.44 juta) dari akaun putera Arab Saudi yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi MALAYSIAN OFFICIAL 1 pada 2011 juga didakwa dikesan berasal dari dana 1MDB.
Fasa Kemasukan AS$20 juta dari Akaun PETROSAUDI CO-FOUNDER
Dikatakan bahawa ia berpunca dari akaun Good Star Ltd milik Low Taek Jho atau Jho Low di RBS Coutts Bank Ltd dari wang sebanyak AS$1.03 bilion (AS$700 juta dipindahkan antara September dan Oktober 2009, dan AS$330 antara Mei dan Oktober 2011) yang diselewengkan dari dana 1MDB berpunca dari keputusan salah pegawai atasan 1MDB (yang berkomplot dengan Jho Low).
1MDB didakwa membuat pembayaran kepada syarikat dimiliki penama tunggalnya, Jho Low yang didakwa oleh CEO 1MDB ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai anak syarikat PetroSaudi International.
Tindakan tidak bertanggungjawab CEO 1MDB ini tidak disenangi Pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Azlan Mohd Zainol membuat keputusan meletak jawatan kerana marah apabila tuntutan mereka supaya wang berkenaan diserah semula, diabaikan.
Ahli lembaga pengarah 1MDB tidak berpuas hati apabila perjanjian ditandatangani tanpa banyak pertimbangan dan AS$700 bilion (RM2.6 bilion) yang diperuntukkan bagi projek kerjasama dipindahkan ke syarikat lain tanpa kebenaran mereka.
Sebahagian dari wang yang disonglapkan iaitu AS$24.5 juta dari AS$1.03 bilion (dari dana 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada anak syarikat PetroSaudi International) oleh Jho Low ini telah dipindahkan ke satu akaun yang mana penamanya ialah seorang putera Arab Saudi yang merupakan pengasas bersama PetroSaudi yang dinamakan dalam dokumen DOJ itu sebagai PETROSAUDI CO-FOUNDER. Profil putera Arab Saudi ini sama dengan Putera Turki bin 'Abdullah bin 'Abdul 'Aziz As Sa'ud.
Menurut rekod transaksi bank dari J.P. Morgan Chase, pemindahan itu berlaku dua kali dari akaun Good Star milik Jho Low ke akaun Riyad Bank dengan penama Putera Turki dan Tarek Obaid iaitu:
(i) AS$12.5 juta pada 18 Februari 2011
(ii) AS$12 juta pada 10 Jun 2011
Dari jumlah AS$24.5 juta ini, menurut rekod correspondent bank dari J.P. Morgan Chase dan Wells Fargo, sebanyak AS$20 juta didakwa telah dipindahkan dari akaun penama bersama PETROSAUDI CO-FOUNDER ke akaun peribadi MALAYSIAN OFFICIAL 1 di AmPrivate Banking, beberapa hari selepas pemindahan wang dari akaun Jho Low ke akaun mereka di Riyad Bank. Pemindahan ke akaun Najib Razak berlaku dua kali iaitu:
(i) Wire transfer sebanyak lebih kurang AS$10 juta pada 23 Februari 2011, lebih kurang 5 hari selepas PETROSAUDI CO-FOUNDER terima sebanyak AS$12.5 juta dari akaun Good Star.
(ii) Wire transfer sebanyak lebih kurang $10 juta pad 13 Jun 2011, lebih kurang 3 hari selepas PETROSAUDI CO-FOUNDER terima sebanyak AS$12 juta dari akaun Good Star.
Tarikh
|
Kredit ke Akaun PETROSAUDI CO-FOUNDER
|
Debit dari Akaun PETROSAUDI CO-FOUNDER
| ||
Dari
|
Jumlah
|
Jumlah
|
Ke
| |
18 Feb 2011
|
Akaun Good Star
|
AS$12,500,000
| ||
23 Feb 2011
|
AS$10,000,000
|
Akaun AMPRIVATE BANKING-MR
| ||
10 Jun 2011
|
Akaun Good Star
|
AS$12,000,000
| ||
13 Jun 2011
|
AS$10,000,000
|
Akaun AMPRIVATE BANKING-MR
|
Jadual pemindahan wang dari Good Star ke akaun PETROSAUDI CO-FOUNDER ke akaun peribadi MALAYSIAN OFFICIAL 1.
Jikapun AS$20 juta (RM60.44 juta) ini disahkan sebagai derma kepada Najib Razak, ia tidak releven langsung dengan isu kemasukan dana AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang menjadi polemik besar sehingga kini! Bahkan AS$20 juta ini pun jika ia dikatakan derma oleh individu yang menyalurkannya adalah sebenarnya berasal dari dana 1MDB juga mengikut dokumen DOJ ini.
Fasa Kemasukan AS$681 juta dari Akaun Tanore Finance Corp
Berdasarkan dokumen DOJ, dana AS$681 juta itu sebenarnya berpunca dari langganan terbitan bon Islamik oleh 1MDB pada 2013 sebanyak AS$1.26 bilion yang diselewengkan ke akaun Tanore Finance Corporation di bawah penama Tan Kim Loong atau Eric Tan (rakan baik Jho Low). Dana sebanyak AS$1.26 bilion ini merupakan sebahagian dari AS$3 bilion dalam prinsipal yang 1MDB perolehi melalui terbitan bon islamik yang diaturkan oleh Goldman Sach pada Mac 2013. Ia sepatutnya digunakan untuk mendanai ADMIC (Abu Dhabi Malaysia Investment Company), iaitu syarikat usahasama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS (syarikat tulen yang berdaftar di Abu Dhabi UAE bukan Aabar BVI).
Tidak lama selepas perolehan dari terbitan bon Islamik dilencongkan ke akaun Tanore Finance Corporation dengan penamanya Eric Tan, sebanyak AS$681juta telah didakwa dipindahkan dari akaun tersebut ke akaun MALAYSIAN OFFICIAL 1 dan ia berlaku sebanyak dalam dua transaksi:
(i) Pada 21 Mac 2013, Tanore memindahkan AS$620 juta ke dalam akaun AmBank di Malaysia.
(ii) Pada 25 Mac 2013, tambahan sebanyak $61 juta dipindahkan secara wire transfer dari akaun Tanore ke akaun sama di AmBank, menjadikan jumlahnya AS$681 juta (RM2.6 bilion).
Akaun Ambank milik MALAYSIAN OFFICIAL 1 ini merupakan akaun sama yang menerima AS$20 juta dari PETROSAUDI CO-FOUNDER yang berasal dari akaun Good Star pada 2011.
Fasa Kemasukan AS$30 juta dari Akaun Blackstone
Selain itu, MALAYSIAN OFFICIAL 1 juga didakwa turut menerima sekurang-kurangnya AS$30 juta (lebih kurang RM91.2 juta berdasarkan kadar tukaran wang asing pada 30 November 2012) dari akaun Blackstone Asia Real Estate Partners (“Blackstone”) yang berasal dari akaun Aabar-BVI dan terbitan bon Islamik pada 2012. Transaksi tersebut berlaku pada Oktober dan November 2012. Blackstone dimiliki oleh Eric Tan (rakan baik Jho Low).
Sebelum itu, melalui langganan terbitan dua bon Islamik oleh 1MDB pada 2012, sebanyak AS$1.367 bilion atau lebih 40% perolehan bersih darinya telah diselewengkan ke syarikat palsu, Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI). Syarikat Aabar BVI ditubuhkan dan didaftarkan di British Virgin Island dengan nama yang sama dengan anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS yang didaftarkan di Abu Dhabi, bertujuan memperdaya pihak berkaitan. Penipuan dana 1MDB ini didakwa berlaku melalui komplot pegawai atasan 1MDB, pegawai atasan IPIC, Aabar Investments PJS (yang sudah dipecat awal tahun ini) dan sekutu mereka. Dalang utama komplot penipuan berskala besar dan mungkin terbesar di dunia ini ialah Jho Low. Jho Low merupakan sahabat baik anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dan Najib Razak sendiri.
Untuk rekod, pada Jun 2016 lalu, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar) telah mengemukakan permintaan timbang tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London berhubung tuntutannya melibatkan lebih AS$6.5 bilion daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF).
IPIC ialah syarikat dana milik sepenuhnya Kerajaan Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
"RFA prihatin terhadap kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dinyatakan dalam pengumuman IPIC GMTN Limited pada 10 Jun 015 (RNS Nombor 7064P)," kata IPIC dalam kenyataan yang dihantar kepada Bursa Saham London.
Menurut IPIC, kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima telah menyebabkan IPIC tiada pilihan alternatif selain meneruskan tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.
Kata IPIC lagi, tuntutan itu akan ditentukan oleh tribunal timbang tara yang akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan LCIA.
Mengikut perjanjian pada 2012, IPIC telah bersetuju untuk menjamin AS$3.5 bilion dalam bon Islamik 1MDB, meminjamkan beberapa bilion dollar AS, dan membayar dividen kepada bon-bon tersebut. Sebagai pertukarannya, 1MDB perlu memberi cagaran sebanyak A$1.4 billion kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS dan juga tawaran kepada syarikat tersebut untuk membeli 49 peratus saham dalam aset-aset tenaga 1MDB.
Laporan Reuters pada 14 Jun 2016 lalu mengenai tindakan IPIC mengheret 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia ke mahkamah timbang tara di London.
Bermula pada hari Aabar BVI memperolehi dana dari 1MDB, ia telah didakwa memindahkan sebanyak lebih kurang AS$636 juta ke akaun bank di Singapura atas nama Blackstone. Dalam tempoh yang sama juga, Aabar BVI didakwa memindahkan menerusi pelbagai dana pelaburan luar negara sebanyak lebih kurang AS$465 juta ke dalam akaun Blackstone ini.
Berbalik kepada transaksi yang didakwa berlaku dalam akaun peribadi milik MALAYSIAN OFFICIAL 1 pula, pada 26 Ogos 2013, sebanyak AS$620,010,715 telah didakwa dikembalikan secara wire transfer dari akaun bank Ambank lain yang juga didakwa milik Najib kepada akaun Tanore Finance Corporation yang juga milik rakan baik Jho Low iaitu Eric Tan. Transaksi ini didakwa merupakan pemulangan semula sebahagian wang AS$681 juta yang didakwa dipindahkan ke akaun peribadi MALAYSIAN OFFICIAL 1 pada 21 dan 25 Mac 2013. Ini bermakna jumlah yang tidak dipulangkan ialah lebih kurang AS$61 juta (RM233 juta menurut kadar tukaran wang asing ketika isu dana RM2.6 juta meletus iaitu pada Julai 2015).
Najib Razak (nama yang sering dirujukkan sebagai MALAYSIAN OFFICAL 1) dan Zahid Hamidi sepatutnya menjawab persoalan ini, sama ada dakwaan ini benar atau tidak?
Usaha telah dibuat oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapat penjelasan dari Najib Razak di mahkamah namun malangnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai 2016 telah menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu bersama dua yang lain untuk menyoal balas Najib Razak dalam kes saman RM2.6 bilion.
Segala transaksi dan kenyataan setiap pihak hendaklah ditabayyun atau diselidik dan tidak boleh diterima bulat-bulat. Sama ada RM2.6 bilion itu merupakan sebahagian dari dana 1MDB yang diselewengkan atau ia benar-benar derma dari putera Arab Saudi, sepatutnya ia dibicarakan di mahkamah yang adil. Bukan sekadar mengiyakan pengakuan dari pihak pemberi bahawa ia derma, atau sekadar membaca dakwaan DOJ bahawa ia dari dana yang diselewengkan! Ia tidak boleh dipandang mudah kononnya konspirasi Yahudi atau Amerika Syarikat kerana isu dana 1MDB ini turut disiasat dan menjadi pertikaian di banyak negara terlibat seperti termasuk negara Islam seperti Malaysia dan UAE selain Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa lagi negara.