Jumaat, 4 April 2014

Misi SAR MH370: Rahsia Di Sebalik Kapal Selam

“The value of a submarine is in its stealth and its ability to stay hidden - Nilai sesebuah kapal selam adalah terdapat pada kehalimunannya dan kemampuan ia berada secara sembunyi,” kata Eric Wertheim, seorang penganalisis dan pakar ketenteraan laut United States Naval Institute di Annapolis, Md.
 
Katanya lagi, “It could very well be doing it. But countries don't typically announce their submarine’ locations - Ia dengan baik boleh melakukannya. Bagaimanapun negara-negara terbabit biasanya tidak mengumumkan lokasi kapal selam mereka.”


Orang yang naif tentang pengetahuan persenjataan tidak akan faham kenapa 'keringat' dua kapal selam jenis tempur (attack submarine) kelas Scorpène kepunyaan negara tidak 'ditonjolkan' kepada khalayak termasuk beroperasi ketika insiden di Lahad Datu dan terbaru operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370.

Pergerakan dan operasi aset strategik pertahanan negara seperti kapal selam diesel-elektrik, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak ini perlu mengambil kira isu-isu kerahsiaan yang mungkin mendedahkan ia bocor kepada pihak tertentu. Sifat dan kekuatan sesebuah kapal selam itu terserlah kepada tahap kehalimunannya dan kemampuan untuk bersembunyi.

KD Tunku Abdul Rahman belayar bersebelahan KD Tun Razak, berdekatan Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah.

Kepada orang yang naif, tak usah bicara kepada pertimbangan seperti risiko ciri-ciri kerahsiaan dan kemampuan sebenar kapal selam negara terdedah sepanjang operasi SAR jika ia dibuat secara terbuka, di masa tentera laut pelbagai negara menyertai operasi terbabit.

Kapal Selam dan Acoustic Signature


Isu seperti kemungkinan acoustic signature yang dihasilkan kapal selam tersebut akan dirakamkan oleh pihak tentera negara lain pun mereka tidak akan faham. Sekiranya rahsia kemampuan aset strategik pertahanan terdedah, tiada lagi gahnya sebuah kapal selam untuk menjaga perairan negara apabila diancam pihak asing kelak, nauzubillahi min zaalik.

Acoustic signature menjadi isu sensitif bagi pengendalian kapal selam oleh tentera laut mana-mana negara, contohnya peristiwa cubaan tentera Rusia untuk merakam acoustic signature kapal selam kelas Vanguard milik Tentera Laut Diraja British yang dikesan pada tahun 2010 seperti dilaporkan oleh akhbar harian Britain, The Daily Telegraph. Kapal selam kelas Vanguard merupakan satu kelas kapal selam peluru berpandu balistik (SSBN) berkuasa nuklear yang kini digunakan oleh Britain.
 
 
 
Pertimbangan sebegini sememangnya sesuatu yang penting untuk diambil kira oleh mana-mana tentera laut sekalipun kapal selam mereka mempunyai kemampuan untuk operasi SAR MH370 sepertimana HMS Tireless (S880 milik Tentera Laut Diraja British.

Di Mana Kapal Selam AS, China dan Australia, Dan Kenapa HMS Tireless?

Bagi HMS Tireless (S88) pula, mungkin pengumuman penglibatannya dibuat secara terbuka tidak menjadi suatu masalah kerana kapal selam nuklear kelas Trafalgar, HMS Tireless (S88) ini akan dilucut tauliahkan (decommissioned) dalam masa terdekat. Kapal selam itu dilaporkan oleh BBC sepatutnya dilucut tauliahkan pada tahun 2013 lalu.

 
 
HMS Tireless (S88) telah ditauliahkan (commissioned) pada tahun 1985. Mungkin HMS Tireless (S88) ini akan berbakti untuk hari-hari terakhir sebelum khidmatnya ditamatkan. Kapal selam itu sebenarnya bukan lagi aset strategik pertahanan Tentera Laut British.

Untuk rekod, Tentera Laut Diraja Australia mempunyai enam kapal selam diesel-elektrik. Tentera Laut Amerika Syarikat mempunyai 72 kapal selam. Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China pula mempunyai lebih 60 kapal selam. Ketiga-tiga negara tersebut terlibat aktif dalam SAR MH370 tetapi sehingga kini tidak pernah mengumumkan penggunaan kapal selam mereka dalam operasi terbabit setakat ini! Kita boleh pasti negara mana antara ketiga-tiga itu mempunyai kapal selam yang lebih canggih dan berkeupayaan dari Britain dan Malaysia sendiri.

Bagi operasi SAR di Lautan Hindi ini tentunya kapal selam nuklear lebih sesuai berbanding kapal selam diesel-elektrik. Kapal selam nuklear seperti HMS Tireless boleh menyelam sehingga 90 hari bergantung kepada bekalan makanan tanpa perlu timbul pada kedalaman melebihi kapal selam diesel-elektrik.

Malaysia dan Australia tidak mempunyai kapal selam berkuasa nuklear. Dua kapal selam kelas Scorpène milik Malaysia dan enam kapal selam kelas Collins milik Australia merupakan kapal selam berkuasa diesel-elektrik. Kesemua 72 kapal selam milik Amerika Syarikat adalah kapal selam nuklear. China pula dilaporkan mempunyai 12 kapal selam nuklear dari lebih 60 kapal selam yang dimiliki.    

Barangkali ada antara negara-negara ini telah pun menggerakkan kapal selam mereka secara senyap-senyap untuk operasi SAR MH370 ini, kita sendiri tidak tahu.
 
Kalau Tidak Tahu, Lebih Baik Diam!

Mereka yang suka mengkaji dan tidak berlagak pandai mengalahkan mereka yang arif dengan sistem pertahanan laut, pasti akan dapat memahami rasional kenapa tentera-tentera laut yang dinyatakan itu tidak tergesa-gesa untuk menghantar kapal selam mereka!

Janganlah kita suka mempersenda dan memperendahkan kemampuan tentera kita sendiri jika tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang dibicarakan itu, biarpun kita seorang pemegang ijazah PhD dalam bidang agama sekalipun!

Imam An Nawawi RH menyebutkan:
 
 وأما قوله صلى الله عليه و سلم فليقل خيرا أو ليصمت فمعناه أنه اذا أراد أن يتكلم فإن كان ما يتكلم به خيرا محققا يثاب عليه واجبا اومندوبا فليتكلم وان لم يظهر له أنه خير يثاب عليه فليمسك عن الكلام سواء ظهر له أنه حرام أو مكروه أو مباح مستوي الطرفين فعلى هذا يكون الكلام المباح مأمورا بتركه مندوبا إلى الإمساك عنه مخافة من انجراره إلى المحرم أو المكروه وهذا يقع في العادة كثيرا أو غالبا
 
“Adapun sabda Rasulullah SAW: “Maka hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam”, maka maknanya adalah jika dia ingin berbicara, maka, jika apa yang dia bicarakan itu adalah sebuah kebaikan yang diharapkan, diberikan pahala atasnya, baik berupa yang perkataan yang wajib atau dianjurkan, maka hendaklah ia berkata-kata, dan jika tidak terlihat untuknya, bahawa perkataan tersebut adalah sebuah kebaikan yang diberikan pahala atasnya, maka hendaklah ia menahan dari perkataan, baik terlihat untuknya bahawa ia adalah perkataan yang haram atau makruh atau harus, sama sisi keduanya, oleh kerana itu, perkataan yang baik diperintahkan untuk meninggalkannya, dianjurkan untuk menahannya, kerana ditakutkan akan menariknya kepada sesuatu yang haram atau yang makruh, dan hal ini sering terjadi dalam kebiasaan.” [Lihat kitab Syarah An Nawawi ‘ala Shahih Muslim, 2/19]
 
MV Swift milik Singapura
MV Mega Bakti milik Malaysia

 
Ramai yang salah sangka bahawa Kapal MV Swift yang dihantar oleh Singapura untuk operasi SAR di Laut China Selatan pada bulan lalu merupakan kapal selam. Sebenarnya Kapal MV Swift bukan sebuah kapal selam tetapi ia merupakan sebuah kapal sokongan dan penyelamat kapal selam - Submarine Support & Rescue Vessel (SSRV).
 
Malaysia juga memiliki kapal jenis penyelamat kapal selam dan ia telah digunakan dalam operasi SAR MH370 di Laut China Selatan sebelum ini. Operasi kapal Malaysia itu telah pun bermula sebelum Angkatan Laut Singapura (RSN) menghantar MV Swift SSRV lagi. Kapal SubMarine Escape & Rescue (SMER) yang digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dimaksudkan itu ialah MV Mega Bakti.