1. Pada 31 Julai 2006, Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 1696 dan
diikuti Resolusi 1737 (23 Disember 2006), Resolusi 1747 (24 Mac 2007), Resolusi
1803 (3 Mac 2008), Resolusi 1835 (2008) dan Resolusi 1929 (9 Jun 2010) yang
mengenakan sekatan ke atas Iran. Semua resolusi-resolusi ini diluluskan tanpa
bangkangan kuasa veto Rusia mahupun China. Justeru, pandangan sesetengah pihak
bahawa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak mungkin menyerang Iran kerana negara
itu dilindungi oleh Rusia dan China adalah tidak benar. Apatah lagi, AS pernah
mengambil tindakan unilateral tanpa mandat Majlis Keselamatan
PBB apabila menyerang dan menakluk Afghanistan (2001) dan Iraq (2003) atas
alasan untuk memerangi keganasan.
2. Sejak Revolusi Iran 1979, AS telah dilihat
memimpin usaha antarabangsa untuk mengenakan sekatan terhadap Iran bagi
mempengaruhi polisi negara tersebut, termasuk dengan cara mewujudkan persepsi
negatif terhadap program pengkayaan uranium oleh Iran. Ia telah dibayangi
dengan kebimbangan program tersebut bertujuan untuk membangunkan keupayaan
membina senjata nuklear.
Propaganda Senjata Nuklear Iran
3. Hakikatnya pada 2009, Ketua Pengarah
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ketika itu, Mohamed El Baradei yang
mengetuai siasatan antarabangsa telah mengesahkan tiada bukti kukuh menunjukkan
Iran membangunkan senjata nuklear. Menurut El Baradei, dakwaan terhadap
Iran oleh Barat bahawa negara tersebut sedang membangunkan senjata nuklear satu
perkara yang sengaja diperbesarkan tanpa disandarkan kepada fakta. Kenyataan
ini turut disokong oleh Ketua Pengarah IAEA sekarang, Yukiya Amano. Bekas Ketua
Pengarah IAEA sebelum El Baradei, Dr. Hans Blix juga pernah menyatakan bahawa
Iran tidak pernah melanggar Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear
(NPT) dan tiada sebarang bukti menunjukkan Iran sedang membangunkan senjata
nuklear. Realiti ini juga telah diakui oleh Pengarah Perisikan Kebangsaan AS
sendiri, James Clapper yang pernah memberi keterangan pada Mac 2011 bahawa
beliau mempunyai yakin bahawa Iran tidak pernah mengusahakan pembangunan
senjata nuklear, walaupun dia berkata pihak perisikan tidak tahu sama ada Iran
mempunyai tujuan ke arah itu.
4. Saya tidak pernah mengatakan bahawa Iran
hanya berpura-pura menjadi musuh kepada AS atau Israel. Sebaliknya, saya
berpendapat bahawa hubungan dan tindak-tanduk AS (baca bersama Israel) terhadap
Iran adalah suatu bentuk retorik, propaganda dan ‘permainan wayang’
semata-mata. Pendapat saya ini adalah menjurus dalam konteks strategi
geo-politik (termasuk yang paling utama ialah tujuan AS untuk memastikan
keselamatan Israel, mengekalkan hegemoni mereka di rantau Arab, serta
menghalang kemaraan Islam – baca Sunni di Barat) di kepentingan ekonomi mereka.
Peranan Kuasa Besar Dunia AS, Rusia dan China
5. Untuk pengetahuan saudara, Rusia hari ini
adalah berbeza dengan Kesatuan Soviet. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada
tahun 1991, Perang Dingin yang bermula sejak 1947 telah pun berakhir. Pengaruh
Rusia tidak lagi segah semasa Kesatuan Soviet dulu. Sebaliknya, China dilihat
paling berpotensi untuk mengambil alih pengaruh yang pernah mereka miliki itu,
malah tidak mustahil China mampu menggantikan kedudukan AS yang menunggu masa
untuk tumbang. Adapun sesetengah tindakan Rusia dan China yang dilihat
cenderung memihak kepada Iran, ia bukanlah bermakna mereka secara mutlak
sentiasa mempertahankan negara Parsi tersebut. Sebaliknya, persepsi yang
mengatakan Rusia dan China akan menghalang sebarang usaha menyerang Iran melalui
penggunaan kuasa veto adalah sebahagian dari perang saraf kuasa-kuasa besar itu
sendiri untuk memperkuatkan pengaruh mereka di rantau Asia dan dunia.
Wakil Tetap Rusia, Vitaly Churkin dan
Wakil Tetap China, Zhang Yesui di Majlis Keselamatan PBB
6. Realitinya, Rusia dan China, yang
merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak pun menggunakan kuasa veto
mereka bagi menghalang resolusi-resolusi yang meluluskan sekatan terhadap Iran.
Sekali lagi saya ulangi, berdasarkan sejarah, AS sebenarnya tidak memerlukan
mandat antarabangsa untuk melakukan sebarang tindakan ketenteraan terhadap
mana-mana negara, dan mereka banyak kali melakukan tindakan unilateral terhadap
negara lain termasuk negara yang mempunyai hubungan baik dengan Rusia iaitu
Iraq pada tahun 2003.
Mengapa AS tidak menyerang Iran?
7. Jika AS benar-benar berpendirian bahawa
Iran merupakan negara yang sangat berbahaya dan digambarkan sebagai Paksi
Kejahatan (Axis of Evil) selain Iraq dan Korea Utara oleh bekas
Presidennya, George W. Bush, maka AS sepatutnya telah melakukan tindakan
ketenteraan di negara Syiah tersebut. Berbeza dengan Korea Utara, AS khuatir
dengan ancaman perang nuklear bakal berlaku sekiranya negara itu diserang.
Kewujudan senjata nuklear Korea Utara telah disahkan oleh Barat melalui bukti
imej satelit dan ia turut diakui secara terbuka oleh pemerintah Korea Utara.
Negara sosialis itu turut mempunyai hubungan baik dengan dua kuasa besar iaitu
Rusia dan China yang bersempadan dengannya. Keupayaan peluru berpandu antara
benua (ICBM) Korea Utara dikatakan mampu menjangkau ke wilayah pantai barat AS
termasuk Kepulauan Hawaii. Faktor-faktor inilah menjadi penyebab utama, AS
sehingga kini tidak berani mengambil tindakan ketenteraan ke atas Korea Utara.
Hal yang sama berlaku ke atas Iran juga berlaku dalam kes Korea Utara, kuasa
veto Rusia dan China juga tidak digunakan untuk menghalang resolusi-resolusi
sekatan terhadap negara sosialis Korea itu. Justeru, alasan bahawa Rusia dan
China pasti akan mempertahankan Iran dan Korea Utara di Mesyuarat Majlis
Keselamatan PBB adalah tertolak.
8. Jika dalam kes Korea Utara, AS tidak
berani menyerang negara terbabit kerana Korea Utara sememangnya mempunyai
senjata nuklear, alasan yang sama tidak releven untuk Iran. Dalam kes Iran
ini, seperti dinyatakan sebelum ini hasil penyiasatan-penyiasatan IAEA dan PBB
(malah pernah diakui Pengarah Perisikan Keselamatan AS sendiri) telah
disimpulkan bahawa tidak wujud program pembangunan senjata nuklear di negara
tersebut.
9. Saya konsisten dalam pendirian saya
sebelum ini bahawa situasi yang berlaku di rantau Arab, Timur Tengah dan Teluk
dalam beberapa dekad kebelakangan ini adalah lebih melibatkan strategi politik
kuasa besar dunia (AS, Rusia dan China), kerajaan negara-negara Arab dan
kebangkitan kumpulan Syiah. Di samping itu faktor ekonomi juga menjadi antara
elemen penting dalam rangka kerja kuasa besar di situ yang mana memiliki
simpanan sumber minyak terkaya di dunia.
Kemaraan Syiah perlu dikekang di Semenanjung
Arab
10. Seperti yang telah dinyatakan sebelum
ini, kerajaan-kerajaan Arab dengan pemerintahan beraja di rantau Teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai kebimbangan yang
munasabah dan mereka memikirkan langkah perlu diambil bagi menyekat kemaraan
kumpulan pemberontak dan penentang terutama dari minoriti Syiah (kecuali di
Bahrain, Syiah merupakan majoriti). Ketidak stabilan politik di negara mereka
akan menggugat kedudukan kuasa raja-raja Arab tersebut. Bukan sahaja ia menjejaskan
politik negara, ia secara langsung juga akan memusnahkan ekonomi negara-negara
teluk yang kaya itu dan merubah landskap sosial dan agamanya. Lebih
parah, Teori Domino kejatuhan mana-mana kerajaan
beraja di rantau itu pasti akhirnya akan menumbangkan pemerintahan beraja lain
termasuk Keluarga Diraja Saud di Arab Saudi. Kekacauan dan pertumpahan darah di
negara yang terletaknya dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah itu
pastinya akan merugikan umat Islam. Bukan sahaja ia mengganggu ibadah haji dan
umrah jutaan umat Islam setiap tahun tetapi juga mengakibatkan kematian mungkin
ratusan ribu rakyat tidak berdosa, selain menimbulkan persepsi negatif bukan
Islam terhadap umat Islam di Semenanjung Arab, tempat kelahiran Islam dan dua
kota suci itu.
11. Oleh sebab itulah, negara-negara Arab di
rantau Teluk dilihat mempunyai hubungan baik dengan AS, malah mereka sanggup
membenarkan penempatan tentera AS di negara mereka. Beberapa faktor yang
menatijahkan dasar luar mereka itu ialah disebabkan tidak mahu berkonfrontasi
dengan kuasa besar demi kelangsungan pemerintahan mereka. Mereka khuatir AS
bertindak melakukan regime change (perubahan rejim) seperti
mana berlaku di banyak negara yang berkonfrontasi dengan negara Uncle
Sam sama ada melalui dukungan politik, sekatan ekonomi atau tindakan
ketenteraan.
12. Saya membangkitkan persoalan di mana
tindakan Syria, Iran dan Hizbullah semasa penduduk Palestin diserang bagi
mengenepikan persepsi yang ditonjolkan oleh pihak tersebut dan penyokong mereka,
bahawa Syiahlah sebenar-benar pejuang Islam sejati yang berani mempertahankan
umat Islam dan melawan AS serta Israel. Hakikatnya, ia adalah sebaliknya.
Mereka sibuk mempromosikan Hari Al-Quds Sedunia yang digagaskan oleh Khomeini
tetapi fakta menunjukkan terlalu sedikit yang mereka lakukan untuk membantu
rakyat dan bumi Palestin. Seteruk-teruk raja-raja Arab, merekalah yang
menjuarai bantuan kemanusiaan dan dukungan politik kepada Palestin termasuk
Hamas dan Fatah. Sunnilah yang berjuang mempertahankan bumi Palestin dan
berusaha mengembalikan penguasaan di kota ketiga tersuci umat Islam iaitu
Baitulmuqqadis.
13. Presiden Iraq yang berfahaman Sunni dari Parti
Sosialis Ba’ath, Saddam Hussein mungkin dipandang buruk oleh sebahagian pihak.
Namun demikian, beliaulah pemimpin Arab yang berani bertindak balas dengan
melancarkan peluru berpandu Scud milik Iraq ke negara haram
Israel apabila rakyat Palestin diserang oleh tentera zionis. Ironinya, pemimpin
Syiah dari Parti Sosialis Ba’ath seperti Hafez Al-Assad dan kemudian anaknya
Bashar Al-Assad yang memimpin Syria, negara jiran kepada Israel dan Palestin
serta mempunyai kekuatan ketenteraan yang seimbang seperti Iraq tidak pernah
mengambil sebarang tindakan ketenteraan untuk menyokong rakyat Palestin seperti
mana dilakukan oleh Saddam. Begitu juga Iran yang kononnya digambarkan paling
berani di kalangan dunia Islam, juga tidak seberani Iraq di bawah Saddam
Hussein.
14. Saya tidak menafikan bahawa Saddam
Hussein bukanlah pemimpin yang mempunyai rekod bersih atau baik dalam
pemerintahannya. Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah bagi membuka minda
sesetengah pihak yang dimomok-momokkan bahawa Syiah Iran adalah negara Islam
sebenar dan dalam konfrontasi Iran dengan negara-negara Islam lain, Iran
sentiasa di pihak yang benar kerana keluhuran dasar luar mereka.
15. Mesej yang ingin disampaikan di sini
ialah sebarang ugutan AS mahu menyerang Iran hanya satu gimik dan aktiviti
dasar luarnya yang agresif ke atas Iran ketika ini lebih bersifat retorik dan
propaganda. Ia diambil untuk mengekalkan hegemoni mereka di rantau Timur Tengah
dan Teluk. Saya percaya bahawa AS tidak akan menyerang Iran kerana kewujudan
Kerajaan Syiah Iran penting dalam menimbulkan kebimbangan dan Syiahofobia di
kalangan negara-negara Arab terutama negara yang diperintah oleh dinasti raja. Kelompok minoriti Syiah memang diketahui dan terbukti dalam sejarah
Islam sentiasa mewujudkan pertelagahan dengan kerajaan yang dipimpin oleh
Sunni. Pertumpahan darah tidak dapat dielakkan apabila kehadiran mereka dalam
jumlah yang besar dalam wilayah Sunni.
16. Keadaan ini berlaku kerana akidah dan
amalan ritual Syiah itu sendiri bersifat sensitif kepada umat Islam apabila
mereka mencerca dan mengkafirkan para isteri dan sahabat Nabi r.a. seperti
A’isyah, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, ‘Uthman Ibnu ‘Affan dan
lain-lain. Umat Islam mana tidak marah atau tersinggung apabila tokoh terbilang
Islam diperlakukan sebegitu rupa. Ditambah lagi ‘fatwa-fatwa’ songsang dan
keterlaluan ulama Syiah seperti Khomeini dalam kitabnya, Al-Thaharah yang
menulis A’isyah, Zubair, Thalhah dan Muawiyyah lebih kotor dan keji daripada anjing dan
babi!
Bahaya Syiah kepada umat Islam
17. Benar kata-kata yang menyebut bahawa di
mana ‘ada’ Syiah di situ akan berlaku konflik dan perpecahan ketara antara umat
Islam. ‘Ada’ di sini adalah merujuk kepada kehadiran mereka dalam bilangan yang
agak besar dalam kawasan majoriti umat Islam.
18. Pengkafiran antara Sunni dan Syiah akan
melahirkan pertumpahan darah, apabila darah akan dianggap halal oleh kedua-dua
pihak yang bertelagah terutama apabila ‘sarang tebuan dijolok’ dengan
penghinaan yang keterlaluan terhadap Ummahat Al-Mukminin dan Khulafa’
Ar-Rasyidin. Sebaliknya, Sunni tidak pernah menghina mana-mana tokoh agung
Syiah dari kalangan Ahli Al-Bait serta keturunan Nabi Muhammad
S.A.W. Malah Sunni menyanjung dan menganggap nama-nama seperti Imam Zaid bin 'Ali dan Imam Ja'afar Ash-Shoodiq juga sebenarnya adalah
merupakan tokoh berwibawa dari kalangan mereka, bukannya tokoh Syiah Rafidhah seperti
didakwa.
19. Dalam saling berbunuhan dan saling berbalas serangan
ini, saya tidak hanya menyandarkan kepada keganasan oleh puak Syiah semata-mata
tetapi keganasan itu turut dilakukan oleh orang Sunni. Halnya berlaku seperti
apa yang saya nyatakan sebelum ini, mereka berbalas dendam bermula dengan
provokasi melampau dan tindakan Syiah yang ‘menjolok sarang tebuan’ dengan
isu-isu sensitif umat Islam. Isu-isu itu melibatkan penghinaan ke atas umat
Islam dan nyata bercanggah dengan akidah yang benar iaitu akidah Ahlus Sunnah
Wal Jama’ah. Kekarutan dan tokok-tambah dalam akidah seperti mewajibkan beriman
kepada rukun tambahan, Usūl al-Dīn mereka iaitu Al-Imāmah. Sesiapa yang tidak menurut dan
beriman kepada akidah mereka itu dianggap kafir, wajib dimusuhi dan akan
dihumban ke neraka. Walaupun ulama Sunni telah menghukum bahawa Syiah adalah sesat dan menyeleweng, tetapi mereka tidak sepakat dalam
mengkafirkan Syiah kerana Syiah juga mengucap kalimah syahadah. Hadith-hadith
shahih yang dipegangi Sunni menatijahkan ketetapan sebahagian ulama Sunni
bahawa sesiapa yang mengucap kalimah syahadah tetap dianggap sebagai saudara
seagama walaupun mereka menyeleweng akidah (tetapi menyembunyikannya secara
zahir). Seseorang boleh dihukum kafir hanya apabila tiada lagi hujah
menjustifikasi keIslaman dan keimanan mereka.
20. Kelicikan Syiah ialah mereka dapat meneruskan
kelangsungan fahaman mereka dalam masyarakat Islam melalui senjata taqiyyah.
Amalan taqiyyah menjadi satu syariat dan kewajipan bagi
penganut Syiah apabila berhadapan dengan Sunni. Mereka secara nyata
mengkafirkan Sunni seperti mana dijelaskan dalam kitab-kitab muktabar pegang
mereka tetapi kerana taqiyyah bagi mendekatkan (usaha taqrib)
Sunni-Syiah, mereka berpura-pura menerima Sunni sebagai saudara mereka. Hakikat
ini telah disedari oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Sheikh Dr.
Yusuf Al-Qaradhawi sendiri yang dahulu pernah menjuarai usaha taqrib Sunni-Syiah
di peringkat antarabangsa.
Ayatollah Seyyed Ali
Hosseini Khamenei merupakan pemimpin agung Iran kini yang
menggantikan Imam Ruhollah Khomeini
21. Tanpa kewujudan negara Syiah yang kuat
seperti Iran, kelompok Syiah di rantau Arab terutama negara-negara Arab beraja
tidak mampu berpaut dan dibantu sama ada dari sudut dana kewangan, psikologi
dan sokongan antarabangsa. Keresahan mereka tentang ancaman kelompok ini akan
hilang, maka kerajaan-kerajaan beraja di rantau Teluk mungkin tidak lagi
memerlukan kehadiran AS dalam mengekang ancaman negara Iran dan Syiah. Inilah
antara strategi geo-politik AS dan negara-negara Arab.
22. Rumusannya ialah AS masih memerlukan
kehadiran negara Iran bagi mewujudkan kebergantungan negara-negara Teluk yang
diperintah oleh raja-raja Arab terhadap ancaman kebangkitan kelompok Syiah yang
mula mendapat kembali nafas selepas Revolusi Iran pimpinan Khomeini. Tidak
boleh dinafikan lagi, Syiah dianggap ancaman besar kepada negara-negara Teluk
dengan pemerintahan beraja seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE. Enam buah negara ini telah membentuk satu pakatan
bersama melalui Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC). Ancaman
kelompok Syiah bukan perkara baru dalam dunia Islam, bahkan ia telah tercatat
dalam sejarah lampau kerajaan Islam sejak zaman Khulafa’
Ar-Rasyidin lagi yang mengakibatkan pertumpahan darah banyak berlaku
kerana konfrontasi Syiah dan pemerintah. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan
tentera Mongul Tartar juga berpunca dari pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah
bernama Alauddin Ibnu Al-Alqami dan seorang menteri Syiah bernama Nashiruddin
Ath-Thusi. Di era moden ini, Iraq dan Afghanistan menjadi contoh bagaimana
kerjasama di sebalik tabir dan terbuka antara Syiah dan Amerika Syarikat telah
berjaya menumbangkan Kerajaan Saddam Hussein di Iraq dan Kerajaan Taleban di
Afghanistan. Sememangnya jelas kekhuatiran mereka ketika ini adalah berasas
jika dilihat kepada kegiatan-kegiatan anti-kerajaan yang digerakkan oleh
kumpulan Syiah terutama di Bahrain dan Arab Saudi beberapa tahun kebelakangan
ini.
Politiking Raja-Raja
Arab di Negara Teluk
23.
Pada masa yang sama AS bersama negara-negara Barat lain memanipulasikan
kesempatan ini untuk mengaut sebahagian kekayaan dan mengekploitasi hasil
minyak negara-negara Teluk terbabit. Selain itu, perlumbaan untuk membeli
kelengkapan persenjataan juga menguntungkan mereka, kerana negara-negara Teluk
yang kaya sanggup berbelanja berbilion dolar AS setiap tahun untuk tujuan
menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan termasuk dari Iran dan Al-Qaeda. Negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, walaupun mempunyai hubungan diplomatik
dengan Iran, tetapi hubungan itu dianggap umpama ‘api dalam sekam’. Kehadiran
AS di rantau itu sebagai kuasa besar dengan mempunyai pangkalan tentera juga
turut mempengaruhi dasar luar kerajaan-kerajaan negara Teluk yang pro-Barat.
Enam pemimpin Sunni dalam Majlis Kerjasama Negara-negara
Arab Teluk (GCC) dari Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE bersidang di
Riyadh, Arab Saudi pada Mei 2012.
24. Justeru, saya berpendirian bahawa
perkembangan politik antara AS dan Iran yang agresif seolah-olah AS konon
terlalu ingin menghapuskan Iran dalam peta dunia adalah suatu ‘permainan
wayang’ kuasa dunia itu, dan kebanyakan perang mulut antara kedua-dua negara
terbabit adalah bersifat retorik semata-mata. Saya tidak menolak kemungkinan,
Iran mungkin akan dikenakan tindakan ketenteraan suatu hari nanti sekiranya
sebuah negara Syiah baru yang kuat berdiri di rantau tersebut, sebagai contoh
Iraq.
25. AS, Israel dan Barat mendapat keuntungan
dari pertelagahan Sunni-Syiah, dan mereka pasti tidak bersungguh-sungguh ke
arah menghapuskan salah satu pihak tersebut, melainkan membiarkan mereka
sendiri bertelagah yang akhirnya melemahkan kekuatan Islam sendiri. Perang
saudara berasaskan agama antara Sunni-Syiah lebih sukar ditamatkan berbanding
perang konvensional antara negara. Demikianlah realiti yang perlu difahami dan
telah pun difahami oleh musuh Islam sebagai senjata mereka menghadapi kemaraan
Islam di dunia.
26. ‘The
enemy of my enemy is my friend’ (musuh kepada musuhku adalah temanku) atau
dalam Bahasa Arabnya “عدو عدوي هو صديقي” pernah menjadi ungkapan popular yang
digunakan oleh wartawan kanan Barat semasa Perang Teluk 1 dahulu. Ungkapan yang
berasal dari pepatah Arab "أنا وأخي على ابن عمي
وأنا وابن عمي على الغريب"
merupakan kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi politik
negara Teluk ketika ini. Negara Syiah Iran walaupun dilihat bermusuh dengan AS,
tetapi pada masa yang sama mereka boleh menjadi rakan subahat antara satu sama
lain apabila ‘menganyang’ Sunni seperti mana telah berlaku di Iraq. Begitu juga
sebaliknya berlaku kepada negara-negara Teluk di bawah pemerintahan Sunni,
mereka juga dilihat sanggup bersekongkol dengan AS untuk menghalang kemaraan
Syiah yang mengancam pemerintahan dan negara Sunni.
Nota kaki:
Umumnya,
para ulama telah membahagikan Syiah kepada tiga kelompok yang terbesar. Antara
kelompok Syiah tersebut adalah Syiah yang melampau (al-Ghaliyah), Syiah
Al-Imamiyyah dan Syiah Al-Zaidiyyah. Daripada tiga kelompok
tersebut, terdapat banyak lagi kelompok Syiah yang terpecah daripadanya. Syiah
Al-Imamiyyah mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah penganut Syiah di
seluruh dunia. Mereka menjadi kumpulan majoriti di Iran, Iraq, Azerbaijan dan
Bahrain serta membentuk 27 peratus penduduk Lubnan. Pengikut Alevi di
Turki dan Albania serta Alawi di Syria, turut menisbahkan diri mereka
sebagai Syiah Al-Imamiyyah, walaupun mereka mempunyai perbezaan ketara
daripada Syiah Al-Imamiyah arus perdana. Penganut Syiah Al-Imamiyyah
membentuk kumpulan minoriti di India, Pakistan, Afghanistan, Kuwait, Qatar, UAE
dan Arab Saudi. Menurut al-Asy`ari, gelaran “al-Imamiyyah” digunakan
bagi merujuk kelompok Syiah Al-Imamiyyah disebabkan mereka mendakwa bahawa
kepimpinan Sayyidina Ali merupakan suatu perkara yang telah dinaskan. Mereka
juga telah dinamakan sebagai Syiah Al-Rafidhah kerana mereka menolak kepimpinan
(imamah) Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Selain itu, menurut Ibn
Khaldun, perkataan “Al-Imamiyyah” digunakan bagi merujuk golongan Syiah
al-Imamiyyah kerana mereka memasukkan keyakinan terhadap imam sebagai salah
satu daripada syarat keimanan.
Penganut
Syiah al-Zaidiyyah pula ramai terdapat di Yaman. Golongan ini merupakan
pengikut Zaid bin `Ali bin Al-Husain bin `Ali bin Abi Talib. Mereka merupakan
golongan Syiah yang paling hampir dengan Ahlus Sunnah Wa Jama’ah dan tidak
mengkafirkan para sahabat. Ini adalah kerana, mereka berpegang dengan konsep جواز إمامة المفضول مع قيام الأفضل. Berdasarkan pegangan ini juga, mereka tidak
mengkafirkan dan tidak melaknat Abu Bakr dan Umar. Selain berpegang dengan
konsep Al-Taqiyyah, mereka tidak mendakwa imam-imam mereka maksum dan
tidak juga mendakwa bahawa imam-imam mereka mampu menghilangkan diri seperti
mana yang telah diiktiqadkan oleh golongan Isma`iliyyah. Golongan ini terbahagi
kepada tiga kumpulan iaitu; Al-Jarudiyyah (pengikut Abi Al-Jarud), Al-Sulaymaniyyah
(pengikut Sulaiman bin Jarir al-Zaidi) – turut dikenali sebagai Al-Jaririyyah-
dan Al-Butriyyah pengikut Al-Hasan bin Saleh bin Hayy). Menurut Al-Baghdadi, golongan Al-Butriyyah dan
Al-Sulaimaniyyah menghukum kafir terhadap golongan Al-Jarudiyyah disebabkan
golongan Al-Jarudiyyah mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar,
manakala Al-Jarudiyyah pula telah menghukum kafir terhadap golongan Al-Sulaimaniyyah
dan Al-Butriyyah disebabkan mereka tidak mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina
Umar. Walau bagaimanapun ketiga-tiga golongan Syiah ini bersepakat dalam
mengatakan bahawa pelaku dosa besar akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.
Dalam hal ini, pendapat mereka tersebut didapati selari dengan golongan
Khawarij. Menurut Abu Zuhrah, Al-Zaidiyyah
terbahagi kepada dua; aliran Al-Mutaqaddimin dan Al-Muta’akhkhirin. Golongan
Syi`ah aliran Al-Mutaqaddimin tidak termasuk dalam kelompok Rafidah kerana
mereka masih mengiktiraf imamah Abu Bakr dan Umar. Manakala golongan Syiah
aliran Al-Muta’akhkhirin termasuk dalam kelompok Rafidhah kerana mereka menolak
imamah kedua-dua tokoh tersebut. Menurutnya lagi, Syiah Al-Zaidiyyah yang kini
berada di Yaman lebih hampir kepada Syiah al-Zaidiyyah aliran Al-Mutaqaddimin. Untuk
huraian lanjut, rujuk Ahmad Amin (1978), Duha al-Islam, j. 3, c. 12,
Kaherah : Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, hlm. 275-276; al-Baghdadi, `Abd
al-Qahir b. Tahir b. Muhammad (t.t), al-Farq bayn al-Firaq, Mesir :
al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, hlm. 31; Muhammad Abu Zuhrah (1996), op.cit., hlm.
46.
Golongan
Syiah yang melampau (Al-Ghaliyah) pula dikatakan telah pupus. Syiah Al-Ghaliyah merupakan golongan Syi`ah yang melampau dalam membesarkan Sayyidina
Ali. Selain mengangkat darjat Sayyidina Ali melebihi darjat kenabian, mereka
turut berpegang dengan iktikad Al-hulul dan Tanasukh Al-Arwah dengan
mendakwa bahawa Allah menyerap masuk ke dalam jasad Nabi Muhammad, Ali, Al-Hasan, Al-Husain dan Fatimah. Mereka turut mendakwa bahawa imam-imam
mereka adalah tuhan dan menyembahnya, manakala para pengikutnya adalah hamba bagi
tuhan tersebut. Di samping itu, mereka mengingkari hari kiamat, syurga dan
neraka dan berkeyakinan bahawa dunia ini tidak akan binasa. Mereka juga telah
menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti
perempuan-perempuan ajnabi, daging khinzir, arak dan judi. Menurut al-Asy`ari,
kelompok Syiah Al-Ghaliyah ini terpecah kepada lima belas kelompok iaitu; al-Bayaniyyah, Al-Janahiyyah, Al-Harbiyyah, Al-Mughiriyyah, Al-Mansuriyyah, Al-Khattabiyyah, Al-Ma`mariyyah, Al-Bazighiyyah, Al-`Umayriyyah, Al-Mufaddaliyyah, 11 (tiada
nama), 12 (tiada nama), al-Syari`iyyah, al-Saba‟iyyah dan 15 (tiada nama).
Untuk keterangan lanjut, rujuk; al-Asy`ari (1969), op.cit.,
hlm. 66-88.
Huraian lanjut baca di http://www.jais.gov.my/rnd/2012/januari/PerbezaanASWJ_Syiah.pdf
Huraian lanjut baca di http://www.jais.gov.my/rnd/2012/januari/PerbezaanASWJ_Syiah.pdf
*Artikel berasingan dengan topik "Pengaruh Ikhwanul Muslimin
dan Kemaraan Liberalisme di Dunia Arab" akan turut menyentuh politik
rantau Teluk, pemerintahan dinasti raja-raja Arab dan Syiah.