“Saya tidak berbangga (jadi) bangsa Melayu. Bangsa ini datang
secara automatik,” Demikian kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat dalam satu majlis dialog bersama wartawan di sebuah hotel di Kota Bharu
baru-baru ini.
Saya tidak terkejut dengan kenyataan ulama besar Pas itu, kerana sebelum ini pun beliau sentiasa memperlekeh sebarang usaha ke arah islah dan kebaikan yang dikaitkan dengan bangsa Melayu. Perpaduan Melayu, Ketuanan Melayu, perjuangan memartabatkan orang Melayu dan apa sahaja yang dikaitkan dengan nama Melayu lebih-lebih lagi parti Melayu ditolak bulat-bulat oleh beliau!
Sebenarnya saya bersikap terbuka dalam memahami pendirian Menteri Besar Kelantan itu, namun saya sangat terkilan apabila beliau mengajar pengikutnya menghina, mencerca dan mengecam orang lain yang tidak sependirian dalam perjuangan memartabatkan bangsa Melayu. Hal sama terjadi kepada Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, apabila beliau dikecam teruk oleh pemimpin dan penyokong Pas hanya kerana usahanya menyatukan UMNO dan Pas atas nama Melayu dan Islam.
Nik Aziz pernah berkata dalam satu sidang media pada tahun lalu:
“Bangsa Melayu, perjuangan bangsa Melayu tidak boleh dibawa ke
akhirat. Kalau bangsa Melayu boleh dibawa ke akhirat. Nabi Muhammad lah pejuang
Arab. Tapi Nabi Muhammad tidak pejuang Arab, Nabi Muhammad pejuang Islam. Jadi
macam mana kita sebagai umat Nabi Muhammad tak pasal-pasal nak perjuang Melayu,
tinggal Nabi Muhammad. Akhirat kelak nak cari siapa? Nak cari orang Melayu ke
nak cari Nabi Muhammad. Akhirat kelak bangun dari kubur orang cari Nabi
Muhammad, orang tak cari Inggeris dah, orang tak cari Melayu dah. Orang cari
Nabi Muhammad. Nak kenal Muhammad macam mana kita duduk lawan Muhammad atas
muka dunia!”
Dalam memahami hakikat perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia, saya
ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah beranggapan bahawa bangsa Melayu itu
adalah bangsa yang mempunyai kelebihan di akhirat atas namanya Melayu.
Sebaliknya saya melihat kepada keperluan memperjuangkan nasib bangsa ini adalah
kerana bangsa Melayu ini diikat dengan roh Islam dan kebaikan untuk bangsa ini
adalah juga merupakan kebaikan untuk Islam.
Tidak salah kita melakukan usaha pembaikan dan islah bermula dari
diri kita, kaum keluarga dan orang terdekat dengan kita termasuklah bangsa kita
sendiri. Konsep tadaruj (berperingkat) ini memang diajar oleh
Islam. Ini bukanlah bermakna kita melebih-lebihkan sesuatu bangsa secara
mutlak, tetapi tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memelihara
mereka yang terdekat dengan kita, di samping memastikan kelangsungan bangsa
kita sendiri untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebenarnya
perjuangan kebangsaan Melayu ini adalah alat kepada dakwah Islam untuk umat
manusia seluruhnya.
Tambahan pula, perjuangan memelihara kekuatan bangsa yang menjadi
dominan di sesebuah negara Islam adalah sangat penting dalam memastikan
kedaulatan Islam dan ketuanannya terjamin. Seperti mana Nabi Muhammad s.a.w.
mengkehendaki akan kepimpinan dari bangsa Quraisy, begitu jugalah kita sebagai
orang Melayu perlu membela Ketuanan Melayu yang menjadi tunggak kekuatan Islam
di Malaysia.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
إِنَّ هَذَا
الْأَمْرَ فِي قُرَيْشٍ لَا يُعَادِيهِمْ أَحَدٌ إِلَّا كَبَّهُ اللَّهُ فِي النَّارِ
عَلَى وَجْهِهِ مَا أَقَامُوا الدِّينَ
"Sesungguhnya urusan pemerintahan ini adalah di tangan
Quraisy tidaklah ada seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan
menyungkurkan wajahnya di dalam neraka selama mereka itu melaksanakan
agama." [HR al Bukhari]
Adakah benar usaha islah dan perjuangan memartabatkan bangsa ditegah oleh agama dan tiada nilai di sisi Allah Taala? Apakah perspektif Islam sangat jijik sekali terhadap sebarang usaha kebaikan yang dikaitkan dengan nama bangsa atau keturunan?
Di sana terdapat banyak hadith menyebut tentang kelebihan bangsa Arab dan Quraisy terutama dalam bab kepimpinan dan sumbangan mereka terhadap perjuangan Islam. Bahkan diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri menisbahkan diri baginda dengan bangsa dan keturunannya, walaupun ada sebahagian riwayat tersebut ditakhrijkan sebagai dhaif (lemah), dhaif jiddan (sangat lemah) dan maudhuk (palsu) oleh sesetengah ulama hadith.
Dalam sebuah riwayat terkenal dikatakan bahawa:
حُبُّ الْعَرَبِ إِيمَانٌ ،
وَبُغْضُهُمْ نِفَاقٌ
“Cintakan bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian
kepada mereka adalah (tanda) kemunafikan.”
Mereka yang menganggap ia sebuah hadith dari Nabi Muhammad s.a.w.
berhujah bahawa ia telah ditahkrijkan sebagai shahih oleh Imam al Hakim.
Bagaimanapun, pendapat al Hakim ini disanggah oleh Imam az Zahabi dan beliau
berkata: “Al- Haitham bin
Jammaz yang terdapat dalam sanadnya adalah matruk dan Ma'qil pula adalah dhaif”. Berdasarkan keterangan az Zahabi ini,
maka hadith ini adalah sangat dhaif.
Saya menerima koreksi Syeikh Muhammad Nashiruddin al Albaani yang turut
menganggap hadith in sangat dhaif dan tidak boleh dijadikan hujah untuk
disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.
Apapun, kelemahan hadith ini bukan bermakna sekiranya seseorang
itu dilahirkan sebagai orang Arab, dia tidak boleh mencintai bangsanya.
Anggapan kecintaan kepada bangsa adalah suatu sifat ‘asabiyyah yang dikecam
oleh Nabi s.a.w. dalam banyak hadith sahih adalah tidak benar!
Sesungguhnya kita tidak dilarang untuk mencintai bangsa atau kaum
kita sendiri seperti mana telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam
hadith shahih berikut:
سَأَلْتُ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ,
أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ , قَالَ : لَا , وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ
الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ
"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah
perbuatan ‘asabiyyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)?
Tidak, tetapi ‘asabiyyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya
melakukan kezaliman." [HR An-Nasai']
Mengapa kita suka mengambil jalan memusuhi, memperlekeh serta
menidakkan naluri kecintaan dan peranan bangsa dalam mentadbirkan kelangsungan
hidup di dunia yang menjadi jambatan kehidupan di akhirat?
Siapalah kita untuk cuba menghapuskan pengenalan bangsa sedangkan
Allah Taala sendiri mengiktiraf kewujudan manusia yang dijadikan oleh-Nya
berbangsa-bangsa dengan tujuan untuk saling kenal-mengenal di antara mereka.
Allah Taala ada berfirman:
"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu
daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling
bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal." [Surah al Hujurat: 13]
Sedarkah kita bahawa dakwah agama tanpa 'asabiyyah (perasaan
kekitaan) tidak akan berhasil? Ini kerana penglibatan rakyat terbanyak
memerlukan perasaan ‘asabiyyah.
Sarjana Islam, Ibn Khaldun di dalam kitabnya al Muqadimah, memetik
sebuah hadith shahih yang bermaksud:
مَا بَعَثَ اللَّهُ نَبِياً إِلَّا فِي مَنْعَةٍ مِنْ قَوْمِهِ
“Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun kecuali ia
berada dalam penjagaan kaumnya.” [HR al Hakim]
Dalam hadith yang bertaraf hasan, Nabi s.a.w. bersabda:
مَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ نَبِيًّا إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ
قَوْمِهِ
“Allah tidak mengutuskan selepasnya seorang Nabi pun
kecuali ia berada dalam kekayaan (kelimpahan dan penjagaan) kaumnya.” [HR at Tirmidzi]
Ibn Khaldun menegaskan bahawa para Nabi a.s. sendiri pun yang merupakan
semulia-mulia makhluk dan mempunyai pelbagai kelebihan memerlukan kepada
penjagaan keluarga dan kaum, apatah lagi manusia biasa yang tidak mempunyai
apa-apa kelebihan, tidak mungkin akan berjaya tanpa 'asabiyyah.”
‘Asabiyyah (perasaan kekitaan) yang dimaksudkan oleh Ibn Khaldun
di sini adalah sokongan bantuan yang kuat sama ada moral, tenaga mahupun harta
benda dalam melaksanakan siasah khalifah.
Ia merupakan ‘asabiyyah hasanah (baik) atau gholibah bukan ‘asabiyyah dholalah (sesat) atau jahiliah yang dikecam oleh Nabi s.a.w. seperti
dalam hadith berikut:
مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ
يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah
(bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah
maka kematiannya adalah jahiliyyah”. [HR Muslim]
Kepada saudara-saudara saya yang berada di dalam Pas, eloklah
diteliti kembali pendirian bekas Yang Dipertua Pas, Almarhum Dr. Burhanuddin bin
Muhammad Nur al-Hilmi seperti
yang dipetik dari buku Kursus Agama dan Politik, tahun 1954, terbitan Buana
Singapura seperti berikut:
“Islam memandang kebangsaan sebagai alat dan bukan sebagai tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat
yang sederhana dan boleh sebagai satu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu baginya tenaga untuk
mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang
dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan untuk menyampaikan
ke akhirat.”
Dalam konteks negara Malaysia, semangat kebangsaan Melayu sangat penting dalam memastikan
keutuhan dan kelangsungan negara Islam dan ummahnya. Kekuatan dan kesatuan
Melayu di negara ini mencerminkan kekuatan dan kesatuan Islam itu sendiri.
Dengan kata lain, orang Melayu adalah teras kepada kekuatan dan kesatuan Islam
di sini. Lemahnya Melayu, lemahlah Islam. Mundurnya Melayu, mundurlah Islam.
Berpecahnya Melayu, berpecahlah Islam. Runtuhnya Ketuanan Melayu, runtuhlah
Ketuanan Islam di Malaysia.
Sememangnya kekuatan dan kemuliaan Melayu adalah kerana agama
bukan kerana bangsanya. Tetapi bangsa manakah yang akan memperjuang dan
mengangkat kemuliaan mereka dengan cahaya Islam dan memakmurkan Malaysia dengan
nilai-nilai Islam jika bukan Melayu? Bukankah Melayu itu bangsa majoriti dan
dominan dari sudut demografi di bumi bertuah ini? Bukankah bangsa Melayu di
Malaysia itulah satu-satu bangsa di dunia yang diikat dengan Islam dalam
perlembagaan negaranya? Bukankah Melayulah yang berjuang habis-habisan menuntut
kemerdekaan dari penjajah bukan Islam? Bukankah Melayu yang berjuang
mempertahankan Ketuanan orang Islam?
Mencintai bangsa Melayu dan berbangga dengan kepahlawanan bangsa
dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanahair bukanlah bermaksud kita melampau-lampau
dan taksub kepada bangsa kita semata-mata sehingga bertindak menyokong apa
sahaja segala kezaliman yang dilakukan oleh mereka yang sebangsa dengan kita.
Tetapi kecintaan dan kebanggaan itu adalah kerana ia merupakan fitrah naluri
kita sebagai manusia yang dijadikan oleh Allah yang mengkehendaki kepada
kebaikan kepada diri sendiri, ahli keluarga, kaum kerabat dan orang terdekat
dengan kita.
Seperti mana yang pernah dikatakan oleh bekas Rektor Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia, Almarhum
Dr Muhammad Abdul Rauf:
“Walau bagaimanapun, nasionalisme (kebangsaan) sebagai sentimen
yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten
(secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang
penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep
izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah
ialah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang
munafik itu tiada mengetahui.” [Surah
al Munafiqun: 8].
Rapat umum menentang Malayan Union oleh Melayu Kelantan pada tahun
1946 yang disertai oleh 65 ribu orang. 2 ribu orang Melayu turut membuat rapat
umum membantah Malayan Union di Kedah beberapa hari sebelumnya.
Ada di antara kita menolak segala bentuk seruan kebaikan atas nama
bangsa termasuk seruan perpaduan Melayu kerana kononnya ia bersifat ‘asabiyyah
yang dikeji. Walhal seruan kepada perpaduan itu adalah tuntutan syarak yang
paling besar dan banyak disebut dalam al Quran dan hadith shahih. Apa salahnya
kita mulakan perpaduan Islam dalam kerangka bangsa Melayu itu terlebih dahulu,
bukankah Melayu itu subset kepada Islam yang universal sifatnya?
Umpama seorang ketua kampung yang menyeru orang-orang kampungnya
bersatu, tetapi membiarkan saja keluarganya berpecah kerana lebih mementing
perpaduan orang-orang kampung keseluruhannya. Eloklah begitu? Membiarkan Melayu
berpecah kerana tidak mahu kepada perpaduan Melayu tetapi lebih mementingkan
perpaduan Islam kononnya!
Sekiranya seseorang itu adalah seorang Melayu yang benar dan
Muslim yang sedar, dia akan mendapati bahawa kebaikan untuk Melayu yang
sebenarnya adalah kebaikan untuk Islam. Seorang Islam tidak akan mendapati
halangan daripada agamanya untuk bermula dengan bangsanya di mana dia hidup
bersamanya. Disebutkan dalam hadith sahih:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ ثُمَّ بِمَنْ تَعُولُ
"Mulakan dengan diri kamu, kemudian dengan mereka
yang berada di bawah tanggungan kamu." [HR at Tirmidzi]