Rabu, 24 Februari 2010

Respon kepada MAZA - Jangan sempitkan perjuangan kebangsaan Melayu!

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana satu rencana tulisan Datuk Noor Azam telah disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini berkenaan perjuangan Melayu dan Islam (sila rujuk rencana bertajuk Jadilah umat Islam, bukan umat Melayu? Utusan Malaysia 24 Februari 2010).

Rencana beliau ini adalah sebagai suatu respon terhadap tulisan mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) tentang hakikat perjuangan kebangsaan Melayu-Islam di Malaysia (sila rujuk Minda Dr. Maza bertajuk Maulid, Melayu dan Mamak Penang, Mingguan Malaysia 21 Februari 2010).

Nampaknya MAZA masih tidak dapat memahami bahawa konsep bangsa Melayu di Malaysia bukanlah semata-mata merujuk kepada satu kaum, etnik atau ras. Sebaliknya, takrif Melayu dan perjuangannya adalah merujuk kepada bahasa dan kebudayaan setempat serta paling penting ia diikat dengan Islam. Di Malaysia, mana-mana kaum, etnik atau ras yang bersedia untuk menerima kelaziman kebudayaan dan bahasa setempat (budaya dan bahasa Melayu) maka mereka diiktiraf sebagai Melayu asalkan mereka wajib beragama Islam!

Kita menerima etnik Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Rawa, India-Muslim, Arab, Melanau dan pelbagai lagi keturunan lain sebagai Melayu selagi mereka beraqidahkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Demikianlah uniknya bangsa Melayu di Malaysia, bangsa yang diikat dengan pegangan Islam seperti mana sering ditegaskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Dalam satu temubual bersama portal berita, Malaysiakini berhubung kes murtad di kalangan orang Melayu, Dr. Mahathir pernah dipetik sebagai berkata:

“Jika mereka (orang Melayu) meninggal Islam, maka mereka bukan
orang Melayu,”

“Orang Melayu di negara ini menikmat
i keistimewaan-keistimewaan tertentu, jadi mereka (yang meninggalkan Islam) tidak lagi berhak mendapat hak dan keistimewaan (dalam Perlembagaan yang melibatkan orang Melayu),”

"Jika anda mahu meninggalkan Islam, maka anda juga mesti bersedia untuk melepaskan (hak-hak berkaitan dengan) definasi seorang Melayu. Anda mesti kata ‘saya bukan orang Melayu’.” Demikianlah pandangan oleh orang yang pernah memimpin kerajaan Malaysia dan parti siasah terbesar
Melayu.

Dalam satu program khas yang pernah disiarkan oleh stesen Al Jazeera mengenai isu murtad, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata:
“Bila kita melihat seorang Melayu, maka kita melihat seorang Islam. Itulah yang terkandung dalam Perlembagaan. Jadi jika kita membenarkan semua perkara ini berlaku, maka kita akan habis. Malaysia akan habis”.

Pandangan tokoh politik dan agama ini turut disokong oleh pakar perlembagaan, Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi yang menegaskan bahawa seorang Islam yang murtad akan hilang status Melayunya, perkahwinannya akan bubar dan akan berbangkit masalah hak jagaan dan hak keistimewaan orang Melayu. Pandangan beliau ini pernah disiarkan dalam akhbar The Star tidak lama dulu.

Di sini saya ingin menyeru kepada ilmuan Islam seperti MAZA supaya tidak menyempitkan konsep kebangsaan Melayu dengan perkauman sempit semata-mata. Terimalah hakikat konsep dan identiti Melayu seperti mana telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah epistemologi dunia Melayu-Islam ini sebenarnya sudah lama diadaptasi di dalam masyarakat negara ini sebelum merdeka lagi.

Orang Melayu seperti ditakrifkan menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah mereka yang beragama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.

Ketahuilah, ulama-ulama besar kita dahulu sama ada dari aliran tradisional atau pembaharuan seperti Syeikh Ahmad al Fathani, Tok Kenali, Tok Selehor, Abdullah Fahim, Hamka, Syeikh Idris al Marbawi, dan banyak lagi sering melaungkan tentang peri pentingnya perjuangan memartabatkan bangsa Melayu yang bersendikan Islam. Mereka tidak pernah menyempitkan bahawa Melayu itu dengan satu keturunan tetapi satu bangsa yang sangat dominan dan penting dalam kelangsungan masyarakat Islam dan agama Islam itu di negara ini.


Ketahuilah juga, tokoh-tokoh pembaharuan dan politik Islam tanahair merupakan kumpulan yang terkehadapan dalam memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu sebelum kemerdekaan dahulu. Antaranya ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al Hadi, Abbas Mohamad Taha, Pendeta Za’aba, Burhanuddin el Helmy dan ramai lagi.

Golongan pembaharuan yang digelar Kaum Muda paling lantang mewujudkan kesedaran terhadap perjuangan kebangsaan Melayu dengan wacana Islam untuk merubah nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sosial. Telitilah kembali teks-teks sejarah yang terkandung di dalam majalah seperti al Imam, Saudara, Pengasuh, Neracha dan Edaran Zaman.

Usahlah kita diperbodohkan oleh momokan segelintir ahli politik tertentu yang sengaja mewujudkan kesangsian tentang keperluan memelihara kelangsungan gagasan Melayu-Islam hanya kerana kepentingan dan agenda politik parti mereka. Selama ini negara kita kekal stabil dan aman kerana konsep yang sekelian lama dipraktikkan ini.


Apa yang diistilahkan sebagai Ketuanan Melayu yang sering dikaitkan dengan agenda perjuangan kebangsaan Melayu sebenarnya adalah selari dengan anjuran Nabi s.a.w. yang mengkehendaki bangsa, kaum, kumpulan yang terkuat dari sudut politik untuk mentadbir negara dengan maksud mengelakkan negara dari kacau-bilau.

Realiti inilah yang diterangkan oleh pakar hadis dari Kelantan, Maulana Mohd Asri Yusoff ketika mensyarahkan tentang begitu banyak hadis sahih menyebutkan tentang suruhan Nabi Muhammad s.a.w. supaya melantik orang Quraisy sebagai pemimpin. (Sila ikuti klip video Youtube Mfundamentalist bertajuk “Ketuanan Melayu dan Ketuanan Quraisy”).




Satu daripada hadis tersebut ialah:

 لا يَزَالُ هَذَا الأَمْرُ فِي قُرَيْشٍ مَا بَقِيَ مِنَ النَّاسِ اثْنَانِ

“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dua orang di antara manusia.”
[Hadith Riwayat Muslim]

Di sana terdapat sebab dan illat mengapa Nabi s.a.w. memerintahkan supaya kepimpinan umat ini mesti dari kaum Quraisy seperti mana dinyatakan dalam sebuah lagi hadis shahih yang berbunyi:

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

"Para imam (mesti) dari golongan Quraisy."
[Hadith Riwayat A
hmad dan al Baihaqi]

Menurut Ibn Khaldun di dalam kitab al Muqaddimah, illat yang melatarbelakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.

Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya. Menurut beliau, illat yang terkandung dalam penyebutan “golongan Quraisy” akan terus berlaku dengan syarat ‘asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.

Ibn Khaldun menyebutkan:


"Kerana itu, kita pun menganggapnya sebagai satu prasyarat yang mendesak bagi seseorang yang bertugas menguruskan persoalan kaum Muslimin supaya dia termasuk golongan orang-orang yang kuat perpaduannya, dan mengatasi perpaduan bangsa-bangsa lain yang semasa dengan mereka, sehingga mereka dapat memaksa bangsa-bangsa itu bersatu demi kepentingan bersama. Kenyataan demikian tidak akan pernah ditemukan di seluruh pelusuk dunia sebagaimana terjadi pada masa kekuasaan keturunan Quraisy; sebab dakwah Islamiyah yang ada pada mereka sifatnya adalah universal, sehinggakan mereka dapat mengalahkan bangsa yang lainnya. Namun dewasa ini setiap daerah mempunyai orangnya sendiri yang mewakili perasaan 'asabiyyah (kekitaan) terbesar di sana." [Mukadimah Ibn Khaldun (2006), Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 207-208]

Sesungguhnya konsep perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia sesuai dengan takrif 'asabiyyah baik yang disebut oleh tokoh Islam agung, Ibn Khaldun ini. Perjuangan kebangsaan Melayu ini sesekali tidak boleh dinamakan ‘asabiyyah tercela yang membawa kepada mati dalam keadaan jahiliyyah kerana perjuangan ini sebenarnya tidak akan menyokong ketaksuban membuta tuli kepada kumpulan semata-mata.


Diriwayatkan dalam sebuah hadis shahih bahawa:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ , قَالَ  لَا , وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ
"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah perbuatan asabiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman."
[Hadith Riwayat An-Nasai']

Ingatlah perjuangan kebangsaan Melayu kita di Malaysia ini adalah disempadani oleh agama Islam. Apa-apa agenda perjuangan yang dinisbahkan kepada perjuangan kebangsaan Melayu tetapi bersalahan dengan syarak, maka ia bukanlah perjuangan kebangsaan Melayu yang sebenar dan ia tertolak!