Isnin, 7 Januari 2013

Bidasan Ringkas Dua Hujjah Sokong Bukan Islam Guna Kalimah 'Allah'



HUJJAH PERTAMA - Polemik mengenai kalimah ‘Allah’ ini hanya momokan dan merupakan agenda UMNO untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

JAWAPAN:
Sebenarnya yang menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang Kristian ini bukan sahaja dari kalangan orang UMNO tetapi mereka terdiri daripada pelbagai pihak termasuk individu-individu non-partisan, NGO Islam dan orang Islam dalam pakatan pembangkang seperti ulama Pas sendiri. Pemimpin dan ahli agama dalam PKR diketahui sangat menyokong penuh penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh).

Memang tidak dinafikan wujud sebahagian orang Pas terutama beberapa pemimpin Pas yang bukan dari kalangan ulama dan dilihat sangat pro-Anwar Ibrahim (kelompok 'Anwarinas') dan anti-kerajaan perpaduan seperti Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan dua AJK Pas Pusat iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) dan Ir. Khalid Abdul Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) juga sangat lantang menyokong malah mempertahankan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam.



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan dan ADUN Pulau Melaka) dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya berhubung polemik kalimah ‘Allah’ ini, beliau pada awalnya menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam tetapi kemudiannya dilihat menyokong pula penggunaannya. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) dan AJK Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) pula antara dua pemimpin Pas berlatar belakang agama yang kini mempertahankan tindakan bukan Islam untuk menggunakan kalimah 'Allah' terutama selepas perbincangan dengan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR.

Keratan Suara Keadilan Bilangan 214 (5 – 12 Januari 2010) yang melaporkan sokongan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam daripada para pemimpin PKR terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga ahli agama paling kanan dalam PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty yang merupakan Pengerusi Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA) parti tersebut.

Sementara itu Datuk  Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas), Datuk Harun Taib (Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan ADUN Manir), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Ahli Parlimen Bachok), Datuk Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling), Ustaz Nasrudin Hassan Thantawi (Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas Pusat) adalah antara para pemimpin Pas yang ke hadapan membantah penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam di negara ini.



HUJJAH KEDUA - Al-Quran dan al-Hadis tidak pernah mengharamkan penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan orang bukan Islam. Sebarang usaha atau peraturan untuk menyekat orang bukan Islam dari memakai kalimah 'Allah' adalah ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah.

JAWAPAN:
Memang larangan ini tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun demikian, sebarang tindakan menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam itu sebenarnya menepati kehendak 'Siasah Syar’iyyah' (السياسة الشرعية).

Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fiqh terdahulu, pihak berkuasa boleh berijtihad atas dasar ‘Masolih Mursalah’ (المصالح المرسلة) iaitu kemaslahatan-kemaslahatan yang tidak ada dalil mengakui dan menolaknya, dan ia menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid asy-Syariahمقاصد الشريعة) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Dinحفظ الدين).

Perbuatan mengatakan sebarang enakmen atau undang-undang yang menghalang penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam sebagai ketinggalan zaman dan bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah adalah keterlaluan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

Kenyataan itu yang bercanggah dengan semangat Islam dalam berdakwah itu juga boleh dianggap menghina institusi fatwa dan para mufti.



FATWA RASMI JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN TERHADAP PENGGUNAAN KALIMAH ‘ALLAH’

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keterangan/Hujah:

1.     Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

2.     Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

3.     Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

4.     Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

5.     Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

6.     Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

7.     Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.

8.     Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.

9.     Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.

10.  Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.

11.  Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

2 ulasan:

  1. https://app.box.com/shared/gpiqyvzcz6

    BalasPadam
  2. Saya setuju,kalimah Allah bukanlah sesuatu yg dpt dpermainkan sesuka hati,sy mendoakan agar umat islam yg t'salah pemahaman akn kembali mngenal Allah dgn sbenar2nya smentara hidayahNya masih ada,apabila namaNya dpermainkan ntk kpentingan dunia,dserahkan pd tangan yahudi dan nasrani,pasti balasan yg dahsyat akn menimpa sluruh umat manusia..Allahuakbar,namaMu menenagkan jiwa..

    BalasPadam